Sunday, December 20, 2009

Rush : Dapatkan Nistelrooy

Penyerang lagenda Liverpool, Ian Rush telah mencadangkan kepada pengurus Liverpool agar membawa masuk penyerang Real Ruud van Nistelrooy ke Anfield secepat mungkin apabila urusan perpindahan pemain dibuka semula pada bulan Januari nanti. Nistelrooy yang kini semakin sukar untuk beraksi di Real setelah pulih dari kecederaan, sedang mencari peluang beraksi dengan lebih kerap bersama-sama pasukan yang berminat mendapatkan khidmat beliau. Rush berkata penyerang Holland ini adalah pilihan terbaik buat Rafa jika mahu mengurangkan beban penyerang utama Liverpool, Fernando Torres. Menurut Rush, Torres juga memerlukan rehat dan beliau tidak mungkin beraksi di sepanjang musim. Rush berharap Rafa mahu membawa masuk seorang penyerang yang berkaliber pada Januari nanti dan beliau akan berasa gembira jika penyerang tersebut adalah Nistelrooy, seorang penjaring gol dengan pengalaman di peringkat tertinggi. Penyerang bertaraf dunia amat sukar untuk diperolehi dan Rafa perlu bertindak pantas untuk mendapatkannya. Di mana beliau beraksi sebelum ini tidak mendatangkan masalah buat Rush, asalkan beliau mampu menjaringkan gol. Ini merupakan pendapat peribadi yang dikeluarkan oleh Rush. Semua keputusan akan dibuat oleh Rafa dan sama-sama kita saksikan siapa yang bakal dibawa masuk (jika ada) pada bulan Januari nanti.


YNWA