Wednesday, June 23, 2010

Dalglish : Komited Selamatkan The Reds


Perkhabaran terbaru yang diterima dari Anfield menyatakan lagenda Liverpool Kenny Dalglish kini telah bersedia untuk meninggalkan kelab jika pihak pengurusan mengambil keputusan untuk melantik pengurus Fulham, Roy Hodgson untuk menggantikan Rafa Benitez sebagai pengurus baru Liverpool. Pihak pengurusan Liverpool telah menegaskan bahawa peranan Dalglish bersama-sama pengarah urusan Christian Purslow untuk mencari pengurus baru Liverpool tidak melayakkan beliau sendiri untuk dilantik sebagai pengurus Liverpool. Walaupun begitu Dalglish sendiri dikatakan tidak bersetuju dengan pilihan pihak pengurusan (lembaga pengarah) Liverpool iaitu Hodgson dan beliau tidak dapat menyokong keputusan mereka ini meskipun Dalglish bersahabat baik dengan pengurus Fulham tersebut. Dalglish juga yakin beliau mampu mengemudi Liverpool di saat sukar yang yang kini dilalui oleh gergasi dari Anfiled ini. Walaupun kekurangan dana untuk membeli pemain baru serta masalah dengan pemilikan kelab yang tidak kunjung sudah, Dalglish dikatakan komited untuk membantu Liverpool. Jika Liverpool kehilangan Dalglish apabila Hodgson dilantik sebagai pengurus baru Liverpool, pengarah urusan Christian Purslow pasti akan terasa bahangnya kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan Dalglish.

Persoalan yang masih belum terjawab adalah kenapa pihak pengurusan Liverpool dilihat seperti cuba mengelak daripada melantik Dalglish sebagai pengurus baru Liverpool? Bermacam-macam alasan yang diberikan oleh mereka apabila ditanya mengenai kedudukan Dalglish di Anfield. Saya melihat tindakan Dalglish untuk keluar dari Anfield (jika terjadi) bukan kerana merajuk atau membawa diri kerana tidak dipilih untuk mengemudi Liverpool tetapi lebih kepada tanda protes kepada pihak pengurusan yang semakin kurang prihatin terhadap kedudukan kelab. Saya akui Hodgson merupakan pengurus yang baik untuk mengemudi Liverpool tetapi jika kita mempunyai pilihan yang sebaik Dalglish, kenapa perlu dilihat ke tempat yang lebih jauh? Bukan berniat untuk menidakkan peluang Hodgson sebagai pengurus Liverpool kerana beliau juga layak untuk mengisi kerusi panas yang dikosongkan Benitez ini. Perlu diingatkan Dalglish adalah antara pengurus terbaik yang dapat mengenalpasti pemain-pemain muda yang berpotensi di England. Dalglish mungkin mengambil sedikit masa untuk memulihkan Liverpool tetapi perkara yang paling penting adalah untuk menstabilkan kelab di saat yang sukar sekarang ini. Bermula daripada itu, perancangan untuk memulihkan Liverpool boleh direncanakan mengikut idea Dalglish sendiri.

Secara peribadi saya berpendapat pihak pengurusan Liverpool (lembaga pengarah) berkemungkinan mahu mengelakkan peristiwa yang sama berulang kembali jika melantik pengurus yang cukup berpengaruh di kalangan peminat sepertimana yang berlaku kepada Rafa Benitez. Jika reaksi ke atas pemecatan Benitez menimbulkan kemarahan para peminat Liverpool di Anfield, bagaimana agaknya reaksi peminat (yang kini menyokong sepenuhnya perlantikan Dalglish) jika Dalglish pula mengalami nasib yang serupa? Alasan untuk mencari pengurus yang kini masih aktif di dalam bidang pengurusan bolasepak hanyalah sebagai gimik untuk menidakkan peluang Dalglish untuk mengemudi Liverpool. Seperti yang kita semua sedia maklum, Dalglish mempunyai pengalaman yang cukup luas sebagai pemain dan juga sebagai seorang pengurus. Selain daripada rekodnya yang cukup baik sebagai pemain/pengurus Liverpool, Celtic, Blackburn Rovers serta Newcastle, adakah kita sudah boleh menganggap kemahiran beliau sudah berkarat setelah sepuluh tahun meninggalkan dunia pengurusan bolasepak? Bak kata Jamie Redknapp, Dalglish masih mengikut perkembangan dunia bolasepak walaupun kini tidak lagi menjadi seorang pengurus. Dalglish selain masih menghadiri perlawanan yang membabitkan Liverpool, masih arif dengan sepak terajang dunia bolasepak (terutama Liverpool) kerana beliau bukanlah bersara sepenuhnya daripada bolasepak. Jika saya bertanya kepada rakan-rakan sekalian, siapa yang lebih mengenali asam garam Liverpool, Hodgson ataupun Dalglish?


YNWA

Tuesday, June 15, 2010

Mascherano : Belajar Bahasa Itali

Nampaknya seperti bermain dengan api, Kapten Argentina dan juga pemain tengah Liverpool Javier Mascherano telah mengeluarkan kenyataan yang kurang enak di kala keadaan kelab yang tidak menentu sekarang ini. Mascherano yang kini dikaitkan dengan kelab kelab Itali Inter Milan dibawah kendalian bekas pengurus Liverpool Rafa Benitez. Memburukkan lagi keadaan ini Mascherano mengakui beliau kini sedang mempelajari bahasa Itali di Piala Dunia Afrika Selatan. Media Itali dan juga England menggambarkan perpindahan ke kelab Itali tersebut sebagai sesuatu yang hampir pasti berlaku apabila Mascherano masih belum mahu menandatangani kontrak baru bersama-sama Liverpool walaupun ditawarkan 100 ribu pound seminggu sebelum ini. Mascherano mengambil langkah tunggu dan lihat sehingga kejohanan Piala Dunia berakhir pada pertengahan bulan Julai nanti. Keadaan ini pasti menimbulkan rasa kurang senang pihak Liverpool. Jika Mascherano benar-benar mahu meninggalkan Anfield, kita tidak harus menghalang kerana tiada guna untuk mengekalkan pemain yang tidak lagi berminat untuk mewakili Liverpool. Cuma perlu dipastikan harga yang diperplehi daripada penjualan beliau melebihi pelaburan 18 juta pound yang dikeluarkan untuk yuran perpindahannya sebelum ini. Dan perkara yang paling penting adalah memastikan wang yang diperolehi daripada penjualan Mascherano (jika berlaku) boleh dilaburkan untuk mendapatkan pengganti yang lebih baik daripada beliau.


YNWA

Wednesday, June 9, 2010

Dalglish : Pilihan Terbaik Liverpool

Lagenda Liverpool Kenny Dalglish a.k.a King Kenny diberitakan mahu dikeluarkan daripada panel pemilihan pengurus baru Liverpool. Dalglish kini dilaporkan berminat untuk mengemudi kembali Liverpool menjelang musim baru nanti. Kelab dari Anfield ini sedang giat untuk mencari pengganti kepada Rafa Benitez yang telah melepaskan tugas beliau sebagai pengurus Liverpool sebelum ini dan Dalglish serta pengarah urusan Christian Purslow diberikan tugas untuk mencari pengganti Benitez. Desas-desus ini timbul apabila sasaran utama Liverpool Roy Hodgson masih mahu kekal bersama Fulham di London dan ini menyebabkan Dalglish berminat untuk menabur bakti kepada Liverpool. Dalglish sebelum ini pernah menjadi pengurus Liverpool daripada tahun 1985 hingga 1991 dan selepas itu mengambilalih tugas pengurus di Blackburn, Newcastle dan juga Celtic. Beliau kembali ke Anfield pada tahun lepas dan menjalankan tugas sebagai duta Liverpool selain daripada mengawasi program pembangunan pemain-pemain muda di Akademi Liverpool. Tiada calon yang lebih sesuai untuk menggantikan Benitez di Anfield selain Kenny Dalglish. Beliau mempunyai pengaruh yang cukup kuat untuk kembali menstabilkan Liverpool yang dilihat terumbang-ambing sekarang ini. Persoalannya, mahukah dua ekor petualang besar tersebut melantik King Kenny sebagai pengurus Liverpool? Mereka pasti sedar pengaruh King Kenny yang lebih besar daripada Rafa Benitez di Anfield akan mudaratkan mereka di kemudian hari.


YNWA

Saturday, June 5, 2010

Rafa : Patah Tumbuh Hilang Berganti


GRACIAS RAFA BENITEZ
JASAMU TETAP DIKENANG


YNWA