Monday, December 28, 2009

Carragher : Ujian Kepada Yang Cekal

Pemain pertahanan tengah dan juga penolong kapten The Reds, Jamie Carragher telah melontarkan cabaran kepada rakan-rakan sepasukan beliau di Anfield. Carra percaya musim ini adalah musim penentu untuk melihat samada seorang pemain itu sanggup jatuh dan bangun bersama-sama Liverpool. Pemain pertahanan senior Liverpool ini telah melihat berbagai karenah pemain dan bekas pemain yang pernah mewaklili Liverpool di sepanjang 15 tahun karier beliau di Anfield. Bagi Carra, hanya pemain yang benar-benar setia dan berbangga mewakili Liverpool sahaja yang kekal apabila Liverpool mengalami kemerosotan sepertimana sekarang. Tambah Carra, sesetengah pemain hanya mampu beraksi hebat di kelab lain namun gagal menunjukkan potensi serta kemampuan sebenar mereka di Liverpool kerana gagal untuk bertahan akibat tekanan. Liverpool adalah kelab yang cukup baik apabila berada di kemuncak prestasi namun keadaan akan menjadi cukup sukar bagi seseorang pemain jika kemerosotan prestasi melanda pasukan ini, ujar Carra lagi.

Bagi seorang pemain yang telah bergelumang selama 15 tahun di Anfield, Carra percaya beliau masih kekal kerana keupayaannya untuk menahan segala kritikan serta tekanan yang dilontarkan ke atas Liverpool. Mungkin ramai yang berpendapat, tidak sukar untuk bermain di Liverpool namun bagi Carra, di Liverpool ada masanya prestasi pasukan turun dan naik. Pemain yang mewakili Liverpool harus benar-benar bersedia untuk menghadapi keadaan ini jika ingin terus berbakti di Anfield. Tunggulah sehingga segala masalah yang dihadapi Liverpool sekarang selesai dan pada ketika itu kita semua akan dapat melihat kelibat pemain sebenar yang cukup kuat untuk kekal di Anfield. Mungkin ada pemain yang akan terasa pedasnya cili apabila membaca cabaran Carra ini. Tetapi apa yang beliau katakan adalah cukup tepat dan Liverpool hanya memerlukan pemain yang benar-benar mahu bermain untuk kelab. Bukan mereka yang sebegitu cepat melatah untuk angkat kaki apabila masalah melanda Liverpool.


YNWA

No comments: