Friday, June 10, 2011

Henderson : Amaran Awal Liverpool FC


FSG/NESV dan juga King Kenny serta Damien Comolli menunaikan janji mereka kepada para peminat Liverpool apabila memulakan "perang" di pasaran perpindahan pemain dengan membawa masuk pemain tengah Sunderland Jordan Henderson ke Anfield. Dengan harga yang dikatakan mencecah 20 juta pound untuk pemain muda yang mampu bermain di bahagian sayap, tengah serta serangan ini, Liverpool secara terang-terangan menyatakan kepada pasukan-pasukan Liga Perdana lain, kali ini pasukan Tentera Merah Merseyside benar-benar mahu memberikan cabaran sengit pada musim 2011/2012 nanti. Masakan tidak, ada pasukan yang sudah mula kelam-kabut dan panik apabila terdengar sahaja sebarang spekulasi yang mengaitkan pemain dengan perpindahan ke Liverpool, kita pasti akan terdengar ada sahaja percubaan untuk mengagalkan urusan tersebut. Jika benar tidak takutkan Liverpool, kenapa hendak menyibuk di dalam sebarang urusan perpindahan pemain yang membabitkan kelab dari Merseyside ini? Malah sanggup membuat tawaran lebih tinggi serta pakej pendapatan yang lebih baik untuk pemain yang dikaitkan dengan Liverpool? Kepada para peminat Liverpool, kita pasti sudah menjangkakan keadaan ini dan apa yang dilakukan oleh King Kenny adalah bertepatan dengan polisi perpindahan Liverpool yang telah lama dipratikkan iaitu sasaran utama Liverpool adalah untuk mendapatkan pemain yang terbaik dan hanya mahu bermain untuk Liverpool dan bukan semata-mata kerana tawaran wang semata-mata. Mungkin Liverpool bukanlah kelab yang sesuai untuk pemain-pemain yang tamak dimana ganjaran kewangan adalah tidak sebaik di kelab-kelab yang lain. Namun apa yang lebih diperlukan Liverpool adalah sekumpulan pemain yang sanggup bermain bermati-matian untuk kelab dan berkerjasama secara berkumpulan di atas padang. Tiada guna mempunyai ramai bintang yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghormati rakan sepasukan di atas padang. Dengan kestabilan di luar dan di dalam padang yang kini dimiliki Liverpool, tidak sabar rasanya untuk memulakan musim baru. Juga tidak mampu membuang rasa teruja untuk melihat siapa lagi pemain-pemain yang bakal dibawa masuk oleh King Kenny dan juga Comolli ke Anfield pada musim panas ini.


YNWA

Wednesday, April 20, 2011

Suso : Menanti Penampilan Pertama


Kelly sudah ..
Spearing sudah ..
Flannagan sudah ..
Robinson sudah ..
Suso bila lagi King Kenny?
Bakal menjadi "Raja Passing" Liverpool selepas Xabi Alonso ..
Sekurang-kurangnya sebelum musim ini berakhir ..
Berilah peluang untuk beliau mempamerkan kemampuan bersama-sama kesebelasan utama Liverpool ..


YNWA

Tuesday, April 12, 2011

BPL : AC9 Buka Akaun


Mengambil coretan daripada seorang rakan blogger - "Worth every penny". Dapatkan dua lagi pemain sayap yang memang kerjanya bermain di sayap kiri dan kanan (bukan pemain yang diciplak menjadi pemain sayap) pada musim panas nanti, Liverpool pasti akan memperolehi perolehan yang berbaloi-baloi ke atas pelaburan untuk pemain muda England ini. Andy Carroll bakal mewarnai pentas bolasepak Liverpool bertahun akan datang dengan dua gol pertama beliau di Anfield pada awal pagi tadi. Secara keseluruhan terutama pada separuh masa pertama, persembahan Liverpool amat mantap. Bonus extra untuk Liverpool apabila melihat munculnya seorang lagi pemain muda generasi baru iaitu John Flanagan berusia 18 tahun yang bermain dengan baik di posisi pertahanan kanan.


YNWA

Thursday, March 10, 2011

Europa : Ujian Getir Di Bumi Portugal


Rombongan Liverpool ke bumi Portugal bagi menghadapi SC Braga di Liga Europa pada jam 2 pagi nanti (waktu Malaysia) akan diketuai oleh Raul Meireles a.k.a Abang Naga Meireles. Beliau yang mempunyai banyak pengalaman dengan sepak terajang Liga Portugal pasti akan memberikan sedikit sebanyak tips kepada King Kenny dan juga rakan sepasukan yang lain mengenai kekuatan dan kelemahan SC Braga. Selamat Berjuang di bumi Portugal dan jangan sesekali memandang rendah SC Braga kerana mereka baru sahaja menewaskan Benfica pada hari Ahad yang lepas. Lawan harus dihormati namun jauh sekali untuk ditakuti. WALK ON REDS!!!


YNWA

Monday, March 7, 2011

BPL : Apa Komen Anda Liverpool Menang Besar Kali Ini?


Bukan ker best kalau setiap minggu buleh senyum dan gelak macam malam ni kan? Persembahan terbaik Liverpool pada musim 2010-2011 dengan MEMBELASAH 3-1 (gol kesian sebijik kang malu pulak balik umah dengan teloq) skuad perasan kuat tapi rupa-rupanya hanya sekadar ayam pencen sahaja di Anfield. Mungkin ada yang berkata kita menang pertarungan malam ni tetapi mereka akan menang peperangan. Tetapi siapa yang mahu peduli apa yang mereka menang? Ada pakcik kesah? Berikut adalah kompilasi saat-saat penting pada dan selepas perlawanan ini:

1) Defend setan diayamkan oleh Luis Suarez. Mana pegi Smalling, Brown, Rafael dan jugak Evra? Evra pun kena ayam kaw2 malam ni. Ala Evra yang suka gebang besaq tu la. Yang perasan dia kononnya defend kiri paling best di BPL. Lauk ayam sungguh defend setan malam ni.

2) Nani siap nangis-nangis setelah pengadil Phil Dowd tak layan request dia untuk sent off Carragher. Dah la lari laju-laju kejar Phil Dowd pastu jatuh nangis cam budak kecik. Hang ni buat malu boss hang aja la Nani.

3) Anugerah assist terbaik BPL untuk Nani sebab tolong hatrik hero Dirk Kuyt score gol. Ada juga kawan-kawan yang kata Nani purak-purak injured nak elak kena pelangkung dengan bossnya. Mungkin betul juga sebab bossnya memang terkenal sebagai kaki baling baldi, boot bola, kerusi, meja dan sebagainya kalu player main cam hampeh. Tak caya tanya la Nistelrooy, Beckham, Heinze dan juga Stam yang pernah rasa hadiah2 ni. Macam babarian jugak rupanya boss depa nih.

4) Rafael nyaris makan penampar bewak dengan Skrtel sebab berlagak berani nak bergaduh lepas belasah Lucas. Tak padan dengan kecik kemetot, ada hati nak gadoh dengan defend otai BPL. Mungkin akan ada defend BPL yang lain pasni yang akan bagi penampar bewak kat Rafael kalu buat perangai bodoh macam ni. Buleh ka hang nak gadoh dengan Liverpool yang ada Carragher, Skrtel dan Kyrgiakos???

5) Suarez dan Kuyt bergabung tenaga untuk menghasilkan 3 gol untuk Liverpool. Team lain semua susah nak score tiga bijik dengan team perasan kuat ni tapi Liverpool? Selamba katak aja membolosi jaring team lauk ayam ni.

6) Van der Sar berperangai huduh dengan cuba untuk menyalahkan pengadil yang tidak cukup bias kepada pasukan mereka pada malam ini. Siap main kejar-kejar dengan pengadil. Apa kes?? Takkan nak menang guna pengadil?? Mana teloq hangpa semua weiii? Takpa sekurang-kurangnya hang pencen dengan kenangan kena belasah di Anfield.

7) Hadiah terbaik daripada pemain-pemain serta para peminat Liverpool sedunia kepada King Kenny sempena hari lahir beliau yang ke 60. Kemenangan besar ini seterusnya akan mengukuhkan lagi kedudukan King Kenny bagi mendapatkan jawatan pengurus tetap Liverpool pada musim panas nanti.

8) Pengadil malam ini iaitu Encik Phil Dowd bakal dibelasah di media pada esok hari oleh pengurus cap ayam yang tidak boleh menerima kekalahan kepada Liverpool. Tu aja la yang hang buleh buat, teloq gantung atas pokok kot sebab tu pengecut nak ngaku kalah.

9) Mana pegi striker pihak lawan yang kononnya score 5 gol dari 5 game sebelum ni dan juga yang dah score 19 bijik musim ni??? Hangpa dua ekoq hilang ghaib terussss daripada atas padang?? Kamon dengan Liverpool yang tak kuat pun tak leh score?? Elok pulak la adik hangpa si cicirito dapat gak gol kesian sebijik.


10) Debut sulung penyerang baru Liverpool Andy Carroll a.k.a AC9. Walaupun hanya bermain selama lebih kurang 20 minit, beliau telah memperlihatkan kemampuan beliau untuk menguasai perebutan bola tinggi. Bagi sedikit masa untuk beliau untuk mengembalikan semula kecergasan dan sentuhan di atas padang. Waspada kepada gandingan Carroll - Suarez selepas ini.

11) Pasukan yang konon-kononnya "big team" memerlukan penalti dan bantuan pengadil untuk tewaskan team ayam ni. Liverpool semua guna gol padang untuk laukkan team ayam. So sapa lagi best??? Sapa lagi ada kelas???


12) Kredit buat semua pemain-pemain Liverpool yang bangkit daripada persembahan buruk ketika menentang West Ham pada minggu lepas. Fokus kita sekarang adalah untuk menentang SC Braga di Europa League pada awal pagi Jumaat nanti.

13) So apa komen rakan-rakan sekalian di atas kemenangan yang dicipta setelah bertali arus kita semua dikutuk dari segenap ruang di internet? Sila berikan komen gaya bebas anda. WALK ON MY BELOVED REDS!!!!!


YNWA

Wednesday, March 2, 2011

LFC : In King Kenny We Trust!!!


King Kenny kata "Kami akan belajar dari kesilapan dan memperbaiki segala kelemahan pada perlawanan yang lalu. Seminggu latihan pasti tidak akan memberikan masalah kepada Liverpool." Nampaknya pengurus kita ini pasti mempunyai perancangan yang rapi bagi menghadapi perlawanan pada hari Ahad nanti.

Dengan rehat yang cukup dan persediaan yang lengkap sebelum turun ke medan peperangan pada hari Ahad nanti, Liverpool wajar memberikan persembahan terbaik di atas padang. Bermain di hadapan para penonton sendiri di Anfield diharapkan mampu memberi semangat kepada para pemain Liverpool. Kecederaan pemain seperti Martin Kelly serta Daniel Agger dan Raul Meireles pasti sedikit sebanyak memberikan impak ke atas persediaan Liverpool. Namun itu bukanlah alasan untuk menghalang Liverpool mempamerkan prestasi terbaik pada hari Ahad nanti. Tidak kira siapa yang bakal diturunkan pada perlawanan ini, sila buktikan anda layak untuk menyarung jersi keramat Liverpool!!! WALK ON REDS!!!


YNWA

Monday, February 7, 2011

Meireles : Sang Singa Dari Bumi Portugal

Sebelum perlawanan menentang “big team” semalam, Meireles telah dipanggil oleh bossnya, King Kenny ketika berada di bilik persalinan pasukan.

Meireles (dalam hati) : Apa pulak boss panggey chek dah dekat2 nak start game nih? Ketaq lutut nih, dah la tak penah kena panggey lagi sebelum ni. Ka dia nak pelangkung sebab chek rembat ayam serama dia petang semalam? Uisk saspen betui la camni.

Setelah semua pemain keluar dan bersiap sedia untuk turun ke padang, Meireles menghadap King Kenny face to face seperti kata orang puteh.


Meireles : Yup boss, what can I help you ? (cehh speaking english pulak mamat ni).


King Kenny : Uish sejak bila hang terror sembang english ni? (dgn muka kagum).


Meireles : Lucas yang ajaq boss .. piaw punya dia taruk chek .. cengey oo mamat tu .. tak padan dengan kecik kemetot .. nak kona pun takut boss ..


King Kenny : Ooo ya ka? Baguih baguih … senang sket hang nak paham arahan atas padang nanti.


Meireles : Boss .. game dah nak start dah .. kang depa maen dgn 10 org aja kang ..


King Kenny : Eh lupa pulak .. ni ha aku nak turun ilmu dan nak bagi petua sikit kat hg.


Meireles : Ilmu? Petua? Chek ok aja boss .. kalu dapat petua nak kelihatan hensem dalam keadaan botak .. lagi chek suka .. hehe!


King Kenny : Banyak la hang punya hensem .. hang ada hati nak ganti jambu sebelum ni ka?


Meireles : Eh takde la camtu boss (dengan muka malu2).


King Kenny : Dah2 mengarut .. ni ha .. aku tengok kaki kiri hang power gila masa hang payung gol lawan Stoke sebelum ni .. rasanya hang boleh guna lagi untuk game ni ..


Meireles : Ooooo itu macam ka boss .. bleh tarak hal punya .. chek kasi special lagi nanti ..


King Kenny : Ingat Meireles, aku nak hang payung kaw2 punya bila depan gol .. kalu ada yang sebok nak tahan, hang payung sekali dengan depa masuk dalam gol ..


Meireles : Roger boss .. arahan diterima .. chek nak pi join kawan2 kat atas padang dah ni ..


King Kenny : Ok hang bleh pi .. pasal mamat jambu tu .. semua dah dapat amanat semalam ..


Meireles (dalam hati) : Phewwwww … lega chek .. sib baik dia tak hingaq pasal ayam serama tuh ..


Semasa perlawanan tersebut, Meireles telah berjaya menjaringkan gol dengan rembatan kaki kiri tahap dewa dengan gaya terbang ke awan. Terkial-kial defend dan keeper “big team” tengok bola tu masuk jaring. Manakala King Kenny dengan selamba kodok melompat depan bench “big team” untuk meraikan gol tersebut. Class tu bai class!!!

Sejurus selepas tamat perlawanan, di dalam bilik persalinan :

King Kenny : Baguih semua baguih … macam ni baru kita kata “The Liverpool Way” …


Meireles : Amacam boss .. ok ka gol yang chek payung dengan kaki kiri tadi?


King Kenny : Terbaek la hang ni .. siap terbang2 lagi haa masa payung bola tu … nganga aja defend ngan keeper depa tengok bola tu masuk gol .. tahan ngan cekup angin aja la jawabnya ..


Meireles : Sudah semestinya boss. Dah 4 bijik ni boss .. chek mintak halal aja la ayam serama nohh .. kira upah score gol la boss .. bleh kan? kan? kan?


King Kenny : Ayam serama? (konpius jadinya manager Liverpool ni)


Meireles : Ala ayam serama belakang umah boss tu .. chek (tak sempat abis ayat)


King Kenny : Woi .. mahai ayam serama champion yang aku beli tu .. hang amik buat lauk ka? Patut la asyik ilang aja ayam serama aku .. ingat musang seguntang yang rembat .. rupa-rupanya musang botak yang punya keja ..


Meireles : Ala boss .. tekak chek teringin sangat nak makan kari ayam Portugal .. lama dah chek tak balik kampung .. cari ayam kat kedai semua abis sebab cuti raya cina .. lalu kot belakang umah boss dengaq bunyi ayam .. so apa lagi .. mission accomplished la jawabnya .. sori tak sempat nak anta umah boss .. abis chek balun kat umah .. hehe!


King Kenny : Hang mai sini, hang mai sini … sedap hang buat lauk ayam serama aku nohh ..


Meireles dengan lajunya terus berlari keluar bilik persalinan dan dikejar tak cukup tanah oleh King Kenny .. Gerrard, Carra, Agger , Skrtel serta Reina konpius … Lucas pulak kata “sejak bila pulak depa maen aci ligan tak ajak chek nih? Hampeh tul depa nih ..” – Sekadar gurauan untuk menceriakan kan lagi hari buat para peminat Liverpool ..


Tahniah kepada pemilik, pengurus, pemain, staff dan juga semua peminat Liverpool di atas kejayaan yang amat membanggakan semalam. Semua meramalkan kita bakal dibelasah oleh “big team”, lebih-lebih lagi kita gunakan lima pemain pertahanan. Akibatnya .. Liverpool pulang dengan tiga mata penuh ke Anfield. Percaturan taktikal yang cukup mantap oleh King Kenny disertakan dengan kesungguhan serta kerajinan para pemain Liverpool di atas padang dan tidak dilupakan para peminat Liverpool yang berada di stadium. Memang terbaeklah sorakan yang diberikan. Tenggelam habis suara penyokong “big team”. Seperti yang King Kenny katakan .. kebangkitan Liverpool harus diteruskan .. fokus kita adalah perlawanan yang berikutnya. WALK ON REDS!!! YNWA!!!


YNWA

Tuesday, February 1, 2011

Carroll : Mahal Tapi Berbaloi-Baloi


Pesanan King Kenny kepada Andy Carroll selapas menyertai Liverpool secara rasmi "Sumbat gol banyak-banyak untuk Liverpool dan hang jangan dok bawak perangai huduh hang tu mai Anfield, jenuh pulak nak cover nanti. Disiplin kena baguih, baru la boleh jadi pemain yang matang dan serba boleh untuk kelab serta negara. Hang kena ingat Carroll, banyak tuh duit transfer yang aku seluk dalam poket untuk beli hang. Pastikan setiap sen berbaloi untuk kelab dan juga peminat." Carroll membalas "Bos, rambut ponytail ni nak simpan buleh ka? Bukan apa takut sat lagi depa kata chek serabut dan takdak disiplin pulak." Jawabnya King Kenny "Takpa rambut ponytail tu hang simpan, biaq dia jadi trademark hang selain awek2 memang suka rambut stail tu. Banyak gak jersi Liverpool yang buleh kita jual nanti. Yang paling penting, hang score banyak gol pasni."

Kepada Andrew Thomas Carroll, Selamat Datang Ke Anfield dan sila score gol banyak-banyak dengan Suarez.


YNWA

Saturday, January 29, 2011

Suarez : Yang DiTunggu-Tunggu Telah Tiba!!!


"Chek dah nak naik kapal terbang pi Anfield dah ni, abg Torres nak pi mana pulak tu? Tak payah pi mana-mana la meh kita score gol banyak2 untuk Liverpool. Chek jadi tukang suap bola pun takpa ..." Komen Luis Suarez bila ditanya mengenai spekulasi terbaru rakan serangan beliau di Liverpool, Fernando "El Nino" Torres.

Kepada Luis Alberto Suarez Diaz, Selamat Datang Ke Anfield dan sila score gol dan supply bola banyak-banyak.


YNWA



Wednesday, January 19, 2011

Kelly : Bukti Pemain Muda Liverpool Berbakat

Walaupun hanya sekadar seri ketika menentang jiran biru, kita semua masih boleh merasa lega kerana King Kenny kini mampu untuk mengubah corak permainan Liverpool. Fakta yang harus kita semua terima adalah perubahan yang bakal dilakukan tidak akan terjadi sepantas kilat. Namun begitu kita harus sedikit lega kerana selain daripada mengembalikan corak menyerang di dalam skuad Liverpool, King Kenny juga telah memberikan peluang kepada pemain-pemain muda Liverpool untuk menyerlah di kesebelasan utama. Contoh yang paling ketara adalah pemain pertahanan yang baru mencecah usia 20 tahun iaitu Martin Kelly. Beliau yang kini telah bermain di pertahanan kanan sebanyak tiga kali berturut-turut semenjak King Kenny kembali menjadi pengurus Liverpool. Dengan susuk badan yang besar, tegap serta memiliki ketinggian yang cukup sesuai sebagai seorang pemain pertahanan, Kelly juga boleh menyerang daripada bahagian sayap Liverpool. Saya yakin kita semua terhibur apabila melihat aksi serta kerajinan beliau di atas padang. Kemampuan Kelly ini sebenarnya telah lama dihidu oleh para peminat Liverpool terutama sekali ketika menentang Lyon pada Liga Juara-Juara Eropah musim 2009/2010 di Anfield. Namun kecederaan yang dialami beliau pada perlawanan tersebut telah merencatkan sedikit perkembangan karier bolasepak beliau di Anfield. Setelah menandatangani kontrak baru pada musim ini, Kelly sering diturunkan oleh Hodgson pada perlawanan Liga Europa pada musim ini tetapi kurang diberi pendedahan pada Liga Perdana Inggeris. Kemasukan King Kenny membawa rahmat kepada beliau dimana Kelly kini mampu bermain lebih baik berbanding Glen Johnson di pertahanan kanan Liverpool. Sepertimana Jamie Carragher, Kelly mampu bermain di mana-mana posisi pertahanan namun beliau kini lebih menyerlah di pertahanan kanan.Pernah dicuba di pertahanan kiri oleh Hodgson namun beliau kelihatan agak kurang selesa di posisi tersebut. Mungkin masa dan pengalaman akan menjadikan Kelly lebih matang dan mampu beraksi dengan lebih baik di posisi tersebut. Sesuatu yang agak menarik yang dapat saya perhatikan mengenai Kelly adalah adakah beliau mampu beraksi sebagai bek tengah yang baik jika ditugaskan pada posisi tersebut? Kelly sendiri pernah menyatakan posisi terbaik beliau adalah bek tengah namun sehingga ke hari ini, kita masih belum melihat kelibat beliau di posisi tersebut. Ciri-ciri pertahanan tengah yang baik seperti tinggi, tegap serta mempunyai kepantasan pasti menjadikan Kelly satu aset buat Liverpool. Mungkin perancangan ini telah berada di fikiran King Kenny dan beliau hanya menunggu masa untuk melaksanakannya. Pertahanan Liverpool kini semakin goyah walaupun bahagian serangan semakin baik, mungkin sedikit perubahan di bahagian tersebut akan memantapkan lagi skuad Liverpool. Diharapkan King Kenny akan terus berani untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda Liverpool yang dulu agak tenggelam. Mungkin selepas ini kita mahu melihat kelibat Daniel Pacheco di atas padang membantu Torres untuk memburu gol. Jika beliau tidak bagus, mana mungkin Pacheco menjadi sasaran kelab-kelab luar untuk mendapatkan khidmat beliau. Kepada Kelly, diharapkan karier beliau dapat berkembang dengan baik dan pada satu masa nanti mampu menjadi ganti kepada Jamie Carragher di Anfield.


YNWA

Sunday, January 16, 2011

Kenny Dalglish : Menjelang Merseyside Derby

Ramai penyokong yang kecewa dengan kekalahan demi kekalahan yang diterima Liverpool walaupun kini Liverpool kembali menerima sentuhan lagenda kelab iaitu King Kenny Dalglish. Namun harus diingatkan, seperti yang King Kenny pernah suarakan sebelum ini, para peminat Liverpool perlu lebih realistik dengan keadaan skuad Liverpool sekarang. Tidak dinafikan memang banyak perkara yang perlu dilakukan oleh King Kenny untuk memulihkan kembali skuad kini bermain di bawah tahap kemampuan sebenar mereka. Tiga perlawanan di dalam masa seminggu adalah tugas yang amat berat buat King Kenny kerana beliau baru sahaja mengambilalih tugas sebagai pengurus Liverpool pada hari Sabtu yang lepas (8/1/2011) dan terus menghadapi perlawanan pertama Liverpool pada keesokkan harinya (Piala FA) di tempat lawan. Kemudian pertembungan dengan Blackpool di perlawanan pertengahan minggu Liga Perdana Inggeris juga di tempat lawan cukup jelas menghadirkan cabaran getir buat mana-mana pengurus pasukan pun. Perlawanan dengan Blackpool ini perlu diadakan pada pertengahan minggu kerana ianya merupakan perlawanan yang ditunda pada penghujung Disember 2010 disebabkan masalah salji tebal di Bloomfield Road (gelanggang Blackpool). Untuk mendapatkan kejayaan dengan segera adalah perkara sukar kerana Liverpool bukan kelab yang akan menabur semua pengurusnya dengan kewangan yang mewah. Lebih-lebih lagi belum tentu duit akan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Liverpool sekarang. Menurut King Kenny, skuad Liverpool yang sekarang tidak mempunyai banyak masalah jika dilihat daripada sudut kemahiran individu namun kurangnya keyakinan serta tidak mahu bermain dengan semangat berpasukan dengan lebih tinggi menjadi punca utama skuad Liverpool kini kelihatan seperti pincang. Inilah antara perkara utama yang menjadi tumpuan King Kenny. Kesannya kita dapat lihat pada perlawanan menentang Blackpool dimana penyerang utama Liverpool Fernando Torres kelihatan lebih yakin serta berani membuat percubaan ke arah pintu gol lawan. Cuma nasib tidak menyebelahi Liverpool apabila sedikit kealpaan barisan tengah dan barisan pertahanan menafikan usaha Liverpool untuk membawa pulang mata pertama King Kenny ke Anfield.

Berbalik kepada pertembungan Merseyside derby, nampaknya jiran biru Liverpool kelihatan semakin angkuh walaupun nasib mereka sekarang juga tiada baiknya berbanding Liverpool. Mungkin mereka masih terbawa-bawa kejayaan menewaskan Liverpool di kandang mereka sebelum ini. Komen-komen yang dibuat oleh pemain serta pengurus mereka juga banyak membicarakan tentang kelemahan Liverpool. Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya, sementara itu Liverpool perlu fokus sepenuhnya kepada pertemuan ini untuk kembali ke landasan kemenangan. Itu adalah agenda utama King Kenny walaupun jelas kehadiran beliau kembali buat kali pertama sebagai pengurus Liverpool di Anfield pasti akan menimbulkan nostalgia kepada semua peminat-peminat Liverpool. Namun bagi King Kenny, misi utama beliau jelas dimana walaupun tidak menafikan nostalgia yang akan timbul, beliau tetap fokus sepenuhnya untuk mencapai kemenangan. King Kenny juga mahukan para pemain Liverpool lebih menggunakan kebijaksanaan di atas padang jika mahukan kemenangan. Walaupun usaha para pemain ini semakin jelas tetapi itu masih belum mencukupi untuk menjamin kemenangan. Liverpool tanpa pemain utama seperti Steven Gerrard dan Jamie Carragher pasti mahu membuktikan bahawa kemenangan pasti boleh dicapai di Anfield. Manakala jiran biru Liverpool pasti akan berusaha untuk menghalang usaha Liverpool ini. Mereka juga kehilangan beberapa pemain utama sepertimana Liverpool. Walaupun apapun yang berlaku, marilah kita semua bersama-sama menyokong pemain-pemain Liverpool dan juga King Kenny di dalam usaha mereka untuk mengembalikan Liverpool ke landasan kemenangan. Jalan berliku itu yang pasti tetapi jika bukan kita semua peminat Liverpool yang menyokong kelab, siapa lagi bukan? Seperkara lagi, John W Henry berada di Anfield untuk perlawanan ini, harapnya beliau memberikan berita baik buat kita semua dengan King Kenny diberikan dana yang mencukupi untuk membeli beberapa pemain baru untuk Liverpool.


YNWA

Sunday, January 9, 2011

Kenny Dalglish : The Return Of The King

Sebelum memulakan bicara, mohon maaf kepada rakan-rakan semua kerana agak lama tidak membuat entri di Liverpool Malaya. Bukan hanya kesibukan kerja tetapi juga disebabkan terlalu banyak berita negatif di media dan juga internet mengenai Liverpool di kebelakangan ini yang turut membuatkan saya mengambil pendekatan untuk memerhatikan perkembangan semasa yang berlaku di Anfield. Terima kasih buat rakan-rakan yang masih sudi singgah di Liverpool Malaya. Sokongan anda sekalian amat saya hargai. Ok kembali kepada berita gembira yang kita semua nanti-nantikan, pada hari ini 8 Januari 2011 menandakan kembalinya semula seorang lagenda Liverpool sebagai pengurus baru The Reds. Lagenda yang kita semua sanjungi ini adalah King Kenny Dalglish. Semua peminat-peminat Liverpool di seluruh dunia cukup gembira dengan berita ini kerana sememangnya kita semua mengharapkan beliau kembali memimpin Liverpool. Hatta selepas pemergian Rafa sebelum ini, Kenny adalah antara calon utama yang dimahukan peminat untuk mengemudi Liverpool. Jelas kegembiraan para peminat Liverpool di mana laman sosial Facebook, Twitter dan juga blog dipenuhi dengan ucapan kegembiraan para peminat Liverpool di seluruh dunia. Itulah bukti bahawa Liverpool tidak pernah kekurangan sokongan di masa kejatuhan mahupun di masa kegemilangannya. Syabas saya ucapkan kepada para peminat Liverpool. Teruskan sokongan anda sekalian kerana ini yang Liverpool perlukan untuk bangkit kembali berjuang di persada liga dan juga eropah. Terdapat juga persoalan yang menjadi tanda tanya para peminat Liverpool iaitu adakah kita semua akan mencemuh King Kenny jika beliau gagal di dalam misinya untuk membangkitkan kembali Liverpool di separuh kedua musim 2010/2011 ini? Jawapannya mudah, sukar untuk saya melihat para peminat Liverpool akan marah jika King Kenny tidak berjaya kerana semua peminat Liverpool amatlah menghormati beliau. Bagi saya, kita semua patut bersyukur dan berasa bertuah kerana King Kenny sanggup mengambilalih Liverpool di pertengahan musim ini dimana keadaan Liverpool amatlah menyedihkan. Biarkan King Kenny melakukan kerja beliau tanpa gangguan daripada kita semua. Sokonganlah beliau sepertimana kita pernah menyokong mana-mana pengurus Liverpool sebelum ini. Diharapkan segala perancangan King Kenny akan lebih baik dan berjalan dengan lancar. Kita semua amat gembira kerana kehadiran beliau kembali sebagai pengurus Liverpool namun janganlah kita terlalu mengharapkan sebarang keajaiban yang mampu dilakukan beliau pada masa yang singkat ini. Keajaiban tidak akan berlaku di dalam masa yang singkat tetapi kita semua mendoakan agar King Kenny mampu mengembalikan semangat Liverpool yang kian menghilang di dalam diri pemain. Kepada King Kenny, Selamat Kembali Ke Liverpool dan Selamat Berjaya di dalam misi anda untuk mengembalikan kegemilangan Liverpool!!!


YNWA