Wednesday, December 2, 2009

Aquilani : Kita Perlukan Kesabaran


Pengurus Liverpool Rafa Benitez tidak menyesal kerana membawa bekas pemain tengah Roma, Alberto Aquilani ke Anfield pada musim panas yang lalu. Rafa telah membelanjakan 20 juta pound untuk mendapatkan Aquilani bagi menggantikan Alonso yang telah berpindah. Namun disebabkan oleh masa pemulihan yang diperlukan oleh Aquilani kerana pembedahan ke atas kecederaan beliau mengambil masa yang lebih lama dari dijangkakan, pemain tengah Itali ini hanya dihadkan untuk beraksi di atas padang selama 21 minit setakat ini. Rafa tetap mempertahankan Aquilani adalah pemain yang tepat untuk menggantikan tempat Alonso. Menurut Rafa masalah bermula dengan pakar yang membuat pembedahan ke atas kecederaan Aquilani memberitahu pemain tengah Itali ini boleh bermain menjelang bulan Ogos namun ketika Aquilani tiba di Anfield, hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan perubatan Liverpool merumuskan Aquilani akan pulih di dalam masa satu hingga ke dua bulan (dijangkakan Oktober). Namun di dalam masa pemulihan tersebut, Aquilani menghadapi masalah dengan kecederaan beliau dan ianya berlarutan sehingga ke tiga bulan (memasuki November). Itulah situasi yang dihadapi apabila seseorang pemain cedera dan ianya banyak berlaku, tambah Rafa lagi.

Rafa menegaskan Aquilani akan bersama-sama Liverpool selama lima musim dan beliau merupakan seorang pemain tengah yang berkualiti. Jika Aquilani dibeli dengan kecergasan beliau pada tahap terbaik, Liverpool mungkin terpaksa berbelanja sehingga 30 juta pound untuk mendapatkan khidmatnya. Rafa bagaimanapun masih enggan secara tergesa-gesa untuk menurunkan Aquilani di kesebelasan utama Liverpool walaupun beliau kini hampir cergas sepenuhnya. Rafa mengakui beliau mahu menurunkan Aquilani kerana kualiti yang bakal ditawarkan oleh pemain tengah Itali ini, tetapi ianya haruslah pada masa yang sesuai dengan pemain dan juga pasukan. Contohnya tambah Rafa, jika pasukan sedang mendahului 3-0 pada separuh masa pertama di setiap perlawanan, amat mudah untuk menurunkan Aquilani dan memberi peluang kepada beliau untuk lebih mudah menyesuaikan diri dengan corak permainan Liverpool. Dan kita semua jangan samakan beliau dengan Torres yang terus meletup sebaik sahaja menyarung jersi keramat Liverpool kira-kira dua musim yang lalu. Alonso juga semasa mula-mula tiba di Anfield dahulu memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan liga perdana inggeris.

Saya memahami kehendak para peminat Liverpool yang mahukan Aquilani menambahkan lagi kreativiti bahagian tengah Liverpool yang hilang semenjak pemergian Alonso. Saya seperti rakan-rakan semua, sudah tidak sabar-sabar untuk melihat kelibat Aquilani merencanakan gerakan Liverpool daripada tengah padang. Saya juga amat pasti Aquilani tidak sabar-sabar untuk beraksi buat Liverpool dan membantu kelab ini kembali ke landasan yang betul. Tetapi kita harus ingat, sebarang tindakan tergesa-gesa mungkin akan mendatangkan malapetaka berpanjangan buat Liverpool. Kita semua perlu memberikan sedikit lagi masa buat Aquilani untuk pulih sepenuhnya dan lebih bersedia untuk beraksi di atas padang. Kita perlu percaya dengan penilaian pasukan perubatan Liverpool yang pasti mahu mengelakkan kecederaan panjang berulang kembali ke atas Aquilani. Secara rasional kita boleh katakan, tidak wajar untuk Liverpool berbelanja 20 juta pound ke atas seorang pemain dan hanya meletakkan beliau di bangku simpanan. Rafa mahu memperkenalkan liga perdana inggeris secara berperingkat kepada Aquilani untuk membolehkan beliau menyerap sedikit demi sedikit corak permainan kelab-kelab inggeris dan pada masa yang sama perlu berhati-hati dengan sejarah kecederaan Aquilani. Jika dilihat pada rekod pemain-pemain Itali di liga perdana inggeris, tidak ramai yang berjaya beraksi dengan baik dan kita semua tidak mahu perkara ini berlaku kepada Aquilani. Banyakkan bersabar rakan-rakan sekalian dan saya pasti setiap detik kesabaran kita ini akan berbalas tidak lama lagi. Jangan Rafa lebih mengutamakan Lucas daripada Aquilani sudahlah, itu namanya tindakan yang melangkah ke belakang dan bukannya mara ke hadapan.


YNWA

4 comments:

aremierulez/Amirul said...

rileks...
bagi aquaman ni masa utk pulih...
buat ape kita nak force die main kalau tak fit lagi..
kang dia injured balik plak lagi teruk, tak ke haru?

http://liverpool-malaysia.blogspot.com/

ABU said...

...rafa lebih tahu!! fikir untuk jangka panjang.

Firol said...

harapdapat tgk dia beraksi lagi... tgk dalam youtube rembatan jarak jauh dia

HHHuh.....tak sabar jugak dibuatnya

MOFASAD said...

pemain kegemaran masa men fifa 2008.... ;p