Saturday, December 12, 2009

Mascherano : Masih Teka-Teki

Samada benar atau tidak spekulasi mengenai kedudukan pemain tengah Liverpool dan juga kapten skuad antarabangsa Argentina, Javier Mascherano masih belum terjawab. Mascherano sehingga kini masih bermain tarik tali dan berteka-teki mengenai kedudukan beliau di Liverpool. Sehingga laporan ini diterima, Mascherano masih berdolak-dalik dan enggan menyatakan komitmen beliau untuk menyambung kontrak dengan Liverpool. Jawapan beliau ialah hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas di dalam pasukan. Kenyataan ini timbul selepas pengurus Liverpool Rafa Benitez menyatakan ada perkembangan positif di dalam rundingan kontrak baru Mascherano. Persoalannya, siapa yang benar di dalam perkara ini?

Sikap Mascherano ini pasti kurang disenangi oleh para peminat Liverpool dan beliau pasti akan menjadi sasaran kritikan jika masih menyimpan cita-cita untuk ke kelab catalan.Mungkin juga Mascherano mahu memberikan tekanan ke atas Liverpool samada menaikkan gaji beliau atau berhijrah ke kelab baru. Tetapi mampukah beliau berbuat sedemikian setelah prestasi beliau agak mendatar pada musim ini? Dengan baki kontrak beliau yang hanya tinggal 18 bulan lagi, harapan untuk melihat beliau kekal di Anfield semakin pudar jika begini sikap yang beliau pamerkan. Jika dilihat pendekatan yang diambil Mascherano, ianya hampir sama dengan cara yang digunakan oleh Alonso pada musim lepas iaitu enggan menyatakan komitmen kepada Liverpool apabila ditanya oleh media. Bezanya, Alonso dikatakan mempunyai masalah dengan Rafa sementara Mascherano pula tidak punya sebarang persengketaan besar dengan Rafa. Jadi apa alasan yang akan digunakan Mascherano untuk angkat kaki dari Anfield? Samada Mascherano kekal atau tidak di Anfield sama-sama kita saksikan nanti. Bagi saya, jika seseorang pemain tidak lagi mempunyai hasrat untuk bermain untuk Liverpool, menunjukkan jalan keluar adalah cara terbaik. Tetapi minta maaflah kalau Barcelona bermimpi untuk memiliki Mascherano dengan harga yang murah. Paling kurang nilai beliau adalah 30 juta pound, namun diharapkan Liverpool mampu mendapatkan keuntungan maksimum sepertimana penjualan Alonso pada musim panas yang lepas. Kepada Mascherano, kata putus berada di tangan anda, kami mengalu-alukan jika anda masih mahu kekal di Anfield.


YNWA