Showing posts with label Ian Rush. Show all posts
Showing posts with label Ian Rush. Show all posts

Thursday, April 29, 2010

Rush : Rasmi Dengan LFC

Setelah Kenny Dalglish menyertai Liverpool secara rasmi pada musim ini, seorang lagi lagenda Liverpool iaitu Ian Rush turut mengambil langkah yang sama. Rush kini secara rasmi telah kembali menyertai Liverpool sebagai Duta Sekolah Sukan Bolasepak LFC. Dengan perlantikan ini, Rush telah menetapkan sasaran untuk membantu membangunkan penjenamaan global LFC. Rush akan membawa Sekolah Sukan Bolasepak LFC ke serata dunia dimana semua pemain muda bolasepak akan berpeluang untuk mempelajari bolasepak mengikut acuan Liverpool. Rush yang telah melengkapkan sijil kejurulatihannya dan juga mendapat Lesen Pro UEFA, berpendapat ini adalah peluang yang baik buat beliau. Idea mengenai perkara ini timbul setelah Rush membuat perbincangan dengan Pengurus Besar Liverpool Christian Purslow dan juga Pengarah Komersial Liverpool Ian Ayre. Rush kini akan menumpukan usaha beliau untuk membantu penjenamaan global LFC dan memastikan Liverpool akan mempertingkatkan penguasaan komersial di peringkat dunia.


YNWA

Sunday, December 20, 2009

Rush : Dapatkan Nistelrooy

Penyerang lagenda Liverpool, Ian Rush telah mencadangkan kepada pengurus Liverpool agar membawa masuk penyerang Real Ruud van Nistelrooy ke Anfield secepat mungkin apabila urusan perpindahan pemain dibuka semula pada bulan Januari nanti. Nistelrooy yang kini semakin sukar untuk beraksi di Real setelah pulih dari kecederaan, sedang mencari peluang beraksi dengan lebih kerap bersama-sama pasukan yang berminat mendapatkan khidmat beliau. Rush berkata penyerang Holland ini adalah pilihan terbaik buat Rafa jika mahu mengurangkan beban penyerang utama Liverpool, Fernando Torres. Menurut Rush, Torres juga memerlukan rehat dan beliau tidak mungkin beraksi di sepanjang musim. Rush berharap Rafa mahu membawa masuk seorang penyerang yang berkaliber pada Januari nanti dan beliau akan berasa gembira jika penyerang tersebut adalah Nistelrooy, seorang penjaring gol dengan pengalaman di peringkat tertinggi. Penyerang bertaraf dunia amat sukar untuk diperolehi dan Rafa perlu bertindak pantas untuk mendapatkannya. Di mana beliau beraksi sebelum ini tidak mendatangkan masalah buat Rush, asalkan beliau mampu menjaringkan gol. Ini merupakan pendapat peribadi yang dikeluarkan oleh Rush. Semua keputusan akan dibuat oleh Rafa dan sama-sama kita saksikan siapa yang bakal dibawa masuk (jika ada) pada bulan Januari nanti.


YNWA

Thursday, November 12, 2009

Rush : Kita Masih Berpeluang

Penyerang lagenda Liverpool, Ian Rush masih yakin Liverpool tetap berpeluang untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini. Walaupun ramai yang menganggap peluang Liverpool bakal terkubur di dalam masa dua minggu lagi, Rush masih mempunyai keyakinan pertarungan untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati ini bakal ditentukan d dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan nanti. Liverpool bakal menyambut kedatangan Fiorentina di Anfield untuk perlawanan tersebut. Rush menjangkakan Lyon akan memperolehi keputusan yang mereka mahukan di Florence nanti (samada seri atau menang) dan Liverpool pula menewaskan Debrecen untuk memastikan satu perlawanan epik peringkat Eropah bakal berlangsung di Anfield nanti. Bagi Rush, apabila melihat Liverpool menguasai permainan di Lyon, amat sukar untuk dipercayai Liverpool bakal tersingkir awal.

Rush bagaimanapun berpendapat, jika Liverpool gagal mara, mereka harus meneliti semula prestasi semasa di Florence dan juga Lyon. Gol pada minit terakhir oleh Lisandro nyata akan menentukan nasib Liverpool pada Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini. Jika tidak berjaya pada kali ini, Rafa dan anak-anak buahnya perlu menumpukan fokus mereka untuk memastikan Liverpool akan kembali semula di dalam pertandingan ini pada musim hadapan. Kita semua berharap apa yang dikatakan oleh Rush akan menjadi kenyataan. Satu lagi perlawanan epik peringkat Eropah di Anfield pastinya merupakan buah tangan yang ditunggu-tunggu oleh para peminat The Reds.


YNWA

Friday, October 23, 2009

LFC : Rush, Hansen, McMahon Dan Dalglish Bersuara




Empat Lagenda Liverpool iaitu Ian Rush, Alan Hansen, Steve McMahon dan Kenny Dalglish, hari telah menyeru semua peminat Liverpool samada di Anfield dan juga di seluruh dunia supaya bangkit menyatakan sokongan kepada pengurus serta pemain-pemain Liverpool menjelang perlawanan penting pada hari Ahad ini. Keempat-empat lagenda Liverpool ini berpendapat kini sudah tiba masanya para peminat Liverpool bersatu untuk membantu kelab gergasi Merseyside ini keluar daripada kemerosotan prestasi ini. Rush amat yakin para peminat Liverpool pasti akan menyokong sepenuhnya pasukan mereka di Anfield pada hari Ahad nanti. Namun menurut Rush, semuanya tidak akan bermakna jika pemain-pemain yang diturunkan oleh pengurus di atas padang gagal untuk beraksi pada tahap terbaik mereka untuk memenangi perlawanan tersebut. Tambah Rush semuanya bergantung kepada pemain yang bakal diturunkan nanti, pengurus telah melaksanakan tugas dengan memilih pemain terbaik untuk perlawanan tersebut. Rush amat yakin dengan kerjasama daripada semua pihak, Liverpool pasti akan kembali bangkit ke prestasi terbaik sedikit masa nanti.

Manakala lagenda Liverpool yang berpengalaman selama 14 tahun sebagai pemain dan pengurus Liverpool, Kenny Dalglish pula memberitahu, pihak pengurusan Liverpool kini berdiri teguh di belakang Rafa Benitez dan percaya beliau akan membawa Liverpool keluar daripada kemerosotan prestasi ini. Dalglish juga percaya para penyokong Liverpool akan memainkan peranan mereka pada hari Ahad nanti untuk memberikan sokongan sepenuhnya kepada pemain di atas padang supaya mereka dapat beraksi pada tahap terbaik. Berdasarkan pengalaman beliau sebagai pemain dan pengurus, Dalglish berpendapat kedua-dua pihak tersebut mempunyai keyakinan dan kepercayaan di antara satu sama lain. Dalam perkataan yang lebih mudah, pengurus perlu mempunyai keyakinan serta kepercayan kepada pemain dan begitu juga pemain harus yakin serta percaya kepada pengurus. Dalglish seperti juga Rush berpendapat, adalah amat penting untuk semua pihak di Liverpool bersatu untuk membawa kelab ini keluar daripada kemerosotan prestasi terburuk di dalam masa 22 tahun.

Sementara itu, seorang lagi lagenda Liverpool iaitu bekas pemain pertahanan tengah, Alan Hansen pula berpendapat Liverpool bakal melakukan kejutan di Liga Perdana Inggeris dengan menumpaskan musuh tradisi mereka pada hari Ahad nanti. Hansen mengakui Liverpool kini bukan berada pada tahap prestasi terbaik mereka namun beliau amat yakin Liverpool pasti akan berusaha berhabis-habisan untuk mencapai kemenangan pada hari Ahad nanti. Menurut Hansen, jangan terkejut jika melihat peningkatan mendadak Liverpool pada perlawanan Ahad nanti. Tambah Hansen, kecederaan kepada pemain-pemain utama Liverpool seperti Gerrard, Torres dan juga Johnson sedikit sebanyak menyumbang ke arah kemerosotan prestasi ini. Pemain-pemain lain juga menurut beliau gagal beraksi di tahap terbaik apabila diturunkan oleh pengurus di atas padang. Hansen juga berpendapat Liverpool terlalu bergantung kepada Gerrard dan juga Torres namun menurut beliau, tidak banyak yang boleh dilakukan Rafa Benitez kerana pilihan pemain adalah terhad. Hansen juga pasti pengurus musuh tradisi Liverpool juga akan berhati-hati di dalam perlawanan ini. Menurut Hansen, jika silap percaturan maka mereka pasti akan dibaham oleh singa yang sedang luka ini.

Seorang lagi lagenda Liverpool iaitu Steve McMahom yang kini bertugas sebagai salah seorang Pengarah di Profitable Group dan juga sebagai pengulas bolasepak di rangkaian ESPN pula berpendapat, jangan tertipu dengan prestasi Liverpool sekarang ini. Bekas pemain tengah Liverpool ini berpendapat, Liverpool mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan pada hari Ahad nanti. Menurut Macca, semua orang tahu bagaimana Liverpool dan para peminat mereka di Anfield, mereka akan bangkit dan peperangan pasti akan berlaku di sana nanti. Jika Liverpool berjaya memenangi perlawanan pada hari Ahad nanti maka mereka akan kembali ke dalam persaingan untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Macca juga berpendapat Liverpool terlalu bergantung kepada kekuatan tiga pemain iaitu Torres, Gerrard dan juga Mascherano. Tanpa mereka bertiga, Liverpool pasti akan menghadapi masalah. Seperti juga Hansen, Macca juga berpendapat Rafa Benitez mempunyai pilihan pemain yang amat terhad di bangku simpanan dan tidak banyak yang boleh dilakukan oleh beliau. Macca juga tidak terkejut jika lebih banyak mata akan dicicirkan oleh pasukan-pasukan utama Liga Perdana Inggeris pada musim ini kerana liga ini menjadi semakin kompetatif. Dan tiada lagi mata mudah seperti musim-musim sebelum ini. Semua pasukan utama termasuk Liverpool bepeluang untuk berada di dalam saingan liga dan memenangi kejuaraan pada musim ini. Macca juga memberi nasihat kepada Rafa agar memperkukuhkan pertahanan Liverpool dan menggunakan pemain yang ada dengan lebih efisen agar potensi mereka dapat dimaksimumkan semasa berada di atas padang.

Kepada rakan-rakan peminat, jika lagenda-lagenda Liverpool ini bersama-sama bersatu hati untuk menyatakan sokongan mereka tanpa berbelah bagi kepada kelab, kenapakah kita tidak boleh menjadi seperti mereka? Saya faham anda semua amatlah kecewa dengan prestasi Liverpool sekarang ini, namun saya menyeru anda semua supaya bersatu di belakang kelab kita ini. Lupakan sebentar segala masalah yang timbul di Liverpool. Tidak kira ideologi mana yang anda semua bawa, saya mahu kita semua bersatu untuk membawa Liverpool keluar daripada kemerosotan prestasi ini. Saya yakin serta percaya Liverpool akan kembali kepada prestasi terbaik sedikit masa nanti bermula dengan perlawanan pada hari Ahad nanti.



YNWA

Tuesday, September 1, 2009

Rush : Jangan Ketepikan The Reds

Walaupun hanya mengutip enam mata daripada 4 perlawanan, penyerang lagenda Liverpool, Ian Rush percaya Liverpool mempunyai peluang untuk menjadi pencabar kepada kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim ini. Kemenangan ke atas Stoke dan juga Bolton harus dijadikan sandaran kepada kebangkitan berterusan Liverpool hingga ke akhir musim. Menurut Rush walaupun pada musim lepas, Liverpool hanya tewas dua kali di sepanjang musim tetapi sudah tewas dua kali di dalam tempoh sepuluh hari pada musim ini, itu tidak boleh dijadikan alasan utama untuk menidakkan cabaran Liverpool pada kali ini. Ini kerana menurut Rush, penyandang juara musim lepas tewas empat kali dimana dua daripadanya kepada Liverpool tetapi mereka masih mampu menang kejuaraan liga. Ini kerana mereka mempunyai kurang keputusan seri berbanding Liverpool dan itu jelas memberi kelebihan untuk menjadi juara. Rush berharap pemain-pemain Liverpool akan lebih berfikiran positif di dalam mengejar kemenangan di setiap perlawanan selepas ini. Tambah Rush, keputusan seri tidak banyak membantu Liverpool kerana sudah tewas sebanyak dua kali pada musim ini. Beliau percaya ruang untuk melakukan kesilapan semakin kecil jika mahu merampas kembali trofi kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan kemungkinan besar mata yang diperlukan untuk menjadi juara akan berbeza daripada musim lepas. Amaran Rush, jika bijak jangan sesekali mengenepikan terus cabaran Liverpool pada musim ini kerana musim masih berbaki sembilan bulan.

Banyak kebenarannya pendapat yang diberikan oleh penyerang lagenda kita ini. Kita harus akui kekalahan dua kali yang kita alami telah menyebabkan ruang untuk membuat sebarang kesilapan semakin mengecil. Liverpool harus bangkit semula bermula dengan kemenangan di Bolton tempohari. Kita perlu bermain secara lebih konsisten dan mengejar kemenangan di dalam setiap perlawanan selepas ini. Elakkan daripada mendapat keputusan seri mahupun kalah di perlawanan akan datang jika kita mahu meletakkan diri kita kembali ke landasan yang betul sebagai pencabar kejuaraan liga. Saya seperti kata Rush, jika bijak jangan sesekali memandang sebelah mata cabaran Liverpool pada musim ini. Musim masih panjang dan sebarang kemungkinan boleh berlaku. Tidak mustahil untuk Liverpool mempamerkan persembahan yang lebih konsisten selepas ini dengan kembalinya beberapa pemain utama seperti Aurelio, Agger dan Aquilani yang akan pulih dari kecederaan sedikit masa nanti.


YNWA

Thursday, April 30, 2009

Rush : Teruskan Perjuangan!

Sesekali bila mendengar komen dan pendapat dari barisan lagenda Liverpool memang menarik dan amat membina untuk kelab. Berbanding dengan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris yang lain, Liverpool amat beruntung kerana senantiasa mendapat sokongan daripada barisan lagendanya yang saling tak sudah memberikan sokongan mereka. Samada secara terang-terangan di media atau secara tertutup, banyak komen dan pendapat mereka yang boleh kita sebagai peminat baca dan hargai. Yang uniknya, kebanyakan dari lagenda Liverpool merupakan peminat Liverpool itu sendiri! Lagenda-lagenda seperti Kenny Dalglish, John Barnes, Ian Rush dan Steve McMahon sekadar menyebut beberapa nama, merupakan peminat setia Liverpool yang masih mengikuti permainan dan perkembangan Liverpool sehingga sekarang walaupun mereka semua telah lama bersara dari bolasepak. Mari kita lihat pendapat salah seorang lagenda Liverpool mengenai peluang kita untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.

Lagenda yang saya maksudkan kali ini ialah penyerang/penjaring gol lagenda Liverpool, Ian Rush. Beliau masih percaya Liverpool masih mampu untuk memenangi kejuaraan ke 19 Liga Perdana Inggeris, 19 tahun selepas beliau menjaringkan gol kemenangan ke atas QPR pada 28 April 1990 yang membawa gelaran liga ke 18 buat Liverpool. Rushie menulis melalui ruangan kolumnya di Liverpool Echo masih percaya, Liverpool tetap berpeluang untuk memenangi gelaran liga musim ini kerana saingan utama iaitu manyoo masih perlu bertemu dengan musuh setempat, Manchester City dan juga Arsenal yang tidak kalah dalam 20 perlawanan. Tambah beliau lagi, jika Liverpool mendahului di dalam persaingan untuk gelaran liga, antara perkara yang tidak diperlukan ialah pertembungan dengan musuh setempat, Everton dan Liverpool tidak perlu risaukan tentang pasukan lain kerana yang lebih penting ialah mengutip mata maksimum untuk 4 baki perlawanan yang ada. Rushie juga percaya persaingan untuk merebut gelaran liga kali ini masih belum berakhir dan Liverpool perlu bersedia untuk mengambil kesempatan di atas sebarang peluang yang ada.

Menurut Rushie lagi, Liverpool berpeluang untuk mengutip 3 mata lagi apabila bertembung dengan Newcastle di Anfield pada Ahad ini. Dan kemenangan 5-1 di St James Park masih segar di dalam ingatan dan perlawanan itu boleh berakhir dengan 10 jaringan untuk Liverpool. Rushie tidak mahu melihat Newcastle tersingkir dari Liga Perdana Inggeris tetapi beliau seperti peminat-peminat yang lain mahukan kemenangan untuk Liverpool bagi meneruskan tekanan ke atas manyoo. Jika Liverpool teruskan kemenangan, maka sebarang kemungkinan boleh berlaku di dalam persaingan merebut gelaran liga ini, tambah beliau lagi.

Mungkin ramai yang sudah lupa dengan jaringan Rushie ketika menang ke atas QPR 19 tahun yang lalu. Di dalam perlawanan tersebut Ray Wegerle meletakkan QPR di depan sebelum jaringan penyamaan oleh Rush dan gol kemenangan oleh John Barnes (yang baru dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan pada masa itu) melalui sepakan penalti. Dan mungkin ramai juga yang masih tidak percaya Liverpool masih tercari-cari gelaran liga ke 19 sehingga sekarang, 19 tahun dari kali terakhir mereka memenangi gelaran tersebut.

Berbalik kepada Rushie, beliau berharap Liverpool dapat memperkemaskan lagi bahagian pertahanan kerana Liverpool perlu menang baki 4 perlawanan terakhir musim ini. Gol jaringan Geovanni sewaktu menentang skuad rimau tempohari perlu dielakkan. Bagi Rushie, Liverpool mampu melakukannya kerana mereka memang terkenal dengan barisan pertahanan yang mantap di bawah pengendalian Rafael Benitez. Bagi Rushie, Liverpool perlu kembali kepada asas bolasepak iaitu tidak mudah hilang fokus dan bahagian pertahanan perlu lebih fokus untuk menghalang pemain lawan dari menjaringkan gol.

Mantap dan bersemangat pendapat dari Rushie ini. Inilah untungnya kelab yang bernama Liverpool ini, mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari barisan lagendanya. Walaupun kita semua tahu, masa semakin suntuk untuk merebut gelaran liga, namun semangat mengalah tidak sama sekali wujud di Liverpool. Daripada pengurus, pemain, peminat, lagenda dan semuanya yang berkaitan dengan LIVERPOOL, kami akan pastikan perebutan gelaran liga ini hanya akan berakhir di perlawanan terakhir musim ini. Kepada sesiapa yang berhajat untuk memenangi gelaran liga pada musim ini, kami akan pastikan anda semua akan membayar harga yang mahal untuknya!


YNWA