Monday, December 21, 2009

Aurelio : Masa Depan Belum Pasti


Pemain pertahanan kiri Liverpool daripada Brazil, Fabio Aurelio kini menghadapi masa depan yang tidak menentu di Anfield. Tidak menentu kerana perbincangan kontrak baru beliau dengan Liverpool masih mencapai kata sepakat di kedua-dua belah pihak. Pengurus Liverpool, Rafa Benitez sebelum ini telah menyatakan tawaran kontrak pay as you play telah ditolak oleh agen Aurelio dan tiada perkembangan terkini mengenai perbincangan tersebut sehingga ke hari ini. Aurelio mengakui beliau tidak mengetahui akan kedudukan beliau di Anfield kerana kontrak beliau yang ada sekarang akan tamat di akhir musim ini. Menurut Aurelio, beliau sehingga kini masih menanti jawapan daripada Liverpool mengenai tawaran kontrak baru. Perbincangan mengenai kontrak baru Aurelio bermula pada akhir musim lepas namun selepas itu beliau mengalami kecederaan akibat kemalangan di Brazil, perbincangan tersebut dihentikan dan sehingga kini perbincangan mengenai kontrak baru masih belum diteruskan oleh Liverpool.

Walaupun bergelut dengan kedudukan masa depan yang masih tidak menentu, keutamaan Aurelio kini adalah untuk membantu Liverpool kembali ke prestasi terbaik pada musim ini. Bagi Aurelio, sehingga kontrak beliau tamat dengan Liverpool, adalah penting untuk beliau terus bermain bersama-sama kesebelasan utama Liverpool dan memastikan Liverpool kembali ke prestasi terbaik. Aurelio juga lega kerana semenjak kebelakangan ini beliau tidak lagi menghadapi masalah kecederaan yang jelas mengganggu prestasi beliau. Nampaknya Aurelio pasti resah menanti jawapan daripada Liverpool. Rasanya perbincangan sebelum yang dihentikan adalah kerana Liverpool mungkin mahu menilai kembali prestasi serta tahap kecergasan Aurelio sebelum membuat sebarang keputusan mengenai tawaran kontrak baru. Saya akui Aurelio merupakan antara pemain Liverpool yang amat mudah mengalami kecederaan tetapi saya juga tidak nafikan beliau akan mempamerkan prestasi terbaik di pertahanan ataupun sayap kiri jika diturunkan. Sejauh mana minat Liverpool serta bentuk kontrak yang bakal ditawarkan kepada Aurelio akan kita saksikan pada awal 2010 nanti. Jika Liverpool tidak mahu menawarkan kontrak baru kepada Aurelio kerana rekod kecederaannya, saya pasti banyak lagi kelab yang berminat dengan pemain pertahanan Brazil ini. Saya masih mahu melihat Aurelio dikekalkan di Anfield tetapi kontrak yang ditawarkan haruslah memberi keuntungan pada kedua-dua pihak.


YNWA