Wednesday, March 31, 2010

Europa : Getir Di Portugal

Liverpool akan bertandang ke Portugal pada awal pagi Jumaat nanti untuk berhadapan dengan kelab Benfica di Estadio da Luz. Pertembungan ini adalah pusingan pertama suku akhir Liga Europa. Liverpool hadir ke perlawanan ini setelah berjaya menjinakkan skuad Kucing Hitam a.k.a Belon Pantai a.k.a Sunderland di dalam perlawanan liga perdana inggeris pada penghujung minggu lepas. Sukar untuk menduga pendekatan yang bakal diambil oleh pengurus Liverpool Rafa Benitez bagi menghadapi perlawanan ini. Samada beliau masih menggunakan pendekatan serangan yang cukup berkesan ketika menang dengan pasukan Belon Pantai atau lebih mengambil pendekatan untuk bertahan di tempat lawan. Para peminat Liverpool pasti mahukan corak permainan secara menyerang untuk menghadapi Benfica. Tetapi harus diingat, Rafa mungkin akan melihat pengalaman beliau sebelum ini ketika menghadapi pasukan daripada Lisbon ini. Benfica masih diingati sebagai pasukan yang memusnahkan impian Liverpool di Liga Juara-Juara Eropah pada musim 05/06 setelah Liverpool menjadi juara kali kelima pada musim sebelumnya. Perlu diingatkan Benfica kini adalah pasukan yang lebih baik daripada pasukan ketika itu. Mereka juga memiliki beberapa pemain yang cukup berbahaya seperti perancang tengah Pablo Aimar, penyerang Javier Saviola dan Oscar Cardozo serta pemain sayap yang mendapat perhatian kelab-kelab eropah iaitu Angel Di Maria. Benfica cukup dikenali dengan pasukan yang mengamalkan corak serangan sebagai corak permainan mereka dan ini terbukti ketika mereka melaukkan skuad biru Merseyside dengan jaringan 7-0. Ini sudah cukup sebagai peringatan kepada Liverpool agar lebih berhati-hati pada perlawanan ini. Berbalik kepada Liverpool, kunci kepada perlawanan ini adalah di mana Rafa hendak meletakkan Gerrard samada menyokong Torres atau bergandingan dengan Mascherano di bahagian tengah. Pada pendapat saya, jika mahu mengekang jentera tengah Benfica serta pemain sayap mereka, posisi terbaik adalah meletakkan Gerrard di tengah bersama-sama Mascherano. Kedua-dua mereka boleh berfungsi untuk menghalang sebarang gerakan daripada Benfica. Rafa boleh meletakkan Benayoun sebagai pemain sokongan kepada Torres. Begitu juga pemain-pemain sayap Liverpool, tidak samada Babel atau Kuyt yang menjadi pilihan, mereka harus lebih banyak membantu pertahanan kiri (Insua) dan kanan (Johnson) Liverpool daripada dibolosi pemain-pemain sayap Benfica. Agger dan Carragher pula perlu lebih berhati-hati menghalang pemain lawan kerana sebarang kesilapan pasti membawa padah. Penjaga Gol Pepe Reina diharapkan akan terus cemerlang di gawang Liverpool. Samada Torres bermain sebagai penyerang tunggal atau penyerang kembar pada perlawanan ini tidaklah penting tetapi lebih penting adalah kemampuan pemain-pemain sayap serta tengah Liverpool untuk memberikan hantaran yang tepat untuk disudahkan oleh penyerang Liverpool yang cukup berbisa sekarang ini. Benfica cukup kebal di kandang mereka sendiri namun kelab Perancis Marseille telah membuktikan mereka mampu ditembusi dengan strategi yang betul. Saya menjangkakan Torres akan merobek gawang Benfica pada perlawanan ini. Cuba elakkan kekalahan dan bawa bekalan gol daripada tempat lawan sebagai kunci untuk mara ke separuh akhir Liga Europa nanti. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang bakal diturunkan oleh Rafa Benitez pada perlawanan ini:

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON CARRAGHER AGGER INSUA

GERRARD MASCHERANO

KUYT BENAYOUN BABEL

TORRES

Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro SuperSport Rangkaian 811

02/04/10 Jam 0300 Pagi


YNWA

Tuesday, March 30, 2010

Babel : Yakin Masa Depan

Pemain antarabangsa Holland dan pemain sayap Liverpool Ryan Babel mengakui masa depan beliau bersama-sama Liverpool semakin terjamin. Babel yang masa depannya belum terjamin menjelang Januari lalu kerana menyerang Liverpool melalui laman sosial Twitter. Disebabkan tindakan tersebut, beliau telah dipanggil oleh pengurus Rafa Benitez dan diingatkan agar menumpukan perhatian kepada latihan dan corak permainan di atas padang. Semenjak daripada itu nasib pemain berusia 23 tahun ini berubah dengan peningkatan persembahan yang cukup ketara bersama-sama Liverpool. Dan kini beliau kelihatan seperti pemain yang dibeli dengan bayaran 11.5 juta pound daripada kelab Ajax pada July 2007. Bagi Babel beliau kini gembira kerana telah diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan beliau di atas padang. Beliau yang kini semakin yakin dengan corak permainannya, mahu membantu Liverpool mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Babel sebenarnya merupakan seorang pemain berbakat namun sebagai seorang pemain Liverpool, beliau perlu lebih berdisiplin jika mahu meneruskan karier di Anfield. Mungkin beliau kini sedar, bakat sahaja tidak mencukupi di Liverpool tetapi haruslah disertai dengan sikap yang betul di dalam dan di luar padang. Kita berharap agar Babel terus mempertingkatkan persembahan beliau kerana beliau berpotensi untuk pergi dengan lebih jauh di Anfield.


YNWA

Monday, March 29, 2010

BPL : Ke Mana Perginya Bola Pantai?

Benarlah tanggapan para peminat Liverpool, skuad Kucing Hitam memang tidak mampu bermain dengan baik apabila tidak mempunyai bantuan daripada bola pantai. Skuad yang dikatakan berada di dalam prestasi yang yang agak baik pada ketika ini mudah dijinakkan oleh Gerrard dan rakan-rakannya di Anfield. Liverpool berjaya menewaskan skuad Kucing Hitam 3-0 dan kemenangan ini nyata melenyapkan terus kemenangan skuad Kucing Hitam dengan bola pantai pada awal musim ini. Jelas kelibat Torres yang menyumbangkan dua gol di dalam perlawanan ini serta usaha keras pemain-pemain Liverpool membuktikan Liverpool masih lagi mahu bersaing di Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. Liverpool turun dengan corak sedikit berbeza pada kali ini dengan Torres serta Kuyt bertindak sebagai penyerang kembar. Kapitan Gerrard kembali kepada posisi asal beliau di tengah padang bersama-sama Mascherano dan gandingan ini cukup efektif bagi Liverpool untuk menyerang serta bertahan. Kelibat anak emas Benitez, Lucas tidak kelihatan pada perlawanan ini. Beliau tidak dimasukkan sebagai pemain gantian pun pada perlawanan ini walaupun berada di bangku simpanan. Walaupun Babel agak kucar kacir di bahagian sayap kiri namun beliau memperbaiki persembahannya di separuh masa kedua. Maxi Rodriguez pula semakin serasi dengan corak permainan Liverpool. Berada di posisi terbaik beliau (sayap kanan) beberapa larian serta hantaran lintang cukup membahayakan gawang skuad Kucing Hitam. Berbaloi mendapatkan beliau secara percuma daripada Ateltico Madrid pada Januari lepas. Bahagian pertahanan bermain baik dengan Agger dan Johnson (satu gol) turut naik membantu barisan serangan. Carra seperti biasa dengan corak permainannya manakala Insua kelihatan lincah di sebelah kiri (termasuk membuat hantaran lintang). Torres di barisan serangan cukup berbisa, kini dengan tujuh gol di empat perlawanan terakhir, El Nino kini bersedia untuk menggempur musuh seterusnya. Kuyt agak mendatar persembahan beliau pada perlawanan ini namun kerajinan beliau tidak boleh diketepikan. Walaupun dengan gandingan serangan yang berbahaya (Bent + Jones) skuad Kucing Hitam tidak mampu menyaingi Liverpool pada perlawanan ini walaupun mereka cuba bangkit pada separuh masa kedua. Kesimpulannya, Liverpool berhak mendapat 3 mata pada perlawanan ini kerana corak permainan yang cukup menghiburkan di sepanjang 90 minit. Kini Liverpool perlu fokus untuk menghadapi lawan lebih sukar iaitu Benfica di tempat lawan pada perlawanan Liga Europa pada awal pagi Jumaat nanti. Kali ini kita perlu pastikan sejarah dengan Benfica tidak akan berulang kembali.


YNWA

Sunday, March 28, 2010

Gerrard : BPL Akan Kembali Ke Anfield

Kapten Liverpool Steven Gerrard percaya beliau mampu untuk menggapai kejuaraan liga perdana inggeris bersama-sama Liverpool di dalam masa lima tahun. Gerrard menyatakan beliau kini komited untuk membawa pulang kejuaraan liga kembali ke Anfield setelah mencecah usia 30 tahun. Masa kini adalah cukup penting buat Gerrard kerana beliau sedia maklum mengenai peningkatan usianya dan ianya merupakan sebagai peringatan (memenangi kejuaran liga) pada baki karier bolasepak beliau. Gerrard menambah walaupun usia kini semakin meningkat, beliau tetap menjaga kecergasan fizikalnya agar mampu memberikan yang terbaik kepada Liverpool dan beliau yakin masih mempunyai lima tahun lagi untuk memenangi sebanyak mana kejuaraan (terutama sekali liga perdana) bersama-sama Liverpool. Untuk mencapai sasaran tersebut, Gerrard kini bersedia untuk melakukan apa sahaja agar beliau mampu mencapai sasaran tersebut. Walaupun banyak spekulasi yang timbul mengenai kedudukan beliau pada musim panas nanti, Gerrard tetap komited untuk bersama-sama Liverpool. Sebagai seorang pemain yang lahir di Liverpool (seperti Carragher), tiada yang lebih penting daripada membawa pulang kejuaraan liga perdana inggeris kembali ke Anfield. Mungkin sesetengah pihak lebih mementingkan duit tetapi jika bercakap mengenai Gerrard, bukan beliau yang mengejar duit tetapi duit yang mengejar beliau. Di Liverpool, Gerrard telah diberikan segalanya oleh kelab dan hampir kesemua kejuaraan telah dimenangi beliau bersama-sama Liverpool. Saya percaya Gerrard mampu membawa Liverpool untuk merampas kembali kejuaraan liga perdana inggeris. Hanya menunggu masa dan ketika sahaja untuk kita melihat kapten Liverpool ini menjulang kejuaraan yang diidamkan oleh kita semua ini.


YNWA

Saturday, March 27, 2010

Mascherano : Komitmen Kepada The Reds

Pemain tengah Liverpool Javier Mascherano telah menyatakan komitmen beliau kepada Liverpool setelah dikatakan tidak lagi menarik minat Barcelona. Laporan daripada UK menyatakan Mascherano akan menurunkan tandatangan ke atas kontrak 20 juta pound yang ditawarkan oleh Liverpool. Kapten Argentina yang sebelum ini dikatakan enggan meneruskan rundingan dengan Liverpool setelah Barcelona menunjukkan minat untuk mendapatkan beliau. Namun dengan Liverpool kini bersedia untuk menawarkan kontrak dengan gaji 90 ribu pound seminggu, Mascherano kini bersedia untuk menghabiskan tahun-tahun terbaik beliau di Anfield. Dengan pilihanraya presiden Barcelona yang semakin hampir, lebih banyak nama-nama besar yang dicanangkan oleh calon-calon yang berminat untuk merebut jawatan tersebut. Nama-nama seperti Cesc Fabregas dan Franck Ribery lebih menjadi sebutan pada ketika ini. Liverpool harus secepat mungkin untuk mengikat Mascherano sebelum Piala Dunia 2010 bermula. Jika terlambat, mungkin ada pihak yang akan cuba memancing Kapten Argentina ini kerana beliau juga tidak kurang peminatnya di pasaran perpindahan pemain.


YNWA

Friday, March 26, 2010

Torres : Tempatku Anfield

Penyerang utama Liverpool, Fernando Torres sekali lagi menegaskan beliau tidak berminat untuk meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini. Liverpool yang kini sedang berjuang untuk ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan kelihatan seperti tidak mampu untuk memberikan saingan di liga perdana inggeris pada musim depan. Torres mengakui Liverpool perlu mendapatkan pemain-pemain baru yang lebih berkualiti pada musim panas nanti namun jika Liverpool gagal untuk ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan, itu tidak akan menjadi penghalang kepada beliau untuk terus menaburkan bakti kepada Liverpool. Bercakap di laman web peribadi beliau, penyerang berusia 26 tahun ini menyatakan beliau kini gembira berada di Liverpool dan tempatnya hanya di Anfield. Torres mahukan lebih ramai pemain-pemain baru di Liverpool pada musim hadapan dan beliau turut menyatakan bersedia untuk membantu Liverpool bersaing di liga perdana inggeris serta Liga Juara-Juara Eropah atau Liga Europa pada musim hadapan. Saya telah lupa sudah berapa kali Torres menyatakan kesetiaan beliau kepada Liverpool. Namun itu tidak menghalang kelab-kelab penyamun daripada cuba memancing penyerang utama Liverpool ini. Sungguh mustahil untuk Liverpool melepaskan Torres kerana nilai wang diperolehi jika menjual beliau adalah tidak sama seperti nilai beliau kepada kelab. Torres adalah lagenda di Liverpool yang mana statusnya adalah sama seperti Kapitan Gerrard. Walau apapun alasan yang diberikan, menjual Torres bukan satu pilihan kepada kelab. Pengurus Liverpool Rafa Benitez turut menyatakan beliau tidak akan sesekali menjual Torres dan jika kelab tetap mahu menjual beliau, Rafa akan meletakkan jawatan. Torres cukup dihormati oleh para peminat Liverpool dan penjualan beliau pasti akan mengundang rasa tidak puashati para peminat Liverpool di seluruh dunia. Seperti yang pernah saya tulis, Liverpool hanya akan melepaskan Torres jika beliau mahu berhijrah ke Serie A Itali atau pulang ke Sepanyol untuk kembali bersama-sama kelab kelahiran beliau Atletico Madrid. Jika ini adalah permintaan Torres, Liverpool perlu menghormatinya dan tidak menghalang beliau daripada berbuat sedemikian. Saya yakin untuk tahun-tahun yang akan datang, kita masih boleh melibat kelibat beliau bersama-sama Liverpool. Bagi Torres, duit bukan persoalannya ketika bersama-sama Liverpool (beliau sudah bergelar jutawan dengan pendapatan 120 ribu pound seminggu) tetapi hasrat untuk berjaya bersama-sama Liverpool adalah lebih penting buat beliau. Kepada El-Nino, kami para peminat kini menanti kejuaraan pertamamu bersama-sama Liverpool.


YNWA

Thursday, March 25, 2010

Riera : Mangsa Kapal Karam

Pengurus Liverpool Rafa Benitez telah mengesahkan bahawa pemain sayap Sepanyol Albert Riera kini diberitakan sedang berusaha untuk mendapatkan majikan baru secepat mungkin. Pemain antarabangsa Sepanyol ini yang menimbulkan kemarahan Benitez dengan komen pedasnya yang menyatakan pengurus berbangsa Sepanyol ini tidak berkomunikasi dengan pemain dan menyatakan Liverpoll kini adalah sebuah “kapal karam”. Riera yang telah digantung beberapa hari oleh Liverpool akibat perbuatannya, kini dikatakan sedang menimbangkan untuk menyertai kelab daripada Liga Rusia, Spartak Moscow atau CSKA Moscow. Liverpool dikatakan akan memastikan Riera menyertai kelab Rusia tersebut sebelum pasaran perpindahan mereka ditutup pada awal bulan hadapan. Riera dikatakan tidak berpuashati apabila kerap diketepikan daripada bermain di kesebelasan utama dan ianya mengugat tempat beliau untuk ke Piala Dunia bersama-sama Sepanyol. Benitez memberitahu Liverpool sedang mencari penyelesaian ke atas kedudukan Riera. Masih belum berkesudahan isu yang berkaitan dengan Riera ini. Tidak banyak yang boleh diperkatakan oleh para peminat kerana Riera secara terbuka mengundang masalah ke atas dirinya. Benar pemain boleh mengeluarkan pendapat, tetapi biarlah ianya secara perbincangan di dalam pasukan. Sayang jika Liverpool kehilangan seorang pemain berbakat seperti Riera, namun jika perpindahan merupakan penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak, ianya tidak dapat dielakkan. Jika Riera dijual, maka Liverpool pasti akan mendapatkan seorang lagi pemain sayap baru pada musim panas ini.


YNWA

Wednesday, March 24, 2010

LFC : Antara Syarat Baru Penajaan

Perkhabaran terbaru dari Anfield menyatakan perjanjian penajaan jersi Liverpool dengan Standard Chartered Bank bakal tergugat jika Liverpool gagal menempatkan diri di tangga keempat liga perdana inggeris dan layak ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. Salah satu terma di dalam perjanjian tersebut mensyaratkan Liverpool berada di tempat keempat liga perdana inggeris bagi membolehkan perjanjian penajaan jersi termahal di dunia ini diteruskan pada musim hadapan. Perjanjian dikatakan bernilai 80 juta pound untuk tempoh empat tahun akan datang (20 juta pound semusim). Perjanjian ini amat penting untuk pengurus Liverpool Rafa Benitez meneruskan perancangan masa hadapan beliau dengan skuad Liverpool. Jika Liverpool gagal mencapai sasaran yang ditetapkan ini, perjanjian tersebut akan diteruskan namun jumlah penajaan tersebut akan dikurangkan oleh pihak Standard Chartered Bank. Ini merupakan satu lagi berita kurang baik untuk para peminat Liverpool. Untuk mengharapkan pemilik yang kedekut, jauh panggang dari api lah jawabnya. Tempat di Liga Juara-Juara Eropah amat signifikan pentingnya kepada Liverpool. Banyak kekurangan dan rintangan untuk Liverpool pada musim hadapan jika penajaan jersi ini dikurangkan jumlahnya. Juga sudah kedengaran Liverpool akan menjual beberapa pemain utama seperti Riera dan Benayoun untuk mendapatkan dana perpindahan pemain pada musim panas ini. Nampaknya, samada kita suka atau tidak, masalah lama Liverpool bila tiba musim perpindahan pemain tidak akan berkakhir (jual dulu baru beli). Dan saya pasti polisi ini akan terus memastikan Liverpool terlepas pemain-pemain terbaik yang menjadi sasaran awal kelab.


YNWA

Tuesday, March 23, 2010

Hazard : Sayap Sensasi Belgium

Pemain sayap sensasi Belgium dan juga Lille, Eden Hazard gembira dengan perkhabaran Liverpool berminat untuk mendapatkan khidmat beliau. Pemain sayap berusia 19 tahun ini merupakan antara pemain yang menjadi tumpuan ramai dengan kelab-kelab eropah mula mengintai peluang untuk mendapatkan beliau. Liverpool dan kelab senapang juga dipercayai turut menyatakan minat untuk mendapatkan Hazard pada musim panas yang akan datang bagi melengkapkan perancangan mereka untuk musim hadapan. Lille yang jelas tidak mahu melepaskan Hazard telah meletakkan harga perpindahan yang cukup tinggi untuk beliau (dipercayai mencecah 20 juta pound). Namun Hazard telah menyatakan beliau memang akan berpindah daripada Lille pada satu peringkat di kariernya pada masa hadapan. Hazard masih komited dengan Lille dan menyatakan beliau masih mempunyai kontrak sehingga 2014 dan beliau nyata gembira Lille masih mahu mengekalkannya di Perancis. Hazard menyimpan cita-cita yang satu hari nanti beliau mungkin akan berpindah ke liga perdana inggeris, liga sepanyol atau liga-liga eropah yang lain dan semuanya bergantung kepada Lille untuk membuat sebarang keputusan. Jika harga perpindahan yang diletakkan terlalu mahal, mungkin lebih bijak untuk Liverpool membiarkan Hazard kekal dengan Lille untuk satu atau dua musim lagi. Corak akan permainan Hazard akan lebih matang jika beliau bermain dengan Lille untuk tempoh masa tersebut. Selain daripada itu, harga perpindahan beliau akan turun kerana tempoh kontrak semakin pendek. Tetapi jika kelab-kelab penyamun (duit banyak tapi prestasi di tahap tadika) menawarkan wang yang banyak kepada Lille (konpem Lille akan jadi buta perut), Liverpool pasti akan terlepas seorang lagi pemain berbakat.


YNWA

Monday, March 22, 2010

Gerrard : Kecoh Satu Dunia!

Beberapa minggu kebelakangan ini, Kapten Liverpool Steven Gerrard dikritik hebat oleh media kerana dikatakan tidak berdisiplin di atas padang. Saya cukup hairan kerana apabila ada sahaja kejadian (walaupun sekecil kuman) yang membabitkan pemain Liverpool, dunia seperti hendak runtuh dibuatnya bila membaca kritikan yang tidak berasas dari media. Bukanlah saya bersetuju dengan tindakan Gerrard tetapi kita harus ingat, beliau juga adalah manusia dan manusia itu mempunyai hati dan perasaan. Gerrard dikatakan menunjukkan isyarat V kepada pengadil ketika perlawanan menentang Wigan dan dikatakan menyiku kepala Brown pada perlawanan menentang Pompey di Anfield. Dan di dalam kedua-dua kejadian, Gerrard terlepas daripada tindakan pengadil dan juga FA England. Tidak adil rasanya jika kita melihat pandangan daripada sudut mereka yang mahu menjahanamkan Liverpool. Sebagai peminat, ini adalah merupakan pendapat saya. Bukan semata-mata untuk membela Gerrard tetapi ini adalah fakta di dalam kedua-dua perlawanan. Pada perlawanan dengan Wigan, keputusan pengadil banyak dilihat berat kepada Wigan (walaupun kita tahu pengadil semakin tidak melindungi pemain-pemain Liverpool). Jesteru itu tidak hairanlah mengapa timbul rasa marah Gerrard. Sebagai kapten, beliau banyak kali memprotes kepada pengadil agar lebih melindungi pemain Liverpool daripada terjahan-terjahan kasar pemain Wigan. Isyarat V itu muncul akibat pengadil gagal mengawal permainan dengan baik. Semua daripada kita memang tahu, jika berhadapan dengan pasukan yang bermain dengan kekasaran (bukan agresif), niat mereka lebih kepada untuk mencederakan pemain dan bukannya menghalang bola (dalam bahasa lebih mudah tidak faham cara yang betul untuk tackle pemain lain). Pengadil perlu lebih bertanggungjawab secara profesional untuk mengawal permainan dan bukannya terlalu banyak memberi kelebihan (advantage) kepada pihak lawan. Di dalam perlawanan dengan Wigan ini, pengadil Marriner memberikan laporan kepada FA England yang kesalahan Gerrard tidak setimpal untuk diberikan kad kuning atau merah. Mungkin Marriner cuba menyeimbangkan tindakan beliau di atas padang dengan tidak menghukum Gerrard?

Pada pertemuan dengan Pompey di Anfield pada awal pagi Selasa yang lepas, Gerrard sekali lagi dituduh dengan sengaja menyiku bahagian belakang kepada kapten Pompey Brown. Sekali lagi, Gerrard terlepas tindakan apabila FA England dan pengadil Attwell bersetuju tindakan Gerrard tidak boleh dihukum oleh kad merah atau kuning. Sebenarnya jika sesiapa menonton perlawanan tersebut boleh melihat tindakan Brown daripada awal perlawanan yang menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menghalang Gerrard daripada membuat gerakan untuk Liverpool. Brown sudah lama terkenal dengan taktik permainan kotor beliau dan telah beberapa kali bertembung dengan Gerrard di liga perdana inggeris. Ketika kejadian, Gerrard cuba mara ke hadapan untuk menyambar bola tetapi Brown telah bersedia untuk menggunakan badannya bagi menghalang Gerrard. Mungkin sedar dengan tindakan lawan yang mahu menggunakan taktik kotor, Gerrard dengan tidak sengaja mengangkat tangan dengan tujuan untuk memberi laluan bagi mara ke hadapan. Jika ada pihak yang perlu dihukum, Brown lebih layak diberi kad di atas padang. Anda bayangkan jika anda hendak bergerak ke depan tetapi ada tembok yang menghalang, apa yang akan anda lakukan? Berita Gerrard bebas daripada sebarang tindakan jelas menimbulkan kemarahan mengyu a.k.a syaitan merah. Mereka mula berangan-angan Gerrard akan terlepas perlawanan di kandang mereka jika digantung perlawanan. Bagi syaitan merah, Gerrard patut dihukum seperti pemain mereka Ferdinand. Mungkin mereka lupa, pengadil banyak kali menghadiahkan masa tambahan tidak betul kepada mereka sebelum ini sehingga mereka dapat menjaringkan gol. Takkan takut dengan Gerrard kot? Begitu juga kritikan yang datang daripada bekas pengadil liga perdana Graham Poll. Pengadil pencen ini mahukan Gerrard lebih berdisiplin atau berhadapan dengan kemungkinan dihantar pulang awal pada Piala Dunia nanti. Encik Poll, anda harus ingat satu fakta bahawa, Gerrard tidak akan bertindakbalas jika beliau tidak diprovokasi oleh pihak lawan. Nasihat anda juga harus pergi kepada pemain-pemain yang mengamalkan taktik kotor dan bukan hanya menyerang kepada satu individu sahaja. Terima Kasih Encik Poll di atas nasihat tersebut, mungkin berguna untuk Gerrard bermain dengan lebih tenang di atas padang nanti. Kepada Gerrard, anda adalah kapten kami dan merupakan sumber inspirasi pasukan. Kami mahukan anda berikan yang terbaik di atas padang. Usah dilayan provokasi yang cuba ditimbulkan oleh pihak lawan.


YNWA

Sunday, March 21, 2010

Agger : Komited Pada The Reds

Pemain pertahanan tengah Denmark dan Liverpool Daniel Agger menyatakan bahawa pemain-pemain The Reds harus bertanggungjawab jika mereka gagal merebut tempat keempat di liga perdana inggeris. Persembahan yang tidak konsisten pada musim ini merupakan punca utama kepada kemerosotan prestasi Liverpool. Walaupun agak kecewa dengan keadaan tersebut, Agger masih komited untuk bersama-sama Liverpool dan tidak berhajat untuk berpindah ke mana-mana pasukan buat masa sekarang. Bagi Agger, beliau menyertai Liverpool kerana mahu memenangi trofi dan itulah yang akan beliau cuba capai bersama-sama rakan sepasukannya. Agger kini bersedia untuk menerima apa-apa keputusan yang berlaku pada Liverpool musim ini dan beliau kini telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi musim hadapan. Sasaran beliau adalah untuk meletakkan Liverpool kembali ke tempat yang sepatutnya. Agger berkata beliau hampir memenangi trofi bersama-sama Liverpool pada musim lepas namun berakhir dengan kekecewaan. Ini membuatkan Agger akan terus berkerja keras di atas padang demi untuk mengejar impiannya bersama Liverpool. Sungguh bertuah untuk Liverpool kerana memiliki pemain yang cukup komited seperti Agger. Diharapkan beliau akan terus menabur bakti di Anfield untuk jangka waktu yang lebih lama.


YNWA

Saturday, March 20, 2010

LFC : Perlu Pemain Berkualiti

Nampaknya semakin hari semakin ramai pihak yang cuba memberikan tekanan kepada pemilik Liverpool. Jika sebelum ini para peminat Liverpool telah menyatakan protes mereka terhadap pemilik, perkembangan terbaru turut menyaksikan pemain-pemain utama Liverpool turut meletakkan syarat-syarat tertentu sebelum menyambung kontrak dengan kelab. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana seperti para peminat, pemain-pemain ini turut mahukan Liverpool lebih kompetitif untuk bersaing dengan pasukan-pasukan liga perdana yang lain. Penyerang utama Liverpool Fernando Torres turut memberikan kenyataan yang beliau mahu kekal bersama-sama Liverpool. Jika Liverpool mahukan beliau terus komited terhadap pasukan, Torres mahukan jaminan yang pemilik Liverpool harus mengeluarkan perbelanjaan untuk mendapatkan beberapa pemain berkualiti pada musim panas ini. Bagi Torres, samada Liverpool layak atau tidak ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan, itu merupakan perkara yang kedua. Buat beliau, adalah lebih penting untuk melihat arah tuju Liverpool pada masa hadapan jika beliau kekal di Anfield. Perkara yang sama turut dikongsi oleh pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano. Duit bukanlah ukuran buat beliau tetapi seperti juga Torres, Mascherano mahukan jaminan bahawa lebih banyak pelaburan dilakukan pemilik untuk membeli pemain-pemain berkualiti pada musim panas sebelum beliau menurunkan tandatangan kepada kontrak barunya. Saya pasti kita bersetuju dengan pendapat kedua-dua pemain utama Liverpool ini. Mereka bukan berniat untuk berhijrah ke mana-mana buat masa terdekat. Seperti peminat, mereka berpendapat pemain-pemain baru yang berkualiti amat diperlukan di Liverpool dan mereka ini pasti tidak akan datang dengan harga yang murah. Pelaburan yang besar harus dilakukan oleh pemilik Liverpool dan jika masih enggan serta membutakan mata memekakkan telinga, jangan terkejut ada di antara pemain-pemain utama ini memilih untuk berpindah ke kelab lain. Juga cukup-cukuplah dengan polisi perlu menjual sebelum membeli yang telah diamalkan oleh Rafa Benitez semenjak 5 musim yang lalu. Polisi bodoh ini telah menyebabkan Liverpool kehilangan ramai pemain berbakat yang menjadi sasaran awal akibat lambat untuk bertindak di pasaran perpindahan pemain.


YNWA

Friday, March 19, 2010

Europa : Untung Ketawa Kemudian

Pedih mata masih terasa akibat tidak cukup tidur pada malam tadi. Tapi amat berbaloi untuk berjaga dan menyaksikan perlawanan dengan Lille pada awal pagi tadi. Berbaloi kerana perlawanan tersebut sungguh rancak dengan aksi serang-menyerang di antara kedua-dua pasukan. Gembira kerana Liverpool menang dengan keputusan 3-0 dan mara ke suku akhir Liga Europa pada musim ini. Penentuan untuk mengetahui siapa lawan Liverpool di suku akhir akan diketahui pada malam nanti apabila undian akan dilakukan di ibupejabat UEFA di Nyon, Switzerland. Diharapkan Liverpool mendapat undi yang baik untuk kali ini. Pada perlawanan awal pagi tadi, Liverpool harus berterima kasih kepada Kapitan Gerrard dan juga Torres a.k.a El Nino. Kemantapan gandingan ini semakin terserlah apabila Gerrard menyumbangkan satu gol manakala Torres pula menjaringkan dua gol (ya dua gol lagi). Kredit juga harus diberikan oleh rakan-rakan sepasukan yang lain seperti Babel, Mascherano, Carragher, Kuyt, Agger, Insua, Lucas, Johnson serta Reina (yang menyelamatkan Liverpool daripada percubaan Eden Hazard). Kesemua pemain bermain bersungguh-sungguh dan inilah yang akan kita tuntut semasa perlawanan dengan skuad syaitan pada hari Ahad nanti. Secara keseluruhan penguasaan Lille adalah lebih baik daripada Liverpool pada perlawanan ini. Mereka berjaya melakukan gerakan yang berbahaya ke kawasan Liverpool dengan corak umpanan pendek yang cukup berkesan. Namun ketajaman Torres, Gerrard serta Babel di dalam membuat gerakan ke arah pintu gol Lille adalah perbezaannya. Torres menggunakan sepenuhnya kealpaan benteng Lille (yang turut ghairah menyerang Liverpool) untuk menghukum mereka dengan dua gol di separuh masa kedua. Satu lagi gol dihasilkan oleh tendangan penalti Kapitan Gerrard pada separuh masa pertama (mengikat agregat 1-1 dengan Lille). Agak cemas kedudukan Liverpool ketika mendahului 2-0 di mana sebarang jaringan oleh Lille pasti akan menyukarkan lagi tugas Liverpool pada perlawanan ini. Lille kelihatan lebih banyak mengasak Liverpool pada kedudukan ini. Mujurlah benteng Liverpool mampu menahan serta menyerap asakan demi asakan daripada Lille sebelum Torres menjaringkan gol kedua peribadi beliau bagi memusnahkan terus sisa-sisa perjuangan Lille. Penjaga gol mereka Landreau perlu juga dipuji kerana banyak menghalang percubaan Liverpool melalui Torres, Gerrard, Babel serta Kuyt. Kini misi untuk ke suku akhir Liga Europa sudah tercapai. Sejauh mana kita mampu mara pada musim ini, sama-sama kita saksikan musim yang penuh dengan kesamaran ini. Tanpa banyak berbicara, kita tumpukan perhatian kepada perlawanan dengan skuad syaitan pada hari Ahad nanti.


YNWA

Thursday, March 18, 2010

Europa : Gempur Habis-Habisan

Setelah selesai memanaskan badan pada perlawanan menentang Pompey pada awal pagi hari Selasa yang lepas, Liverpool kini bersedia untuk menghadapi lawan yang lebih kental iaitu Lille. Perlawanan pada awal pagi nanti akan menyaksikan Liverpool cuba untuk menebus kekalahan yang diterima di bumi Perancis pada minggu lepas dan seterusnya layak ke pusingan suku akhir Liga Europa pada musim ini. Peminat-peminat Liverpool pasti mahukan kemenangan mutlak ke atas Lille pada perlawanan di Anfield ini. Mungkin Lille hadir di Anfield dengan penuh keyakinan kerana mereka mempunyai rekod yang baik di tempat lawan selain daripada mencapai kejayaan dengan menewaskan Liverpool sebelum ini. Mereka telah menjaringkan gol pada setiap perlawanan Liga Europa di tempat lawan pada pusingan-pusingan sebelum ini. Di media serta internet, mula kedengaran pemain-pemain mereka mahu menewaskan Liverpool di Anfield. Bunyinya mudah bukan? Atau hanya sekadar kata-kata semangat untuk menghadapi amukan Liverpool nanti. Kita biarkan Lille dengan cara mereka. Yang lebih penting adalah Liverpool perlu memberikan tekanan demi tekanan kepada Lille daripada awal perlawanan lagi. Saya yakin Liverpool akan bermain dengan corak pantas dan Lille akan lebih banyak bertahan untuk menyelamatkan diri. Mereka akan bergantung sepenuhnya kepada Eden Hazard, pemain yang menjadi inspirasi mereka ketika menang dengan Liverpool sebelum ini. Jika Hazard menjangkakan beliau boleh memperkotak-katikkan pertahanan Liverpool, maka bersedialah untuk menerima corak permainan sebenar bolasepak di Anfield nanti. Insua perlu lebih tangkas untuk menghalang Hazard, jika ini boleh dihentikan separuh daripada sumber hantaran ke bahagian depan Lille akan terhalang. Dan ini akan memudahkan Liverpool untuk mengawal permainan serta melakukan serangan. Kelibat Aquaman diragui namun kita harapkan beliau dapat beraksi pada perlawanan ini. Kuyt juga dilaporkan akan kembali mengisi sayap kanan dan kelibat Benayoun mungkin akan kelihatan di atas padang setelah berehat pada perlawanan dengan Pompey sebelum ini. Kapitan Gerrard dan Torres kini sudah bersedia untuk menggempur Lille pada awal pagi nanti. Mungkin ini akan menjadi malam paling sibuk buat penjaga gawang Lille, Mickael Landreau. Johnson kelihatan semakin cergas setelah kembali dari kecederaan dan kudrat Mascherano dituntut untuk menguasai bahagian tengah. Reina, Agger dan Carragher melengkapkan bahagian pertahanan bersama-sama Insua. Jika bermain penuh semangat dan usaha untuk menjaringkan gol seperti di perlawanan dengan Pompey, tidak mustahil benteng Lille akan bocor pada perlawanan awal pagi nanti. Namun barisan pertahanan tidak harus lupa, Lille cukup berbahaya apabila melancarkan serang balas. Kukuhkan pertahanan, maka peluang Liverpool untuk mara adalah lebih baik. Lille perlu dihalang daripada memperolehi jaringan di tempat lawan yang boleh memberikan kelebihan kepada mereka. Saya yakin Liverpool akan mampu mengatasi Lille pada perlawanan ini. Dengan bantuan pemain ke 12 di Anfield, Liverpool akan layak ke suku akhir Liga Europa musim ini. Saya berharap Liga Europa ini akan menjadi kejuaraan pertama Torres bersama-sama Liverpool. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang bakal diturunkan oleh Rafa Benitez pada perlawanan ini nanti :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON CARRAGHER AGGER INSUA

AQUILANI MASCHERANO

KUYT GERRARD BENAYOUN

TORRES

Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres dan Gerrard.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro SuperSport Rangkaian 811

19/03/10 Jam 0400 Pagi


YNWA

Wednesday, March 17, 2010

Torres : Menuju Globalisasi

Liverpool kini dikhabarkan telah bersedia untuk menawarkan kontrak baru kepada penyerang utama Fernando Torres. Kontrak baru ini dilaporkan akan memberi tambahan pendapatan kepada Torres melalui perjanjian baru ke atas pendapatan daripada pengiklanan komersial beliau. Torres ditawarkan untuk menjadi ikon global kepada imej Liverpool di seluruh dunia. Liverpool kini telah memulakan rundingan dengan penasihat Torres mengenai tawaran kontrak baru ini. Penyerang utama Sepanyol ini dilaporkan akan menikmati peningkatan pendapatan berganda melalui tawaran kontrak baru ini. Beliau yang telah memperbaharui kontrak Liverpool pada musim panas yang lepas akan mendapat durian runtuh selepas Piala Dunia nanti jika bersetuju dengan kontrak baru ini. Liverpool kini berusaha sedaya upaya untuk menghalang bidaan mega daripada kelab penyamun seperti citeh daripada cuba untuk mendapatkan Torres. Amat penting untuk Liverpool mengekalkan Torres kerana selain daripada menjadi nadi penting untuk pasukan, Torres akan menjadi aset berharga Liverpool bagi menarik pelabur baru ke Anfield. Torres bakal menjadi pemain yang paling tinggi pendapatannya daripada pengiklanan komersial di dalam sejarah Liverpool dan mengukuhkan lagi status beliau sebagai hero Liverpool serta membantu meningkatkan populariti Liverpool di peringkat global.


YNWA

Tuesday, March 16, 2010

BPL : Mampu Lebih Baik

Ya Liverpool kembali menang! Kepada rakan-rakan yang menonton perlawanan tersebut di pagi hari Selasa yang lalu, pasti akan terasa seperti Liverpool menjelaskan hutang yang tertunggak pada minggu-minggu sebelum ini. Cabaran berikutnya adalah untuk berjaga pada awal pagi Jumaat nanti untuk menyaksikan perlawanan menentang Lille di Anfield. Diharapkan Liverpool mampu meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan ini dan seterusnya layak ke suku akhir Liga Europa nanti. Saya gembira dengan kemenangan 4-1 ke atas Pompey. Gembira kerana Liverpool mampu untuk menjaringkan gol setelah disekat pada dua perlawanan sebelumnya. Namun seperti kata pengulas, perlawanan dengan Pompey tidak boleh dianggap benchmark kepada prestasi sebenar Liverpool. Kenapa? Ini kerana Pompey adalah jelas bukanlah pencabar yang mampu mengugat Liverpool disebabkan oleh pelbagai masalah yang timbul di kelab tersebut. Jika diikutkan prestasi sebenar Liverpool, Pompey mungkin akan diratah dengan tujuh atau lapan jaringan oleh Liverpool. Terlalu banyak peluang yang dipersia-siakan oleh pemain Liverpool pada perlawanan ini. Dan ini menunjukkan banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh pemain-pemain Liverpool menjelang pertemuan dengan Lille dan juga skuad syaitan pada hujung minggu nanti. Pompey pada perlawanan ini kelihatan agak kebal pada separuh masa pertama sehinggalah penjaga gol mereka membuat kesilapan dan menghadiahkan bola kepada Kapitan Gerrard dan bola disambar Maxi sebelum membuat lorongan kepada Torres untuk gol pertama Liverpool. Selepas gol pertama inilah, Liverpool baru kelihatan lebih berselara untuk melakukan serangan dan benteng Pompey semakin lemah dengan tekanan demi tekanan daripada Liverpool. Hasilnya Babel dan Aquilani berjaya menambahkan jaringan buat Liverpool dengan separuh masa pertama berkahir pada kedudukan 3-0. Aquilani a.k.a Aquaman membuktikan bahawa beliau layak untuk bermain di kesebelasan utama Liverpool dengan larian serta umpanan cantik kepada barisan depan Liverpool. Walaupun kita gembira dengan jaringan sulung Aquilani untuk Liverpool di Kop End, kita harus ingat bahawa perlawanan ini tidak memberikan banyak tekanan kepada Liverpool. Kita tidak mahu Aquilani hanya mampu beraksi dengan baik ketika bertemu lawan yang lemah dan terkapai-kapai jika beraksi menentang lawan yang lebih kuat. Untuk mengelakkan perkara tersebut, Aquilani perlu diturunkan dengan sekerap mungkin (secara bergilir-gilir) untuk menajamkan kembali sentuhan pemusnah beliau. Banyak umpanan cantik dan berbahaya daripada pemain tengah Itali ini dan beliau juga tidak malas untuk membantu barisan pertahanan. Kapitan Gerrard dan juga Torres (2 gol kali ini) kembali kepada prestasi terbaik mereka pada perlawanan ini. Diharapkan dengan semangat yang kembali berkobar-kobar ini, Liverpool akan terus mempamerkan aksi yang lebih bertenaga pada musim yang berbaki selama dua bulan sahaja lagi.


YNWA

Monday, March 15, 2010

Vargas : Dapatkan Pemain Ini

Liverpool kini dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap Fiorentina dan skuad antarabangsa Peru Juan Manuel Vargas. Menurut laporan awal yang diterima, Liverpool melalui wakilnya di Itali sedang cuba untuk membuka ruang perbincangan dengan Fiorentina sebelum musim perpindahan bermula pada musim panas nanti. Antara langkah awal yang diambil oleh Liverpool adalah untuk mengetahui samada Vargas dibenarkan berpindah oleh Fiorentina. Perkara ini amat penting sebelum Liverpool meneruskan usaha untuk mendapatkan Vargas pada musim panas nanti. Ahli-ahli lembaga pengarah Liverpool dilaporkan cukup tertarik dengan persembahan Vargas pada musim terutama sekali ketika beliau beraksi di Anfield bersama-sama Fiorentina di Liga Juara-Juara Eropah. Pencarian Liverpool ini dikaitkan dengan pemergian Aurelio daripada Anfield. Pemain sayap Brazil ini dikhabarkan tidak akan ditawarkan kontrak baru kerana rekod kecederaan beliau yang agak serius. Vargas dikatakan akan menggantikan tempat Aurelio di kesebelasan utama Liverpool. Untuk rekod, Liverpool pernah menimbangkan untuk mendapatkan Vargas ketika beliau beraksi dengan Catania namun memilih untuk mendapatkan Andrea Dossena sebagai pemain sayap/pertahanan kiri. Saya pasti agak sukar untuk mendapatkan Vargas kerana Fiorentina pasti tidak akan menjual salah seorang pemain terbaik mereka. Untuk mengelakkan sebarang perpindahan berlaku, Fiorentina dijangkakan akan meletakkan harga perpindahan yang tinggi untuk Vargas. Pemain antarabangsa Peru ini menyertai Fiorentina daripada Catania pada tahun 2008.


YNWA

Sunday, March 14, 2010

Kelly : Pelajaran Dan Pengalaman

Pemain pertahanan muda Liverpool Martin Kelly memberitahu semakin banyak perkara serta pengalaman yang dipelajari beliau apabila berlatih dengan pemain-pemain utama Liverpool. Kelly yang kini telah pulih daripada kecederaan panjang telah kembali ke skuad utama Liverpool. Kelly juga memberitahu beliau akan mempergunakan sepenuhnya peluang ang diberikan oleh pengurus Rafa Benitez untuk membuktikan kemampuannya di Anfield. Walaupun sukar untuk buat pemain tempatan kerana ramai pemain yang telah menyertai Liverpool daripada liga luar England, Kelly tidak menganggap itu satu halangan untuk beliau berjaya di Liverpool. Pemain muda Liverpool ini amat meminati rakan sepasukan beliau iaitu Glen Johnson kerana beliau merupakan pemain pertahanan kanan utama Liverpool dan juga England. Peluang untuk berlatih dengan Johnson akan memantapkan lagi permainan Kelly di masa hadapan. Kelly tidak akan menukarkan apa yang beliau ada sekarang dengan apapun dan beliau amat gembira dapat berlatih serta bermain dengan Johnson. Dari segi pengalaman, Kelly banyak belajar daripada pemain pertahanan senior Liverpool, Jamie Carrgaher. Di dalam pada itu beliau tidak menafikan bahawa bekas pemain pertahanan Liverpool Steve Finnan banyak memberi tunjuk ajar serta semangat ketika Kelly mula-mula menyertai Liverpool. Sudah tiba masanya untuk Rafa Benitez untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain muda seperti Kelly. Persembahan mantap beliau ketika menentang Lyon membuktikan bahawa Liverpool tidak ketandusan pemain berbakat. Siapa tahu mungkin Kelly akan bangkit menjadi pemain tempatan terbaik selepas Carragher dan Gerrard.


YNWA

Saturday, March 13, 2010

BPL : Misi Tebus Maruah

Walaupun masih berasa kecewa dengan persembahan Liverpool pada minggu sebelum ini, saya gagahkan juga untuk menulis mengenai perlawanan liga perdana inggeris menentang Portsmouth a.k.a Pompey di Anfield pada awal pagi Selasa nanti. Sungguh kecewa melihat persembahan pada perlawanan menentang Wigan dan juga Lille. Tidak kelihatan seperti pasukan Liverpool yang sebenar pada kedua-dua perlawanan tersebut. Cukuplah dengan kekecewaan kerana kedua-dua perlawanan tersebut telah berlalu dan kini pemain-pemain Liverpool harus lebih fokus kepada perlawanan dengan Pompey ini sebelum melayan kunjungan Lille di Anfield pada awal pagi Jumaat nanti. Liverpool harus menggunakan sepenuhnya kesempatan bermain di tempat sendiri untuk mencari kemenangan. Bermula dengan perlawanan menentang Pompey, Liverpool harus bangkit daripada mimpi. Masa semakin menghimpit dan ini bukan masanya untuk jalan-jalan cari makan di atas padang. Tiga mata muktamad harus menjadi milik Liverpool dan sebarang keputusan selain daripada kemenangan menandakan musibah kini sudah menimpa Liverpool. Paling utama pada perlawanan ini adalah untuk pemain-pemain Liverpool mula mengubah sikap mereka di atas padang. Cukuplah dengan kerenah demi kerenah seperti tidak berpuas hati dengan pengadil, kurang untuk bersaing dengan lawan untuk mendapatkan bola serta corak permainan yang kucar kacir seperti umpanan berterabur kepada pihak lawan (cukup jelas kesilapan ini) serta penyudah yang tumpul di hadapan gol. Untuk perlawanan dengan Pompey ini, hanya Benayoun yang dilaporkan akan menjalani ujian kecergasan menjelang perlawanan manakala Agger dibenarkan beraksi di kesebelasan utama. Sudah tiba masanya untuk Rafa menurunkan Alberto Aquilani bagi membantu bahagian tengah serta hadapan yang kelihatan tidak cukup kreatif untuk membuat gerakan ke kubu lawan. Saya menjangkakan penyerang utama Liverpool Fernando Torres serta Kapitan Gerrard akan mengegarkan Pompey pada awal pagi Selasa nanti. Walaupun Pompey berada di kedudukan tercorot liga perdana inggeris, jika memandang rendah keupayaan mereka, jangan terkejut apa yang berlaku di Wigan boleh kembali berulang. Rafa harus tahu Pompey pasti akan bermain dengan 10 pertahanan di dalam usaha mereka untuk mencuri mata. Jesteru itu, taktikal berkesan harus digunakan untuk menembusi gawang mereka seawal yang mungkin. Liverpool harus menebus aib yang diterima apabila ditewaskan oleh Pompey di kandang mereka sebelum ini. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang bakal diturunkan oleh Rafa Benitez untuk perlawanan ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON CARRAGHER AGGER INSUA

AQUILANI MASCHERANO

KUYT GERRARD RODRIGUEZ

TORRES

Keputusan : 3-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres, Kuyt dan Gerrard.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

16/03/10 Jam 0354 Pagi


YNWA

Friday, March 12, 2010

Mascherano : Kami Mampu Bangkit

Pemain tengah Liverpool Javier Mascherano menegaskan Liverpool tidak berada di dalam krisis selepas tewas dua kali berturut-turut. Setelah kecundang kepada Wigan, Liverpool ditewaskan oleh Lille di bumi Perancis pada awal pagi Jumaat yang lepas. Mascherano bagaimanapun menyatakan Liverpool tidak bernasib baik untuk tewas kepada Lille kerana menurut beliau perlawanan tersebut adalh berbeza dengan perlawanan menentang Wigan. Setelah berkerja keras di Lille, Liverpool hanya tewas melalui tendangan bebas yang diambil oleh pemain sayap lincah mereka Eden Hazard. Mascherano menyatakan mereka tahu tahap permainan di Wigan adalah tidak dapat diterima sama sekali namun ketika di Lille keadaan adalah berbeza kerana Liverpool mampu mencipta peluang namun gagal menyudahkan peluang yang terhidang. Mascherano yakin Liverpool mampu bangkit di Anfield dan pertemuan ini masih belum berakhir. Samada berjaya atau tidak, pemain-pemain Liverpool perlu membuktikan kepada para peminat yang mereka masih mempunyai semangat untuk berjuang pada musim ini. Tumpukan perhatian kepada tugas untuk menewaskan Lille di Anfield dan kurangkan sikap tidak berpuas hati kepada pengadil yang jelas akan mengganggu persembahan Liverpool di atas padang.


YNWA

Thursday, March 11, 2010

Carragher : TUJUH Lagi Diperlukan

Pemain pertahanan senior Liverpool Jamie Carragher percaya kini wujud jurang yang cukup besar di antara Liverpool dan pencabar-pencabar kejuaraan liga perdana inggeris yang lain pada musim ini. Dan dengan jujur, Carra menyatakan Liverpool memerlukan sekurang-kurangnya TUJUH lagi pemain baru untuk memastikan jurang tersebut dikurangkan pada musim hadapan. Bagi Carra musim ini akan menjadi lebih positif jika Liverpool berjaya menempatkan diri di Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan dan juga menjuarai Liga Europa. Jika kedua-duanya berjaya dicapai pada musim ini, Liverpool perlu meneruskan persediaan untuk musim hadapan. Carra tahu, skuad yang ada sekarang boleh bermain dengan lebih baik dan penambahan dua atau tiga pemain yang mampu memberikan impak kepada perlawanan serta tiga atau empat pemain lagi diperlukan untuk melengkapkan pasukan. Carra berpendapat enam atau tujuh pemain baru mampu untuk memberikan wajah yang lebih segar untuk skuad Liverpool musim hadapan. Para peminat telah lama mahukan lebih ramai pemain berkualiti diserapkan ke dalam skuad Liverpool. Persoalannya, sejauh mana Rafa akan diberikan bantuan untuk mendapatkan pemain-pemain ini?


YNWA

Wednesday, March 10, 2010

Europa : Kepantasan Senjata Lille

Kekecewaan ketika menentang The Latics pada awal pagi Selasa yang lalu harus dilupakan secepat mungkin. Ini kerana tugas berat kini menanti Liverpool di dalam perlawanan yang berikutnya. The Reds akan berkunjung semula ke bumi Peranchis untuk menentang pasukan Ligue 1 Lille di dalam saingan Liga Europa pada awal pagi Jumaat nanti. Ini merupakan pertemuan pertama di antara kedua-dua pasukan di Liga Europa. Liverpool harus berhati-hati dengan dengan Lille ini kerana mereka cukup kebal di gelanggang sendiri dengan lima kemenangan pada lima perlawanan terakhir di dalam Liga Europa dengan kemenangan terbaru 2-1 ketika menewaskan Fenerbache di pusingan sebelum ini. Selain daripada itu, Lille memiliki pemain sayap berbisa iaitu Eden Hazard. Pemain muda Belgium ini cukup tangkas dan memiliki kepantasan larian yang boleh membahayakan barisan pertahanan Liverpool. Diharapkan pengurus Liverpool Rafa Benitez boleh melakukan beberapa perubahan kepada pemain kesebelasan utama yang akan diturunkan beliau pada perlawanan ini. Jika masih kekal dengan barisan pemain yang sama ketika menentang Wigan tempohari, kita bakal berdepan dengan masalah untuk menhadapi Lille yang bermain dengan corak serangan pantas. Perubahan taktikal amat diperlukan pada perlawanan ini kerana Lille adalah bukan Wigan dan mereka pasti akan bermain bermati-matian di hadapan penyokong mereka sendiri. Mungkin kelibat Aquilani diperlukan pada perlawanan ini kerana Liverpool perlukan seorang lagi pemain kreatif di bahagian tengah selain daripada kapitan Gerrard. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang bakal diturunkan oleh Rafa Benitez pada perlawanan pada awal pagi Jumaat nanti :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON CARRAGHER KYRGIAKOS INSUA

AQUILANI MASCHERANO

KUYT GERRARD BENAYOUN

TORRES

Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro SuperSport Rangkaian 811

11/03/10 Jam 0155 Pagi


YNWA

Tuesday, March 9, 2010

BPL : Perubahan Taktikal Diperlukan

Banyak komen negatif yang timbul apabila Liverpool tewas kepada skuad The Latics tempohari. Bagi saya, itu satu perkara yang tidak mustahil yang boleh berlaku kerana kita harus faham yang skuad The Latics ini cukup berbahaya apabila bermain di kandang mereka sendiri bersama-sama penyokong mereka sendiri. Jika dilihat pada rekod Liverpool di DW Stadium ini, sukar untuk mendapatkan kemenangan di tempat ini kerana Wigan bermain cukup baik setiap kali bertemu Liverpool. Harus kita ingat, di DW Stadium inilah antara tempat Liverpool kehilangan mata di dalam pemburuan liga perdana inggeris pada musim lepas. Selain daripada itu, pemain-pemain Liverpool bermain tidak cukup yakin dengan kemampuan pasukan. Umpanan yang banyak dihalakan kepada pihak lawan selain daripada kurang berselera untuk merampas bola daripada pihak lawan. Torres dan Gerrard juga tidak dapat beraksi dengan baik tanpa sokongan rakan-rakan sepasukan yang lain. Cukuplah dengan eksprimen untuk meletakkan Monster Masch di bahagian pertahanan kanan. Beliau memang bermain dengan baik di posisi tersebut tetapi kemahiran beliau hanyalah terbatas di bahagian kanan padang sahaja. Sudah tiba masanya Rafa meletakkan Masch kembali ke bahagian tengah bersama-sama Gerrard dan memberikan masa tidur yang lebih banyak kepada Lucas di bangku simpanan atau lebih baik simpan sahaja di loker persalinan Melwood. Liverpool memerlukan Masch di bahagian tengah untuk menghalang gerakan awal pasukan lawan daripada tengah padang. Di bahagian pertahanan kanan kini boleh diisi kembali oleh Glen Johnson ataupun pemain muda Martin Kelly. Jika Agger telah pulih, Carragher boleh mengisi posisi tersebut buat sementara waktu. Saya tidak mahu banyak komen mengenai perlawanan ini kerana persembahan Liverpool tidaklah sebaik yang dijangka. Sebelum terlupa, persiapan pemain Liverpool juga mungkin sedikit terganggu dengan perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini. Mungkin bukan faktor utama tetapi ianya sebahagian daripada punca kepada persembahan lesu Liverpool pada perlawanan ini. Lupakan perlawanan ini, The Reds harus memandang ke hadapan bermula dengan perlawanan Liga Europa menentang pasukan Ligue 1 Peranchis Lille di kandang lawan pada awal pagi Jumaat nanti.


YNWA

Monday, March 8, 2010

Riera : Sisih Atau Cedera?

Pening bila membaca berita di media dan juga internet. Pening kerana cukup mudah untuk pihak-pihak media membuat sesuatu kesimpulan apabila ianya membabitkan pasukan Liverpool. Terbaru mereka menyatakan pemain sayap Sepanyol Albert Riera kini bakal dijual pada musim panas nanti apabila beliau dikatakan tidak diketepikan daripada kesebelasan utama Liverpool setelah kembali pulih daripada kecederaan. Mereka juga menyatakan Rafa mahukan modal dari penjualan Riera untuk membeli pemain baru nanti. Setahu saya sebagai peminat Liverpool, Riera hanya bermain di beberapa sahaja perlawanan Liverpool pada musim ini dan nasib beliau tidak cukup baik pada musim ini kerana dihantui oleh kecederaan hamstring yang membawa kepada rehat selama enam minggu. Saya akui persembahan beliau tidak sebaik musim lepas namun untuk melepaskan Riera tanpa mahu memberi peluang kepada beliau untuk membuktikan kemampuan adalah satu langkah yang tidak cukup bijak. Kita semua tahu Riera adalah pemain sayap kiri yang cukup berbakat untuk Liverpool sehingglah kecederaan menganggu prestasi beliau. Bukan mudah untuk bangkit daripada kesan kecederaan jangka panjang umpama minum cendol di tepi jalan. Walaupun Rafa telah mendapatkan khidmat Maxi Rodriguez pada Januari lepas dan prestasi Babel semakin meningkat (masih belum cukup baik buat saya), masih ada lagi pemain lain yang prestasinya hanyalah sekadar cukup makan (anda tahu siapa yang saya maksudkan) dan boleh dijual lebih awal pada musim panas ini. Walaupun apa spekulasi di media, Riera perlu diberi peluang untuk bersaing di kesebelasan utama atau Rafa kini mahukan beliau memperbaiki kecergasannya sebelum dibenarkan bermain semula. Selain daripada itu, Riera juga tidak dipanggil untuk menyertai skuad antarabangsa Sepanyol ketika menentang Perancis pada pertengahan minggu lepas.


YNWA

Sunday, March 7, 2010

BPL : Onak Dan Duri Di DW Stadium

Liverpool akan berkunjung ke DW Stadium pada awal pagi Selasa nanti untuk bertemu dengan Wigan Athletic a.k.a The Latics. Pada pertemuan sebelum ini di Anfield, Liverpool berjaya menumpaskan The Latics dengan jaringan 2-1. Ramai di antara peminat Liverpool beranggapan mudah untuk The Reds mengutip tiga mata berdasarkan prestasi semasa pasukan. Walaupun begitu, Liverpool tidak harus memandang rendah pasukan kendalian rakan senegara Rafa Benitez ini iaitu Roberto Martinez. Pengalaman lalu ketika menentang skuad The Latics ini harus dijadikan ingatan. Wigan di kala ini berada di tahap prestasi yang agak mendatar dan berbeza dengan Liverpool yang kini semakin mantap untuk bersaing bagi merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan. Di atas kertas, kemenangan dan tiga mata seharusnya menjadi milik Liverpool tetapi kita tidak harus tertipu dengan kedudukan kedua-dua pasukan di carta liga perdana buat masa kini. Saya percaya Wigan yang beraksi di kandang sendiri dengan sepenuh kekuatan (hampir semua pemain utama mereka telah pulih dari kecederaan) tidak akan memberi laluan mudah kepada Liverpool. Mereka pasti mahu menang kerana selain bermain di hadapan penonton sendiri, mereka kini mahu menjauhkan diri daripada zon penyingkiran liga perdana inggeris. Jika bermain sambil lewa, pasti bala yang akan menimpa The Reds nanti. Liverpool diperkuatkan semula dengan kehadiran Kyrgiakos dan Johnson di bahagian pertahanan. Kyrgiakos telah menamatkan penggantungan perlawanan dan Johnson kini kembali ke kesebelasan utama setelah cedera pada penghujung Disember yang lepas. Pemain pertahanan Denmark, Daniel Agger juga diberitakan boleh beraksi untuk perlawanan ini. Tiada sebarang perubahan pada bahagian tengah dan serangan di mana semua pemain utama Liverpool kembali ke Anfield tanpa sebarang kecederaan setelah mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa pada minggu lepas. Saya menjangkakan Liverpool akan menerima tentangan sengit di DW Stadium tetapi masih yakin tiga mata mampu dibawa pulang jika pemain-pemain fokus pada perlawanan ini serta tidak mudah tunduk kepada tekanan. Rafa Benitez juga harus maklum, besar kemungkinannya Wigan akan menggunakan kekuatan fizikal mereka di dalam perlawanan ini. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang bakal diturunkan Rafa Benitez pada perlawanan ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

CARRAGHER AGGER KYRGIAKOS INSUA

AQUILANI MASCHERANO

KUYT GERRARD BENAYOUN

TORRES

Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

09/03/10 Jam 0355 Pagi


YNWA