Sunday, November 22, 2009

Torres : Duit Bukan Segalanya

Berita terbaru yang diterima dari England menyatakan citeh mahu membeli Torres jika berjaya menewaskan Liverpool untuk menjadi empat pasukan terbaik di liga perdana inggeris. Sungguh tidak berotak pasukan citeh ini, telah dinyatakan dengan jelas Liverpool dan juga Rafa tidak akan menjual Torres pada sebarang harga. Apatah lagi untuk menjual Torres kepada musuh liga perdana. Torres juga telah menyatakan beliau tidak akan bermain untuk mana-mana pasukan liga inggeris termasuklah manyoo, jambatan runtuh, senapang dan apatah lagi citeh. Hanya dua pilihan yang dinyatakan oleh Torres jika beliau meninggalkan Anfield iaitu kembali bermain di Atletico atau menyertai Serie A. Ada dinyatakan di mana-mana bahagian mengenai citeh? Mengenai duit? Jangan bermimpi untuk mendapatkan Torres kerana tawaran sehebat Kaka pun belum tentu akan diterima Liverpool atau Torres sendiri. Torres juga tidak mahu mengkhianati peminat-peminat Liverpool di seluruh dunia. Torres yang kita semua kenali adalah merupakan seorang pemain yang amat rapat dan dihormati oleh peminat-peminat Liverpool. Duit tidak akan dapat mengatasi hubungan ini dan Torres kini merupakan antara ikon lagenda Liverpoool setaraf dengan Kapten Steven Gerrard. Saya sedar Torres tidak akan selamanya bersama-sama Liverpool tetapi saya amat pasti pasukan yang akan disertai Torres bukanlah citeh. Mungkin ramai pemain bolasepak tamak haloba dan bermata duitan seperti pemain-pemain yang ada di citeh namun bukan semua pemain boleh dibeli dengan duit. Contoh terbaik adalah Kaka dan juga Torres. Jika El Nino tamakkan duit, sudah lama beliau akan bermain di galaktikus, manyoo atau skuad jambatan runtuh. Tetapi beliau memilih untuk menyertai Liverpool dan berjuang pemain-pemain yang rata-ratanya bertaraf sederhana.


YNWA

Saturday, November 21, 2009

BPL : Bangkitlah Pahlawan Merah


Semakin besar gebangan pasukan citeh ini nampaknya. Dan semakin busuklah mulut-mulut pencacai-pencacai citeh ini. Dengan berlagaknya si lembab Hughes, si lembik Wright-Phillips, si huduh perangai Tevez serta si tempang Santa Cruz mahu melaukkan Liverpool di Anfield. Sebelum ini si takdak otak Zabaleta telah menyerang Liverpool dengan ungkapan belas kasihan. Angkuh sungguh pasukan yang memang terkenal dengan sikap tamak haloba serta bermata duitan para pemainnya. Saya rasa pemain-pemain manyoo, skuad jambatan runtuh serta skuad senapang pun tidak berani menghina Liverpool sedemikian rupa. Pasukan-pasukan utama liga perdana inggeris ini tahu jika semakin banyak hinaan yang dilemparkan kepada Liverpool maka semakin sukarlah tugas mereka di Anfield. Sungguh kurang ajar pasukan yang digelar citeh ini. Bagi saya, teruskanlah hinaan anda semua ke atas Liverpool, saya amat yakin setiap pemain Liverpool mahu menjawab hinaan anda tersebut di atas padang pada malam ini. Hinaan demi hinaan ini pasti akan menyemarakkan semangat pemain-pemain Liverpool di atas padang Anfield. Saya tidak mahu mengulas banyak tetapi ingatlah kata-kata saya ini, kita akan menyaksikan antara persembahan terbaik Liverpool musim ini pada malam nanti. Kredit untuk pemain-pemain Liverpool kerana tidak banyak bersuara di media dan lebih menumpukan perhatian kepada latihan untuk persediaan perlawanan ini. Kita lebih suka untuk menjawab melalui persembahan kita di atas padang Anfield nanti. Biarlah kita lebih banyak menutup mulut sebelum perlawanan kerana tiada guna membuang masa dan tenaga membuat perkara-perkara yang tidak berfaedah kepada pasukan. Kepada citeh, bersedia untuk menghadapi tentangan paling sengit ke atas kamu pada musim ini!!!


YNWA

Friday, November 20, 2009

BPL : Ayuh Gempur Citeh!

Perlawanan menentang citeh pada hari Sabtu ini adalah medan terbaik buat The Reds untuk menutup mulut-mulut busuk pemain-pemain yang kononnya “bintang” di dalam skuad jiran sekampung manyoo ini. Masakan tidak dua minggu sebelum perlawanan ini bermula, sudah pemain mereka yang jelas memperlekehkan Liverpool dengan berkata mereka tidak akan memberikan belas kasihan ke atas Liverpool. Bercakap seolah-olah telah beratus kali menjadi juara liga inggeris atau juara Liga Juara-Juara Eropah lagaknya. Tak mengapa jika mulut mereka busuk-sebusuknya, seperti yang saya tulis sebelum ini, mari kita mengajar mereka cara bermain bolasepak sebenarnya di Anfield Sabtu ini. Mereka berlagak agaknya sebab mampu menewaskan senapang dan tewas tipis kepada manyoo sebelum ini. Mungkin dengan rasa megah sebegitu, mereka rasakan skuad mereka yang mahal ini mampu dengan mudah melaukkan Liverpool. Kita tinggalkan skuad bermata duitan ini dan tumpukan kepada persiapan pasukan kita pada perlawanan ini.

Liverpool pada perlawanan ini dijangkakan akan membuat sedikit perubahan di dalam kesebelasan utamanya. Dengan beberapa pemain utama yang telah pulih daripada kecederaan dan cergas sepenuhnya kerana telah berehat selama dua minggu daripada menyertai perlawanan antarbangsa, Liverpool dijangkakan akan dapat menurunkan pemain yang lebih cergas berbanding citeh. Kapten Steven Gerrard, pemain pertahanan Daniel Agger dan Glen Johnson dilaporkan kini bersedia untuk diturunkan pada perlawanan ini setelah pulih daripada kecederaan. Penyerang utama Fernando Torres dijangka tidak dapat berkasi sepenuhnya tetapi masih berpeluang untuk disenaraikan di bangku simpanan. Pemain sayap Riera dan Benayoun masih belum pulih dari kecederaan dan kini masih menjalani rawatan. Manakala Jamie Carragher masih menjalani penggantungan perlawanan akibat kad merah yang diterima sewaktu menentang Fulham. Pemain tengah Javier Mascherano dan Lucas pula tidak terbang ke Amerika Selatan kerana perlawanan persahabatan antarabangsa mereka hanya diadakan di Eropah dan juga Asia. Perjalanan yang lebih pendek dan masa rehat yang lebih diperolehi oleh kedua-dua pemain tengah Liverpool ini. Jika kita semua bernasib baik, mungkin kita akan berpeluang untuk melihat kelibat pemain tengah terbaru The Reds, Alberto Aquilani membuat penampilan sulung daripada kesebelasan utama setelah masuk sebagai pemain gantian sebelum ini. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain-pemain kesebelasan utama yang bakal diturunkan oleh Rafa Benitez di dalam perlawanan pada hari Sabtu ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER SKRTEL INSUA

LUCAS MASCHERANO

KUYT AQUILANI GERRARD

TORRES


Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Gerrard dan Kuyt.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

21/11/09 Jam 0845 Malam


YNWA

Thursday, November 19, 2009

LFC : Gerrard, Agger Dan Johnson Pulih

Rehat selama dua minggu telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengurus Liverpool, Rafa Benitez. Di dalam tempoh masa tersebut, Rafa telah melihat perkembangan positif terhadap masalah kecederaan yang dialami oleh pemain-pemain kesebelasan utamanya. Positif apabila beliau menerima perkhabaran pemain-pemain utama beliau seperti Daniel Agger, Kapten Steven Gerrard dan juga pemain pertahanan kanan, Glen Johnson kini telah pulih dan bakal beraksi semasa perlawanan menentang citeh pada hari Sabtu nanti. Kepulangan kapten Liverpool, Steven Gerrard amatlah dinantikan oleh para peminat Liverpool setelah beliau terpaksa diketepikan di dalam beberapa perlawanan penting sebelum ini kerana kecederaan. Membuat penampilan sebagai pemain gantian pada perlawanan menentang Birmingham pada minggu lepas, Gerrard kini dilaporkan pulih sepenuhnya dan kini bersedia untuk menggempur citeh di Anfield nanti. Pemain pertahanan Denmark, Daniel Agger yang diketepikan daripada skuad antarabangsa disebabkan kecederaan belakangnya kini telah bersedia untuk mengemudi benteng Liverpool setelah pulih daripada kecederaan tersebut. Begitu juga dengan pemain pertahanan England Glen Johnson yang dilaporkan kini sudah mula berlatih di Melwood dan beliau bersedia untuk beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Namun, penyerang utama Liverpool Fernando Torres dilaporkan masih menjalani rawatan dan beliau kini hanya menjalani latihan ringan. Torres berkemungkinan tidak diturunkan kerana belum cergas sepenuhnya namun jika beliau dapat berada di bangku simpanan itu sudah merupakan satu bonus kepada Liverpool. Pengganti beliau, David Ngog dilaporkan bersedia untuk diturunkan walaupun mengalami kecederaan hidung. Dua pemain sayap Liverpool Riera dan Benayoun turut menerima berita gembira kerana mereka dijangkakan akan pulih kurang daripada masa yang dijangkakan iaitu 6 minggu. Mereka dikatakan akan pulih di dalam masa di antara 3-4 minggu. Pemain pertahanan muda Liverpool, Martin Kelly pula dilaporkan akan terus menjalani proses pemulihan terhadap kecederaan buku lali yang dialaminya semasa menentang Lyon di Anfield dahulu.


YNWA

Wednesday, November 18, 2009

Totti : Aquilani Bakal Menyinar

Bekas rakan sepasukan Alberto Aquilani di AS Roma, Francesco Totti telah memuji pemain tengah terbaru Liverpool ini dan beliau yakon Aquilani akan berjaya dengan Liverpool di England. Pemain berusia 25 tahun ini yang telah menyertai Liverpool dari Roma pada musim panas lepas belum dapat bermain sepenuhnya di atas padang disebabkan kecederaan buku lali tetapi Totti tahu apa yang mampu ditawarkan oleh Aquilani setelah 7 tahun bermain dengan beliau di Roma. Menurut Totti, Aquilani adalah pemain sangat berbakat dengan kemahiran teknikal yang tinggi serta pemahaman yang baik mengenai permainan bolasepak. Aquilani mempunyai tendangan yang hebat dengan kedua-dua belah kakinya, tambah Totti lagi. Namun Totti berpendapat Aquilani tidak bernasib baik dengan kecederaan yang menimpa dan ini menghalang beliau memperlihatkan bakatnya di atas padang untuk membuktikan kebijaksanaan beliau sebagai seorang jeneral di atas padang. Berikan sedikit masa untuk Aquilani menyesuaikan diri dengan corak permainan Liverpool dan Liga Perdana Inggeris, pelaburan ke atas beliau pasti akan membuahkan hasil.


YNWA

Tuesday, November 17, 2009

Kjaer : Merintis Jalan Ke Anfield

Rakan sepasukan skuad antarabangsa Denmark Daniel Agger iaitu pemain pertahanan tengah Palermo, Simon Kjaer telah dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab gergasi Eropah termasuklah Liverpool pada musim panas akan datang. Kelab-kelab lain yang dilaporkan berminat untuk mendapatkan Kjaer adalah manyoo, chel dan juga Juventus. Pemain pertahanan tengah yang berusia 20 tahun ini telah muncul antara pemain pertahanan tengah terbaik di Serie A dan beliau berkemungkinan akan menerajui benteng Denmark di Piala Dunia 2010 pada musim panas akan datang bersama-sama Daniel Agger. Kjaer mengakui beliau berminat untuk menyertai salah satu daripada kelab-kelab gergasi Eropah selepas tamatnya Piala Dunia 2010 nanti. Palermo juga telah mengesahkan bahawa terdapat minat daripada kelab-kelab inggeris tersebut dan juga Juventus. Perkara ini disahkan oleh salah seorang pengarah kelab dari Sicily ini, Walter Sabatini. Walau bagaimanapun, Sabatini menegaskan Kjaer tidak akan berpindah pada musim ini termasuklah pada bulan Januari nanti.

Kjaer yang juga seorang peminat Liverpool pasti tidak akan menolak sebarang peluang ke Anfield. Di sana juga terdapat pemain yang menjadi idola beliau iaitu Daniel Agger. Dengan klausa di dalam kontrak yang menyatakan yuran perpindahan beliau adalah 10 juta pound, tidak mustahil sebarang perjanjian dengan Palermo dapat dicapai oleh Liverpool. Saya akui agak mahal untuk mendapatkan Kjaer namun beliau merupakan pemain antarabangsa Denmark dan beliau juga adalah antara pemain muda yang berpotensi di serie A. Baru berumur 20 tahun, Kjaer mempunyai masa yang panjang untuk meningkatkan permainan beliau di Anfield.


YNWA

Monday, November 16, 2009

Kaka : Gerrard Seorang Ikon

Pemain tengah antarabangsa Brazil dan juga bintang Real Madrid iaitu Kaka telah memberikan pendapat peribadi beliau mengenai Kapten Liverpool Steven Gerrard. Kaka menyatakan Gerrard adalah seorang pemain bolasepak yang mempunyai hati seperti singa. Kedua-dua pemain ini telah bertembung di dalam dua final Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini dan Kaka mengakui Gerrard telah meninggalkan rasa hormat yang berpanjangan daripada beliau sendiri. Menurut Kaka, England memang mempunyai pemain individu yang mantap dan beliau sendiri merupakan antara peminat Steven Gerrard. Tambah Kaka, Gerrard merupakan satu ikon dunia bolasepak moden dimana beliau bukan hanya mampu menyerang tetapi mampu juga bertahan dengan baik. Tinggi sungguh pujian dari Kaka ini dan saya berharap pujian beliau ini adalah ikhlas untuk mengiktiraf Gerrard sebagai antara pemain tengah terbaik dunia buat masa sekarang. Saya bukan mahu berburuk sangka tetapi harapnya bukanlah Ada Udang Di Sebalik Mee, di mana pujian ini adalah untuk menarik perhatian Gerrard supaya berpindah ke Real Madrid.


YNWA

Sunday, November 15, 2009

Hernanes : Samba Terbaru Di Anfield?

Pemain antarabangsa Brazil dan juga playmaker kelab pendahulu Liga Brazil, Sao Paulo, Anderson Hernanes de Cavalho Andrade Lime a.k.a Hernanes telah dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Liga Inggeris Liverpool pada bulan Januari nanti. Rafa Benitez dikatakan berminat dengan pemain yang digelar “Kaka Baru” ini dan beliau dikatakan sedang meningkatkan usaha untuk mendapatkan pemain berusia 24 tahun ini. Hernanes sebelum ini turut dikaitkan dengan kelab-kelab Itali seperti AC Milan dan Juventus tetapi mereka gagal untuk memenuhi tuntutan yuran perpindahan oleh Sao Paulo. Pemain tengah Brazil ini dikatakan berminat dengan Liga Itali tetapi jika terdapat tawaran menarik dari Liga Perdana Inggeris, beliau pasti tidak keberatan untuk menelitinya. Pemain-pemain Brazil di Liverpool iaitu Lucas Leiva, Fabio Aurelio serta Diego Cavalieri mungkin memainkan peranan penting untuk menarik perhatian Hernanes ke Anfield. Saya tidak pasti berapakah yuran perpindahan yang diminta oleh Sao Paulo namun saya percaya jumlahnya tidak sedikit sehingga AC Milan serta Juventus juga mempunyai masalah untuk menyediakannya. Jika ditawarkan pada harga yang betul, Liverpool mungkin boleh melihat pemain ini secara serius.


YNWA