Showing posts with label Javier Mascherano. Show all posts
Showing posts with label Javier Mascherano. Show all posts

Tuesday, August 10, 2010

Mascherano : Ada Yang Cuba Tawar Menawar

Kelakar pula bunyinya apabila presiden Inter Milan meminta Liverpool mengurangkan harga perpindahan untuk pemain tengah Javier Mascherano. Tidak logik untuk mengurangkan harga Mashcerano kerana Liverpool sendiri membayar 18 juta pound kepada West Ham untuk mendapatkan khidmat beliau. Harga 25 juta pound yang diletakkan itu dikira rendah untuk mendapatkan seorang pemain antarabangsa yang juga merupakan kapten pasukan Argentina. Dengan Liverpool yang telah memberikan lampu hijau untuk Mascherano berpindah dan jika tiada kelab yang mampu membayar yuran perpindahan beliau maka berkemungkinan beliau akan kekal di Anfield. Samada untuk bermain di kesebelasan utama atau tidur di bangku simpanan, Uncle Roy akan menentukannya nanti. Rata-rata peminat Liverpool mahukan Mascherano meninggalkan Anfield kerana sikap beliau yang kini tidak lagi komited kepada The Reds. Kepada presiden Inter Milan, sila gadai semua harta yang ada untuk membeli Mascherano. Jika tidak berduit, jangan bergebang untuk mendapatkan pemain terbaik.


YNWA

Tuesday, June 15, 2010

Mascherano : Belajar Bahasa Itali

Nampaknya seperti bermain dengan api, Kapten Argentina dan juga pemain tengah Liverpool Javier Mascherano telah mengeluarkan kenyataan yang kurang enak di kala keadaan kelab yang tidak menentu sekarang ini. Mascherano yang kini dikaitkan dengan kelab kelab Itali Inter Milan dibawah kendalian bekas pengurus Liverpool Rafa Benitez. Memburukkan lagi keadaan ini Mascherano mengakui beliau kini sedang mempelajari bahasa Itali di Piala Dunia Afrika Selatan. Media Itali dan juga England menggambarkan perpindahan ke kelab Itali tersebut sebagai sesuatu yang hampir pasti berlaku apabila Mascherano masih belum mahu menandatangani kontrak baru bersama-sama Liverpool walaupun ditawarkan 100 ribu pound seminggu sebelum ini. Mascherano mengambil langkah tunggu dan lihat sehingga kejohanan Piala Dunia berakhir pada pertengahan bulan Julai nanti. Keadaan ini pasti menimbulkan rasa kurang senang pihak Liverpool. Jika Mascherano benar-benar mahu meninggalkan Anfield, kita tidak harus menghalang kerana tiada guna untuk mengekalkan pemain yang tidak lagi berminat untuk mewakili Liverpool. Cuma perlu dipastikan harga yang diperplehi daripada penjualan beliau melebihi pelaburan 18 juta pound yang dikeluarkan untuk yuran perpindahannya sebelum ini. Dan perkara yang paling penting adalah memastikan wang yang diperolehi daripada penjualan Mascherano (jika berlaku) boleh dilaburkan untuk mendapatkan pengganti yang lebih baik daripada beliau.


YNWA

Friday, April 16, 2010

Mascherano : Kontrak Tujuh Musim

Pemain tengah Liverpool daripada Argentina Javier Mascherano mahu terus komited bersama-sama Liverpool untuk tujuh tahun akan datang. Pemain tengah Argentina yang berusia 25 tahun kini berharap dapat menandatangani kontrak rasmi dengan Liverpool bernilai 90 ribu pound seminggu sebelum musim panas yang akan datang. Mascherano akan berasa bangga jika beliau masih berada di Anfield di dalam masa enam hingga tujuh tahun yang akan datang. Menurut Mascherano, tidak banyak kelab di dunia yang mempunyai sejarah dan juga peminat seperti Liverpool. Dengan cerita perpindahan beliau ke Barcelona yang semakin dilupakan, Mascherano kini lebih komited bersama-sama Liverpool. Beliau kini berhak mendapatkan kontrak yang lebih baik bersama-sama Liverpool kerana persembahannya yang konsisten di atas padang setiap kali beraksi bersama-sama Liverpool.


YNWA

Saturday, March 27, 2010

Mascherano : Komitmen Kepada The Reds

Pemain tengah Liverpool Javier Mascherano telah menyatakan komitmen beliau kepada Liverpool setelah dikatakan tidak lagi menarik minat Barcelona. Laporan daripada UK menyatakan Mascherano akan menurunkan tandatangan ke atas kontrak 20 juta pound yang ditawarkan oleh Liverpool. Kapten Argentina yang sebelum ini dikatakan enggan meneruskan rundingan dengan Liverpool setelah Barcelona menunjukkan minat untuk mendapatkan beliau. Namun dengan Liverpool kini bersedia untuk menawarkan kontrak dengan gaji 90 ribu pound seminggu, Mascherano kini bersedia untuk menghabiskan tahun-tahun terbaik beliau di Anfield. Dengan pilihanraya presiden Barcelona yang semakin hampir, lebih banyak nama-nama besar yang dicanangkan oleh calon-calon yang berminat untuk merebut jawatan tersebut. Nama-nama seperti Cesc Fabregas dan Franck Ribery lebih menjadi sebutan pada ketika ini. Liverpool harus secepat mungkin untuk mengikat Mascherano sebelum Piala Dunia 2010 bermula. Jika terlambat, mungkin ada pihak yang akan cuba memancing Kapten Argentina ini kerana beliau juga tidak kurang peminatnya di pasaran perpindahan pemain.


YNWA

Friday, March 12, 2010

Mascherano : Kami Mampu Bangkit

Pemain tengah Liverpool Javier Mascherano menegaskan Liverpool tidak berada di dalam krisis selepas tewas dua kali berturut-turut. Setelah kecundang kepada Wigan, Liverpool ditewaskan oleh Lille di bumi Perancis pada awal pagi Jumaat yang lepas. Mascherano bagaimanapun menyatakan Liverpool tidak bernasib baik untuk tewas kepada Lille kerana menurut beliau perlawanan tersebut adalh berbeza dengan perlawanan menentang Wigan. Setelah berkerja keras di Lille, Liverpool hanya tewas melalui tendangan bebas yang diambil oleh pemain sayap lincah mereka Eden Hazard. Mascherano menyatakan mereka tahu tahap permainan di Wigan adalah tidak dapat diterima sama sekali namun ketika di Lille keadaan adalah berbeza kerana Liverpool mampu mencipta peluang namun gagal menyudahkan peluang yang terhidang. Mascherano yakin Liverpool mampu bangkit di Anfield dan pertemuan ini masih belum berakhir. Samada berjaya atau tidak, pemain-pemain Liverpool perlu membuktikan kepada para peminat yang mereka masih mempunyai semangat untuk berjuang pada musim ini. Tumpukan perhatian kepada tugas untuk menewaskan Lille di Anfield dan kurangkan sikap tidak berpuas hati kepada pengadil yang jelas akan mengganggu persembahan Liverpool di atas padang.


YNWA

Wednesday, March 3, 2010

Mascherano : Kontrak Baru Atas Meja

Kapten skuad antarabangsa Argentina yang juga pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano dilaporkan telah ditawarkan kontrak baru dengan lanjutan selama 2 tahun oleh Liverpool. Masa depan Mascherano masih belum menentu dimana pengurus Rafa Benitez telah menyatakan yang beliau tidak akan menjual Mascherano kepada mana-mana pasukan termasuk Barcelona walaupun mendapat tawaran sebanyak 50 juta pound. Kini perbincangan di antara Liverpool dengan Mascherano telah bermula dengan tawaran kontrak yang mencecah 5 juta pound semusim (kira-kira 100 ribu pound seminggu) untuk membolehkan beliau berada di Anfield sehingga 2014. Desas-desus pada musim lepas telah menyatakan bahawa Mascherano berminat untuk ke Sepanyol di atas sebab keluarga sehingga pada satu ketika agen beliau turut menimbulkan tanda tanya apabila menyatakan kliennya itu berbangga kerana dikaitkan dengan Barcelona dan berkemungkinan berlaku perpindahan pada musim panas yang lepas. Namun dengan musim perpindahan yang telah berlalu dan tiada sebarang akitivit perpindahan yang membabitkan Mascherano, kapten Argentina ini kembali menunjukkan prestasi yang membolehkan beliau diberi kepercayaan oleh pengurus Argentina, Diego Maradona untuk mengetuai skuad antarabangsanya di Piala Dunia Afrika Selatan pada musim panas yang akan datang.


YNWA

Wednesday, January 27, 2010

Mascherano : Mengejar Liga Europa

Musim yang penuh dengan cabaran tetapi itu tidak menghalang pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano daripada memberikan pendapat mengenai sasaran Liverpool pada musim ini. Kapten skuad antarabangsa Argentina ini menyatakan bahawa Liverpool masih lagi mampu untuk mengejar empat kedudukan teratas di liga perdana inggeris dan meneruskan pemburuan untuk memenangi Liga Europa. Bagi Mascherano, adalah penting untuk Liverpool menjuarai Liga Europa pada musim ini memandangkan inilah satu-satunya peluang Liverpool untuk membawa pulang piala ke Anfield. Tambah Mascherano, walaupun tidak sehebat Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa harus diberi keutamaan oleh Liverpool pada musim ini. Jika berjaya memenangi Liga Europa, Liverpool akan berpeluang untuk beradu tenaga dengan pemenang Liga Juara-Juara Eropah di perlawanan Piala Super UEFA pada musim hadapan dan ini menurut Mascherano memberikan peluang terbaik kepada pemain serta kelab untuk lebih menonjol di peringkat Eropah. Nampaknya bersungguh-sungguh kapten skuad antarabangsa Argentina ini untuk menaikkan kembali semangat para peminat Liverpool dan juga rakan sepasukan beliau. Diharapkan Mascherano dapat bersama rakan-rakannya dapat membantu Liverpool di dalam kempen Liga Europa dan juga perebutan empat tempat teratas di liga perdana inggeris pada musim ini.


YNWA

Saturday, December 12, 2009

Mascherano : Masih Teka-Teki

Samada benar atau tidak spekulasi mengenai kedudukan pemain tengah Liverpool dan juga kapten skuad antarabangsa Argentina, Javier Mascherano masih belum terjawab. Mascherano sehingga kini masih bermain tarik tali dan berteka-teki mengenai kedudukan beliau di Liverpool. Sehingga laporan ini diterima, Mascherano masih berdolak-dalik dan enggan menyatakan komitmen beliau untuk menyambung kontrak dengan Liverpool. Jawapan beliau ialah hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas di dalam pasukan. Kenyataan ini timbul selepas pengurus Liverpool Rafa Benitez menyatakan ada perkembangan positif di dalam rundingan kontrak baru Mascherano. Persoalannya, siapa yang benar di dalam perkara ini?

Sikap Mascherano ini pasti kurang disenangi oleh para peminat Liverpool dan beliau pasti akan menjadi sasaran kritikan jika masih menyimpan cita-cita untuk ke kelab catalan.Mungkin juga Mascherano mahu memberikan tekanan ke atas Liverpool samada menaikkan gaji beliau atau berhijrah ke kelab baru. Tetapi mampukah beliau berbuat sedemikian setelah prestasi beliau agak mendatar pada musim ini? Dengan baki kontrak beliau yang hanya tinggal 18 bulan lagi, harapan untuk melihat beliau kekal di Anfield semakin pudar jika begini sikap yang beliau pamerkan. Jika dilihat pendekatan yang diambil Mascherano, ianya hampir sama dengan cara yang digunakan oleh Alonso pada musim lepas iaitu enggan menyatakan komitmen kepada Liverpool apabila ditanya oleh media. Bezanya, Alonso dikatakan mempunyai masalah dengan Rafa sementara Mascherano pula tidak punya sebarang persengketaan besar dengan Rafa. Jadi apa alasan yang akan digunakan Mascherano untuk angkat kaki dari Anfield? Samada Mascherano kekal atau tidak di Anfield sama-sama kita saksikan nanti. Bagi saya, jika seseorang pemain tidak lagi mempunyai hasrat untuk bermain untuk Liverpool, menunjukkan jalan keluar adalah cara terbaik. Tetapi minta maaflah kalau Barcelona bermimpi untuk memiliki Mascherano dengan harga yang murah. Paling kurang nilai beliau adalah 30 juta pound, namun diharapkan Liverpool mampu mendapatkan keuntungan maksimum sepertimana penjualan Alonso pada musim panas yang lepas. Kepada Mascherano, kata putus berada di tangan anda, kami mengalu-alukan jika anda masih mahu kekal di Anfield.


YNWA

Tuesday, December 1, 2009

Mascherano : Jaringan Penting

Pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano mahu gol pertama Liverpool di dalam kemenangan 2-0 ke atas Everton dikreditkan ke atas beliau. Walaupun ramai yang mengatakan gol tersebut adalah jaringan sendiri namun tidak bagi Mascherano. Menurut Mascherano gol tersebut adalah jaringan beliau kerana beliau memang melakukan percubaan untuk menjaringkan gol. Gol tersebut amat penting buat Mascherano kerana beliau mahu memperbaiki prestasi pada musim ini. Beliau yang banyak dikritik kerana banyak percubaan jauhnya tersasar pada musim ini. Mascherano bagaimanapun gembira kerana Liverpool berjaya memenangi perlawanan dengan Everton yang mengesahkan lagi kekuatan Liverpool di Merseyside. Kemenangan yang diperolehi dengan usaha gigih ini membawa Liverpool belum tewas di dalam lima perlawanan dan mengakhiri bulan November tanpa sebarang kekalahan. Mascherano yakin selepas kemenangan yang penting ini, Liverpool perlu mendapatkan tiga atau empat lagi kemenangan untuk terus memanjat tangga liga. Saya berharap prestasi Mascherano terus meningkat pada musim ini kerana adalah penting untuk beliau menjadi peneraju di bahagian tengah Liverpool di dalam usaha untuk kembali mengibarkan cabaran pada musim ini.


YNWA

Tuesday, October 13, 2009

Mascherano : Prestasi Tentukan Kontrak

Pemain tengah Liverpool dan juga kapten skuad antarabangsa Argentina, Javier Mascherano kini dilaporkan memberikan tekanan kepada Liverpool serta pengurus Rafa Benitez supaya menawarkan kontrak baru kepada beliau. Ianya sebagai balasan kepada keengganan Liverpool untuk menjual beliau kepada Barcelona pada musim panas yang lepas. Mascherano dikatakan masih tidak gembira dengan keputusan tersebut kerana menghalang beliau ke Camp Nou dan menuntut janji yang beliau akan diberi kenaikan gaji melalui kontrak baru. Namun dengan prestasi semasa yang tidak menentu dan jauh daripada prestasi pada musim-musim sebelum ini, Liverpool dikatakan enggan menawarkan kontrak baru kepada Mascherano sehinggalah beliau bermain dengan prestasi yang lebih konsisten pada musim ini. Keadaan ini dikatakan menimbulkan rasa kurang senang kepada Mascherano. Jika dilihat pada musim panas yang lepas, Rafa tidak langsung mempunyai niat untuk menjual pemain berusia 25 tahun ini apabila beliau terpaksa melepaskan Alonso kepada Real dengan harga 35 juta pound. Dengan pemain Sepanyol itu telah pergi dan pemain tengah Itali Alberto Aquilani masih belum dapat beraksi kerana masih belum pulih dari kecederaan, Rafa kini bergantung sepenuhnya kepada Mascherano untuk mengemudi barisan tengah Liverpool. Mascherano juga dikatakan tidak gembira dengan keputusan Liverpool untuk menjual Alonso dan seterusnya memecahkan gandingannya dengan pemain Sepanyol itu. Mascherano yang juga merupakan bekas pemain River Plate, Corinthians dan West Ham United dilaporkan menerima gaji kira-kira 60 ribu pound seminggu daripada Liverpool.

Saya menyokong sepenuhnya permintaan daripada Mascherano ini kerana beliau berhak memperolehinya setelah kekal di Liverpool tetapi saya juga berpendapat Liverpool dan Rafa tidak salah kerana masih belum menawarkan kontrak baru kepada beliau. Kenapa? Kerana saya berpendapat prestasi Mascherano masih berada di bawah tahap kemampuan sebenar beliau. Seperti yang pernah Rafa katakan kepada Mascherano, buktikan yang diri anda layak ditawarkan kontrak baru daripada Liverpool. Banyak spekulasi yang dikatakan menjadi penyumbang kepada kemerosotan prestasi Mascherano pada musim ini selain daripada soal kontrak baru dan juga kegagalan beliau berpindah ke Camp Nou pada musim lepas. Antaranya ialah sebagai kapten Argentina, Mascherano dilaporkan agak terganggu dengan kedudukan pasukan tersebut yang masih belum mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Selain daripada itu masalah dengan kedudukan isterinya yang belum memperolehi visa tetap di England serta pemergian Alonso ke Real yang memecahkan gandingan Mascherano – Alonso yang menerajui bahagian tengah Liverpool sebelum ini. Banyak tekanan terhadap pemain tengah Liverpool ini nampaknya kerana masalah-masalah yang dihadapi oleh beliau. Namun sebagai pemain profesional, Mascherano harus bangkit untuk membuktikan kemampuan sebenar beliau. Dengan bahagian tengah Liverpool yang semakin diragui kemampuannya, inilah peluang Mascherano untuk menjadi tonggak utama Liverpool dan seterusnya mendapat kontrak baru yang dikehendakinya. Lebih baik Mascherano dan Liverpool berada di dalam situasi menang-menang jika kita mahu Liverpool menjadi pasukan yang lebih mantap.


YNWA

Thursday, September 24, 2009

Mascherano : Perlu Kawal Kepala Angin

Pemain tengah Liverpool dan juga kapten skuad antarabangsa Argentina, Javier Mascherano hari ini terlepas daripada dikenakan hukuman oleh FA England atas kesalahan mengasari penyerang Leeds United Jermaine Beckford pada perlawanan pusingan ketiga Piala Carling pada awal pagi Rabu yang lepas. Perlawanan yang diadakan di Elland Road itu menyaksikan beberapa pertembungan di antara kedua-dua pemain di atas padang di dalam usaha mereka untuk menguasai bola. Mascherano dituduh menyiku Beckford di kepala beliau menggunakan tangan kanan selepas berlaku pergelutan di antara mereka berdua. Walaubagaimanapun, Mascherano terlepas dari dikenakan sebarang tindakan selepas pengadil perlawanan, Alan Wiley yang diminta untuk melihat semula rakaman video perlawanan tersebut mengesahkan beliau sedar tentang kejadian tersebut dan kekal dengan keputusan untuk tidak melayangkan kad merah kepada Mascherano. Pemain tengah Liverpool ini berhadapan kemungkinan digantung tiga perlawanan jika beliau disabitkan dengan kesalahan tersebut. Berita ini pasti menggembirakan keseluruhan kem Liverpool kerana jika Mascherano digantung, bahagian tengah akan semakin goyah dengan ketiadaan beliau. Mascherano perlu berhati-hati dengan perangai kepala angin beliau ini. Ini kerana sebelum ini beliau pernah terlibat di dalam beberapa insiden yang akan merugikan beliau dan juga Liverpool. Kita semua pasti masih ingat peristiwa ketika menentang Manyoo di tempat lawan beberapa tahun yang lepas dimana kerana keceluparan mulut, Mascherano telah dibuang padang dan seterusnya menganggu rentak persembahan Liverpool. Beliau juga telah ditenteramkan sehingga ke luar padang oleh Rafa kerana kemarahannya kepada pengadil. Kepada Mascherano, anda adalah seorang pemain profesional. Tidak perlu untuk anda membuat perlakuan seperti anak kecil yang jelas akan merugikan diri anda sendiri. Sebagai pemain tengah Liverpool yang cukup berkaliber, anda seharusnya lebih tenang menghadapi situasi dimana lawan cuba menimbulkan provokasi terhadap anda. Mungkin kali ini anda terlepas tetapi janganlah terkejut jika dikenakan hukuman oleh FA England selepas ini jika terbabit lagi dengan insiden seperti di Elland Road disebabkan kegagalan anda mengawal perangai kepala angin ini. Anda berhak untuk bermain agresif kerana itu sememangnya Mascherano yang kami semua kenali tetapi untuk bertindak membalas provokasi pihak lawan, anda perlu berfikir dengan lebih matang sebelum terjebak dengan perangkap lawan.


YNWA

Thursday, August 27, 2009

Mascherano : Bakal Ditawarkan Kontrak Baru

Pemain tengah Liverpool dan juga merupakan kapten pasukan kebangsaan Argentina, Javier Mascherano diberitakan akan ditawarkan kontrak baru oleh Liverpool. Mascherano yang dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona sebelum ini masih kekal di Anfield pada musim ini. Pengurus Liverpool, Rafael Benitez diberitakan bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Mascherano tentang masa depan pemain tengah ini dengan pasukan dari Merseyside ini. Desas-desus sebelum ini telah mengatakan Barcelona telah mengadakan perbincangan dengan Liverpool mengenai perpindahan Mascherano. Namun sebarang rundingan telah menemui kegagalan dimana Liverpool telah kehilangan beberapa pemain utamanya dan di atas sebab ini, Rafa tidak berminat untuk berurusan dengan mana-mana kelab yang berminat untuk mendapatkan pemain utamanya. Ini telah menghalang Mascherano daripada menyertai rakan baiknya, Lionel Messi di Barcelona. Beberapa percubaan untuk mendesak perpindahan tersebut berlaku dengan menggunakan media oleh Messi dan juga pengurus Barcelona, Pep Guardiola telah menambahkan lagi rasa kurang senang Rafa terhadap kelab Sepanyol tersebut.

Kini muncul pula spekulasi terbaru yang menyatakan Liverpool telah bersedia untuk menawarkan kontrak yang lebih baik kepada pemain tengah berusia 25 tahun ini. Tawaran kontrak ini adalah untuk menyambung lagi kontrak asal yang beliau tandatangani setelah menyertai Liverpool daripada West Ham pada tahun 2007. Diberitakan imbuhan yang lebih baik bakal menanti Mascherano di dalam kontrak baru ini. Pengurus Liverpool mengakui rundingan dengan Mascherano telah berada di dalam perancangan beliau. Rafa telah bercakap dengan Mascherano sebelum ini dan pemain tengah Argentina ini sedia maklum yang perbincangan perlu diadakan untuk menentukan kedudukan masa depan beliau di Anfield. Bagaimanapun Rafa berkata perbincangan beliau dengan Mascherano akan diadakan secara peribadi. Pernah saya suarakan sebelum ini mengenai kebimbangan Mascherano akan turut angkat kaki ke kelab lain jika tiada sebarang tindakan yang diambil oleh Liverpool dan ini merupakan satu reaksi yang positif daripada Rafa untuk memastikan Mascherano terus berbakti di Anfield. Mungkin kita belum dapat meramalkan apakah keputusan daripada perbincangan kontrak ini tetapi saya amat berharap ianya dapat memberikan keputusan yang positif kepada Liverpool. Kita semua sebagai peminat Liverpool pasti mahu beliau kekal di Anfield. Namun kata putus bukan di tangan Rafa dan sebaliknya berada di pihak Mascherano. Sama-samalah kita saksikan kesudahan perbincangan ini nanti dan diharapkan agar ianya tidak menjadi perkara yang berpanjangan seperti sebelum ini. Tidak dapat dibayangkan apa yang akan berlaku di bahagian tengah Liverpool jika kita tidak melakukan sesuatu untuk mengekalkan Mascherano di Anfield.


YNWA

Tuesday, August 11, 2009

Mascherano : Juga Mahu Angkat Kaki?

Lemau …. Itulah perkataan yang dapat menggambarkan keadaan saya di dalam masa seminggu ini. Kenapa lemau? Kerana masalah peribadi? Pejabat? Rakan-rakan? Semuanya tidak berkaitan sama sekali dengan lemau yang saya alami. Semuanya kerana gara-gara Alonso mengangkat kakinya ke Real Madrid pada minggu lepas. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai hal tersebut kerana saya tidak mahu mencalari imej Alonso yang telah memberi khidmat terbaik selama 5 musim di Anfield. Apa yang lebih menjadi tumpuan kepada tulisan saya pada kali ini adalah kesan daripada perpindahan tersebut kepada bahagian tengah Liverpool. Lebih spesifik, saya akan membincangkan tentang seorang lagi bintang tengah Liverpool yang turut mendapat perhatian daripada lanun-lanun yang beroperasi di lautan pasaran pemain yang luas. Pemain yang saya maksudkan adalah kapten skuad antarabangsa Argentina iaitu Javier Mascherano a.k.a Monster Masch. Antara persoalan yang akan saya timbulkan, masih setiakah Mascherano dengan The Reds? Adakah beliau turut berpotensi untuk angkat kaki ke kelab lain seperti Alonso?

Sukar sekali untuk kita sebagai peminat bolasepak untuk melihat faktor kesetiaan kepada kelab mengatasi faktor duit yang jelas mendominasi dunia bolasepak sekarang. Walaupun kita masih boleh melihat contoh pemain seperti Steven Gerrard yang masih setia bersama-sama The Reds, pemain sebegini hampir pupus di dunia bolasepak moden. Duit menjadi raja kepada pemain dan seterusnya menyebabkan sukan bolasepak ini semakin hilang daya tarikan kepada peminat-peminat di seluruh dunia amnya. Berbalik kepada Mascherano, di sepanjang musim panas ini, bermacam-macam desas-desus yang timbul mengenai beliau. Walapun berita perpindahan lebih didominasi oleh Alonso, namun perhatian terhadap Mascherano tidak kurang hebatnya. Ini kerana pengurus yang mengejar khidmat beliau adalah Pep Guardiola dan juga rakan sepasukan beliau di Argentina, Leoniel Messi. Kedua-dua mereka ini mewakili Juara Kelab-Kelab Eropah, FC Barcelona. Mereka berdua ini terus-menerus memberikan tekanan kepada Mascherano untuk angkat kaki meninggalkan Liverpool. Namun tindakan mereka ini telah mengundang rasa kurang senang Pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Rafa dengan pantas meletakkan harga Mascherano adalah 50 juta pound (minimum) jika ada kelab berminat untuk mendapatkan pemain tengah ini. Tindakan ini sedikit sebanyak berjaya menakutkan kelab-kelab yang berminat untuk merompak Mascherano. Dan jika dilihat betapa sukarnya Real Madrid dalam cubaan mereka untuk merompak Alonso dari Liverpool, pasti jalan yang bakal dihadapi lanun-lanun ini adalah lebih sukar untuk berunding dengan Liverpool.

Mengikut rekod perpindahan Liverpool, belum ada mana-mana pemain kesebelasan utama Liverpool (yang menjadi pilihan utama pengurus) berpindah kelab semenjak daripada peristiwa kehilangan Owen satu ketika dahulu. Perpindahan Alonso (walaupun telah diduga akan berlaku) telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada para peminat Liverpool di seluruh dunia. Kini timbul pula sedikit kerisauan di kalangan peminat Liverpool yang Mascherano turut berpotensi untuk angkat kaki ke Barcelona. Saya pasti Mascherano agak kurang senang apabila Rafa meletakkan harga apabila ada kelab yang cuba memancing beliau dari Liverpool. Rafa seperti yang kita semua tahu, pencapaian sebagai sebuah kelab adalah lebih penting daripada kemahuan seseorang individu dan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan bagi menjaga kepentingan Liverpool. Desas-desus mengenai Mascherano ini sebenarnya berpunca daripada tindakan beliau sendiri dan juga agennya yang melayan kerenah Barcelona di sepanjang musim panas ini. Jika agennya diarahkan oleh Mascherano supaya tidak melayan Barcelona pasti keadaan ini tidak berlaku. Alasan-alasan seperti masalah keluarga (isterinya tidak menyukai keadaan di England), domestik (tiada visa tetap untuk isterinya) dan juga kontrak (gaji yang dikatakan amat rendah) adalah merupakan masalah yang boleh diatasi dengan perbincangan dengan pihak pengurusan Liverpool sendiri. Ianya tidak perlu diperbesar-besarkan kerana ia jelas akan memerangkap diri sendiri nanti. Kepada Mascherano, kami tidak mahu anda meninggalkan Liverpool dan kami juga berharap agar Rafa dapat mencari jalan penyelesaian secepat mungkin untuk menawarkan kontrak baru kepada anda dengan gaji yang lebih baik (kerana anda sememangnya layak berpendapatan sedemikian).


YNWA

Monday, July 6, 2009

Alonso & Mascherano : 50 Juta Euro Setiap Satu!

Sudah agak lama saya tidak mengulas mengenai kedudukan dua bintang tengah Liverpool, Xabi Alonso dan Javier Mascherano. Walaupun terlalu banyak desas-desus yang bermain di media dan juga internet, saya hanya menganggapnya sebagai permainan propaganda yang hanya ditaburkan media untuk mengugat keharmonian skuad Liverpool. Bukan tidak mahu menulis mengenai kedua-dua bintang Liverpool ini tetapi saya tidak mahu memeningkan fikiran kita semua sebagai peminat The Kops. Namun pada hari ini saya terbaca berita menarik di internet dan mungkin sudah tiba masanya untuk mengulas mengenai kedudukan kedua-dua bintang Liverpool ini. Bukan niat saya untuk buruk sangka terhadap Alonso dan Mascherano, tapi kita harus memahami kedudukan Rafa dan juga Liverpool itu sendiri jika keadaan seperti ini berterusan. Sepertimana yang kita telah ketahui, Rafa mungkin terpaksa untuk menjual salah seorang pemain tersebut kerana dikatakan terdapat desakan daripada pemain-pemain terbabit untuk keluar dari Anfield. Saya seperti Rafa, mahukan kedua-dua mereka kekal di Anfield dan membantu Liverpool mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim depan. Namun seperti yang pernah saya tegaskan, jika seseorang pemain telah tidak berminat untuk mewakili Liverpool, adalah lebih baik diberi kebenaran kepada mereka untuk keluar dari Anfield. Tidak kiralah sebesar mana bintangnya pemain terbabit. Bagi saya, Liverpool adalah jauh lebih penting daripada kemahuan seorang pemain. Liverpool dibina daripada semangat berpasukan dan bukannya semata-mata kerana seorang individu. Walaupun saya agak kecewa jika salah seorang dari mereka keluar dari Liverpool, namun perjuangan harus diteruskan. Kita semua masih ingat ketika Owen cabut meninggalkan Liverpool ketika keadaan kita terkapai-kapai pada masa tersebut. Namun semangat sepasukan telah membawa Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan kita terus menunjukkan peningkatan sehingga ke hari ini.

Berita terbaru yang diterima dari Anfield menyatakan Liverpool tidak akan berganjak sedikit pun dari yuran perpindahan untuk Alonso dan Mascherano sebanyak 50 juta Euro untuk setiap seorang. Real dikatakan akan menamatkan minat mereka untuk mendapatkan Alonso dan Barca pula masih belum membuat keputusan mengenai Mascherano. Saya amat menyokong 100% pendirian Rafa dan Liverpool di dalam hal ini. Kepada Real dan Barca yang telah lama cuba membuat kacau di Liverpool, jangan bermimpi di siang hari jika anda tidak mempunyai wang sebanyak itu atau tidak mahu membayar harga tersebut kepada Liverpool. Rafa dikatakan turut tidak berminat untuk membuat perjanjian yang membabitkan pertukaran pemain dari kedua-dua kelab. Rafa nampaknya berkeras untuk mendapatkan jumlah yang sepatutnya dibayar untuk pemain yang telah dibimbing oleh beliau di Anfield. Tidak salah rasanya tindakan beliau kerana kita semua tahu Rafa harus mendapatkan jumlah yang cukup untuk mendapatkan pemain bertaraf dunia seperti David Silva atau David Villa bagi menggantikan mana-mana pemain yang meninggalkan Liverpool. Dengan kedua-dua pemain tidak berani untuk menyatakan mereka mahu meninggalkan Liverpool secara umum, mereka kelihatan hanya bermain kata-kata di media. Mungkin kerana risaukan reaksi peminat kerana jika tersalah kata di media, buruk padahnya. Kepada Real, anda mempunyai wang dan jangan harap Liverpool akan tunduk kepada permintaan anda untuk mengurangkan harga perpindahan kepada Alonso. Kepada Barca, jika tidak sanggup membayar harga Mascherano, lebih baik tutup mulut dan tumpukan perhatian kepada skuad anda sendiri. Kepada Alonso dan Mascherano, kami semua peminat Liverpool masih mahukan anda berdua kekal di Anfield dan membantu Liverpool mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim-musim yang akan datang. Namun jika itu kehendak anda untuk keluar dari Anfield, dipersilakan dengan segala hormatnya tapi seperti yang Rafa katakan, ada harga yang harus dibayar oleh kelab-kelab yang berminat untuk mendapatkan anda berdua. Jika tidak lebih baik anda kekal di Liverpool dan teruskan sikap profesional anda terhadap Liverpool dengan menghormati baki 3 tahun lagi kontrak anda masing-masing. Bak kata pepatah Melayu, ALANG-ALANG MENYELUK PERKASAM, BIAR SAMPAI KE PANGKAL LENGAN.


YNWA

Tuesday, June 23, 2009

Mascherano : Kenapa Jadi Begini?

Berita yang saya anggap agak mengejutkan jika apa yang dilaporkan dari England ini adalah benar mengenai pemain tengah Liverpool, Javier Mascherano. Terkejut kerana adalah amat menyedihkan jika benar Mascherano hanya menerima gaji kira-kira 30 ribu pound seminggu memandangkan beliau merupakan salah seorang daripada pemain tengah (holding midfielder) terbaik dunia buat masa sekarang. Berita dari England juga menyatakan Liverpool harus membayar lebih daripada dua kali ganda kepada Mascherano jika berhajat untuk mengekalkan beliau di Anfield. Pada pendapat saya, itulah perkara yang sepatutnya dilakukan oleh Liverpool. Buat masa sekarang, Agger pun mempunyai gaji yang lebih baik dari Mascherano. Kita sudah lihat yang terbaik daripada Mascherano dan beliau memang layak untuk memperolehi pendapatan lebih baik di antara 70-90 ribu pound seminggu. Jika Liverpool enggan memenuhi permintaan ini, ada kemungkinan Mascherano akan dikebas oleh kelab lain dengan Barcelona dikatakan amat berminat dengan beliau tetapi ditakutkan dengan yuran perpindahan 45 juta pound yang diletakkan oleh Rafa.

Dengan kontrak Mascherano yang masih berbaki 3 tahun, Rafa tiada tekanan untuk menjual beliau buat masa sekarang. Dan kedudukan Rafa telah dikukuhkan lagi dengan berita bahawa pemilik Liverpool telah berjaya mendapatkan pembiayaan semula untuk pinjaman mereka. Tetapi Rafa telah sedia maklum dengan kedudukan Mascherano ini dan beliau diberitakan telah bersedia untuk menawarkan gaji yang setimpal dan sama dengan pemain-pemain utama yang lain di Liverpool kepada Mascherano. Jika sumber berita ini benar, maka sahlah kedudukan Mascherano sebagai antara pemain tengah terbaik dunia tetapi beliau juga merupakan pemain tengah yang mempunyai pendapatan paling rendah. Musuh Barcelona, Real Madrid dikatakan turut berminat dengan Mascherano dengan pengarah sukan mereka Jorge Valdano juga mahukan rakan senegaranya itu di dalam skuad utama Real musim depan. Masih belum serik nampaknya Real Madrid kerana sebelum ini telah diberi amaran agar jangan mendekati Alonso.

Pernah saya suarakan sebelum ini, Liverpool perlu menawarkan kontrak baru dengan kenaikan gaji yang lebih baik kepada pemain-pemain seperti Alonso dan Mascherano. Dan perkara ini haruslah dilakukan dengan cepat bagi menghalang mereka daripada dikebas oleh kelab-kelab lain. Perlu diingatkan, kehadiran Alonso dan Mascherano di bahagian midfield telah memantapkan lagi persembahan Liverpool pada musim lepas. Kita masih perlukan mereka berdua untuk mengemudi bahagian tengah Liverpool pada musim depan. Di dalam kes Mascherano, jika benar dakwaan di atas, agak jauh dari pendapat saya yang menjangkakan Mascherano sekarang ini mempunyai gaji di antara 60-80 ribu pound seminggu. Pendapat saya ini adalah berdasarkan kepada persembahan beliau semasa di dalam tempoh kontrak pinjaman dari West Ham ke Liverpool adalah amat mantap dan menyakinkan. Dan hasil daripada itu, beliau sepatutnya ditawarkan kontrak yang lebih baik semasa menandatangani kontrak tetap dengan Liverpool 2 musim yang lepas. Walauapapun saya berharap berita ini hanyalah sekadar spekulasi kerana ianya jelas dapat menjejaskan reputasi serta memberi gambaran yang negatif kepada Liverpool. Jika ianya benar, kepada Rafa cepatlah bertindak untuk menyelesaikan perkara ini sebelum kita menerima padah kehilangan lagi seorang pemain utama di Anfield. Apa-apa jumlah pelaburan ke atas Mascherano, saya pasti ianya akan memberikan pulangan yang berbaloi buat Liverpool.


YNWA

Tuesday, June 9, 2009

Mascherano : Liverpool Pencabar Utama Musim Depan

Pemain tengah Liverpool dan juga kapten pasukan Argentina, Javier Mascherano a.k.a Monster Masch nampaknya telah menarik perhatian Barcelona di kebelakangan ini. Berbagai laporan yang telah tersebar di media serta internet nampaknya menunjukkan Barcelona cuba mendapatkan Mascherano dengan pelbagai tawaran untuk menarik minat pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Di antaranya ialah tawaran yuran perpindahan berjumlah 20 juta pound dan juga perjanjian yang membabitkan pertukaran pertahanan kiri mereka, Eric Abidal dengan Mascherano. Diberitakan juga isteri pemain antarabangsa Argentina ini tidak dapat menyesuaikan diri di Merseyside dan mahu berpindah keluar dari England. Isteri beliau sekarang dilaporkan sedang bercuti di Argentina. Juga ada desas desus yang mengatakan Mascherano agak terganggu dengan khabar angin perpindahan rakan sepasukan beliau, Xabi Alonso. Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan Mascherano dan perkara ini pasti akan mengundang rasa kurang senang pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Walaubagaimanapun, situasi Mascherano ke Barcelona ini juga bergantung kepada kedudukan pemain tengah mereka iaitu Yaya Toure yang masih belum bersetuju dengan kontrak baru yang ditawarkan. Namun semua perkara di atas hanyalah sekadar spekulasi di media dan Mascherano telah menyatakan komitmen beliau untuk bersama-sama Liverpool bagi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim depan. Secara realistik, amat merugikan bagi Liverpool untuk kehilangan Mascherano kerana beliau telah membentuk satu gandingan yang mantap dengan Alonso serta Gerrard di bahagian tengah Liverpool. Tawaran 20 juta pound hanyalah gula-gula sahaja kerana saya pasti Mascherano bernilai lebih daripada itu. Takkanlah Rafa mahu menjual pemain yang beliau beli dengan harga 18 juta pound dengan keuntungan hanya 2 juta pound? Secara matematik, Barcelona perlu membuat kira-kira semula di atas tawaran mereka itu. Saya amat pasti Liverpool tidak akan melepaskan Mascherano kepada mana-mana pasukan pada musim panas ini. Kewangan Liverpool mungkin terhad, tetapi tidaklah sampai ke tahap untuk menjual pemain-pemain utama untuk meneruskan kelangsungan kelab. Pengurus Liverpool, Rafael Benitez juga telah menegaskan Mascherano BUKAN UNTUK DIJUAL kepada mana-mana pasukan pada musim panas ini dan beliau tahu Mascherano tidak akan melayan minat Barcelona ini. Mascherano tahu beliau amat dihormati oleh para peminat Liverpool dan beliau merupakan antara pemain utama yang terlibat secara langsung di dalam perancangan Rafa untuk musim depan.

Berbalik kepada Mascherano, beliau percaya Liverpool berupaya untuk memenangi liga pada musim depan dengan syarat mereka perlu memperbaiki rekod ketika menentang kelab di pertengahan liga. Liverpool telah berjaya menewaskan Manyoo dan Chelsea di tempat sendiri serta di tempat lawan tetapi gagal menewaskan pasukan seperti Stoke, Fulham dan juga Hull di Anfield. Dan akibatnya Liverpool hanya tercicir beberapa mata dari kejuaraan Liga Perdana Inggeris pertama semenjak musim 1990. Tetapi Mascherano percaya, musim 09/10 pasti akan lebih baik buat Liverpool. Berbekalkan pengalaman terbabit di dalam persaingan untuk kejuaraan liga, Mascherano yakin Liverpool pasti akan mampu meneruskan rentak kemaraan pada musim depan. Pasukan Liverpool yang sedia ada sekarang ini telah menunjukkan mereka mampu menang di mana sahaja, tetapi keseimbangan diperlukan untuk memastikan cabaran musim depan tidak tercicir disebabkan kegagalan untuk memenangi perlawanan yang sepatutnya memberikan tiga mata penuh kepada Liverpool.


YNWA

Wednesday, May 13, 2009

Mascherano : Saya 100% Komited Kepada Liverpool

Setelah timbul beberapa spekulasi mengenai perpindahan beliau di media dan internet, Orang Besi Liverpool, Javier Mascherano a.k.a Monster Masch telah menegaskan beliau 100% komited kepada Liverpool dan mahu bersama-sama untuk berjaya dengan kelab ini. Mascherano masih mempunyai kontrak jangka panjang dengan Liverpool yang telah ditandatangani beliau pada musim lepas. Berita mengenai Mascherano ini timbul setelah terdapat kenyataan dari beliau yang tidak mengenepikan sebarang spekulasi jika terdapat perpindahan di musim panas ini. Pengurus Liverpool, Rafael Benitez telah menegaskan Mascherano bukan untuk dijual dan kenyataan dari beliau ini mengukuhkan lagi perkara ini.

Menurut Mascherano, masa depan beliau adalah bersama-sama Liverpool setelah apa yang dicapai pada musim ini telah menyakinkan beliau, tempatnya hanyalah di Liverpool. Tambah Mascherano, Jika 3-4 musim yang lepas, cabaran Liverpool telah berakhir pada bulan Disember atau Januari, namun amat berbeza pada kali ini, dimana Liverpool masih berada di dalam persaingan liga dengan musim hanya berbaki 2 perlawanan lagi. Bagi Mascherano, adalah penting untuk Liverpool berusaha dengan kuat dan gigih. Buktinya kemenangan ke atas pasukan kelompok atasan liga telah menunjukkan Liverpool semakin mara ke hadapan dan ianya perkembangan yang positif buat Mashcerano.

Saya tidak terkejut dengan spekulasi mengenai pemain tengah kita ini. Ini kerana pemain yang mempunyai kaliber seperti beliau pasti akan menarik minat pemangsa-pemangsa di luar sana. Kita amat beruntung kerana Mascherano telah berlaku jujur dengan dengan memaklumkan kepada Rafa dan juga kelab secara keseluruhannya. Beliau bertindak sebegitu untuk mengelakkan sebarang spekulasi yang mungkin boleh timbul jika perkara sebegini keluar di media. Ini juga membuktikan Liverpool mempunyai barisan pemain yang mantap untuk meneruskan saingan untuk merebut Liga Perdana Inggeris musim depan. Jika tidak, mana mungkin pokok akan bergoyang jika tiada angin yang meniupnya.



YNWA