Thursday, April 30, 2009

Rush : Teruskan Perjuangan!

Sesekali bila mendengar komen dan pendapat dari barisan lagenda Liverpool memang menarik dan amat membina untuk kelab. Berbanding dengan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris yang lain, Liverpool amat beruntung kerana senantiasa mendapat sokongan daripada barisan lagendanya yang saling tak sudah memberikan sokongan mereka. Samada secara terang-terangan di media atau secara tertutup, banyak komen dan pendapat mereka yang boleh kita sebagai peminat baca dan hargai. Yang uniknya, kebanyakan dari lagenda Liverpool merupakan peminat Liverpool itu sendiri! Lagenda-lagenda seperti Kenny Dalglish, John Barnes, Ian Rush dan Steve McMahon sekadar menyebut beberapa nama, merupakan peminat setia Liverpool yang masih mengikuti permainan dan perkembangan Liverpool sehingga sekarang walaupun mereka semua telah lama bersara dari bolasepak. Mari kita lihat pendapat salah seorang lagenda Liverpool mengenai peluang kita untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini.

Lagenda yang saya maksudkan kali ini ialah penyerang/penjaring gol lagenda Liverpool, Ian Rush. Beliau masih percaya Liverpool masih mampu untuk memenangi kejuaraan ke 19 Liga Perdana Inggeris, 19 tahun selepas beliau menjaringkan gol kemenangan ke atas QPR pada 28 April 1990 yang membawa gelaran liga ke 18 buat Liverpool. Rushie menulis melalui ruangan kolumnya di Liverpool Echo masih percaya, Liverpool tetap berpeluang untuk memenangi gelaran liga musim ini kerana saingan utama iaitu manyoo masih perlu bertemu dengan musuh setempat, Manchester City dan juga Arsenal yang tidak kalah dalam 20 perlawanan. Tambah beliau lagi, jika Liverpool mendahului di dalam persaingan untuk gelaran liga, antara perkara yang tidak diperlukan ialah pertembungan dengan musuh setempat, Everton dan Liverpool tidak perlu risaukan tentang pasukan lain kerana yang lebih penting ialah mengutip mata maksimum untuk 4 baki perlawanan yang ada. Rushie juga percaya persaingan untuk merebut gelaran liga kali ini masih belum berakhir dan Liverpool perlu bersedia untuk mengambil kesempatan di atas sebarang peluang yang ada.

Menurut Rushie lagi, Liverpool berpeluang untuk mengutip 3 mata lagi apabila bertembung dengan Newcastle di Anfield pada Ahad ini. Dan kemenangan 5-1 di St James Park masih segar di dalam ingatan dan perlawanan itu boleh berakhir dengan 10 jaringan untuk Liverpool. Rushie tidak mahu melihat Newcastle tersingkir dari Liga Perdana Inggeris tetapi beliau seperti peminat-peminat yang lain mahukan kemenangan untuk Liverpool bagi meneruskan tekanan ke atas manyoo. Jika Liverpool teruskan kemenangan, maka sebarang kemungkinan boleh berlaku di dalam persaingan merebut gelaran liga ini, tambah beliau lagi.

Mungkin ramai yang sudah lupa dengan jaringan Rushie ketika menang ke atas QPR 19 tahun yang lalu. Di dalam perlawanan tersebut Ray Wegerle meletakkan QPR di depan sebelum jaringan penyamaan oleh Rush dan gol kemenangan oleh John Barnes (yang baru dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan pada masa itu) melalui sepakan penalti. Dan mungkin ramai juga yang masih tidak percaya Liverpool masih tercari-cari gelaran liga ke 19 sehingga sekarang, 19 tahun dari kali terakhir mereka memenangi gelaran tersebut.

Berbalik kepada Rushie, beliau berharap Liverpool dapat memperkemaskan lagi bahagian pertahanan kerana Liverpool perlu menang baki 4 perlawanan terakhir musim ini. Gol jaringan Geovanni sewaktu menentang skuad rimau tempohari perlu dielakkan. Bagi Rushie, Liverpool mampu melakukannya kerana mereka memang terkenal dengan barisan pertahanan yang mantap di bawah pengendalian Rafael Benitez. Bagi Rushie, Liverpool perlu kembali kepada asas bolasepak iaitu tidak mudah hilang fokus dan bahagian pertahanan perlu lebih fokus untuk menghalang pemain lawan dari menjaringkan gol.

Mantap dan bersemangat pendapat dari Rushie ini. Inilah untungnya kelab yang bernama Liverpool ini, mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi dari barisan lagendanya. Walaupun kita semua tahu, masa semakin suntuk untuk merebut gelaran liga, namun semangat mengalah tidak sama sekali wujud di Liverpool. Daripada pengurus, pemain, peminat, lagenda dan semuanya yang berkaitan dengan LIVERPOOL, kami akan pastikan perebutan gelaran liga ini hanya akan berakhir di perlawanan terakhir musim ini. Kepada sesiapa yang berhajat untuk memenangi gelaran liga pada musim ini, kami akan pastikan anda semua akan membayar harga yang mahal untuknya!


YNWA

No comments: