Thursday, April 23, 2009

Insua : Permata Dari Argentina

Sewaktu bersarapan awal pagi tadi, saya mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan rakan sepejabat yang merupakan penyokong skuad senapang mengenai perlawanan di Anfield tempohari. Dalam bertukar-tukar pendapat itulah terkeluarlah topik mengenai pemain muda yang berbakat di dalam kedua-dua pasukan. Dari situ barulah teringat mengenai pemain-pemain muda skuad Liverpool yang memang ramai tetapi peluang yang diberikan amatlah terhad (kecuali Lucas). Nama-nama seperti Stephen Darby, Jay Spearing, Nabil El Zhar, Emiliano Insua sekadar menyebut beberapa nama, memang berbakat untuk diketengahkan.

Di sini saya ingin mengulas mengenai pemain muda Liverpool yang berasal dari Argentina, Emiliano Insua. Berusia 20 tahun, pemain muda berbakat ini mengisi slot pertahanan kiri Liverpool dan juga pasukan Bawah 20 tahun Argentina. Sebelum ke Liverpool, Insua bermain untuk kelab Boca Juniors di Liga Argentina. Bermula sebagai pemain pinjaman dari kelab tersebut, Insua telah dibeli oleh Liverpool dengan harga perpindahan sebanyak 1 juta pound. Bermula dari situ, Insua tidak lagi menoleh ke belakang dengan memberi persembahan terbaik untuk bersaing dengan Aurelio dan Dossena bagi mengisi slot pertahanan kiri Liverpool.

Insua adalah seorang pemain pertahanan kiri yang gemar menyerang dari bahagian kiri dengan menggunakan hantaran lintang ke arah pintu gol lawan. Walaupun mempunyai susuk badan yang agak rendah (1.65m), Insua dapat melakukan tugasnya dengan baik dengan menghalang pemain sayap dan penyerang pasukan lawan meloloskan diri dari bahagian kiri pintu gol Liverpool. Beliau juga pantas untuk menutup ruang disebelah kiri selepas melancarkan serangan ke arah pintu gol lawan. Mempunyai bentesan yang baik serta dapat membaca permainan dengan bijak apabila pasukan lawan melakukan serangan.

Disebabkan persembahan konsisten oleh beliau setiap kali diturunkan, pengurus Liverpool, Rafael Benitez nyata gembira dengan perkembangan pemain muda beliau ini. Yang terbaru ketika diturunkan menentang Blackburn tempohari, Insua sekali lagi membuktikan yang beliau memang layak untuk berada di dalam kesebelasan utama Liverpool. Rafa mahukan Insua bersedia untuk diturunkan di dalam mana-mana 6 perlawanan terakhir Liverpool sebelum musim 08/09 berakhir pada Mei nanti. Rafa berharap Insua akan terus memberikan saingan kepada Aurelio dan Dossena hingga ke akhir musim.

Ada antara peminat yang berpendapat, Dossena tidak perlu dibeli kerana Liverpool telah mempunyai Aurelio dan Insua untuk mengisi slot pertahanan kiri Liverpool. Tapi anda semua harus ingat, Aurelio teralu kerap mengalami kecederaan pada musim lepas dan pembelian Dossena adalah untuk mengatasi masalah ini. Apa yang berlaku pada musim ini, ketiga-tiga pemain kita ini cergas sepenuhnya dan Aurelio pula tidak pula dihantui kecederaan untuk jangkamasa yang lama seperti musim sebelum ini. Hasilnya kita mempunyai 3 pemain yang mampu diturunkan pada bila-bila masa diperlukan. Kecuali Dossena yang kelihatan seperti masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana Inggeris, Aurelio dan Insua mampu memikul tugas dengan baik setiap kali diturunkan di atas padang.


YNWA

No comments: