

Semuanya Liverpool ... Liverpool ... Liverpool
Pemain sayap Valencia dan juga pemain antarabangsa Sepanyol, Juan Mata telah mendedahkan bahawa pengurus Liverpool Rafa Benitez kini telah menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat beliau. Mata dilaporkan telah menolak kontrak yang telah ditawarkan Valencia pada musim panas lalu akibat isi kandungan kontrak tersebut tidak memenuhi kehendak beliau. Agen beliau yang juga ayahnya iaitu Juan Mata Snr mahu Valencia lebih mengiktiraf bakat yang ada pada pemain muda ini dan ianya bukan semata-mata soal kewangan sahaja. Kegagalan Valencia menawarkan kontrak yang lebih baik dikatakan berpunca daripada kedudukan kewangan mereka yang kini semakin meruncing. Disebabkan keadaan ini tawaran yang hadir untuk pemain berusia 21 tahun ini amat sukar untuk ditolak oleh Valencia. Walaupun mempunyai kontrak sehingga 2012 dan dibayar 10 ribu pound seminggu oleh Valencia, Liverpool dijangka akan hadir dengan tawaran 16.5 juta pound untuk pemain sayap ini seawal bulan Januari 2010 apabila urusan perpindahan pemain dibuka semula. Valencia pasti tidak mahu menanggung kerugian yang lebih besar jika mereka lambat untuk menjual Mata dan jika rundingan untuk kontrak baru masih gagal mencapai kata sepakat, besar kemungkinan Mata akan dilepaskan untuk menyertai pasukan baru nanti.
Namun buat masa ini Mata mengakui Rafa Benitez adalah pengurus yang memiliki reputasi yang baik tetapi beliau hanya mahu menumpukan perhatian beliau kepada tugas di atas padang dan semua urusan berkaitan perpindahan beliau akan diuruskan oleh kelab dan juga agennya. Jika Liverpool berjaya mendapatkan Mata, dijangkakan karier bolasepak seorang lagi pemain sayap Liverpool dari Holland iaitu Ryan Babel akan berakhir. Saya menjangkakan Liverpool tidak mempunyai masalah untuk membayar gaji lebih daripada 10 ribu pound seminggu untuk Mata. Namun semuanya terpulang kepada Mata untuk menentukan arah tuju karier bolasepaknya kerana banyak kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat beliau termasuklah Barcelona dan juga Real Madrid (kelab lama beliau). Adakah beliau akan tiba di Anfield pada Januari 2010 nanti? Sama-sama kita saksikan satu lagi episod perjalanan karier pemain muda Sepanyol yang berbakat dan mempunyai masa depan yang cukup cerah ini. Jika Rafa berjaya mendapatkan beliau maka akan bertambah lagi seorang pemain yang mampu membuat umpanan kepada Torres dan Gerrard di bahagian hadapan Liverpool selain Mata sendiri yang mampu menjaringkan gol.
YNWA
Tewas kali keempat pada musim ini di Liga Perdana Inggeris. Tidak banyak yang boleh saya komen kerana pasukan kita memang tidak cukup baik semalam. Gol Belon? Memang kita tidak bernasib baik kerana kita dibolosi gol sebegitu. Saya amat pasti budak kecik yang cerdik pandai itu akan phobia seumur hidup disebabkan kepandaian beliau membaling bola pantai ke depan gawang Liverpool. Mungkin beliau juga akan tukar pasukan kerana perasaan phobia tersebut. Kita harap beliau tidak berbuat sedemikian dan terus menyokong Liverpool. Kesebelasan utama yang memang amat pelik semalam menyebabkan kita gagal mendapatkan sebarang mata dari Stadium of Light. Kata Steve Bruce, mereka layak menang dan boleh menjaringkan 3-4 gol lagi pada separuh masa kedua. Betul ker? Rasanya skuad Kucing Hitam ni terkangkang menahan asakan Liverpool pada separuh masa kedua sehingga Bruce naik angin dengan Rafa. Mereka hanya bergantung kepada counter attack untuk menyerang Liverpool. Cuma pemain-pemain Liverpool gagal memanfaatkan peluang yang ada. Apabila melihat kesebelasan utama yang Rafa turunkan semalam, amat jelas tumpuan Rafa adalah kepada perlawanan dengan Lyon dan Manyoo pada minggu hadapan. Menyimpan Insua, Riera serta Mascherano di bangku simpanan dan merehatkan Gerrard serta Torres memang perancangan Rafa adalah untuk memenangi perlawanan-perlawanan tersebut. Dengan kesebelasan semalam, bonus untuk Liverpool jika kita menang atau seri perlawanan tersebut. Saya sedar amat sukar untuk menang dengan kesebelasan pemain semalam, seri adalah lebih realistik. Namun nasib tidak menyebelahi kita semalam. Kesebelasan pemain yang diturunkan telah menunjukkan kita memang kekurangan kualiti di bangku simpanan.
Semakin banyak suara-suara sumbang yang menyatakan Rafa perlu dipecat dan yang sedihnya kata-kata tersebut datang dari peminat sendiri. Terpulanglah kepada pendapat masing-masing kerana anda semua bebas bersuara. Bagi saya (bukan kerana percaya secara membuta tuli), masalah bukan kepada Rafa kerana beliau telah mempunyai pemain-pemain yang telah menjadi sasaran beliau untuk memperkuatkan pasukan seperti David Villa dan David Silva. Tetapi disebabkan hutang pemilik yang bertimbun, maka belanjawan untuk membeli pemain baru adalah terhad. Jangan kata Johnson dan Aquilani telah dibeli dengan jumlah harga 37 juta pound menunjukkan pemilik telah mengeluarkan duit. Ingat Johnson dibeli selepas ditolak hutang Portsmouth 7 juta pound (hasil jualan Crouch) dan Bayaran Aquilani menagmbil masa 5 tahun (bukan 20 juta sekaligus). Maka berapa sen yang dikeluarkan oleh pemilik? Telah saya tegaskan sebelum ini, Liverpool memerlukan pelaburan berjumlah ratusan juta pound jika mahu membentuk skuad yang lebih mantap. Jika memecat Rafa, anda ingat pengurus baru mahu menguruskan Liverpool dengan belanjawan seciput yang diperolehi Rafa? Buat sekarang, berikan kepercayaan anda kepada Rafa, jangan samakan Liverpool dengan pasukan lain yang mempunyai kewangan yang lebih kukuh. Jika anda benar-benar mahukan perubahan di dalam Liverpool, kita perlu menukar pemilik secepat yang mungkin. Saya yakin skuad Liverpool ini akan kembali bangkit ketika menentang Lyon dan Manyoo di Anfield nanti setelah tiga kali berturut beraksi di tempat lawan.
YNWA