Showing posts with label UCL. Show all posts
Showing posts with label UCL. Show all posts

Wednesday, December 9, 2009

UCL : Melayan La Viola

Awal pagi ini bakal menyaksikan Liverpool turun menentang Fiorentina di dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah a.k.a perlawanan pemanas badan untuk Liga Europa. Saya tidak kisah siapa yang mahu Rafa turunkan tetapi inilah peluang terbaik untuk melihat aksi pemain-pemain muda Liverpool di atas padang. Menang atau kalah sudah tidak mempunyai makna buat Liverpool tetapi kita semua sebagai peminat mahukan kemenangan di Anfield sebelum menutup tirai Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini. Lagipun Fiorentina perlu menjelaskan hutang yang belum dibayar oleh mereka sebelum ini. Rayuan Lyon kepada Liverpool? Saya tidak boleh komen banyak kerana bak kata bro Amberan (LIVERPOOLKITA), politik bolasepak perlu difahami dengan lebih mendalam oleh para peminat, jika tidak sukar untuk kita membaca strategi setiap pasukan di atas padang. Jika dilihat pada keadaan sekarang, skuad Liverpool yang kini semakin hampir untuk bebas daripada masalah kecederaan yang tidak kunjung selesai. Saya berharap Rafa bertegas untuk menyimpan semua pemain-pemain utama Liverpool dan lebih fokus untuk menentang skuad senapang di Anfield pada hujung minggu nanti. Mereka pun sudah mula bergebang besar untuk menang di Anfield, terutama sekali kedengaran dari pemain pertahanan tengah mereka yang tidak pernah beraksi di Anfield. Vermaelen. Bagi saya ada juga bagusnya jika mereka bergebang besar, biarlah ianya menaikkan semangat pemain-pemain kita untuk bermain dengan lebih baik nanti. Debut sulung Aquaman? Saya masih ragu-ragu untuk mempercayai pemain tengah Itali ini bakal bermula ketika menentang Fiorentina ini, mungkin penampilan sebagai pemain gantian selama 20-30 minit akan menjadi pilihan Rafa. Diharapkan tiada pemain Liverpool yang cedera di dalam perlawanan yang kurang penting ini. Liverpool akan mengalami kerugian besar jika ada pemain utama yang diturunkan tetapi ditimpa kecederaan yang tidak terduga.


YNWA

Tuesday, November 24, 2009

UCL : Lawan Tetap Lawan


Perlawanan menentang Debrecen pada awal pagi nanti akan menentukan hidup mati The Reds di dalam Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini. Peluang Liverpool bergantung kepada keputusan perlawanan Lyon dengan Fiorentina di Itali. Liverpool perlu menang ke atas Debrecen dan berharap Lyon akan menghalang Fiorentina daripada menang pada pertemuan mereka. Lyon perlu menang atau seri dengan Fiorentina untuk mengukuhkan peluang mereka untuk menjadi juara kumpulan E. Kurang enak senario yang yang bakal kita hadapi. Namun itulah hakikat yang harus ditempuhi oleh Liverpool. Walaupun peluang Liverpool pada awal pagi nanti agak tipis, ianya bukan satu alasan untuk mengambil mudah pertemuan dengan Debrecen ini. Kita perlu menang dan jika nasib menyebelahi Liverpool, peluang untuk menentukan siapa layak ke pusingan seterusnya akan ditentukan di Anfield pada 9 Disember nanti. Liverpool berkunjung ke Stadium Ferenc Puskas Hungary, gelanggang utama pasukan Debrecen. Penyerang utama Fernando Torres serta pemain sayap Ryan Babel dan Albert Riera tidak akan menyertai skuad utama Liverpool pada kali ini kerana masih mengalami kecederaan. Di atas kertas, tugas Liverpool kelihatan agak mudah kerana Debrecen ini merupakan pasukan belasahan kumpulan E Liga Juara-Juara Eropah. Tetapi kita harus ingat, mereka bermain di gelanggang mereka sendiri dan Liverpool sendiri hanya menang 1-0 dengan Debrecen di Anfield pada perlawanan sebelum ini. Sat fakta yang harus diambilkira oleh Liverpool adalah Debrecen walaupun tewas kedua-dua perlawanan dengan Fiorentina namun mereka masih mampu menjaringkan lima gol. Dengan barisan pertahanan yang agak longgar semenjak kebelakangan ini, Jamie Carragher dan rakan-rakannya perlu bekerja dengan lebih keras pada malam ini. Layak atau tidak Liverpool pada awal pagi ini, sama-sama kita berikan sokongan kepada The Reds. Bagi saya, Liverpool perlu fokus untuk menyelesaikan tugas di Hungary terlebih dahulu sebelum boleh berfikir mengenai peluang untuk layak ke peringkat seterusnya. Jangan sesekali mengambil mudah Debrecen kerana mereka mampu mengecewakan Liverpool di tempat mereka sendiri. Berikut adalah kemungkinan barisan pemain Liverpool yang bakal diturunkan oleh Rafa Benitez pada perlawanan awal pagi nanti :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER CARRAGHER INSUA

AQUILANI MASCHERANO

BENAYOUN GERRARD AURELIO

KUYT


Keputusan : 2-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Gerrard dan Kuyt.

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro Star Sport Rangkaian 813

25/11/09 Jam 0340 Pagi


YNWA

Friday, November 6, 2009

UCL : Statistik Les Gones vs The Reds

Saya lampirkan di blog ini, statistik dan rating pemain-pemain Liverpool ketika menentang Lyon di Stade de Gerland di dalam Liga Juara-Juara Eropah. Statistik dan rating ini diperolehi daripada pihak ketiga iaitu dailymail.co.uk. Jelas jika kita lihat kepada statistik ini, pemain-pemain Liverpool memang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan ini. Liverpool menguasai sepenuhnya perlawanan ini daripada awal sehinggalah ke akhir perlawanan. Dengan barisan pemain utama yang masih mengalami kecederaan, Liverpool tampil dengan barisan pemain yang berbeza namun bersemangat untuk memenangi perlawanan ini. Saya yang menyaksikan perlawanan ini agak terkejut dengan taktik bertahan yang digunakan Lyon di dalam perlawanan ini. Sebagai tuan rumah dan antara pasukan terkuat di Perancis, Lyon telah memberikan peluang kepada Liverpool untuk melancarkan serangan demi serangan ke arah gawang mereka. Mereka hampir berjaya berbuat sedemikian sehinggalah jaringan Ryan Babel berjaya memecahkan kebuntuan dan membolosi penjaga gol Lyon Lloris yang pada awalnya nyata banyak menyelamatkan percubaan bahaya Liverpool. Namun kealpaan barisan pertahanan Liverpool pada minit-minit akhir perlawanan membolehkan Lisandro menjaringkan gol penyamaan. Misi kita sukar dan hampir mustahil sehinggakan ada sesetengah pihak menyatakan Liverpool memerlukan keajaiban untuk layak. Apapun yang mereka katakan, teruskan sokongan anda semua kepada Liverpool FC!!!


YNWA

Thursday, November 5, 2009

UCL : Sukar Tetapi Tidak Mustahil


Jika dilihat peluang Liverpool untuk melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah semakin sukar apabila keputusan seri 1-1 awal pagi dengan Lyon di Stade de Gerland. Namun keputusan seri tersebut masih memberikan sedikit ruang untuk Liverpool layak ke pusingan kalah mati nanti. Jika menang dengan Lyon semalam maka peluang untuk bersaing akan lebih terbuka. Namun dengan masalah kecederaan pemain-pemain utama yang melanda Liverpool, keputusan seri tersebut adalah lebih baik daripada kalah kepada Lyon dan menutup terus peluang untuk memberikan saingan kepada Lyon dan Fiorentina di dalam kumpulan E Liga Juara-Juara Eropah. Faktor nasib dan juga usaha para pemain-pemain Liverpool selepas ini akan menjadi penentu samada Liverpool mampu mara atau sebaliknya. Nasib kerana Liverpool memerlukan pertolongan Lyon untuk menyekat Fiorentina daripada menang di dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan di dalam masa 3 minggu lagi. Manakala Liverpool perlu menang ke atas Debrecen di tempat lawan. Jika Lyon berjaya menyekat Fiorentina maka kita akan menyaksikan satu lagi perlawanan epik peringkat Eropah di antara Liverpool dan Fiorentina yang bakal dilangsungkan di Anfield pada 9 Disember nanti.

Pengurus Lyon, Claude Puel telah berjanji untuk menurunkan barisan terbaik beliau semasa menentang Fiorentina di Itali nanti. Tujuan Puel berbuat sedemikian adalah untuk menguasai tangga teratas kumpulan E dan seterusnya mengelak daripada bertemu dengan gergasi-gergasi bolasepak Eropah di peringkat kalah mati nanti. Puel tidak lagi mahu kejadian seperti musim lepas berulang dimana Lyon terpaksa berdepan dengan Barcelona pada peringkat kalah mati dan pulang awal daripada Liga Juara-Juara Eropah. Jika Lyon kalah kepada Fiorentina maka mereka akan berdepan dengan kemungkinan menjadi naib johan kumpulan E dan berdasarkan pengalaman lalu, Puel pasti tidak mahu keadaan tersebut berulang. Lyon mungkin mampu kalah di dalam perlawanan dengan Fiorentina ini dan menang di dalam perlawanan dengan Debrecen selepas itu, namun Puel mahu skuadnya menjadi juara kumpulan E seawal yang boleh bagi membolehkan beliau merehatkan pemain-pemain utamanya. Harus diingat, jika Fiorentina menang, mereka pasti mahu mengintai peluang untuk menjadi juara kumpulan E dan berdepan dengan Liverpool yang mungkin menurunkan pemain simpanan (jika sudah tiada harapan untuk layak ke peringkat kalah mati) pasti akan memberikan kelebihan buat mereka. Jika Lyon seri dengan Fiorentina maka Liverpool perlu menang dengan kelebihan 3 jaringan ke atas Fiorentina (berdasarkan rekod head to head) di dalam perlawanan epik peringkat Eropah di Anfield nanti. Apa sahaja percaturan yang dibuat, Liverpool perlu menang dengan Debrecen di tempat lawan, sebarang keputusan selain daripada kemenangan pasti akan menguburkan terus harapan Liverpool untuk layak ke peringkat kalah mati.

Jika benar begini percaturan yang akan dilakukan Puel, maka Liverpool mempunyai sebab untuk terus berjuang di Liga Juara-Juara Eropah. Seperti kata pemain pertahanan tengah Liverpool, Jamie Carragher, kami masih belum terkeluar dari saingan Liga Juara-Juara Eropah dan kami akan berjuang berhabis-habisan untuk memastikan kemaraan ke peringkat berikutnya. Bagi pengurus Liverpool, Rafa Benitez, beliau sedar keadaan Liverpool adalah sukar sekarang namun sekarang bukan masanya untuk mengalah dan kita perlu memanfaatkan sebarang peluang yang terhidang untuk layak ke peringkat berikutnya. Pada pendapat saya, dengan setiap pasukan di dalam kumpulan E mempunyai agenda tersendiri, pertarungan untuk merebut tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah belum berakhir. Saya sedar mungkin faktor nasib tidak digemari oleh sesetengah rakan peminat lebih-lebih lagi kita perlu mengharapkan bantuan Lyon. Namun bagi saya, jika terdapat 0.1% peluang untuk Liverpool layak ke peringkat kalah mati, saya pasti tidak membiarkan pasukan kita ini mengalah sebelum turun bertarung di atas padang. Misi kita memang amat sukar namun ianya tidak mustahil dilakukan. Berjuang habis-habisan dahulu sebelum gugur di medan peperangan. Perlu diingatkan, Liverpool juga akan diperkuatkan kembali dengan pemain-pemain utama yang akan kembali pulih daripada kecederaan dan seterusnya akan memantapkan kembali kesebelasan utama pasukan. Berikut adalah congakan mengenai kedudukan Liverpool di peringkat kumpulan E Liga Juara-Juara Eropah jika mahu layak ke peringkat kalah mati (Liverpool MESTI menang ke atas Debrecen) :

Liverpool menewaskan Debrecen dan Fiorentina menewaskan Lyon : Liverpool terkeluar dari saingan.

Liverpool menewaskan Debrecen dan Fiorentina seri dengan Lyon : Liverpool perlu menang dengan kelebihan 3 jaringan ke atas Fiorentina di dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Liverpool menewaskan Debrecen dan Fiorentina kalah kepada Lyon : Liverpool hanya perlu merakamkan sebarang kemenangan ke atas Fiorentina di dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.


YNWA

Wednesday, November 4, 2009

UCL : Ayuh Gegarkan Lyon Pagi Ini


The Reds akan turun pada awal pagi ini untuk menyambung perjuangan di Liga Juara-Juara Eropah. Di atas kertas, perlawanan menentang Lyon di Stade de Gerland ini amatlah penting kepada Liverpool bagi menghidupkan kembali sisa-sisa peluang untuk ke pusingan kalah mati selepas ini. Kemenangan amat diperlukan oleh Liverpool untuk terus bersaing namun ianya bukan tugas mudah apabila berdepan dengan pasukan Perancis ini. Liverpool akan hadir sebagai underdog di dalam perlawanan ini berdasarkan prestasi yang tidak menentu sekarang ini. Ditambah lagi dengan senarai kecederaan yang tidak putus-putus dan yang terbaru pengesahan telah diterima menyatakan Glen Johnson dan Fabio Aurelio tidak akan dapat beraksi di dalam perlawanan ini. Skuad Liverpool yang turun di dalam perlawanan ini bukan berada di tahap keupayaan sebenar setelah kehilangan ramai pemain-pemain utama akibat kecederaan. Penyerang utama Fernando Torres dijangka akan diturunkan dan beliau dikhabarkan akan bermain dengan kesakitan di dalam usaha untuk membantu Liverpool. Namun seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kalah sebelum berjuang di atas padang bukanlah satu pilihan buat Liverpool. Saya pasti pemain-pemain Liverpool pada awal pagi ini akan bermain bermati-matian untuk mencapai kemenangan. Tugas kita sukar di Stade de Gerland namun ianya tidak mustahil untuk dilakukan. Bak kata pemain Lyon sendiri, Toulalan dan Cris, sukar untuk menjinakkan harimau yang sedang luka dan adalah satu kesilapan untuk mengenepikan terus pasukan seperti Liverpool. Berikut adalah barisan kemungkinan pemain yang akan diturunkan Rafa Benitez pada perlawanan awal pagi nanti :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

CARRAGHER AGGER KYRGIAKOS INSUA

LUCAS MASCHERANO

KUYT AQUILANI BENAYOUN

TORRES


Keputusan : 2-1 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres dan Aquilani

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

05/11/09 Jam 0340 Pagi


YNWA

Tuesday, October 20, 2009

UCL : Les Gones Perlu Dihormati


Awal pagi nanti skuad Liverpool akan menanti kunjungan Lyon a.k.a Les Gones di Anfield di dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah 2009/2010. Dengan perkhabaran kapten Steven Gerrard telah pulih dari kecederaan diharapkan beliau boleh mengemudi Liverpool untuk memenangi perlawanan ini (Rafa juga berharap sedemikian). Dengan Mascherano, Insua dan Riera juga dilaporkan cergas untuk menyertai kesebelasan utama diharapkan Liverpool boleh mempamerkan aksi yang lebih baik di dalam perlawanan di Anfield ini. Penyerang utama Liverpool, Fernando Torres belum cergas sepenuhnya untuk perlawanan ini. Diharapkan para penonton di Anfield juga dapat memberikan sokongan yang jitu untuk membolehkan Liverpool bermain dengan lebih bersemangat sepertimana yang dikatakan oleh Jamie Carragher. Namun Liverpool harus berwasapada dengan skuad Les Gones yang kini sedang mendahului Liga Perancis. Walaupun mereka tewas 2-0 di tempat sendiri kepada Sochaux, itu bukan menjadi alasan untuk Liverpool mengambil mudah perlawanan ini. Mereka adalah lawan yang lebih mantap berbanding Debrecen dan juga La Viola sebelum ini (kedua-duanya ditewaskan oleh Lyon). Hati-hati dengan kelibat bekas penyerang Porto iaitu Lisandro Lopez yang kini mengetuai barisan serangan Les Gones ini. Saya tidak kisah bagaimana cara yang digunakan oleh Liverpool untuk menang pada malam ini kerana kemenangan amat diperlukan oleh The Reds untuk mengembalikan keyakinan pada musim ini. Buruk atau tidak corak permainan malam ini tidak penting, yang penting kita perlu menang dan memungut lagi 3 mata berharga di Liga Juara-Juara Eropah. Berikut adalah barisan kemungkinan Liverpool yang akan diturunkan oleh Rafa pada perlawanan menentang skuad Les Gones ini :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON AGGER CARRAGHER INSUA

LUCAS MASCHERANO

BENAYOUN GERRARD RIERA

KUYT


Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Gerrard

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812

21/10/09 Jam 0245 Pagi



YNWA

Wednesday, September 30, 2009

UCL : Pertahanan Mengecewakan


Saya tersenyum tawar apabila perlawanan awal pagi tadi berakhir. Dengan mata yang agak berat dan ditemani oleh kesejukan di awal pagi yang amat mendinginkan setiap kali menonton perlawanan siaran langsung memang mencabar rasa mengantuk yang jelas menguasai diri. Namun dek kerana Liverpool, rasa mengantuk harus diatasi. Kenapa saya tersenyum? Gembirakah saya kerana Liverpool tewas buat kali ketiga musim ini? (di dalam semua pertandingan) Maaf, saya bukan hipokrit yang menyokong apabila Liverpool menang dan mengeluarkan pelbagai kutukan apabila pasukan kesayangan kita semua ini tewas. Saya bukan jenis peminat yang semata-mata sanggup menulis tentang pasukan lain (selain Liverpool) dan mengeluarkan kutukan kerana pasukan tersebut tewas. Itu tidak matang namanya dan berperangai seperti budak-budak yang kencingnya masih masih bertaburan di merata-rata tempat. Saya hanya berminat untuk menulis mengenai Liverpool, lingkup atau tidak pasukan lain itu bukan masalah saya sebagai peminat Liverpool. Baiklah kita kembali kenapa saya tersenyum tawar apabila pengadil perlawanan meniupkan wisel untuk menamatkan permainan pada awal pagi tadi. Liverpool sebelum bermulanya perlawanan, tidak pernah tewas selama hampir 2 tahun (lebih kurang 23 bulan) pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (tidak termasuk peringkat kalah mati). Satu rekod yang cukup baik buat pasukan yang belanjawan untuk membeli pemainnya tidak bernilai ratusan juta ringgit setiap musim. Namun setiap rekod itu akan ada penamatnya dan semalam kita semua harus menerima hakikat bahawa, perancangan pengurus Fiorentina, Cesare Prandelli tepat mengenai sasaran. Bukan saya hendak memuji skuad La Viola ini tetapi mereka berhak dengan kemenangan semalam kerana Liverpool masih dihantui oleh masalah yang telah ditimbulkan oleh kita semua semenjak daripada musim ini bermula lagi.

Masalah yang saya maksudkan ialah barisan pertahanan yang cukup goyah apabila menghadapi serangan daripada La Viola yang diketuai oleh Mutu dan Jovetic. Seperti ulasan yang saya berikan sebelum perlawanan tersebut bermula, barisan pertahanan Liverpool semakin mudah untuk dibocori. Saya semakin tidak faham dengan apa yang berlaku di bahagian pertahanan Liverpool. Krisis keyakinankah yang dihadapi oleh barisan pertahanan Liverpool? Carragher dan Skrtel bukan lagi gandingan yang boleh diharapkan seperti musim lepas. Nada Rafa selepas perlawanan ini juga berubah apabila ditanya mengenai barian pertahanan beliau. La Viola menggunakan sepenuhnya kelemahan ini untuk melancarkan serangan demi serangan pada separuh masa pertama dan mereka berjaya menjaringkan dua gol melalui Jovetic. Walaupun ada yang berpendapat gol pertama adalah offside namun tiada gunanya kita bertelagah kerana itu adalah keputusan pengadil yang tidak boleh diubah. Pengadil juga agak menghairankan pada pagi tadi kerana terlalu banyak advantage yang diberikan sehinggakan sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pemain Liverpool yang memang jelas dikasari oleh pertahanan La Viola. Torres yang banyak dikasari oleh pertahanan La Viola kerana mereka mahu merantai penyerang utama Liverpool ini sehingga pada satu ketika El Nino berhadapan dengan pengadil kerana tidak berpuas hati dengan corak permainan kasar mereka. Sepertimana yang saya bangkitkan semalam, jika Liverpool bolos terlebih dahulu, maka peluang untuk mengejar pasti akan lebih sukar kerana skuad La Viola ini cukup kebal di tempat sendiri. Dan itulah yang terbukti apabila mereka mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Walaupun bermula dengan garang pada separuh masa kedua setelah terkena basuhan mantap daripada Rafa, Liverpool ternyata gagal menembusi benteng pertahanan mereka. Persembahan Liverpool meningkat dengan mendadak pada separuh kedua dengan bola lebih banyak belegar di pintu gol Viola. Percubaan demi percubaan Liverpool melalui Torres, Gerrard, Kuyt, Benayoun tetap gagal untuk membolosi gol Viola. Penjaga gol mereka, Sebastien Frey juga banyak menangkis serangan Liverpool. Tetapi satu fakta menarik yang saya perolehi semasa perlawanan ini ialah Manyoo, Skuad senapang dan skuad biru merseyside juga turut tersungkur ketika hadir di stadium ini menentang skuad La Viola ini. Jadi, memang terbukti rekod skuad La Viola di tempat mereka sendiri ketika menentang pasukan dari England memang baik. Walaupun tewas, saya masih percaya Liverpool mampu bangkit pada perlawanan menentang skuad jambatan runtuh pada hujung minggu nanti. Jika kita boleh bermain sepertimana di separuh masa kedua menentang La Viola, tidak mustahil untuk Liverpool membawa pulang 3 mata penuh. Cuma Rafa harus sedar, beliau perlu berbuat sesuatu dengan barisan pertahanan Liverpool dan percaturan taktikal perlulah tepat pada kali ini kerana skuad jambatan runtuh memang akan memberikan cabaran yang lebih getir berbanding dengan La Viola. Liverpool juga mempunyai kelebihan masa rehat sehari berbanding dengan skuad jambatan runtuh. Diharapkan Mascherano kembali untuk perlawanan ini bagi memantapkan barisan tengah Liverpool. Ayuh bangkit Liverpool, tiada yang mustahil di dalam bolasepak. Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan ini.


YNWA

Tuesday, September 29, 2009

UCL : Torres - Gerrard Ancaman La Viola

Setelah menewaskan Hull 6-1 pada hari Sabtu yang lepas, Liverpool kembali ke persaingan Eropah pada awal pagi nanti. Liverpool akan bertandang ke Itali bagi menghadapi ACF Fiorentina di dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah. Perlawanan di Stadium Artemio Franchi, Florence pasti akan lebih sengit buat skuad The Reds ini. Kemenangan ke atas Hull telah melonjakkan Liverpool ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris namun Fiorentina juga tidak kurang hebatnya di Serie A. Mereka telah berjaya menewaskan Livorno 1-0 untuk menduduki tempat ketiga di Serie A sekarang ini. Skuad Liverpool pada kali ini tidak akan dibarisi oleh Mascherano dan juga Benayoun kerana kedua-duanya dilaporkan tidak cergas sepenuhnya untuk bermain pada perlawanan menentang skuad La Viola ini. Peluang akan terbuka untuk pemain-pemain seprti Riera dan Babel untuk beraksi pada perlawanan ini. Kedua-dua mereka telah menunjukkan permainan yang baik semasa menentang Hull sebelum ini. Saya menjangkakan Liverpool akan menghadapi sedikit masalah di bahagian tengah kerana kehilangan Mascherano dan juga Benayoun. Pada perlawanan ini, kita memerlukan kapitan Gerrard berada pada tahap terbaik untuk mengemudi bahagian tengah Liverpool kerana saya amat pasti Lucas akan hanya lebih membantu bahagian pertahanan Liverpool yang agak goyah. Kita juga mengharapkan Torres untuk meneruskan kecemerlangan beliau di hadapan pintu lawan kerana prestasi penyerang utama Liverpool ini cukup mantap buat masa ini. Saya jugak mahukan Dirk Kuyt sedaya upaya membantu Gerrard dan Torres di dalam usaha mencari gol pada awal pagi nanti. Kita semua tahu Kuyt adalah antara pemain kesebelasan utama Liverpool yang mempunyai rekod jaringan yang cukup baik di Liga Juara-Juara Eropah.

Perkara yang tidak pernah saya lupakan setiap kali mengulas mengenai persediaan Liverpool sebelum perlawanan adalah mengenai kebimbangan terhadap barisan pertahanan kita yang goyah. Walaupun Rafa telah memberitahu beliau tidak risau akan masalah kebocoran pintu gol Liverpool ini kerana barisan serangan Liverpool cukup berbisa untuk menjaringkan gol. Namun harus saya tekankan di sini, Fiorentina amat mantap di barisan pertahanan dan mereka masih belum bolos di tempat sendiri pada musim ini dengan penjaga gol mereka, Sebastien Frey berada pada tahap prestasi terbaik. Pasti tugas sukar untuk Liverpool jika Fiorentina dapat menjaringkan gol pendahuluan pada perlawanan ini. Tugas untuk mempertahankan benteng Liverpool diperkukuhkan dengan berita bahawa penyerang utama Fiorentina, Alberto Gilardino yang digantung 2 perlawanan kerana menyiku pemain Lyon, Jeremy Toulalan pada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini. Namun Carragher dan rakan-rakan barisan pertahanan yang lain seperti Skrtel, Johnson dan Insua tidak harus alpa dengan ancaman yang bakal diberikan oleh gandingan Mutu dan Jovetic kepada Liverpool. Terdapat juga kemungkinan yang akan berlakunya rusuhan penonton di perlawanan ini namun pihak polis telah mengetatkan kawalan di stadium bagi mengelakkan sebarang kekacauan berlaku sepertimana ketika Everton bertandang ke stadium ini untuk perlawanan Piala UEFA. Berikut adalah barisan kemungkinan Liverpool pada perlawanan awal pagi nanti :

Formasi : 4-2-3-1

Barisan Kemungkinan :

RIENA

JOHNSON SKRTEL CARRAGHER INSUA

LUCAS GERRARD

KUYT BABEL RIERA

TORRES


Keputusan : 1-0 kemenangan kepada Liverpool. Gol dijaringkan oleh Torres

Perlawanan akan disiarkan secara langsung di Astro ESPN Rangkaian 812 30/09/09 jam 0240 pagi


YNWA

Thursday, September 17, 2009

UCL : Perlu Lebih Garang

Selepas menyaksikan perlawanan di antara Liverpool menentang Debreceni VSC di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah semalam, saya gembira kita berjaya mendapatkan 3 mata pertama pada musim 09/10 dengan kemenangan 1-0. Walaupun bermain bukan pada tahap sebenar (sepertimana yang pernah saya suarakan sebelum ini), Gerrard dan rakan-rakannya tetap berusaha untuk mendapatkan 3 mata berharga. Pada pendapat saya, Liverpool bermain terlalu santai pada awal pagi tadi. Walaupun memiliki penguasaan bola di atas hampir 60 sehingga 70 peratus, kegagalan Liverpool untuk memusnahkan lawan lebih awal telah menjadi persoalan sejauh mana akan kemampuan kita untuk menghadapai lawan yang berikutnya iaitu Lyon dan Fiorentina yang nyata lebih mantap daripada Debreceni VSC. Torres sekali lagi dikelilingi oleh pemain pertahanan lawan yang merantai beliau dengan cukup kemas. Gerrard pula kelihatan agak tumpul pada perlawanan pada malam ini walaupun kapten kita ini telah membuat beberapa percubaan bahaya ke arah pintu gol Debreceni VSC. Benayoun pula berusaha keras untuk memastikan bola sentiasa menuju ke dalam kotak penalti lawan selain daripada membuat beberapa percubaan daripada beliau sendiri. Kuyt yang bermain sebagai penyerang kembar dengan Torres (yup Rafa menggunakan formasi 4-4-2 pada perlawanan ini) telah berjaya menjaringkan gol tunggal pada minit ke 45 setelah menyambar bola dari percubaan awal Torres yang ditepis oleh penjaga gol Debreceni VSC.

Debreceni VSC pula bermain dengan penuh keyakinan dengan barisan pertahanan mereka begitu fokus untuk menghalang sebarang percubaan dari Liverpool. Pemain mereka berada hampir dimana sahaja pemain-pemain utama Liverpool berada. Pergerakan Torres dan Gerrard diminimakan dengan sebaik mungkin bagi menghalang ancaman daripada mereka berdua. Penjaga gol Debreceni VSC turut bertindak cemerlang pada perlawanan ini dengan banyak percubaan pemain Liverpool berjaya ditepis oleh beliau. Saya juga mengambilkira faktor keletihan yang turut mempengaruhi persembahan Liverpool pada perlawanan ini. Pemain-pemain kita kelihatan seperti kekurangan tenaga untuk mengejar bola di tengah padang. Para penonton di Anfield juga kelihatan agak diam pada perlawanan ini. Mungkin mereka berpendapat sama seperti kita semua iaitu, corak permainan Liverpool agak hambar pada awal pagi tadi. Rafa harus melakukan perubahan dengan pantas jika tidak mahu kempunan ketika menentang Fiorentina dan juga Lyon nanti. Persembahan kita harus dipertingkatkan dengan segera jika tidak mahu padah yang menimpa apabila berhadapan dengan kedua-dua pasukan itu nanti. Kehadiran semula Mascherano dan juga Aurelio pasti memberikan lebih pilihan kepada Rafa untuk menghadapi perlawanan-perlawanan yang akan datang. Walaupun hanya menang 1-0 pada perlawanan semalam, ianya tetap sebuah kemenangan dan lebih manis ianya merupakan kemenangan ke 100 Liverpool di peringkat Eropah. Rafa Benitez juga meraikan perlawanan ke 300 beliau sebagai pengurus Liverpool. Namun jika kita berjaya menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan semalam berdasarkan banyak peluang yang diperolehi, Liverpool pasti akan memiliki kelebihan jaringan yang agak selesa untuk dijadikan antara sandaran untuk melepasi pertarungan peringkat kumpulan ini.


YNWA

Wednesday, September 16, 2009

UCL : Lawan Misteri Dari Hungary


Musim Liga Juara-Juara Eropah 09/10 bermula pada awal pagi nanti buat pasukan kita, Liverpool FC. Semalam Liga Juara-Juara Eropah membuka tirai musim 09/10 ini dengan beberapa perlawanan telah berlangsung. Pada awal pagi nanti Liverpool akan menanti kunjungan pasukan yang penuh misteri dari Hungary iaitu Debreceni VSC di Anfield (siaran langsung di Astro StarSport 813 jam 0240 pagi). Tidak banyak maklumat mengenai pasukan ini kerana mereka pernah beraksi di dalam Liga Juara-Juara Eropah tetapi telah terkandas di pusingan ketiga kelayakan. Pasukan dari Hungary ini turut mempunyai pengalaman beraksi di dalam Piala UEFA. Namun jangan sesekali kita memandang sebelah mata pasukan dari Hungary ini kerana sebarang kelalaian di dalam melayan kunjungan mereka di Anfield pada awal pagi ini pasti akan mendatangkan akibat yang buruk. Liverpool perlu fokus untuk memulakan kempen Liga Juara-Juara Eropah pada kali ini dengan kemenangan sulung untuk menyemarakkan lagi cabaran kita di Eropah pada kali ini. Berbalik kepada persediaan Liverpool menjelang perlawanan ini, skuad utama Rafa Benitez tidak mempunyai sebarang masalah kecederaan selepas kemenangan di dalam perlawanan menentang Burnley pada hujung minggu lepas. Kapten Argentina dilaporkan cergas sepenuhnya dan beliau dijangkakan akan turun pada perlawanan ini. Pertahanan kiri Brazil, Fabio Aurelio juga berharap dapat memberikan saingan kepada rakan sepasukan Emiliano Insua untuk mengisi posisi tersebut. Jika Aurelio bermain pada awal pagi ini, ianya merupakan perlawanan kompetatif pertama beliau pada musim ini setelah berehat selama 2-3 bulan sebelum ini kerana masalah kecederaan. Carragher, Skrtel dan Johnson akan turut menguatkan pertahanan Liverpool pada perlawanan ini. Gandingan Gerrard dan Torres dijangka kembali untuk menguatkan bahagian serangan Liverpool setelah dipisahkan sementara pada perlawanan menentang Burnley sebelum ini. Bahagian tengah akan dikemudi oleh Mascherano dan Lucas (pahit namun kena telan jugak), dan bahagian sayap akan diterajui Kuyt di sebelah kanan dan Benayoun di sebelah kiri. Saya menjangkakan Benayoun akan mendapat tempat kdi kesebelasan utama kerana kecemerlangan beliau di perlawanan menentang Burnley pada minggu lepas. Namun jika Rafa mahu mengubah strategi, tidak mustahil Riera dan Babel akan diturunkan di posisi sayap kiri ini. Kita lihat pencaturan Rafa nanti apabila senarai kesebelasan utama dikeluarkan sejurus sebelum perlawanan pada awal pagi ini bermula.

Lawan Liverpool pada awal pagi ini, Debreceni VSC merupakan pasukan misteri dari Hungary yang pasti akan membuatkan Rafa untuk lebih berhati-hati di dalam menentukan pemain kesebelasan utama beliau pada kali ini. Kelab yang diketuai oleh pengurus Andras Herczeg lebih yakin mereka akan beraksi dengan lebih baik pada kempen Liga Juara-Juara pada kali ini. Sebelum ini Debreceni VSC pernah menghadapi lawan dari England iaitu Manyoo tetapi mereka telah tewas 3-0 di perlawanan timbal balik pada pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Eropah. Herczeg yakin pasukan bimbingan beliau ini semakin mantap persembahan mereka semenjak kekalahan kepada Manyoo itu. Keyakinan Herczeg itu berasaskan kepada kepada kejayaan kelab itu memenangi kejuaraan liga Hungary pada musim lepas yang memberikan mereka peluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah pada kali ini. Herczeg yang telah 40 tahun berkhidmat dengan Debreceni VSC sebagai pemain dan pengurus menjelaskan tiada lagi pemain-pemain yang beraksi semasa menentang Manyoo sebelum ini dan kini pasukan ini telah dibarisi oleh muka-muka baru yang lebih muda dan bersemangat. Pasukan Debreceni VSC telah memenangi perlawanan kelayakan di tempat lawan sebelum ini semasa menentang Tallinn dan Levski Sofia dan fakta ini haruslah diambilkira oleh Rafa menjelang perlawanan awal pagi nanti. Herczeg sedar lawan mereka pada kali ini adalah jauh berbeza daripada lawan-lawan mereka sebelum ini dan beliau mahu memastikan anak-anak buahnya beraksi pada tahap terbaik ketika menentang Liverpool dan mahu mereka melakukan kejutan di Anfield. Debreceni VSC akan beraksi tanpa Tibor Dombi dan Jozsef Varga yang digantung pada perlawanan ini. Herczeg juga akan membuat penilaian terakhir ke atas kecederaan yang dialami oleh pemain antarabangsa Hungary iaitu pemain tengah Zoltan Szelesi dan penyerang Gergely Rudolf. Mereka juga akan kehilangan penjaga gol utama, Djordje Pantic yang masih cedera dan beliau akan digantikan oleh Vukasin Poleksic.

Kepada Rafa, berhati-hati dengan pasukan dari Hungary ini. Kemampuan mereka untuk menundukkan lawan yang lebih kuat di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini pasti memberikan amaran kepada Liverpool yang mereka tidak mudah untuk diketepikan. Label sebagai favourite bukan menjadi ukuran kerana prestasi di atas padang yang akan menentukan kejayaan. Saya juga berharap barisan pertahanan Liverpool yang menggunakan zonal marking (banyak persoalan tentang keberkesanan sistem ini) akan lebih fokus pada awal pagi ini kerana saya pasti sepertimana di perlawanan-perlawanan sebelum ini, pasukan lawan pasti akan cuba untuk mengunakan pendekatan bola tinggi melalui set piece serta membuat hantaran jauh untuk mengugat gawang gol Liverpool.


YNWA