Monday, May 11, 2009

Skuad Tukul Besi Ditundukkan

Liverpool meneruskan rentak kemenangan ke atas Skuad Tukul Besi di Upton Park. Dengan jaringan awal dari Kapitan Gerrard pada minit ke-2 hasil daripada umpanan Torres. Liverpool mengukuhkan kedudukan melalui gol kedua juga dengan jaringan Kapitan Gerrard setelah tendangan penalti beliau diselamatkan oleh Green sebelum ia melantun dan disempurnakan oleh Gerrard. Babel menjaringkan gol ketiga pada separuh masa kedua untuk kemenangan 3-0 kepada Liverpool. Upton Park memang menjadi gelanggang yang sukar untuk mana-mana pasukan pelawat dan dengan cabaran yang diberikan oleh Skuad Tukul Besi (yang turut mengintai peluang ke Eropah), kemenangan ini memang layak diperolehi Liverpool setelah berjaya menyerap asakan serta tekanan dari mereka.

Liverpool melakukan beberapa pertukaran dengan menggantikan Agger dengan Skrtel serta memasukkan Lucas untuk menggantikan Alonso yang tercedera semasa menentang Skuad Si Murai minggu lepas. Lucas seperti biasa, tak banyak yang boleh dikomen tentang beliau. Memang kita perlukan seorang lagi pemain tengah yang bertaraf dunia untuk musim depan dan seorang lagi penyerang untuk membantu Torres merobek barisan pertahanan lawan. Namun perlawanan ini juga menegaskan betapa pentingnya gandingan Gerrard-Torres kepada Liverpool. Gerrard dengan 2 gol pada perlawanan ini, telah menambahkan jumlah jaringan beliau kepada 23 gol untuk musim ini.Jika tidak kerana kecederaan yang mengganggu, anda semua bayangkan jika kita mendapat khidmat kedua-dua pemain ini sepanjang musim, pasti keputusan seri yang kita perolehi akan berakhir dengan kemenangan. Walau apapun skuad Liverpool telah melakukan yang terbaik musim ini dan kita tidak harus kecewa dengan apapun keputusan di hujung musim ini.

Walaupun terdapat beberapa kontroversi di dalam perlawanan ini seperti keputusan offside untuk gol pertama Gerrard dan penalti tidak patut dianugerahkan untuk gol kedua Liverpool serta kesilapan Carra yang hampir membawa padah, dapat saya katakan di sini, Liverpool berusaha keras untuk memperolehi kemenangan ini dan Skuad Tukul Besi tidak memberikannya dengan mudah. Beberapa percubaan dari Di Michele dan Tristan hampir menembusi gol Liverpool. Hanya kecekapan Reina serta kemantapan barisan pertahanan menghalangnya. Boa Morte juga hampir kehilangan sabarnya apabila beliau tidak mendapat penalti setelah dijatuhkan oleh Mascherano tetapi Liverpool memperolehi penalti setelah beliau menjatuhkan Torres. Zola mengeluarkan beliau pada separuh kedua untuk mengelakkan beliau dibuang padang oleh pengadil disebabkan panas barannya itu. Sementara Di Michele pula diberikan kad kuning setelah cuba mendapatkan penalti dengan melakukan helah di dalam kotak penalti. Tekanan untuk Skuad Tukul Besi selepas perlawanan ini keran Tottenham telah mendapat 1 mata sementara Fulham menambah 3 lagi mata untuk menghangatkan lagi saingan untuk ke Liga Eropa musim depan. Pengurus Skuad Tukul Besi, Zola agak kecewa dengan keputusan perlawanan ini, namun beliau menegaskan persaingan masih belum tamat dengan baki dua perlawanan lagi.

Walaupun Liverpool menang perlawanan ini dan tekanan diteruskan ke atas manyoo. Namun saingan masih berterusan dengan manyoo menang ke atas city dan skuad jambatan runtuh juga menang di Emirates. Saya memuji dan bangga dengan pasukan kita pada musim ini. Mereka telah membuktikan kepada kita semua yang pasukan ini mempunyai semangat juang yang tinggi serta tidak akan mudah berputus asa dalam perjuangan mengejar kejuaraan liga. Kepada semua rakan peminat, kita semua harus yakin dengan Gerrard dan rakan-rakan. Kejayaan tidak akan datang dengan mudah tetapi jika berusaha dengan lebih gigih pulangannya pasti berbaloi. Liverpool berada di landasan yang betul dan kita pasti trofi Liga Perdana Inggeris akan pulang ke Anfield nanti.



YNWA

2 comments:

Firol said...

TAKDE TAHUN NI ..TAHUN DEPAN CONFIRM JUARA...SEBAB TAHUN DEPAN BARISAN MUDA AKAN DISERAP ...JENTERA BARU AKAN DIBELI...TAPI UNTUK TAHUN NI MASIH ADA HARAPAN YANG SENIPIS KULIT BAWANG

beemer said...

we will be champ in Rafa's era ...
no doubt about that ...