Thursday, May 7, 2009

SAYONARA Hyypia

Di dalam kesibukan melayan kerja seharian di pejabat, saya masih sempat menjenguk-jenguk khabar tentang Liverpool di alam siber. Bercampur-baur juga perasaan apabila mengenangkan salah seorang lagenda yang telah berkhidmat hampir sedekad di Liverpool akan meninggalkan kelab untuk menyambung khidmat di tempat baru pada musim depan. Beliau yang saya maksudkan ialah bekas kapten dan pertahanan tengah Liverpool, Sami Hyypia. Beliau akan menyertai Bayer Leverkusen mulai musim depan setelah diberikan kontrak 2 musim oleh kelab Jerman untuk beraksi di dalam Bundesliga. Tetapi saya pasti, walau sesedih mana pun kita sebagai peminat, kita semua memahami dan menghormati keputusan beliau ini serta menghargai sumbangan Hyypia kepada Liverpool. Beliau meninggalkan Liverpool dengan cara yang baik dan bukan kerana tamakkan duit atau mencari populariti.

Hyypia telah memberikan sebab kenapa beliau memilih untuk menyambung kerjayanya di tempat lain. Menurut Hyypia, keinginan untuk bermain di kesebelasan utama merupakan sebab utama beliau memilih Leverkusen. Beliau juga tidak mahu membebankan Rafa dengan janji untuk memberikan jumlah perlawanan yang beliau akan turun pada musim depan jika masih bersama-sama Liverpool. Hyypia berasakan beliau masih mampu untuk bermain di kesebelasan utama dan beliau tahu peluang di Liverpool agak terbatas kerana harus bersaing dengan Carragher, Agger serta Skrtel yang jauh lebih muda. Rafa telah menawarkan kontrak kepada Hyypia dengan pilihan untuk menyertai barisan jurulatih Liverpool tetapi Hyypia masih mahu menumpukan kepada kerjaya bolasepaknya selama yang mungkin. Tawaran yang baik dari Leverkusen membuatkan Hyypia mengambil keputusan untuk menyertai mereka bermula dari Julai ini.

Sukar untuk meninggalkan Liverpool setelah 10 tahun berada di kelab ini dan Liverpool akan tetap menjadi satu-satunya kelab Inggeris buat Hyypia yang penuh dengan kenangan. Walaupun keluarga beliau telah selesa di England namun kerana keputusan profesional yang perlu dibuat Hyypia maka mereka semua akan ke Jerman untuk menempuh cabaran baru di sana. Hyypia juga amat menghargai para peminat Liverpool dan mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka semua kerana sentiasa menyokong karier bolasepaknya di Anfield. Masih terdengar peminat-peminat yang menyebut nama beliau ketika bermain atau memanaskan badan di padang dan Hyypia mungkin akan kembali untuk menyaksikan perlawanan Liverpool dengan mereka semua nanti.

Rafa menyifatkan Hyypia seorang yang profesional, telah menawarkan peluang untuk terlibat sebagai jurulatih di Liverpool. Hyypia memang berminat dengan bidang kejurulatihan tetapi beliau mahu menamatkan karier bolasepaknya terlebih dahulu dan mengambil kursus kejurulatihan sebelum terbabit sepenuhnya dalam bidang ini. Hyypia juga tanpa ragu-ragu turut menyatakan yang beliau memang berminat untuk kembali lagi ke Liverpool pada satu hari nanti sebagai jurulatih. Dan pada Rafa, pintu sentiasa terbuka buat Hyypia untuk kembali menaburkan bakti kepada Liverpool.

Bila mengenangkan 10 tahun Hyypia bersama-sama Liverpool, memang betul seperti yang dikatakan Rafa. Hyypia memang seorang pemain yang cukup profesional dan tidak menimbulkan masalah langsung untuk kelab atau peminat. Prestasi di atas padang adalah lebih utama buat Hyypia dan jarang beliau mengecewakan apabila mengisi slot pertahanan tengah Liverpool. Antara kekuatan utama beliau selain dari dapat membaca permainan dengan baik ialah jaringan melalui tandukan yang pasti akan diingati oleh peminat-peminat Liverpool. Kepada Hyypia, selamat berjaya kami semua ucapkan dan jangan lupa untuk singgah di Anfield jika ada masa yang terluang. Terima Kasih diatas segala jasa dan baktimu kepada Liverpool selama sedekad (1999 – 2009). Kamu adalah lagenda Liverpool dan kami pasti tidak akan lupa segala pengorbananmu wahai Lagenda no 4 Liverpool!


YNWA

No comments: