
Rafa turut menceritakan Mascherano telah menolak tawaran dari sebuah kelab yang mahu mendapatkan khidmat beliau. Kelab tersebut bukan dari Itali atau Sepanyol dan spekulasi mengatkan kelab tersebut adalah dari Liga Perdana Inggeris itu sendiri. Ini kerana tiada lagi kelab dari liga luar yang mampu menyaingi gaji serta yuran perpindahan yang diperlukan jika mahu mendapatkan Mascherano. Rafa telah berbincang dengan Mascherano dan beliau menghargai kejujuran Mascherano dalam perkara ini. Menurut Rafa, Mascherano hanya mahu menolak dengan cara yang baik dan amat biasa jika seseorang pemain mempunyai prestasi yang amat baik, maka dia akan mendapat perhatian dari kelab-kelab utama. Dan Mascherano tidak dapat menghalang kelab-kelab ini dari bertanya kepada ejennya. Bagi Rafa, beliau tidak melihat perkara ini sebagai satu masalah kepada Liverpool. Spekulasi mengenai kedudukan Mascherano ini timbul setelah ada kenyataan dari beliau yang telah menegaskan jika sampai satu masa nanti kelab mahu melepaskan beliau maka terpaksalah beliau akur dengan permintaan itu. Tetapi menurut Mascherano, beliau amat gembira dengan peminat, kelab dan juga pengurus di Liverpool. Fokus utama beliau adalah untuk membantu Liverpool memenangi trofi Liga Perdana Inggeris yang telah sekian tidak pulang ke Anfield.
Saya amat bersetuju dengan Rafa yang secara jelasnya telah menyatakan kedudukan Alonso dan juga Mascherano. Mereka berdua adalah dua pemain yang amat penting kepada Liverpool dan tidak akan dijual pada sebarang harga. Rafa tidak mahu kehilangan pemain-pemain utama beliau yang jelas akan menjejaskan perancangan masa depan beliau untuk Liverpool. Kepada pemangsa-pemangsa di luar sana, seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, anda tidak dialu-alukan di Anfield jika anda semua cuba untuk menangguk di air keruh. Jangan ingat dengan duit, anda boleh membeli kejayaan dengan mudah. Pemain-pemain Liverpool tidak laparkan duit kerana mereka juga tahu Liverpool mempunyai kewangan yang baik tetapi tidaklah sekaya kelab-kelab utama yang lain. Bermain untuk Liverpool merupakan satu penghormatan buat mereka kerana Liverpool merupakan antara kelab yang paling berjaya dan mempunyai sejarah yang cemerlang di dalam dunia bolasepak selain daripada memiliki peminat di serata dunia yang cukup setia dengan kelab walaupun telah berpuluh tahun mengikuti perkembangan serta tetap bersama-sama memberikan sokongan ketika jatuh bangun kelab ini.
YNWA
No comments:
Post a Comment