Sunday, May 31, 2009

Gerrard : Tribute Kepada Seorang Lagenda



Semalam Kapten Liverpool, Steven Gerrard genap 29 tahun dan sempena dengan itu saya ingin membuat tribute untuk kapten fantastik kita ini. Setelah melayari beberapa blog rakan-rakan penyokong Liverpool dan juga membaca ulasan serta pendapat daripada laman web yang berkaitan dengan bolasepak, saya bersetuju dengan anda semua. Steven Gerrard a.k.a Kapitan Gerrard memang amat layak untuk memperolehi anugerah Pemain Terbaik Tahunan daripada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Bolasepak England pada tahun ini. Yang pasti anugerah ini akan menaikkan lagi reputasi Kapitan Gerrard sebagai pemain serba boleh di dunia bolasepak. Ramai yang agak terkilan apabila Gerrard tidak mendapat anugerah Pemain Terbaik Tahunan daripada Persatuan Pemain Bolasepak England yang telah dibolot oleh Giggs. Ramai yang berpendapat, Gerrard lebih layak untuk anygerah tersebut berdasarkan prestasi semasa beliau sekarang. Bagaimana Giggs boleh menang anugerah tersebut? Takkan kerana menang banyak piala dalam jangka masa berpuluh tahun baru boleh mendapat anugerah ini? Atau kerana sistem pengundian yang tidak sampai ke penghujung musim Liga Perdana Inggeris? Saya tidak mempertikaikan anugerah yang dimenangi Giggs jika beliau bermain sepanjang musim dan menjaringkan gol yang banyak untuk pasukannya. Tetapi Giggs hanya sekadar watak tambahan di dalam pasukannya pada musim ini dan beliau sepatutnya telah lama memperolehi anugerah ini di zaman kegemilangannya dahulu. Mungkin anugerah tersebut diukur menggunakan faktor sejarah barangkali pada kali ini. Yang agak memeranjatkan juga bagi para peminat, Frank Lampard langsung tidak tersenarai sebagai calon walaupun prestasi beliau juga baik pada musim ini. Apa pun, anugerah yang diperolehi Gerrard ini menunjukkan para wartawan serta penulis sukan lebih tepat untuk menilai pemain mana yang harus mendapat anugerah pada musim ini. Pengiktirafan untuk Gerrard ini menunjukkan keadilan masih wujud di dunia ini dan beliau selayaknya adalah pemain terbaik Liga Perdana Inggeris pada musim 08/09.

Saya terbaca juga beberapa pendapat daripada rakan-rakan sepasukan Gerrard mengenai pengiktirafan kepada kapten mereka ini. Di antaranya pendapat dari penjaga gawang Liverpool, Jose Reina. Reina berpendapat, tanpa sebarang keraguan, Gerrard adalah pemain terbaik pada tahun ini. Menurut Reina, Liverpool pasti akan kelihatan seperti sebuah pasukan lain jika beraksi tanpa Gerrard. Dan kehadiran Gerrard inilah membentuk tulang belakang skuad Liverpool. Bukan menafikan sumbangan rakan-rakan yang lain, tetapi di dalam sesebuah pasukan, perlu ada faktor pendorong yang membolehkan sesebuah pasukan itu bermain dengan lebih baik dan dengan semangat yang lebih tinggi. Dalam hal ini, Gerrard adalah faktor pendorong utama kepada skuad Liverpool. Reina amat gembira untuk Gerrard dan beliau berpendapat tiada yang lebih layak menerima anugerah ini selain daripada Gerrard. Pengamal media telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih prestasi pemain berbanding dengan sentimen di dalam membuat pemilihan untuk anugerah tersebut.

Gerrard juga merakamkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada Pengurus Liverpool, Rafael Benitez dan juga rakan-rakan sepasukannya yang turut membantu beliau di dalam memperolehi anugerah ini. Menurut Gerrard beliau mendapatkan bantuan serta sokongan penuh di dalam menjalankan tugas beliau di Liverpool. Keluarga, rakan-rakan serta peminat sentiasa bersama-sama beliau setiap kali turun menyarung jersi Liverpool di Anfield. Mereka memainkan peranan yang besar kerana sentiasa bersama-sama Gerrard 24 jam sehari, 7 hari seminggu di dalam perjalanan karier bolasepaknya. Rafa pula amat gembira dengan pencapaian kapten pasukannya itu. Menurut Rafa, Gerrard sentiasa bersaing dengan yang terbaik dan beliau memang selayaknya memiliki anugerah tersebut. Anugerah itu juga menunjukkan sejauh mana pencapaian Gerrard setakat ini di dalam dunia bolasepak, tambah Rafa lagi.

Bila menulis tentang Gerrard ini, saya masih teringat semasa beliau mula-mula sekali diperkenalkan kepada Liga Perdana Inggeris. Gerrard Houllier merupakan pengurus yang bertanggungjawab memperkenalkan beliau kepada dunia bolasepak yang sebenar. Bermula sebagai pemain simpanan pada waktu itu, Gerrard tidak lagi menoleh kebelakang dengan menjadi pemain kesebelasan utama serta dilantik kapten pasukan oleh Rafa dan sehingga kini beliau masih kekal menjadi peneraju utama Liverpool. Gerrard bergandingan dengan Jamie Redknapp di bahagian tengah Liverpool pada awal kariernya. Di bawah bimbingan Rafa, permainan Gerrard bertambah mantap dari hari ke hari. Setelah memiliki trofi Liga Juara-Juara Eropah, Gerrard pasti tidak akan melepaskan trofi Liga Perdana Inggeris yang amat diidamkan oleh beliau selain dari trofi Piala Dunia yang turut diinginkan beliau pada 2010 nanti. Kita semua berharap agar Gerrard terus cemerlang di dalam karier bolasepaknya dan manakan tahu, mungkin tahun 2010 adalah tahun untuk Gerrard dan Liverpool!


YNWA

No comments: