Monday, May 25, 2009

Reds 3 Spurs 1 : Selamat Berjaya Hyypia



Kemenangan 3-1 ke atas Spurs di Anfield semalam menandakan berakhirnya musim Liga Perdana Inggeris 08/09 buat Liverpool. Kemenangan ini juga memastikan kedudukan Liverpool sebagai naib juara Liga Perdana Inggeris musim 08/09 dan kutipan 86 mata adalah yang teringgi di era penglibatan Liverpool di dalam liga ini. Liverpool juga layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan tanpa perlu menghadapi pusingan kelayakan dan terus ke undian peringkat kumpulan. Manakala kekalahan Spurs telah mengagalkan usaha mereka untuk bermain di Liga Europa musim depan walaupun Fulham tewas 0-2 kepada Everton di Craven Cottage semalam. Pengurus Spurs, Harry Redknapp pula menegaskan mereka telah kehilangan beberapa pemain utama seperti Woodgate sebelum perlawanan ini dan berada di kedudukan tempat ke 8 liga adalah sesuatu pencapaian yang cukup baik buat mereka memandangkan di mana kedudukan Spurs yang tidak menentu semasa beliau mengambilalih pasukan dari Ramos dahulu. Kemenangan Liverpool pada malam tadi telah menghasilkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri buat julung kalinya setelah yang terakhir adalah pada 21 tahun yang lepas. Rekod tanpa kalah Liverpool di tempat sendiri juga diteruskan ke perlawanan yang ke 30 sehingga kemenangan semalam.

Perlawanan semalam juga menandakan berakhirnya karier seorang lagi lagenda Liverpool iaitu Sami Hyypia di Anfield. Hyypia mengakhiri karier 10 tahun beliau di Anfield dan akan bersama-sama Bayer Laverkusen di Bundesliga mulai bulan Julai ini. Para penonton yang memenuhi Anfield semalam memberikan penghormatan kepada beliau serta pasukan Liverpool keseluruhannya yang telah mencabar liga sehingga ke akhir musim. Walaupun penonton mahu melihat Hyypia bermula di kesebelasan utama semalam namun ianya tidak tercapai sehinggalah Hyypia masuk menggantikan Gerrard pada minit ke 83. Mungkin Rafa mahu memastikan kemenangan milik Liverpool dan barulah beliau memberi penghormatan kepada pemain pertahanan lagenda Liverpool ini. Kemasukan Hyypia hampir membuahkan gol melalui tandukan terbang beliau hasil daripada sepakan sudut Aurelio. Di akhir perlawanan, Hyypia diusung oleh rakan-rakan sepasukan beliau sebagai tanda penghargaan di atas segala jasa dan pengorbanan beliau kepada Liverpool. Penonton yang bersorak nama beliau daripada mula sehinggalah ke akhir perlawanan telah menaikkan satu bendera besar dengan nama dan gambar Hyypia sebagai tanda penghormatan kepada beliau.

Gol-gol kemenangan Liverpool telah dijaringkan oleh Torres, Benayoun dan gol sendiri oleh Alan Hutton. Gol semalam adalah jaringan ke 50 Torres untuk Liverpool di sepanjang dua musim beliau di Liverpool. Manakala gol Spurs pula dijaringkan oleh Robbie Keane di dalam penampilan pertama beliau di Anfield selepas berpindah kembali ke Spurs pada Januari lepas. Di dalam perlawanan ini, Rafa telah mengeluarkan 2 pemain pertahanan yang telah bermain semasa menang di dalam perlawanan menentang The Baggies minggu lepas. Arbeloa dan Insua digantikan oleh Aurelio dan Skrtel. Walaupun bolos di dalam perlawanan ini, Reina masih mengekalkan kedudukan bersama-sama dengan Van Der Sar dengan 21 perlawanan tanpa bolos untuk anugerah Sarung Tangan Emas. Alonso juga diturunkan di kesebelasan utama pada perlawanan ini menggantikan Lucas. Ada spekulasi yang menyatakan Alonso akan bermain di perlawanan terakhir beliau pada kali ini kerana beliau akan dijual untuk membolehkan Tevez serta Barry dibawa masuk ke Anfield. Tetapi Rafa dengan pantas menutup sebarang spekulasi dengan menyatakan Alonso tidak akan dijual pada sebarang harga kerana beliau merupakan salah seorang penggerak utama Liverpool. Kita semua berharap agar Rafa berpegang kepada kata-kata beliau kerana Alonso terlalu berharga buat Liverpool. Melepaskan beliau bermakna secara langsung akan mengurangkan kemantapan barisan tengah Liverpool. Dan diharapkan Alonso masih ingin meneruskan bakti beliau di Anfield dan peminat Liverpool masih mengharapkan sumbangan beliau di dalam perlumbaan untuk mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris nanti. Dengan musim perpindahan telah bermula apabila Liga Perdana Inggeris melabuhkan tirai semalam, maka kepada semua peminat-peminat Liverpool, anda bersedia untuk menghadapi segala macam spekulasi mengenai Alonso yang saya pasti tak kunjung sudah sehingga musim bermula kembali pada bulan Ogos nanti. Saya tetap dengan pendirian saya sebelum ini, Alonso akan kekal di Liverpool tidak kira walau apapun yang berlaku.


YNWA

No comments: