Sunday, May 3, 2009

Si Murai Mencari Rentak

Pertarungan di antara dua ekor burung yang masing-masing mempunyai agenda yang tersendiri. LiverBird sedang terbang tinggi di persada liga dan sedang memberikan tekanan kepda pendahulu liga, sementara si murai (magpies) pula sedang berjuang di bahagian bawah liga untuk mengelakkan penyingkiran dari Liga Perdana Inggeris untuk musim depan. Di atas kertas, memang kelihatan 3 mata sepatutnya tidak menjadi masalah untuk diperolehi oleh LiverBird. Tetapi ini bolasepak dan tiada sebenarnya yang boleh diambil mudah kerana silap perkiraan, buruk padahnya untuk Liverpool. Jika anda lihat perlawanan minggu lepas sewaktu menentang Hull, maka kita boleh menganggap tugas sukar menanti apabila berdepan dengan Newcastle a.k.a The Magpies di Anfield pada Ahad ini. Pasukan-pasukan yang berjuang untuk menyelamatkan diri dari tersingkir memang merbahaya kerana mereka berjuang untuk nyawa mereka di Liga Inggeris dan sudah pasti tidak akan mengalah dengan mudah.

Si Murai memang dihantui oleh terlalu banyak masalah pada musim ini. Pasukan yang satu ketika dahulu sentiasa mencabar tempat untuk ke Eropah, kini berdepan dengan kemungkinan besar tersingkir dari Liga Perdana Inggeris. Perlantikan lagenda mereka Alan Shearer sebagai pengurus untuk membantu kelab ini untuk mengelakkan penyingkiran tidak menampakkan banyak perubahan setakat ini. Semangat pemain mereka kelihatan meningkat tapi masih gagal untuk mencapai sebarang kemenangan di bawah Shearer. Bermula dengan baik pada awal musim di bawah Kevin Keegan, yang kemudiannya meletakkan jawatan dan diganti oleh pengurus sementara, Chris Hughton. Selepas itu Joe Kinnear masuk menggantikan Hughton sebagai pengurus baru dan mereka menunjukkan sedikit peningkatan sebelum Kinnear diserang sakit jantung di pertengahan musim ini. Beliau kembali diganti oleh Hughton sebelum Shearer mengambilalih jawatan pengurus mereka bermula dengan perlawanan menentang Chelsea di St James Park pada awal April lepas. Begitulah rentetan peristiwa malang yang bertimpa ke atas Newcastle ini. Belum lagi dikira masalah yang dihadapi oleh pemilik si Murai Mike Ashley, yang pada satu tahap meletakkan kelab ini untuk jualan disebabkan masalah kewangan dan juga tekanan dari peminat mereka sendiri.

Mari kita lihat barisan si Murai ini yang diketuai oleh bekas penyerang Liverpool, Micheal Owen. Mempunyai penyerang tiga serangkai yang perlu diambil perhatian oleh pertahanan Liverpool. terdiri daripada Martins-Owen-Viduka. Penyerang tiga serangkai ini dijadikan sandaran oleh Shearer untuk mengheret mereka keluar dari zon penyingkiran. Bahagian tengah si Murai di ketuai oleh Nicky Butt (bekas manyoo), beliau dibantu oleh Duff dan Gutierrez atau Smith. Dengan pemergian Given ke City, tugas penjaga gol kini dipikul oleh Harper dan ini secara tak langsung telah melemahkan lagi barisan pertahanan mereka yang telah bolos sebanyak 53 gol musim ini. Pertahanan tengah si Murai diterajui oleh Colocconi dan Bassong, manakala Beye bertindak sebagai pertahanan kanan dan Enrique mengisi slot pertahanan kiri. Mungkin terdapat sedikit perubahan di barisan pertahanan si Murai kerana Enrique diberitakan mengalami kecederaan. Di bawah Shearer, si Murai hanya bolos 4 dari 4 perlawanan, paling banyak 2 gol ketika tewas 0-2 kepada Chelsea di St James Park. Walapun sedikit meningkat dari segi kurangnnya bolos tetapi si Murai menghadapi masalah untuk menjaringkan gol. Si Murai mencipta banyak peluang untuk menjaringakn gol ketika bertemu Pompey minggu lepas tetapi kegagalan menghasilkan jaringan menyebabkan mereka kehilangan 2 mata berharga. Memetik kata-kata Shearer, mereka akan cuba mengambil apa sahaja peluang yang ada ketika perlawanan ini. Sementara Owen pula lebih fokus kepada 2 perlawanan berturut-turut di St James Park selepas ini menentang Boro dan Fulham. 2 perlawanan wajib menang kepada mereka jika ingin menyelamatkan diri dan tersingkir dari Liga Perdana Inggeris.

Mari kita tinjau pula skuad Liverpool untuk perlawanan kali ini. Dengan tiada lagi komitmen kepada Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool mempunyai masa seminggu untuk bersedia bagi perlawanan ini. Dengan pencabar-pencabar yang lain untuk kejuaraan liga sibuk melayan perlawanan di Liga Juara-Juara Eropah, Liverpool sepatutnya mempunyai skuad yang cergas dan fokus sepenuhnya untuk mengutip 3 mata lagi. Berita gembira untuk kita semua, Kapitan Gerrard telah pulih sepenuhnya dari kecederaan dan dijangkakan kembali untuk mengetuai Liverpool. Kehadiran beliau amat diperlukan ketika Liverpool memerlukan ketua untuk mengemudi cabaran Liga Perdana Inggeris sehingga ke akhir musim. Kehadiran beliau juga bermakna pemain tengah yang cakap tidak serupa bikin, Lucas akan memanaskan bangku simpanan untuk perlawanan ini. Gerrard pasti akan bertindak di bahagian depan bersama-sama dengan Torres dan kita berharap gandingan mereka dapat membedil gol si Murai tanpa henti. Bahagian tengah Liverpool akan diterajui oleh Alonso dengan dibantu oleh Mascherano serta Kuyt di sayap kanan dan Benayoun di sayap kiri. Carragher masih mengetuai bahagian pertahanan tengah Liverpool bersama-sama dengan Skrtel. Arbeloa mengisi pertahanan kanan kerana kita tiada pertahanan kanan lain untuk mencabar beliau di situ (bukan bermakna beliau adalah yang terbaik di posisi itu). Di pertahanan kiri saya ingin melihat Insua bermain di situ tetapi jika terdapat perubahan, mungkin Aurelio akan beraksi di situ dan menawarkan lebih pilihan semasa serangan. Walau apapun, kita berharap Rafa dapat menurunkan barisan terbaik (tanpa Lucas) untuk memenangi perlawanan ini.

Perlawanan menentang si Murai di St James Park pada akhir bulan Disember 2008 berakhir dengan kemenangan besar 5-1 kepada Liverpool masih segar di dalam ingatan peminat. Terdengar juga komen dari salah seorang pundit ESPN, mungkin kesilapan telah berlaku pada perlawanan ini di mana Lucas telah dianggap pemain terbaik waktu itu dan ini menyebabkan Rafa tanpa segan silu sanggup meletakkan Lucas untuk  berganding dengan Alonso atau Mascherano ketika bahagian tengah Liverpool menghadapi masalah dengan kecederaan atau pergantungan. Sedangkan kita semua tahu, Lucas terlalu lembab dan tidak kreatif mahupun robust untuk bermain di barisan tengah Liverpool sehingga kini (terbaru ketika menentang Hull, beliau seolah-olah “hilang” di tengah-tengah padang).  Saya memang bersetuju 100% dengan beliau tanpa sebarang keraguan. Berbalik kepada pelawanan Ahad ini, harus diingat, pada kali ini situasinya agak berlainan dengan si Murai kerana memiliki pengurus baru dan Owen mungkin mahu membuktikan sesuatu di Anfield. Jadi kita perlu menghadapi perlawanan ini dengan lebih berhati-hati. Lebih baik Liverpool bermula dengan tanpa membuang masa untuk mengasak kubu si Murai. Ada juga kemungkinan si Murai akan cuba bermain dengan meletakkan lebih banyak pemain pertahanan untuk menyerap asakan Liverpool. Walau bagaimana taktikal yang digunakan si Murai. Liverpool patut mempergunakan sepenuhnya peluang yang terhidang untuk menewaskan si Murai dan meneruskan tekanan ke atas pendahulu liga. Yang penting jangan sesekali memandang rendah si Murai, kerana bukan begitu caranya Liverpool melayan setiap lawan yang perlu dihadapi. Teruskan perjuangan LIVERPOOL!


YNWA

No comments: