Tuesday, October 27, 2009

BPL : Pahlawan Merah Bangkit Di Anfield


Gembira tidak terucap dan saya masih tidak tahu cara terbaik untuk meluahkannya. Gembira kerana pasukan kita bermain dengan cukup bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan ke atas skuad syaitan merah semalam. Seronok membaca komen-komen rakan-rakan peminat di forum dan juga blog. Saya amat pasti anda semua akan terus tersenyum puas di sepanjang minggu ini. Tidak ketinggalan membaca ulasan daripada media internet tentang perlawanan tersebut. Sungguh kelakar jadinya kerana semalam banyak media yang menidakkan peluang Liverpool untuk menang di Anfield tetapi hari ini terbalik pula jadinya. Media memang sikap mereka sebegitu dan hanya pentingkan rating pembaca serta duit sahaja. Biarkan mereka terjun dengan labu-labunya. Saya memang hanya membaca tetapi untuk percaya tidak sama sekali. Percaya hanya kepada media Liverpool yang sentiasa memberikan liputan terbaik buat pasukan kita. Tak kira menang atau kalah, media-media Liverpool ini sentiasa bersikap positif di dalam memberikan ulasan mereka.

Apa yang boleh saya rumuskan daripada perlawanan hebat di Anfield semalam? Yang paling mudah ialah Rafa telah menurunkan kesebelasan yang telah lama diinginkan peminat dan percaturan beliau ini hanya dicacatkan oleh kecederaan yang dialami oleh kapten Liverpool Steven Gerrard sahaja. Selain daripada bermain dengan penuh bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengatasi kemarau kemenangan sebelum ini, serangan yang bertali arus daripada pemain-pemain Liverpool daripada awal hingga ke akhir permainan telah membuktikan bahawa kita mampu bermain dengan corak permainan yang menarik di atas padang. Tidak dilupakan kepada rakan-rakan peminat di Anfield serta di seluruh dunia yang menjadi pemain ke 12 di dalam pertempuran epik semalam. Inilah semangat yang kita mahukan, sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Liverpool FC. Oh ya, terima kasih di atas tindakan bodoh peminat syaitan merah yang membaling bola dan belon ke dalam padang. Sungguh memalukan kerana hanya setakat itu sahaja rupanya mentaliti peminat syaitan merah. Ini padang bolasepak bukannya sarkas untuk peminat, pemain dan pengurus syaitan merah berpesta. Jangan kerana hendak menyakitkan hati Liverpool, sanggup memperbodohkan diri sendiri. Ok cukuplah mengenai mereka, tidak penting untuk pasukan kita pun. Berbalik kepada kesebelasan utama pemain yang diturunkan oleh Rafa semalam, berikut adalah ulasan mengenai seorang demi seorang pemain Liverpool yang beraksi bagai pahlawan di atas padang Anfield semalam :

Jose Reina
Penjaga gawang utama Liverpool ini bermain agak baik di perlawanan ini dengan berjaya menangkis beberapa percubaan bahaya dari penyerang syaitan merah. Reina kelihatan selesa untuk bermain dengan penuh keyakinan apabila rakan-rakan di barisan pertahanan beliau bermain dengan baik. Yang menariknya beliau berlari sehingga ke hujung padang umpama Usain Bolt ketika meraikan gol kedua oleh Ngog.
Rating : 7

Glen Johnson
Kita semua tahu yang beliau belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Semalam jelas kelihatan kecergasan Johnson belum mencapai tahap 100%. Ini menyebabkan beliau kurang menyerang semalam dan banyak menumpukan perhatian kepada tugas bertahan (mungkin diarahkan oleh Rafa berbuat sedemikian). Beraksi dengan baik dan mampu menghalang pergerakan Giggs daripada melakukan umpanan berbahaya ke arah pintu gol Liverpool.
Rating : 7

Emiliano Insua
Kekurangan daya pecutan menyebabkan Insua gagal bermain dengan baik untuk menghalang Valencia daripada membuat banyak umpanan kepada bahagian depan skuad syaitan merah. Kepantasan Valencia hampir-hampir memecahkan pertahanan Liverpool dari sebelah kiri. Namun apabila bermula sahaja separuh masa kedua, permainan beliau meningkat dan dibantu oleh Aurelio, ancaman Valencia hampir diminimakan. Kena belajar lari pecut dengan Reina yang gurunya adalah Usain Bolt!
Rating : 7

Daniel Agger
Permain pertahanan Denmark yang baru pulih dari kecederaan belakang. Permainan beliau semakin hari semakin meningkat. Begitu juga dengan kecergasan beliau. Diharapkan beliau tidak lagi cedera selepas ini. Pada perlawanan ini beliau bertindak menjadi pelengkap kepada Carragher dimana menjadi penghalang utama kepada penyerang skuad syaitan merah daripada membuat banyak percubaan ke arah pintu gol Liverpool. Juga menghasilkan beberapa tandukan daripada sepakan sudut yang diperolehi Liverpool namun gagl disambar oleh rakan-rakan. Pilihan yang lebih baik daripada Skrtel jika Liverpool mendapat sepakan sudut.
Rating : 8

Jamie Carragher
Menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan semalam dan beliau melakukannya dengan begitu baik sekali. Pada perlawanan ini, Carragher telah kembali kepada tahap permainan terbaik beliau yang telah ditunggu-tunggu oleh peminat Liverpool. Bentesan dan clearance tepat yang dilakukan beliau amatlah efisen untuk menghalang penyerang skuad syaitan merah daripada membuat percubaan ke arah pintu gol Liverpool. Beliau juga berjaya menghalang pemain-pemain skuad syaitan merah daripada mempengaruhi pengadil perlawanan. Insiden dengan petualang Merseyside? Bentesan bersih dari Carragher kerana kaki beliau mengenai bola. Benar kata beliau sebelum perlawanan, kami akan menunjukkan karekter sebenar pada perlawanan ini.
Rating : 9

Dirk Kuyt
Mr Marathon Liverpool ini seperti biasa dengan permainan tahap stamina tinggi beliau yang tidak menghampakan. Mempunyai beberapa peluang yang baik untuk menjaringkan gol tetapi semalam bukanlah hari beliau. Kerajinan beliau menyebabkan Evra tidak cukup kaki dan tangan untuk menghalang pergerakan pemain Holland ini. Juga membantu Johnson menghalang Giggs dan juga Evra di sebelah kanan pintu gol Liverpool. Banyak membantu Torres, Benayoun serta Aurelio di dalam barisan serangan Liverpool.
Rating : 8

Fabio Aurelio
Pemain pertahanan kiri dari Brazil ini diberi tugas bermain di sayap kiri pada perlawanan semalam. Beliau menggantikan Albert Riera yang mengalami kecederaan. Setelah menunjukkan prestasi yang baik semasa masuk menggantikan Gerrard di perlawanan menentang Lyon tempohari, semalam Aurelio membuktikan beliau adalah antara pemain terbaik Liverpool di atas padang. Tendangan percuma beliau dan juga tandukan beserta dengan sepakan sudut beliau hampir-hampir membolosi pintu gol skuad syaitan merah. Banyak membantu Insua untuk merantai pergerakan Valencia di bahagian kiri pintu gol Liverpool. Beliau pernah berkata mahu bermain sebaik mungkin pada msuim ini bagi mendapatkan kontrak baru dengan Liverpool. Diharapkan beliau tidak lagi mengalami kecederaan selepas ini dan bermain dengan lebih baik pada perlawanan-perlawanan akan datang.
Rating : 9

Javier Mascherano
Kapten Argentina ini walaupun diselubungi dengan kontroversi masih mampu bermain dengan baik. Setelah berjaya membantu Argentina layak ke Piala Dunia 2010, Mascherano kelihatan lebih fokus di dalam permainan beliau di atas padang. Persembahan mantap beliau dengan bentesan yang tepat serta berjaya menguasai bahagian tengah bersama-sama dengan Lucas jelas menyebabkan Carrick serta Scholes hilang punca ketika berdepan dengan gandingan ini. Adakah saya kehilangan sesuatu sebelum ini? Sedikit mengecewakan apabila beliau mendapat kad merah setelah membuat bentesan ke atas penjaga gol skuad syaitan merah.
Rating : 8

Lucas Leiva
Pemain tengah Brazil ini mempamerkan persembahan terbaik beliau pada musim ini. Walaupun masih banyak ruang yang boleh diperbaiki, Lucas telah menunjukkan komitmen 110% pada perlawanan ini. Perlu belajar untuk melakukan bentesan tepat, melakukan umpanan tepat dan juga sepakan tepat jika mahu berjaya sebagai pemain tengah Liverpool. Beliau juga harus kurangkan tabiat suka melakukan umpanan ke belakang yang jelas kurang faedahnya kepada Liverpool. Namun tidak dinafikan kesungguhan beliau turut mendatangkan masalah kepada bahagian tengah skuad syaitan merah. Umpanan beliau kepada penyerang muda David Ngog membolehkan gol kedua dijaringkan dan beliau meraikan gol tersebut dengan penuh kegembiraan. Beliau mahu membuktikan sesuatu kepada peminat-peminat Liverpool?
Rating : 8

Yossi Benayoun
Pemain tengah yang cukup jarang menghampakan apabila diturunkan di kesebelasan utama. Benayoun yang bermain sebagai penyerang sokongan kepada Torres di dalam perlawanan ini cukup berkesan serta kreatif untuk memecahkan benteng pertahanan skuad syaitan merah. Umpanan menarik beliau kepada Torres membolehkan penyerang utama Liverpool menjaringkan gol pertama Liverpool pada minit ke 65 setelah berjaya mengatasi asakan Ferdinand dan memastikan Anfield kembali gegak gempita dengan sokongan peminat. Banyak gerakan dari pemain bertubuh kecil ini sukar dikawal oleh Vidic dan juga Ferdinand. Rafa anda masih menyimpan pemain ini di dalam almari di Anfield?
Rating : 9

Fernando Torres
Apa lagi yang boleh saya katakan tentang penyerang hebat Liverpool ini? 80% kercergasan tetapi 100% berbahaya seperti kata beberapa media di internet. Torres yang tidak cergas sepenuhnya pada perlawanan ini namun Rafa terpaksa memanggil penyerang utama Liverpool ini untuk mengetuai bahagian serangan Liverpool. Dan keputusan tersebut dibuat di dalam bas semasa perjalanan mereka ke Anfield pada hari perlawanan. Ianya diakui sendiri oleh Rafa. Hasilnya? Torres berjaya menjaringkan gol pertama Liverpool pada minit ke 65 di dalam perlawanan ini apabila beliau berjaya menewaskan Ferdinand dan juga van Der Sar di pintu gol syaitan merah. Kehadiran beliau juga telah menyebabkan barisan pertahanan syaitan merah tidak cukup tangan dengan Vidic serta Ferdinand kelam kabut dibuatnya. Sehinggakan beberapa kali Vidic terpaksa mengasari Torres dan beliau diberikan kad kuning pertama sebelum dihantar pulang dengan kad kuning kedua (kad merah secara automatik) kerana menjatuhkan Kuyt. Ini merupakan gol kesembilan penyerang utama Liverpool ini pada musim 09/10 ini. Lebih menarik Torres turut melakukan satu defensif header yang menghalang bola daripada disambar oleh Berbatov.
Rating : 9

David Ngog
Penyerang muda Perancis yang masuk menggantikan Torres ini berjaya menjaringkan gol kedua Liverpool dan seterusnya memadamkan terus api perjuangan skuad syaitan merah. Beliau menerima umpanan daripada Lucas sebelum melakukan percubaan yang berjaya menewaskan van Der Sar. Memerlukan lebih banyak pendedahan untuk menjadi penyerang sokongan kepada Torres. Perlawanan ini adalah contoh terbaik untuk Ngog menimba pengalaman.
Rating : 7

Martin Skrtel
Pemain pertahanan tengah Slovakia ini masuk menggantikan Benayoun di dalam usaha Rafa untuk memperkuatkan benteng pertahanan Liverpool. Melakukan tugas dengan baik walaupun hanya beraksi tidak sampai 10 minit di atas padang. Berjaya membantu Carra dan Agger menyerap asakan berani mati skuad syaitan merah di akhir-akhir perlawanan.
Rating : 7

Rafa Benitez
Dengan dihimpit segala tekanan selepas Liverpool mengalami kemerosotan prestasi, pengurus Liverpool ini akhirnya berjaya membimbing anak-anak buahnya untuk bangkit mencapai kemenangan. Lebih bermakna, kemenangan tersebut dicatat ke atas musuh tradisi iaitu skuad syaitan merah. Rafa seperti yang kita semua kenali masih mengamalkan pendekatan satu demi satu perlawanan sehingga ke hari ini. Beliau kini akan memperolehi khidmat pemain-pemain utama beliau seperti Agger, Aurelio, Aquilani, Torres dan juga Gerrard yang kini akan pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Kita berharap agar Rafa dapat membawa 1-2 pemain baru bila urusan perpindahan akan dibuka semula pada bulan Januari 2010 nanti.
Rating : 9


Tanpa kapitan Gerrard kita masih mampu menewaskan skuad syaitan merah ini. Anda dapat bayangkan apakah yang boleh dilakukan oleh skuad Liverpool ini jika kita mampu mendapatkan khidmat beliau bersama-sama dengan Alberto “Aquaman” Aquilani dan juga Albert Riera di dalam perlawanan akan datang. Walaupun ramai yang mengatakan ini hanya satu sahaja kemenangan kepada Liverpool dan kita akan kembali tersungkur selepas ini. Itu pendapat mereka yang memang mahu melihat kejatuhan Liverpool.dan mereka yang takut dengan kebangkitan The Reds. Bukan saya mahu bercakap besar tetapi keyakinan ini lahir setelah pemain-pemain utama Liverpool akan kembali cergas menjelang minggu hadapan. Dan kita bakal melihat kemunculan sulung, pemain tengah Liverpool dari Itali, Alberto “Aquaman” Aquilani setelah kita semua sabar melihat beliau pulih daripada kecederaan. Saya pasti kita kini lebih bersedia untuk terus mengibarkan cabaran pada musim ini. Perlawanan menentang skuad senapang di dalam Piala Carling rabu ini? Bagi saya lebih baik memberi ruang kepada pemain-pemain muda seperti Martin Kelly untuk beraksi. Berikan rehat yang secukupnya kepada pemain-pemain utama kita yang amat memerlukannya. Kita perlu bersedia sepenuhnya untuk perlawanan menentang Fulham sabtu nanti, masih anda semua ingat betapa liatnya skuad Fulham ini untuk kita tundukkan melalui jaringan Benayoun pada musim lepas? Dan mereka berjaya mengikat citeh pada minggu lepas setelah ketinggalan 2-0. Cukup untuk membayangkan tugas berat buat skuad The Reds di Craven Cottage nanti. Kisah dua petualang Merseyside? Tidak perlu saya ceritakan, dalam erti kata mudah, kita semua tahu apa nasib mereka berdua di dalam perlawanan itu.


YNWA

4 comments:

RABUN said...

harap harap formasi ini dikekalkan untuk tempoh yang lama jgn terlalu kerap tukar formasi nanti jadi tungang terbalik macam lawan sunderland tempoh hari... peminat pening, pemain lagi lah pening,

Pemain seperti Martin Kelly, Ngog, atau spearing (walaupun bermain teruk ketika bertemu sunderland aku rasa dia gugup ) harus diberi peluang lebih untuk mengantikan option yang tak guna macam babel atau voronin (jual dorang ni )

Lucas!? dia perlu merenung diri dia, orang tak suka dia bukan kerana muka dia yang tak handsome tu, orang tak suka pasal dia main teruk, tapi tak ada sebab untuk membenci Lucas kalau tiap kali dia akan bermain seperti bertemu Setan Merah ni, baik mari kita beri dia peluang lagi..


martin skertel harus terus berada di bangku simpanan, nampak sangat Charagher lebih tenang dan lebih fokus tanpa skertel..

Insua selalu sangat jadi lubuk/sayur Liverpool selain dari Lucas, kalau tak percaya tgk arah serangan Setan merah dan team team lain yang menentang Liverpool lebih kearah mana?... Dia harus segera meningkatkan tahap larianya dan fizikal nya harus kuat

aku rasa dengan line up pertahanan ni Riena akan lebih tenang

Harap harap Bernitez akan lebih pandai menilai pemain selepas ni...

ymn said...

aku selalu berfikir .. mcm mane aku naktulis pnjng² ..

sudahnya letak gmbr cukup ..

anyway gud review ..

YNWA .. yeah ..

beemer said...

bro indra ...
hohohoho ...
panjang tul ulasan ..
dah masa kita bg peluang pd player muda ..
Lucas muka dah ijau tgk aquilani main .. cuak nak duduk bench pasni .. hehe!
agger n carragher lebih mantap kombinasinya ..
Insua mungkin awek lari kot bro ..

beemer said...

ymn ..
panjang atau pendek no problem bro ..
janji tulis psl LFC ...
letak gambo pun ok ..