Thursday, February 11, 2010

Torres : Kembali Kuatkan The Reds

The Reds menerima perkhabaran gembira apabila penyerang utama Fernando Torres kini dilaporkan telah diberikan kebenaran untuk kembali menjalani sesi latihan bersama-sama rakan sepasukannya di Melwood. Torres kini dilaporkan sedang giat untuk mempertingkatkan tahap kecergasannya dan meletakkan sasaran untuk kembali ke kesebelasan utama Liverpool pada perlawanan menentang citeh di kandang lawan di dalam masa sepuluh hari lagi. Perlawanan menentang citeh ini penting untuk Liverpool memandangkan mereka adalah antara pencabar untuk mendapatkan tempat ke liga juara-juara eropah musim hadapan. Walaupun pengurus Liverpool Rafa Benitez tidak meletakkan sebarang tarikh yang tepat untuk Torres kembali pulih, beliau kini pasti sedikit lega kerana penyerang utamanya kini sedang berusaha untuk meningkatkan tahap kecergasan. Torres telah berehat selama lebih kurang sebulan selepas mengalami kecederaan ketika bertemu Reading di Piala FA. Kumpulan perubatan Liverpool kini telah memberikan lampu hijau kepada Torres untuk mendapatkan kembali kecergasan beliau. Torres juga dilihat telah mula berlari di sekeliling padang latihan di Melwood tanpa mengalami sebarang masalah. Rafa kini dilaporkan menghadapi dilema samada mahu menurunkan Torres atau tidak semasa menentang citeh nanti. Ini kerana kehadiran Torres pasti akan memperkuatkan lagi kesebelasan utama Liverpool setelah Liverpool dilihat gagal menjaringkan gol di dalam beberapa perlawanan liga sebelum ini. Namun ini merupakan satu tindakan yang cukup berisiko jika Torres belum benar-benar pulih sepenuhnya kerana mungkin kecederaan beliau akan bertambah parah. Pada perlawanan menentang citeh nanti, jika Torres benar-benar cergas dan pulih barulah beliau sepatutnya diturunkan. Jika keadaan beliau masih 50-50, lebih baik direhatkan untuk menghadapi perlawanan selepas itu. Kita tidak mampu lagi kehilangan Torres untuk jangkamasa yang panjang kerana penyerang sokongan yang ada sekarang tidak mampu beraksi dengan konsisten di atas padang. Kehadiran El Nino pasti akan memberikan impak psikologi yang besar kepada Liverpool kerana pasukan lawan pasti tidak akan senang duduk jika Torres berada di kesebelasan utama. Apa pun keputusan Rafa nanti, kita semua berharap agar El Nino kembali cergas untuk mengemudi bahagian serangan Liverpool pada baki perlawanan pada musim ini.


YNWA