Walaunpun menang 1-0 dengan pasukan Unirea dari Romania di saingan Liga Europa awal pagi tadi, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki apabila bertandang ke kandang lawan pada 25 Februari (minggu hadapan) nanti. Liverpool turun dengan beberapa perubahan pemain antaranya ialah kemasukan semula Aquilani, Riera dan juga Aurelio yang telah agak lama berehat. Lucas, Insua dan Maxi diberikan rehat untuk perlawanan ini. Liverpool yang jelas menguasai perlawanan ini daripada awal sepakmula namun hanya satu gol dapat dijaringkan. Memang diakui ketangkasan penjaga gol Unirea banyak menghalang Liverpool daripada menambahkan jaringan tetapi itu bukanlah alasan untuk mendapatkan 2 atau 3 lagi jaringan. Kelebihan satu jaringan ini dilihat agak tipis untuk dibawa ke tempat lawan namun agak melegakan apabila Liverpool tidak bocor pada perlawanan ini. Sesuatu yang positif adalah barisan pertahanan Liverpool semakin mantap dan cukup sukar untuk dibolosi. Kita berharap pemain-pemain pertahanan kita akan terus mempamerkan akis terbaik semasa bertandang ke kandang lawan nanti. Barisan serangan cukup mengecewakan seperti biasa, Ngog walaupun menjaringkan gol tunggal perlawanan namun secara keseluruhan beliau sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol berdasarkan peluang yang diperolehi Liverpool. Hanya selepas kemasukan Babel dan Pacheco pada separuh masa kedua merubah terus corak permainan Liverpool. Lebih banyak hantaran tepat dapat dilakukan ke barisan hadapan dan memberikan tekanan demi tekanan kepada benteng pertahanan Unirea. Pacheco adalah bintang muda yang harus diberikan lebih banyak peluang untuk bermain di kesebelasan utama Liverpool. Jika beliau terus menerus diperam di bangku simpanan, Liverpool mungkin akan kehilangan seorang penyerang muda yang cukup berbakat. Walaupun hanya bermain selama 15 minit, umpanan daripada tandukan Pacheco yang membolehkan Ngog menjaringkan gol. Begitu juga Babel, beliau perlu bermain dengan konsisten seperti pada perlawanan semalam jika masih berhasrat untuk menempatkan diri di kesebelasan utama Liverpool dan juga mendapat tiket ke Piala Dunia di Afrika nanti.
Secara keseluruhan pemain-pemain utama seperti Gerrard, Agger, Skrtel, Carrgher, Kuyt dan juga Mascherano tidak menghampakan pada perlawanan ini. Aurelio, Aquilani dan juga Riera perlu mempertingkatkan permainan mereka pada perlawanan-perlawanan yang akan datang. Mungkin mereka agak lama berehat (lebih kurang tiga minggu), menyebabkan persembahan mereka agak berkarat. Kemenangan 1-0 dengan pasukan yang datang ke Anfield dan mengamalkan corak bertahan hampir 100% demi untuk mendapatkan keputusan seri ini (diakui oleh pengurus mereka sebelum perlawanan) seharusnya boleh dijadikan iktibar untuk mengejar gol di kandang lawan nanti. Saya pasti mereka akan habis-habisan menyerang Liverpool dan ini pasti akan membuka sedikit sebanyak ruang untuk Liverpool menjaringkan gol. Pemain utama meraka Brandan yang digantung perlawanan kerana kad kuning kedua juga bakal memberikan sedikit kelebihan untuk Liverpool di Romania nanti. Jika Liverpool berjaya menjaringkan satu gol di kandang lawan, tugas berat untuk Unirea bagi mendapatkan 3 gol bagi mengatasi The Reds. Namun jika sukar untuk mendapatkan gol di sana nanti, taktikal untuk bertahan daripada barisan tengah harus digunakan Liverpool untuk layak ke pusingan berikutnya. Jika Pacheco diturunkan lagi semasa di Romania, saya yakin penyerang muda Liverpool ini cukup berguna untuk melancarkan counter attack ke atas benteng pertahanan Unirea. Dan jika kita bernasib baik, mungkin akan kelihatan kelibat penyerang utama Fernando Torres di Romania nanti.
YNWA
No comments:
Post a Comment