Berita kurang enak yang diterima daripada kem Liverpool menyatakan bahawa para pemain Liverpool bakal diturunkan gaji jika gagal untuk layak ke liga juara-juara eropah pada musim depan. Sejauh mana kebenaran berita ini? Dan jika benar, apakah yang bakal berlaku kepada pemain-pemain Liverpool? Setelah membuat sedikit penyelidikan di internet, barulah saya mendapat tahu cerita yang sebenar. Pemain-pemain Liverpool sebenarnya tidak diturunkan gaji mereka tetapi lebih kepada pengurangan bonus yang diperolehi jika mereka gagal layak ke liga juara-juara eropah pada musim depan. Menurut satu laporan, pemain-pemain Liverpool akan berhadapan dengan pengurangan hampir 5 peratus daripada pendapatan mereka sekarang. Kontrak pemain-pemain Liverpool sebenarnya adalah berasaskan prestasi semasa pasukan. Selain daripada gaji pokok yang diterima pemain, kontrak mereka juga menawarkan bonus berdasarkan kepada pencapaian pasukan di pertandingan-pertandingan bolasepak utama di eropah. Bonus ini adalah satu insentif daripada Liverpool untuk menggalakkan pemain-pemain mereka supaya berusaha keras untuk mencapai kejayaan.
Liverpool dijangka akan kehilangan 12 juta pound jika mereka gagal ke liga juara-juara eropah pada musim hadapan. Kegagalan ini juga akan menyebabkan pemain-pemain kehilangan bonus di antara 2 hingga 3 juta pound dan ini juga bermakna sedikit penjimatan untuk Liverpool di dalam belanjawan pendapatan pemain. Semenjak Rafa Benitez menjadi pengurus Liverpool kira-kira lima musim yang lalu, penyertaan di liga juara-juara eropah merupakan satu formaliti untuk pemain-pemain Liverpool. Tetapi keadaan berubah pada musim ini kerana mereka kini berdepan dengan cabaran hebat daripada pasukan-pasukan lain di dalam perebutan ke liga juara-juara eropah pada musim hadapan. Hujung minggu ini mereka bakal berdepan dengan salah satu pencabar ke liga juara-juara musim depan iaitu skuad citeh di tempat lawan. Licik sungguh permainan media yang seolah-olah menggambarkan para pemain Liverpool akan dipotong gajinya jika gagal ke liga juara-juara eropah pada musim hadapan sedangkan hakikat sebenar adalah mereka akan kehilangan bonus yang bersandarkan kepada prestasi mereka pada musim ini. Dalam erti kata mudah, tiada bonus jika prestasi musim ini tidak berada pada tahap yang sepatutnya.
YNWA
No comments:
Post a Comment