

Masalah yang saya maksudkan ialah barisan pertahanan yang cukup goyah apabila menghadapi serangan daripada La Viola yang diketuai oleh Mutu dan Jovetic. Seperti ulasan yang saya berikan sebelum perlawanan tersebut bermula, barisan pertahanan Liverpool semakin mudah untuk dibocori. Saya semakin tidak faham dengan apa yang berlaku di bahagian pertahanan Liverpool. Krisis keyakinankah yang dihadapi oleh barisan pertahanan Liverpool? Carragher dan Skrtel bukan lagi gandingan yang boleh diharapkan seperti musim lepas. Nada Rafa selepas perlawanan ini juga berubah apabila ditanya mengenai barian pertahanan beliau. La Viola menggunakan sepenuhnya kelemahan ini untuk melancarkan serangan demi serangan pada separuh masa pertama dan mereka berjaya menjaringkan dua gol melalui Jovetic. Walaupun ada yang berpendapat gol pertama adalah offside namun tiada gunanya kita bertelagah kerana itu adalah keputusan pengadil yang tidak boleh diubah. Pengadil juga agak menghairankan pada pagi tadi kerana terlalu banyak advantage yang diberikan sehinggakan sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pemain Liverpool yang memang jelas dikasari oleh pertahanan La Viola. Torres yang banyak dikasari oleh pertahanan La Viola kerana mereka mahu merantai penyerang utama Liverpool ini sehingga pada satu ketika El Nino berhadapan dengan pengadil kerana tidak berpuas hati dengan corak permainan kasar mereka. Sepertimana yang saya bangkitkan semalam, jika Liverpool bolos terlebih dahulu, maka peluang untuk mengejar pasti akan lebih sukar kerana skuad La Viola ini cukup kebal di tempat sendiri. Dan itulah yang terbukti apabila mereka mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Walaupun bermula dengan garang pada separuh masa kedua setelah terkena basuhan mantap daripada Rafa, Liverpool ternyata gagal menembusi benteng pertahanan mereka. Persembahan Liverpool meningkat dengan mendadak pada separuh kedua dengan bola lebih banyak belegar di pintu gol Viola. Percubaan demi percubaan Liverpool melalui Torres, Gerrard, Kuyt, Benayoun tetap gagal untuk membolosi gol Viola. Penjaga gol mereka, Sebastien Frey juga banyak menangkis serangan Liverpool. Tetapi satu fakta menarik yang saya perolehi semasa perlawanan ini ialah Manyoo, Skuad senapang dan skuad biru merseyside juga turut tersungkur ketika hadir di stadium ini menentang skuad La Viola ini. Jadi, memang terbukti rekod skuad La Viola di tempat mereka sendiri ketika menentang pasukan dari England memang baik. Walaupun tewas, saya masih percaya Liverpool mampu bangkit pada perlawanan menentang skuad jambatan runtuh pada hujung minggu nanti. Jika kita boleh bermain sepertimana di separuh masa kedua menentang La Viola, tidak mustahil untuk Liverpool membawa pulang 3 mata penuh. Cuma Rafa harus sedar, beliau perlu berbuat sesuatu dengan barisan pertahanan Liverpool dan percaturan taktikal perlulah tepat pada kali ini kerana skuad jambatan runtuh memang akan memberikan cabaran yang lebih getir berbanding dengan La Viola. Liverpool juga mempunyai kelebihan masa rehat sehari berbanding dengan skuad jambatan runtuh. Diharapkan Mascherano kembali untuk perlawanan ini bagi memantapkan barisan tengah Liverpool. Ayuh bangkit Liverpool, tiada yang mustahil di dalam bolasepak. Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan ini.
YNWA