Thursday, September 3, 2009

Babel : Buktikan Kemampuan Kamu

Ryan Babel, satu nama yang cukup gah di satu ketika dahulu. Kita semua tahu beliau datang dengan reputasi yang cukup hebat sehingga Liverpool terpaksa mengatasi saingan Manyoo dan Arsenal untuk mendapatkan beliau. Saya masih ingat senyuman Babel yang sampai ke telinga sewaktu diperkenalkan oleh Rafa sebagai pemain baru Liverpool bersama-sama dengan Benayoun. Tetapi itu peristiwa lama yang kita semua telah letakkan di dalam lipatan sejarah Liverpool. Babel yang dibeli pada harga 11.5 juta pound dari Ajax pasti memberikan keyakinan kepada peminat, inilah pemain sayap yang bakal mengegar Liga Perdana Inggeris. Namun semuanya itu hanyalah khayalan semata-mata. Babel yang sewaktu ketika dahulu cukup mantap di Ajax Amsterdam dan pernah menjadi antara prospek terbaik di eropah kini semakin pudar permainannya di Liverpool. Nasib yang berbeza pula dengan nasib Benayoun, pemain yang dibeli dengan harga 5 juta pound dari West Ham ini semakin menonjol persembahan beliau di Liverpool. Persembahan beliau di bahagian sayap kiri dan kanan Liverpool lebih banyak memberikan kesan kepada jentera bahagian tengah Liverpool. Benayoun dilihat sebagai pemain yang banyak membantu bahagian serangan Liverpool yang diterajui oleh Torres dan Gerrard. Kemasukan beliau sebagai pemain gantian (jika tidak bermula di kesebelasan utama) pasti akan mengubah corak permainan Liverpool (seperti yang kita lihat semasa perlawanan menentang Spurs dan juga Bolton yang lepas).

Kenapa Babel menjadi subjek pilihan artikel pada kali ini? Bukan niat saya untuk memperkecilkan beliau pada kali ini. Berita terbaru dari Anfield telah menyatakan Babel mahukan Rafa meminjamkan beliau kepada Ajax pada bulan Januari 2010 nanti bagi membolehkan peluang beliau untuk bermain dengan skuad kebangsaan Holland di Piala Dunia nanti tercapai. Apabila membaca artikel-artikel di internet, sesedap gigi sahaja mereka menulis Rafa telah menipu Babel. Rafa menipu Babel? Sejauh mana kebenarannya perkara ini? Setelah membuat sedikit penyelidikan, barulah saya dapat mengetahui perkara yang sebenar. Rupa-rupanya Babel tidak berpuas hati kerana beliau hanya diturunkan di kesebelasan utama ketika menentang Spurs dan juga sebagai pemain gantian ketika menentang Stoke City. Beliau juga mendakwa Rafa telah berjanji mahu menurunkan beliau dengan lebih kerap pada musim ini. Persoalannya, benarkah Rafa berjanji sedemikian dengan Babel? Jika benar, saya pasti apa yang diperkatakan oleh Rafa itu pasti berdasarkan kepada prestasi semasa pemain. Jika ini menjadi ukuran, apa komen Babel dengan prestasi di tahap sekolah tadika ketika beraksi di perlawanan menentang Spurs sebelum ini? Saya pasti Rafa bukanlah seorang pengurus yang akan tunduk kepada sebarang tekanan oleh pemain melalui media. Jika Babel seorang yang bijak lebih baik menutup mulut dan tidak menimbulkan sebarang konflik dengan pengurus pasukan.

Prestasi di atas padang menjadi ukuran dan sekarang merupakan peluang terbaik untuk membuktikan kemampuan beliau dengan membantu Liverpool menjadi pasukan yang lebih konsisten. Babel harus ingat musim baru berumur empat perlawanan dan pada setiap musim Liverpool akan bermain sehingga mencecah 60 perlawanan. Banyak lagi ruang untuk beliau bermain di kesebelasan utama sebelum bermulanya Piala Dunia nanti. Kepada Babel, tiada gunanya anda bercakap sehingga berbuih mulut di media. Anda merupakan pemain yang cukup berbakat, lebih baik anda tumpukan perhatian kepada latihan dan fokus kepada corak permainan anda. Saya amat yakin jika anda benar-benar berusaha, peluang untuk anda menyinar di Liverpool pasti akan tiba. Gunakan sepenuhnya peluang yang diberi oleh Rafa hatta dimasukkan kepada pemain gantian selama 5 minit sekalipun. Jika anda benar-benar pemain yang baik, pasti Rafa tidak akan melihat anda dengan sebelah mata. Kami masih dambakan persembahan terbaik anda pada musim lepas ketika perlawanan liga juara-juara eropah menentang Real Madrid di Anfield. Ada rakan peminat yang bertanya kepada saya, ke mana hilangnya Babel yang bermain seperti di perlawanan itu?


YNWA

6 comments:

ijat said...

yup..dimanakah hilangnya babel masa men ngan real madrid musim lpas..??

Firol said...

babel ni naik turun sikit prestasi...

INDRA QIRANA said...

kesilapan babel adalah bermain secara sterotype dan konvesional... defender defender alaf baru mudah benar membaca pergerakan babel... tu yang banyak sangkut... bila dah banyak sangkut mudah benar babel hilang keyakinan.. aku pun malas nak membebel pasal bebal eh silap babel he he

beemer said...

ijat ...
tak jumpa-jumpa sampai skrg..

beemer said...

bro firol ...
cam yo-yo la pulak ... hehe!

beemer said...

bro indra ...
dia kena pelbagaikan corak permainan baru susah defend nak baca ...