Monday, June 1, 2009

Rafa : Alonso Tidak Akan Ke Madrid

Seperti yang saya jangkakan, nampaknya semakin banyak berita merepek yang tersebar mengenai pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso walaupun musim 08/09 baru sahaja melabuhkan tirai. Terbaru adalah mengenai berita yang pasti akan menyebabkan semua peminat Liverpool berasa kurang senang dengan pengurus, Rafael Benitez. Berita yang saya maksudkan adalah perjanjian rahsia telah dimeterai antara Liverpool dengan Real Madrid untuk perpindahan Alonso ke kelab Sepanyol itu. Dilaporkan perjanjian itu telah ditandatangani dengan yuran perpindahan sebanyak 25 juta pound dan Alonso akan diperkenalkan sebagai pemain Real Madrid pada minggu hadapan. Nampaknya bakal presiden Real Madrid, Perez cuba membuat kacau di Anfield pula pada kali ini. Beliau yang memang terkenal sebagai presiden yang akan melakukan apa saja untuk mendapatkan pemain sasaran beliau. Minta maaf Perez, ini adalah Liverpool dan bukannya pasukan yang boleh anda perkotak-katikan dengan wang. Walaupun kewangan Liverpool adalah sederhana namun untuk menjual pemain terbaik seperti Alonso adalah jauh panggang dari api. Liverpool merupakan pencabar kamu di peringkat Eropah dan yang pasti kami akan hadir untuk menghantui kamu lagi pada musim depan.

Rafa pula melalui laman rasmi liverpoolfc.tv dengan tegas mengatakan tiada sebarang perjanjian yang dipersetujui dengan Real mengenai perpindahan Alonso. Rafa hanya memandang sebelah mata mengenai berita perpindahan pemain antarabangsa Sepanyol itu. Menurut Rafa, Alonso telah menunjukkan prestasi terbaik musim ini dan Liverpool berada pada situasi yang jelas, Alonso BUKAN UNTUK DIJUAL. Alonso merupakan antara pemain tulang belakang Liverpool dan Rafa mahu beliau terus bersama-sama kelab untuk meneruskan perancangan masa depan Liverpool. Rafa menambah, Alonso telah menyatakan di majalah kelab yang beliau tidak sabar untuk bermain pada musim ke enam bersama-sama Liverpool pada musim depan dan kenapa beliau mahukan perpindahan sekarang?. Memang benar agen Alonso telah bertemu Rafa dan ianya agak mengejutkan pengurus Liverpool tersebut. Rafa dengan tegas menyatakan Alonso masih mempunyai kontrak jangka panjang selama 3 tahun lagi yang akan berakhir pada 2012 dan Liverpool tidak terdesak untuk menjual salah satu aset yang cukup berharga ini. Rafa juga telah membuat pertemuan ringkas dengan Alonso dan beliau telah bertanya kepada pemain tengahnya ini, adakah anda gembira di Liverpool? Dan jawapan yang jelas dari Alonso, Ya, saya amat gembira di sini.

Saya masih ingat janji Alonso kepada para peminat Real Sociedad (sebelum beliau ke Liverpool), beliau tidak akan berhijrah ke Real Madrid. Dan sebagai menunaikan janji tersebut, Alonso memilih Liverpool sebagai destinasi untuk meneruskan karier bolasepaknya. Alonso amat disanjungi oleh semua peminat Liverpool dan saya pasti kita semua mahukan beliau menamatkan kariernya di Anfield dan memahatkan namanya sebagai salah seorang lagenda Liverpool. Walaupun banyak pihak yang menimbulkan spekulasi dan cuba memutuskan hubungan antara Alonso dengan kelab ini, diharapkan Alonso mengambilnya sebagai iktibar dan ianya menjadikan hubungan beliau dengan kelab ini semakin rapat dan bukannya semakin renggang. Kepada pengurusan kelab, saya syorkan sekali lagi agar menawarkan kontrak baru kepada Alonso demi untuk menutup spekulasi yang semakin tidak munasabah ini. Kepada Alonso, kami tidak mahu kehilangan anda kerana ianya pasti akan menjejaskan rentak permainan Liverpool secara langsung. Walaupun ada pengganti, mereka pasti tidak sama seperti anda malah amat jauh sekali untuk menyaingi kemampuan anda di tengah padang.

Ada juga peminat yang cuba menyalahkan Rafa dengan membandingkan nasib yang diterima oleh penyerang, Robbie Keane dengan Alonso. Buat makluman anda semua, situasi Alonso adalah berbeza dengan Keane dimana Alonso merupakan salah seorang pemain yang paling konsisten di dalam skuad Liverpool pada musim ini dan beliau juga bukanlah pemain yang berumur. Situasi Keane pula adalah amat berbeza dimana selain umur beliau yang hampir mencecah 30 tahun dan prestasi beliau yang seperti yo-yo, Rafa membuat keputusan untuk menjual beliau semula ke Spurs Januari lalu adalah untuk mengelakkan lebih banyak kerugian kepada Liverpool jika dijual pada musim panas ini. Lagipun, Keane adalah pemain yang amat berbakat cuma corak permainan beliau tidak sesuai dengan taktikal Rafa. Pemergian Keane kurang dirasai oleh para peminat Liverpool, tetapi jika pemergian Alonso terjadi, apa perasaan kita semua? Bagi saya hanya 2 perkara yang akan menyebabkan Alonso berpindah ke kelab lain, pertama jika Rafa mahu menjual beliau dan kedua, jika Alonso sendiri yang berhasrat untuk berpindah. Kedua-duanya saya harap tidak berlaku pada masa terdekat ini. Sekurang-kurangnya biarlah Alonso membantu Liverpool menjulang Liga Perdana Inggeris terlebih dahulu. Dan jika Alonso ingin berpindah pada satu hari nanti, memetik kata-kata seorang peminat Liverpool, Barcelona merupakan pilihan yang lebih baik berbanding Real Madrid untuk mengembangkan corak permainan beliau.


YNWA

4 comments:

blassom said...
This comment has been removed by the author.
Firol said...

harap impian real terkubur....Alonso pemain terbaik yang Lvpl ada.... tengok jelah tengah lvpl bila ada alonso.....goyang pihak lawan... sokkabor suke sngat kontrovesi mcm ni

HeLL69 said...

liverpool memang hebat..

beemer said...

hampeh tul la paper kat UK n Spain ... abis ditaburnya cite alonso ni ... jgn goyang dah la alonso ...