Sunday, June 21, 2009

Alonso : Saya Masih Setia

Berita positif yang diterima daripada Liverpool menambahkan lagi keyakinan saya bahawa jeneral padang Liverpool, Xabi Alonso akan kekal di Anfield pada musim depan. Alonso seperti yang kita semua sedia maklum adalah antara pemain senior Liverpool yang paling kerap dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Anfield. Beliau dikatakan menjadi sasaran utama Real Madrid. Walaupun masih terdapat banyak spekulasi yang membabitkan beliau, pada hari ini Alonso telah mengeluarkan kenyataan yang beliau tidak berminat untuk meninggalkan Liverpool. Spekulasi beliau akan menyertai Real Madrid timbul setelah beliau dikatakan tidak senang dengan sikap pengurus Liverpool Rafael Benitez yang cuba menjual beliau pada musim lepas dan terdapat juga khabar mengatakan beliau tidak dijamin tempat di kesebelasan utama. Namun terdapat juga kerisauan di pihak Alonso kerana beliau tidak dapat menjangka bagaimana keadaan pasaran perpindahan pemain pada musim ini. Walaupun begitu, Alonso mahu kekal di Anfield dan mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemain senior seperti Steven Gerrard dan juga Jamie Carragher. Dengan Sami Hyypia telah berpindah ke Laverkusen, Alonso tidak mahu keluar dari Anfield dan mengurangkan lagi jumlah pemain senior yang sedia ada.

Menurut Alonso terdapat minat dari Real Madrid pada tahun 2004 tetapi Liverpool lebih pantas bertindak untuk membawa beliau ke Anfield. Ianya satu keputusan yang tepat kerana sekarang beliau telah semakin matang sebagai pemain dengan Liverpool, sebuah kelab yang amat istimewa dan telah memenangi beberapa kejuaraan. Mengulas mengenai desas desus hubungan beliau dengan Rafa tidak baik, pemain berusia 27 tahun ini dengan pantas menafikan perkara tersebut. Menurut Alonso setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri dan Rafa merupakan pengurus Liverpool yang akan memberikan yang terbaik kepada Liverpool. Alonso sebagai pemain pasti akan cuba yang terbaik untuk memastikan setiap perancangan pengurus tersebut dilaksanakan dengan berjaya. Alonso juga memberitahu hubungan professional beliau dengan Rafa adalah amat baik dan mereka sering berbincang tanpa sebarang masalah. Rafa akan membuat keputusan dan anak-anak buahnya akan melaksanakan setiap perancangan beliau di tengah padang. Tambah Alonso, apa yang berlaku musim lepas telah berlalu di mana terdapat salah faham yang menyebabkan beliau tidak pasti apa yang akan terjadi kepada masa depannya. Namun begitu Alonso masih berada di Liverpool dan beliau telah melalui dua musim yang amat baik di dalam karier bolasepaknya. Dengan Torres telah menyatakan komitmen kepada Liverpool, diharapkan Alonso dapat mengikut jejak langkah rakan senegaranya itu. Kepada Alonso, kami semua peminat amat berharap anda dapat mengotakan kata-kata anda untuk bersama-sama Liverpool. Begitu jugalah besarnya harapan kami semua untuk melihat Mascherano juga kekal di Anfield.


YNWA

No comments: