Friday, June 5, 2009

Agger : Awas Skrtel Dan Carragher!

Setelah melalui musim lepas yang tidak menentu dan penuh dengan spekulasi, pertahanan tengah Liverpool, Daniel Agger hari ini mahu melupakan apa yang telah berlaku dan mahu bergerak ke depan dengan lebih positif di dalam menghadapi saingan liga di musim hadapan. Kedudukan Agger yang mempunyai baki kontrak selama setahun pada ketika itu, turut mencemaskan para peminat Liverpool dengan kelab-kelab utama dunia seperti AC Milan, Juventus dan Barcelona yang cuba mengambil kesempatan untuk menyambar beliau dari Liverpool pada harga yang lebih rendah. Namun begitu, pengurusan Liverpool telah bertindak untuk menawarkan kontrak baru kepada Agger hingga tahun 2014 dan seterusnya menutup terus sebarang spekulasi mengenai kedudukan beliau di Anfield. Agger dianggap sebagai pemain yang akan membentuk barisan pertahanan masa depan Liverpool kerana beliau mampu untuk memikul tugas yang telah ditinggalkan Hyypia. Mari kita lihat apakah azam pertahanan muda Liverpool ini untuk musim hadapan.

Agger pada dasarnya percaya yang beliau berupaya untuk memecahkan gandingan pertahanan tengah pilihan Rafael Benitez iaitu gandingan Skrtel-Carragher pada musim hadapan dan seterusnya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemain kesebelasan utama Liverpool. Pemain pertahanan Denmark ini adalah antara pemain kesebelasan utama Liverpool selepas beliau berpindah dari kelab Denmark, Brondby pada tahun 2006 sehinggalah kecederaan kaki yang telah membelenggu kemajuan beliau pada musim lepas. Disebabkan kecederaan beliau ini, Rafael Benitez telah bertindak untuk membawa masuk Skrtel yang kemudiannya telah menjadi pemain kesebelasan utama Liverpool dalam masa yang singkat. Manakala Agger pula terpaksa bergelut dengan kecederaan tersebut dan akibatnya beliau telah banyak memanaskan bangku simpanan. Namun pada kali ini, setelah pulih sepenuhnya dari kecederaan kaki tersebut, Agger telah bersedia untuk memberikan cabaran kepada Skrtel dan Carragher untuk 2 posisi pertahanan tengah Liverpool pada musim depan.

Agger yang berbekalkan kontrak baru dengan Liverpool, dilaporkan bernilai 55 ribu pound seminggu kini berada pada tahap terbaik dari segi mental dan fizikal untuk bersaing di kesebelasan utama Liverpool dan seterusnya membantu kelab di dalam saingan pada musim depan. Agger percaya beliau cukup baik untuk bermain di kesebelasan utama untuk Liverpool dan beliau yakin peluang untuk bermain dari awal musim terbuka luas. Tambah beliau jika tiada keyakinan tersebut, tiada sebab untuk beliau menyambung lagi kontrak jangka panjang dengan Liverpool. Satu azam yang cukup tinggi dari Agger dan saya pasti kita semua mahukan beliau terus memberikan cabaran kepada Skrtel dan Carragher pada musim depan. Kelebihan Agger adalah corak serangan yang mampu dijana oleh beliau dari bahagian pertahanan Liverpool. Buktinya, antara gol terbaik yang pernah dijaringkan oleh beliau adalah melalui rembatan jarak jauh ketika menentang Blackburn di Anfield pada bulan April yang lalu. Saya berharap agar pertahanan muda Liverpool ini diberi lebih banyak ruang pada musim hadapan oleh Rafa untuk membuktikan beliau adalah antara pertahanan tengah terbaik yang pernah dimiliki Liverpool.


YNWA

No comments: