Wednesday, September 30, 2009

UCL : Pertahanan Mengecewakan


Saya tersenyum tawar apabila perlawanan awal pagi tadi berakhir. Dengan mata yang agak berat dan ditemani oleh kesejukan di awal pagi yang amat mendinginkan setiap kali menonton perlawanan siaran langsung memang mencabar rasa mengantuk yang jelas menguasai diri. Namun dek kerana Liverpool, rasa mengantuk harus diatasi. Kenapa saya tersenyum? Gembirakah saya kerana Liverpool tewas buat kali ketiga musim ini? (di dalam semua pertandingan) Maaf, saya bukan hipokrit yang menyokong apabila Liverpool menang dan mengeluarkan pelbagai kutukan apabila pasukan kesayangan kita semua ini tewas. Saya bukan jenis peminat yang semata-mata sanggup menulis tentang pasukan lain (selain Liverpool) dan mengeluarkan kutukan kerana pasukan tersebut tewas. Itu tidak matang namanya dan berperangai seperti budak-budak yang kencingnya masih masih bertaburan di merata-rata tempat. Saya hanya berminat untuk menulis mengenai Liverpool, lingkup atau tidak pasukan lain itu bukan masalah saya sebagai peminat Liverpool. Baiklah kita kembali kenapa saya tersenyum tawar apabila pengadil perlawanan meniupkan wisel untuk menamatkan permainan pada awal pagi tadi. Liverpool sebelum bermulanya perlawanan, tidak pernah tewas selama hampir 2 tahun (lebih kurang 23 bulan) pada perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah (tidak termasuk peringkat kalah mati). Satu rekod yang cukup baik buat pasukan yang belanjawan untuk membeli pemainnya tidak bernilai ratusan juta ringgit setiap musim. Namun setiap rekod itu akan ada penamatnya dan semalam kita semua harus menerima hakikat bahawa, perancangan pengurus Fiorentina, Cesare Prandelli tepat mengenai sasaran. Bukan saya hendak memuji skuad La Viola ini tetapi mereka berhak dengan kemenangan semalam kerana Liverpool masih dihantui oleh masalah yang telah ditimbulkan oleh kita semua semenjak daripada musim ini bermula lagi.

Masalah yang saya maksudkan ialah barisan pertahanan yang cukup goyah apabila menghadapi serangan daripada La Viola yang diketuai oleh Mutu dan Jovetic. Seperti ulasan yang saya berikan sebelum perlawanan tersebut bermula, barisan pertahanan Liverpool semakin mudah untuk dibocori. Saya semakin tidak faham dengan apa yang berlaku di bahagian pertahanan Liverpool. Krisis keyakinankah yang dihadapi oleh barisan pertahanan Liverpool? Carragher dan Skrtel bukan lagi gandingan yang boleh diharapkan seperti musim lepas. Nada Rafa selepas perlawanan ini juga berubah apabila ditanya mengenai barian pertahanan beliau. La Viola menggunakan sepenuhnya kelemahan ini untuk melancarkan serangan demi serangan pada separuh masa pertama dan mereka berjaya menjaringkan dua gol melalui Jovetic. Walaupun ada yang berpendapat gol pertama adalah offside namun tiada gunanya kita bertelagah kerana itu adalah keputusan pengadil yang tidak boleh diubah. Pengadil juga agak menghairankan pada pagi tadi kerana terlalu banyak advantage yang diberikan sehinggakan sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pemain Liverpool yang memang jelas dikasari oleh pertahanan La Viola. Torres yang banyak dikasari oleh pertahanan La Viola kerana mereka mahu merantai penyerang utama Liverpool ini sehingga pada satu ketika El Nino berhadapan dengan pengadil kerana tidak berpuas hati dengan corak permainan kasar mereka. Sepertimana yang saya bangkitkan semalam, jika Liverpool bolos terlebih dahulu, maka peluang untuk mengejar pasti akan lebih sukar kerana skuad La Viola ini cukup kebal di tempat sendiri. Dan itulah yang terbukti apabila mereka mendahului 2-0 pada separuh masa pertama. Walaupun bermula dengan garang pada separuh masa kedua setelah terkena basuhan mantap daripada Rafa, Liverpool ternyata gagal menembusi benteng pertahanan mereka. Persembahan Liverpool meningkat dengan mendadak pada separuh kedua dengan bola lebih banyak belegar di pintu gol Viola. Percubaan demi percubaan Liverpool melalui Torres, Gerrard, Kuyt, Benayoun tetap gagal untuk membolosi gol Viola. Penjaga gol mereka, Sebastien Frey juga banyak menangkis serangan Liverpool. Tetapi satu fakta menarik yang saya perolehi semasa perlawanan ini ialah Manyoo, Skuad senapang dan skuad biru merseyside juga turut tersungkur ketika hadir di stadium ini menentang skuad La Viola ini. Jadi, memang terbukti rekod skuad La Viola di tempat mereka sendiri ketika menentang pasukan dari England memang baik. Walaupun tewas, saya masih percaya Liverpool mampu bangkit pada perlawanan menentang skuad jambatan runtuh pada hujung minggu nanti. Jika kita boleh bermain sepertimana di separuh masa kedua menentang La Viola, tidak mustahil untuk Liverpool membawa pulang 3 mata penuh. Cuma Rafa harus sedar, beliau perlu berbuat sesuatu dengan barisan pertahanan Liverpool dan percaturan taktikal perlulah tepat pada kali ini kerana skuad jambatan runtuh memang akan memberikan cabaran yang lebih getir berbanding dengan La Viola. Liverpool juga mempunyai kelebihan masa rehat sehari berbanding dengan skuad jambatan runtuh. Diharapkan Mascherano kembali untuk perlawanan ini bagi memantapkan barisan tengah Liverpool. Ayuh bangkit Liverpool, tiada yang mustahil di dalam bolasepak. Mungkin ada hikmah di sebalik kekalahan ini.


YNWA

2 comments:

Firol said...

semalam memang purata teruk.

Separuh masa kedua baru liverpool kuasai bola tapi masih lagi belum mampu jaringkan.

Defend sekali lagi goyah, Insua bagi aku pun agak goyang permainan.

aku bayangkan riera dan babel akan jadi pemain utama malam tu...

Takpe perjalanan masih awal nak putuskan... JUMPE DI ANFIELD... GELANGGANG KERAMAT UCL

perlu ke aurelio di posisi tengah tu?

beemer said...

bro firol ...
seram sejuk aja tgk game tu ..
mmg defend la viola mantap ..
so bila lwn kat anfield .. kena press kaw2 punya ..