Tuesday, June 2, 2009

Negredo : Sistem Barter Dari Madrid?

Berita terbaru dari Sepanyol telah menyatakan Real Madrid akan menggunakan penyerang Almeria, Alvaro Negredo sebagai umpan untuk mendapatkan pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso. Madrid dikatakan akan menggunakan Negredo untuk berunding dengan Liverpool di dalam urusan penjualan Alonso. Mereka telah sedia maklum yang pengurus Liverpool, Rafael Benitez memang berminat dengan penyerang muda ini. Real dikhabarkan akan cuba untuk mendapatkan Negredo dari Almeria memandangkan hak pembelian semula adalah milik mereka dengan harga yang lebih murah iaitu kira-kira 4.4 juta pound. Nilai Negredo di pasaran dilaporkan menghampiri 10 juta pound. Jika Real melaksanakan hak pembelian semula ini, mereka pasti akan menjual Negredo kepada Liverpool. Dengan bayaran sebanyak 20 juta pound dan ditambah dengan Negredo, nilai pembelian Alonso adalah 25 juta pound. Negredo masih belum mengadakan sebarang rundingan dengan Benitez tetapi sudah terdapat hubungan di antara kelab yang terlibat. Liverpool dan Rafael Benitez telah menegaskan sebelum ini, Alonso BUKAN UNTUK DIJUAL. Sebarang dana tambahan Liverpool akan diperolehi bukan dengan menjual pemain-pemain utama Liverpool dan Alonso jelas sekali antara pemain TERBAIK Liverpool untuk musim 08/09. Secara logik, satu tindakan yang tidak masuk akal untuk menjual pemain terbaik jika mahu mencabar kejuaraan liga pada musim depan.

Negredo sebagai pertukaran untuk Alonso? Sungguh mengarut dan merepek sekali berita ini. Mungkin pekak dan tidak faham bahasa agaknya mereka yang cuba menimbulkan spekulasi ini. Jelas sekali tujuannya untuk menganggu fokus serta komitmen Alonso bersama-sama Liverpool. Janganlah sesekali disamakan Alonso dengan Negredo walaupun terdapat 20 juta pound yang boleh digunakan untuk mencari pemain tengah yang lain. Alonso adalah seorang pemain tengah yang mempunyai pengalaman selama 5 musim di Liga Perdana Inggeris dan beliau juga merupakan nadi bahagian tengah Liverpool. Negredo? 19 gol di La Liga memang pulangan yang menguntungkan dan beliau mempunyai prospek yang cerah. Tetapi adakah beliau sehebat Torres? Adakah beliau mampu menjaringkan gol seperti Torres? Adakah beliau dapat menyesuaikan diri di Liga Perdana Inggeris pada musim pertama seperti Torres jika beliau berpindah ke Anfield? Bolehkah beliau bermain dengan Gerrard? Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Rafa jika beliau bercadang untuk mengorbankan Alonso dan mendapatkan Negredo. Satu risiko yang merbahaya jika Liverpool berhajat untuk menukarkan Alonso dengan Negredo. Perlu diingatkan, jika seseorang penyerang adalah penjaring terbanyak di sesuatu liga luar dari England, belum tentu mereka akan mampu melakukan perkara yang sama di Liga Perdana Inggeris seperti apa yang dilakukan oleh Torres. Negredo juga tidak punya pengalaman bermain di Liga Perdana Inggeris yang sepertimana kata Torres antara liga yang sukar dan paling mencabar buat penyerang-penyerang baru.

Pada pendapat saya, lebih baik mendapatkan Owen secara percuma dari Newcastle sebagai penyerang sokongan kepada Torres. Dengan syarat, Owen tidak boleh meminta bayaran gaji yang tidak masuk akal dari Liverpool a.k.a 100 ribu pound ke atas. Selain itu juga, Owen kerap cedera pada masa sekarang berbanding sewaktu beliau di Anfield dahulu. Owen harus sedar zaman kegemilangan beliau telah sampai ke penghujung tetapi masih belum terlambat untuk menabur bakti di Anfield. Negredo boleh dibeli oleh Rafa tetapi dengan syarat tidak perlu untuk mengorbankan Alonso. Hanya untung 5 juta pound sahaja jika membeli Negredo melalui perjanjian pertukaran Alonso berbanding dengan pembelian secara terus untuk penyerang tersebut, tidak berbaloi langsung untuk dinilai oleh Rafa. Lebih baik rugi 5 juta pound jika mahukan Negredo kerana Alonso terlalu bernilai buat Liverpool untuk dijadikan barang dagangan. Jika saya adalah pengurus Liverpool, pasti kelab-kelab lain tidak akan mempunyai peluang langsung untuk mendapatkan Alonso hatta hendak melihat bayang-bayang Alonso pun pasti saya tidak akan benarkan.


YNWA

2 comments:

Firol said...

Pancing baik..umpan kena baik..

Takut Rafa alpa kat situ,kadang tu tindakan Rafa luar biasa jugak.

Harap tak lah....

sape yang dapat serasi dengan Torres ni?.....

beemer said...

Barry dah cabut ke city ...
so takde reason la nak jual Alonso ...
Torres lebih sesuai main lone striker ...
kalu ada yg sesuai pun kena cr striker yg cara main cam gerrard ...
kalu villa main dgn torres lak jd terbalik ... si villa lak jd tukang score gol ... torres jd tukang suap ...