Wednesday, June 3, 2009

Lavezzi : Perselisihan Membawa Ke Anfield?

Semakin hari semakin ramai pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool. Jika dilihat dari sudut dunia bolasepak, semua desas-desus ini merupakan sesuatu yang positif buat Liverpool. Positif kerana ianya telah menunjukkan Liverpool adalah antara kuasa bolasepak dunia yang mampu menarik minat para pemain dari seantero pelusuk dunia. Secara logik, jika Liverpool tiada kekuatan serta daya tarikan, mana mungkin pemain-pemain tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield. Namun ada juga perkara yang negatif jika dilihat kesan ke atas pemain Liverpool itu sendiri. Contoh yang paling dekat ialah apa yang berlaku ke atas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso. Terlalu banyak spekulasi yang boleh memudaratkan hubungan di antara pemain terbabit dengan kelab dan dengan para peminat amnya. Di sinilah kita sebagai peminat Liverpool perlu lebih berhati-hati di dalam menerima sebarang berita daripada pelbagai sumber yang ada. Saya pasti anda semua sebagai peminat Liverpool amat bijak di dalam menafsir sebarang berita mengenai Liverpool.

Berita terbaru yang diterima dari Itali telah menyatakan bahawa penyerang utama pasukan Napoli di Serie A iaitu Ezequiel Lavezzi telah berselisih dengan dengan pengurusan kelabnya. Lavezzi sebelum ini dikatakan telah menjadi sasaran bidaan daripada Liverpool. Dan dilaporkan Lavezzi bernilai 22 juta pound jika Liverpool berhajat untuk membawa beliau ke Anfield pada musim panas ini. Statistik terbaru dari soccernet.com menunjukkan Lavezzi bermain 31 perlawanan untuk Napoli di Serie A dan menjaringkan 7 gol serta 8 assist di sepanjang musim lepas. Beliau juga merupakan pemain antarabangsa Argentina yang turut bersama-sama Mascherano di dalam skuad kendalian Diego Maradona. Jika dilihat dari statistik permainan beliau, yuran perpindahan beliau agak tinggi dan saya pasti jika Rafa betul-betul berminat, rundingan harus diadakan untuk mengurangkan sedikit harga tersebut. Jika dilihat semula, harga beliau hampir menyamai yuran perpindahan yang dibayar Liverpool kepada Atletico Madrid untuk Torres, penyerang utama The Reds buat masa sekarang. Jika 22 juta yang hendak dikorbankan, Rafa perlu betul-betul pasti dengan sasaran beliau pada kali ini. Dan tiada lagi halangan dari Parry yang telah pencen sekiranya Rafa ingin mendapatkan pemain sasaran beliau. Keburukan buat Rafa, jika pemain yang dibeli beliau gagal menyinar di Liga Perdana Inggeris, seluruh kesalahan pasti akan ditanggung oleh beliau sendiri.

Berbalik kepada Lavezzi, perselisihan antara beliau dengan pengurusan Napoli dikatakan berpunca daripada tindakan pembelian penyerang baru serta sikap pengarah sukan Napoli iaitu Pierpaolo Marino yang langsung tidak berbincang dengan Lavezzi mengenai sebarang urusan perpindahan yang membabitkan beliau. Menurut berita itu juga, perselisihan ini dijangka akan mempercepatkan lagi proses perpindahan Lavezzi ke Liverpool pada musim panas ini. Terdapat juga berita yang menyatakan beliau telah menulis surat kepada pengurusan Napoli untuk menyatakan rasa tidak senang beliau ini sebelum beliau berangkat pulang untuk bercuti di Argentina. Lavezzi yang merupakan penyerang utama Napoli telah berjaya memenangi hati para peminat kelab itu. Beliau di dalam berita sebelum ini, telah dilaporkan menarik minat salah satu daripada 4 kelab utama Liga Perdana Inggeris. Agen Lavezzi, Alejandro Mazzoni terkilan dengan sikap pengurusan Napoli dan telah mendedahkan bahawa Lavezzi berasa beliau telah dipinggirkan oleh kelab tersebut. Tambah Mazzoni lagi, memang terdapat tawaran dari kelab yang bermain di Liga Juara-Juara Eropah dan di situ Lavezzi akan menerima pendapatan yang lebih baik daripada yang diterima beliau sekarang. Mazzoni turut menyelar Marino dengan mengatakan pengarah sukan tersebut tidak berpegang pada janji dan mereka pasti tidak mendengar apa-apa maklumat dari Marino lagi selepas ini. Menurut Mazzoni, adalah sesuatu yang luar biasa jika sesebuah kelab telah menerima tawaran mengenai pemainnya dan langsung tidak duduk untuk berbincang dengan pemain terbabit. Levezzi masih mahu kekal di Napoli setelah sebelum ini beliau menolak sebarang kaitan dengan perpindahan ke Anfield. Isunya sekarang adalah maruah Lavezzi, yang menurut agennya itu melebihi daripada kontrak, pasukan kebangsaan, duit dan segala-galanya. Lavezzi menyertai Napoli panas musim panas 2007 dan masih mempunyai baki kontrak sehingga 2012 dengan kelab tersebut.

Seorang lagi pemain berbakat yang dikaitkan dengan Liverpool pada kali ini dan menjadikan senarainya bertambah panjang. Jika benar Lavezzi datang ke Anfield, beliau merupakan tambahan yang baik untuk skuad Liverpool yang telah sedia ada. Selain mempunyai gaya permainan yang menyamai Tevez (menurut pendapat seorang rakan peminat Liverpool), beliau juga mempunyai daya tahan yang lebih baik untuk menghadapi pemain-pemain pertahanan Liga Perdana Inggeris yang terkenal dengan kekasarannya. Cuma pada pandangan saya, pembelian Lavezzi pasti akan mengundang sedikit risiko kerana beliau bermain di Serie A dan jika boleh kita tidak mahu apa yang berlaku kepada Dossena berulang kembali (Dossena baru semusim di Liga Perdana Inggeris, mungkin musim kedua akan lebih baik untuk beliau). Seperti yang kita semua sedia maklum, seorang penyerang tambahan amat diperlukan untuk membantu Torres di dalam misi mencari gol untuk musim depan. Harapan agar penyerang yang dibawa masuk oleh Rafa turut dapat melakukan tugas ini dan mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggung oleh Torres.


YNWA

3 comments:

Anonymous said...

bg ak skrgni x perlu utk kite 'gamble' dgn pembelian player spt Lavezzi n negredo ni klau kite nk memenagi liga season akn dtg ni...
rafa spatutny mbawa msk player2 spt tevez atau pn villa biarpn harga dorg agk mahal tp dorg bleh mberi impak kpd pasukan dgn cepat utk bersaing dgn di utk season dpn ni....
team musim ini dh bgs ttp perlukn beberapa org lg pemain bertaraf dunia n berpengalaman utk memantap kn lg....
terlalu byk rumors setiap musim ni sdikit sbyk mgangu focus team n player2...
ak hope sgt barry dh blah ke MC ni xabi akn stay n die dpt sign kontrak baru utk kekal lebih lama lg dgn kite....


afiq_trulyREDZ


YNWA

beemer said...

kita amik owen aja la ...
free n leh timbang kati aja ...
ok ka afiq? hehehe ...

Anonymous said...

yela bro beemer...
timbang2 kn lah owen 2...hahaha


afiq_trulyREDZ