Friday, June 12, 2009

Babel : Saya Akan Buktikan Musim Depan

Dengan belanjawan untuk mendapatkan pemain baru yang agak terhad pada musim perpindahan pada kali ini, pengurus Liverpool, Rafael Benitez nampaknya akan mengalihkan pandangan beliau kepada potensi pemain muda yang telah sedia ada di dalam skuad bimbingannya. Pemain seperti Insua, El Zhar, Ngog serta Babel diharap dapat bangkit untuk mencabar tempat pemain kesebelasan utama Liverpool. Dengan Rafa lebih sibuk untuk mempertahankan pemain utama seperti Alonso dan Mascherano daripada disambar oleh kelab lain, pengurus Liverpool itu nampaknya akan mensasarkan pemain yang bertaraf sederhana sahaja pada musim perpindahan ini. Ada kemungkinan hanya seorang pemain yang bertaraf bintang yang akan dibawa masuk oleh Rafa dan ianya bergantung kepada saingan yang dihadapi beliau untuk mendapatkan pemain terbabit. Rafa yang kita semua kenali, memang tidak akan melayan sebarang perang bidaan terhadap pemain sasaran beliau. Tidak saya nafikan, di Liverpool terdapat ramai pemain muda yang berpotensi untuk diketengahkan dan mereka hanya menanti masa untuk diberi peluang oleh Rafa. Pemain seperti Insua telah membuktikan Liverpool tidak ketandusan pemain muda yang berbakat. Kebangkitan beliau untuk mencabar Aurelio dan Dossena di slot pertahanan kiri Liverpool telah menyebabkan Dossena mahu pulang semula ke Itali. Namun fokus tulisan saya pada kali ini adalah terhadap “The Flying Dutchman” Ryan Babel, pemain muda Liverpool yang dibeli dari kelab Belanda, Ajax Amsterdam.

Babel yang pada awalnya kelihatan seperti telah bersedia untuk meninggalkan Liverpool setelah musim Liga Perdana Inggeris tamat pada hujung Mei yang lepas. Namun perkembangan terbaru dari Anfield telah menyebut bahawa Rafa telah mencabar pemain muda Belanda ini untuk membuktikan diri beliau layak untuk berada di Liverpool pada musim depan. Rafa sendiri mengakui Babel perlu memperbaiki kemahiran taktikalnya sendiri jika beliau berhajat untuk menempatkan diri di kesebelasan utama Liverpool. Pemain muda Belanda ini telah mendapat reputasi sebagai super-sub setelah berpindah dari Ajax dengan bayaran 11 juta pound dua tahun yang lepas. Pemain yang berusia 22 tahun ini telah menjaringkan sembilan gol setelah membuat penampilan daripada bangku simpanan walaupun beliau hanya bermula 13 kali di dalam kesebelasan utama dan Rafa mahu beliau mengambil langkah seterusnya dengan menjaringkan lebih banyak gol sekiranya beliau bermula dari awal permainan. Tambah Rafa, Babel lebih dikenali sebagai pemain yang memberi impak kepada permainan Liverpool apabila masuk sebagai pemain gantian tetapi ianya agak sukar dikekalkan kerana beliau adalah pemain muda. Rafa mahukan Babel menjadi pemain yang mampu memberikan impak dari awal permainan dan oleh sebab itu, Babel perlu memperbaiki kemahiran taktikalnya.

Babel yang dikatakan bernilai 10 juta pound di pasaran pemain, telah menarik minat Villa, Spurs dan juga Arsenal untuk mendapatkan khidmat beliau. Tetapi agen Babel, Winnie Haatrecht telah menegaskan Babel amat gembira dan mahu kekal di Anfield dengan kontrak yang masih berbaki selama tiga tahun lagi. Babel juga mahukan satu lagi peluang pada musim depan untuk membuktikan dirinya layak berada di dalam kesebelasan utama Liverpool. Mungkin ada baiknya jika Rafa mengekalkan pemain muda seprti Babel ini. Beliau yang memiliki pakej lengkap sebagai pemain sayap serta penyerang pasti akan memberikan kelebihan kepada Liverpool di dalam persaingan untuk musim depan. Kita semua telah melihat potensi Babel ketika beliau bermain di tengah padang. Pada pendapat saya, Babel masih punya banyak ruang untuk memperbaiki diri beliau secara taktikal dan beliau perlu belajar untuk bermain sebagai satu pasukan. Bukan hanya jaringan sahaja yang diambilkira di dalam permainan bolasepak, jika Babel mampu mengubah gaya permainan beliau dan turut mampu membantu rakan-rakan sepasukan yang lain menjaringkan gol serta mempertahankan benteng Liverpool, tidak mustahil beliau akan muncul antara pemain terbaik Liverpool pada musim depan. Kepada Babel, sila contohi rakan senegara anda, Dirk Kuyt mampu yang bangkit daripada kegelapan pada musim lepas dan menjadi salah seorang pemain yang cukup penting buat Liverpool. Jika beliau boleh melakukannya kenapa tidak dengan anda?


YNWA

3 comments:

RABUN said...

lucas apa citer? pemain pertama yg patut dihumban dlm longkang tu ehek..emo lak...

Firol said...

memang betul.kena bagi peluang lagi,potensi besar tu... kalu nak beli player pun rasa cukup le sorang dua untuk support Torres......

Player muda liverpool tgh semangat tu jgn lupe Darby ngan spearing,harap sangat 2 ni dapat main next year

beemer said...

lucas dah tambah berat badan dan bersedia nak jadi heavyweight di bahagian tengah liverpool musim depan...
tu baru tambah 4 kilo ... kalu 20 kilo terus nak jadi cam gerrard kot ... hehehe ...
liverpool mmg byk pemain muda ...
tunggu masa nak meletup aja di EPL ...
tp Rafa ada brani ka nak buat cam dia buat kat lucas?
walaupun ayam di tengah pdg tp masih leh main 1st eleven ...