Showing posts with label Xabi Alonso. Show all posts
Showing posts with label Xabi Alonso. Show all posts

Wednesday, August 5, 2009

XABI ALONSO : Tinggal Kenangan Di Anfield

Setelah pengesahan secara rasmi yang dibuat melalui laman rasmi liverpoolfc.tv awal pagi tadi waktu Malaya (kira-kira jam 2 pagi)….
Mimpi ngeri selama berbulan-bulan (makan tahun jika dikira dari musim panas yang sebelum ini) para peminat The Reds telah menjadi kenyataan ….
Terima Kasih di atas khidmat cemerlang anda selama 5 musim di Anfield ….
Dan juga 35 juta pound yang berjaya diperolehi walaupun berat untuk diterima ....
(Mencatat rekod bayaran tertinggi yang diterima untuk perpindahan keluar pemain dari Anfield di dalam sejarah penubuhan Liverpool selama 117 tahun) ….

Tahniah kepada Rafa di atas ketegasan yang tiada kompromi walau sedikit pun....
Saya tidak mahu komen dengan lebih banyak mengenai berita terbaru ini bagi mengelakkan sebarang prasangka yang tidak baik kepada anda ….
(Antara punca kenapa saya jarang menulis artikel tentang anda di kebelakangan ini) ….

Kepada semua Reds Army di Malaya dan di dunia amnya .…
Kita perlu bergerak dan mara ke hadapan ….
Buktikan kita boleh bangkit daripada mimpi ngeri ini ….
Sepertimana hilangnya Micheal Owen satu ketika dahulu ….
Saya mengakui peristiwa ini adalah satu tamparan hebat kepada kita semua …
Namun nasihat saya kepada semua rakan peminat, janganlah terlalu berduka kerana kedudukan sesebuah pasukan itu adalah jauh lebih penting daripada kedudukan seseorang individu ….
Bak kata pepatah Melayu …. Patah Tumbuh Hilang Berganti ….
Yakinlah kepada LIVERPOOL FC a.k.a THE REDS akan kembali dengan lebih gagah selepas ini!!!
Mungkin Rafa ada perancangan yang bakal mengujakan untuk kita semua? Sama-sama kita saksikan nanti skrip terbaru dari Anfield ….

P.S : Mohon Maaf kepada rakan-rakan sekalian …. Entri pada kali ini agak ringkas …. Kekurangan mood untuk menulis dan agak lemau pada hari ini apabila mengetahui tentang berita ini di awal-awal pagi tadi (walaupun sudah dijangkakan akan berlaku) …. Teringat pula kepada peristiwa kehilangan Owen pada satu ketika dahulu (juga kepada kelab *&^%#!@*#$^!!! tersebut) ….

YNWA

Wednesday, July 8, 2009

Alonso : Jangan Usik Jika Tidak Berduit (Kononnyalah)

Kelakar juga bila membaca pengakuan salah seorang pengarah Real Madrid, Jorge Valdano mengenai kedudukan pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso. Khabar terbaru mengatakan Valdano mengakui Real tidak mampu untuk memenuhi permintaan Liverpool di dalam perbincangan berkaitan Alonso. Valdano mengatakan penilaian Real terhadap Alonso jauh daripada nilai yang diletakkan Liverpool. Real yang dikaitkan dengan pemain tengah Sepanyol tersebut sebagai salah satu usaha mereka untuk membentuk skuad yang lebih mantap di bawah presiden baru mereka, Florentino Perez. Sehingga sekarang Real telah berbelanja hampir 200 juta pound untuk Kaka (65 juta pound), Ronaldo (80 juta pound), Benzema (30 juta pound) dan Albiol (15 juta pound). Valdano memberitahu, Real masih mahukan Alonso tetapi ianya mestilah pada harga yang betul. Tambah Valdano, Alonso masih menjadi keutamaan Real tetapi ianya mestilah berada di dalam lingkungan belanjawan Real. Sehingga kini, Liverpool masih tidak berganjak dari penilaian mereka ke atas Alonso dan Valdano nyata tidak gembira dengan keadaan tersebut. Beliau enggan mengulas lanjut mengenai butir-butir perbincangan terbabit. Valdano juga mengakui Real mula melihat kepada pengganti Alonso jika keadaan ini berterusan. Real masih mahukan seorang pemain yang dapat mengawal permainan dari bahagian tengah padang dan tidak ramai pemain yang sebegitu di dunia. Dan sudah nyata, Alonso merupakan salah seorang pemain dengan corak permainan sebegitu. Dengan musim perpindahan yang masih panjang dan beberapa bintang telah menyertai mereka, Real tidak berada di dalam keadaan tertekan untuk membeli pemain baru. Tambah Valdano, mereka hanya perlukan 2 atau 3 orang pemain sahaja lagi untuk skuad utama mereka. Dengan kejayaan mendapatkan Benzema, Real tidak lagi perlu mendapatkan David Villa dari Valencia, lagipun tambah Valdano, Benzema baru berumur 21 tahun dan beliau mempunyai masa yang panjang untuk membuktikan kemampuannya di La Liga.

Apa pula muslihat si tua Valdano kali ini? Dengan mengakui Real tidak mampu memenuhi harga yang dituntut oleh Liverpool kerana belanjawan tidak mencukupi? Jangan anggap semua pasukan di dunia boleh diperkotak-katikan oleh Real. Padanlah dengan sikap suka merompak pemain pasukan lain demi untuk memenuhi cita-cita sendiri. Jika Kaka dan Ronaldo mampu dibeli dengan harga yang tidak masuk akal, kenapa tidak dengan Alonso? Jika benar-benar mahukan Alonso, sila bayar harga yang telah ditentukan. Jangan sesekali ingat Liverpool akan tunduk di atas sebarang percubaan untuk mengurangkan harga Alonso di pasaran pemain. Ini termasuklah permainan menggunakan media dan juga cuba menggunakan tekanan dari pemain itu sendiri untuk memaksa perpindahan berlaku. Rafa amat arif dengan permainan licik Real dan saya pasti beliau tidak akan berganjak dari tuntutan ke atas Alonso. Dengan terdapat berita yang mengatakan (dengan angkuhnya) Real memberi masa 2 minggu kepada Liverpool untuk meletakkan harga Alonso bagi mereka membuat bidaan. Bodoh atau tidak faham bahasa Real Madrid agaknya, harga Alonso telah ditetapkan pada 50 juta Euro dan tidak kurang sedikit pun dari jumlah tersebut. Jika masih bermimpi di siang hari yang Liverpool akan mengurangkan harga Alonso, lebih baik jangan buka mulut anda yang busuk itu dan lupakan mimpi Mat Jenin anda untuk mendapatkan Alonso. Kepada Real, kami tidak hairanlah dengan duit anda kerana kami semua di Liverpool mahukan Alonso kekal berbakti di Anfield.


YNWA

Monday, July 6, 2009

Alonso & Mascherano : 50 Juta Euro Setiap Satu!

Sudah agak lama saya tidak mengulas mengenai kedudukan dua bintang tengah Liverpool, Xabi Alonso dan Javier Mascherano. Walaupun terlalu banyak desas-desus yang bermain di media dan juga internet, saya hanya menganggapnya sebagai permainan propaganda yang hanya ditaburkan media untuk mengugat keharmonian skuad Liverpool. Bukan tidak mahu menulis mengenai kedua-dua bintang Liverpool ini tetapi saya tidak mahu memeningkan fikiran kita semua sebagai peminat The Kops. Namun pada hari ini saya terbaca berita menarik di internet dan mungkin sudah tiba masanya untuk mengulas mengenai kedudukan kedua-dua bintang Liverpool ini. Bukan niat saya untuk buruk sangka terhadap Alonso dan Mascherano, tapi kita harus memahami kedudukan Rafa dan juga Liverpool itu sendiri jika keadaan seperti ini berterusan. Sepertimana yang kita telah ketahui, Rafa mungkin terpaksa untuk menjual salah seorang pemain tersebut kerana dikatakan terdapat desakan daripada pemain-pemain terbabit untuk keluar dari Anfield. Saya seperti Rafa, mahukan kedua-dua mereka kekal di Anfield dan membantu Liverpool mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim depan. Namun seperti yang pernah saya tegaskan, jika seseorang pemain telah tidak berminat untuk mewakili Liverpool, adalah lebih baik diberi kebenaran kepada mereka untuk keluar dari Anfield. Tidak kiralah sebesar mana bintangnya pemain terbabit. Bagi saya, Liverpool adalah jauh lebih penting daripada kemahuan seorang pemain. Liverpool dibina daripada semangat berpasukan dan bukannya semata-mata kerana seorang individu. Walaupun saya agak kecewa jika salah seorang dari mereka keluar dari Liverpool, namun perjuangan harus diteruskan. Kita semua masih ingat ketika Owen cabut meninggalkan Liverpool ketika keadaan kita terkapai-kapai pada masa tersebut. Namun semangat sepasukan telah membawa Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan kita terus menunjukkan peningkatan sehingga ke hari ini.

Berita terbaru yang diterima dari Anfield menyatakan Liverpool tidak akan berganjak sedikit pun dari yuran perpindahan untuk Alonso dan Mascherano sebanyak 50 juta Euro untuk setiap seorang. Real dikatakan akan menamatkan minat mereka untuk mendapatkan Alonso dan Barca pula masih belum membuat keputusan mengenai Mascherano. Saya amat menyokong 100% pendirian Rafa dan Liverpool di dalam hal ini. Kepada Real dan Barca yang telah lama cuba membuat kacau di Liverpool, jangan bermimpi di siang hari jika anda tidak mempunyai wang sebanyak itu atau tidak mahu membayar harga tersebut kepada Liverpool. Rafa dikatakan turut tidak berminat untuk membuat perjanjian yang membabitkan pertukaran pemain dari kedua-dua kelab. Rafa nampaknya berkeras untuk mendapatkan jumlah yang sepatutnya dibayar untuk pemain yang telah dibimbing oleh beliau di Anfield. Tidak salah rasanya tindakan beliau kerana kita semua tahu Rafa harus mendapatkan jumlah yang cukup untuk mendapatkan pemain bertaraf dunia seperti David Silva atau David Villa bagi menggantikan mana-mana pemain yang meninggalkan Liverpool. Dengan kedua-dua pemain tidak berani untuk menyatakan mereka mahu meninggalkan Liverpool secara umum, mereka kelihatan hanya bermain kata-kata di media. Mungkin kerana risaukan reaksi peminat kerana jika tersalah kata di media, buruk padahnya. Kepada Real, anda mempunyai wang dan jangan harap Liverpool akan tunduk kepada permintaan anda untuk mengurangkan harga perpindahan kepada Alonso. Kepada Barca, jika tidak sanggup membayar harga Mascherano, lebih baik tutup mulut dan tumpukan perhatian kepada skuad anda sendiri. Kepada Alonso dan Mascherano, kami semua peminat Liverpool masih mahukan anda berdua kekal di Anfield dan membantu Liverpool mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim-musim yang akan datang. Namun jika itu kehendak anda untuk keluar dari Anfield, dipersilakan dengan segala hormatnya tapi seperti yang Rafa katakan, ada harga yang harus dibayar oleh kelab-kelab yang berminat untuk mendapatkan anda berdua. Jika tidak lebih baik anda kekal di Liverpool dan teruskan sikap profesional anda terhadap Liverpool dengan menghormati baki 3 tahun lagi kontrak anda masing-masing. Bak kata pepatah Melayu, ALANG-ALANG MENYELUK PERKASAM, BIAR SAMPAI KE PANGKAL LENGAN.


YNWA

Sunday, June 21, 2009

Alonso : Saya Masih Setia

Berita positif yang diterima daripada Liverpool menambahkan lagi keyakinan saya bahawa jeneral padang Liverpool, Xabi Alonso akan kekal di Anfield pada musim depan. Alonso seperti yang kita semua sedia maklum adalah antara pemain senior Liverpool yang paling kerap dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Anfield. Beliau dikatakan menjadi sasaran utama Real Madrid. Walaupun masih terdapat banyak spekulasi yang membabitkan beliau, pada hari ini Alonso telah mengeluarkan kenyataan yang beliau tidak berminat untuk meninggalkan Liverpool. Spekulasi beliau akan menyertai Real Madrid timbul setelah beliau dikatakan tidak senang dengan sikap pengurus Liverpool Rafael Benitez yang cuba menjual beliau pada musim lepas dan terdapat juga khabar mengatakan beliau tidak dijamin tempat di kesebelasan utama. Namun terdapat juga kerisauan di pihak Alonso kerana beliau tidak dapat menjangka bagaimana keadaan pasaran perpindahan pemain pada musim ini. Walaupun begitu, Alonso mahu kekal di Anfield dan mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemain senior seperti Steven Gerrard dan juga Jamie Carragher. Dengan Sami Hyypia telah berpindah ke Laverkusen, Alonso tidak mahu keluar dari Anfield dan mengurangkan lagi jumlah pemain senior yang sedia ada.

Menurut Alonso terdapat minat dari Real Madrid pada tahun 2004 tetapi Liverpool lebih pantas bertindak untuk membawa beliau ke Anfield. Ianya satu keputusan yang tepat kerana sekarang beliau telah semakin matang sebagai pemain dengan Liverpool, sebuah kelab yang amat istimewa dan telah memenangi beberapa kejuaraan. Mengulas mengenai desas desus hubungan beliau dengan Rafa tidak baik, pemain berusia 27 tahun ini dengan pantas menafikan perkara tersebut. Menurut Alonso setiap orang mempunyai pendapat mereka sendiri dan Rafa merupakan pengurus Liverpool yang akan memberikan yang terbaik kepada Liverpool. Alonso sebagai pemain pasti akan cuba yang terbaik untuk memastikan setiap perancangan pengurus tersebut dilaksanakan dengan berjaya. Alonso juga memberitahu hubungan professional beliau dengan Rafa adalah amat baik dan mereka sering berbincang tanpa sebarang masalah. Rafa akan membuat keputusan dan anak-anak buahnya akan melaksanakan setiap perancangan beliau di tengah padang. Tambah Alonso, apa yang berlaku musim lepas telah berlalu di mana terdapat salah faham yang menyebabkan beliau tidak pasti apa yang akan terjadi kepada masa depannya. Namun begitu Alonso masih berada di Liverpool dan beliau telah melalui dua musim yang amat baik di dalam karier bolasepaknya. Dengan Torres telah menyatakan komitmen kepada Liverpool, diharapkan Alonso dapat mengikut jejak langkah rakan senegaranya itu. Kepada Alonso, kami semua peminat amat berharap anda dapat mengotakan kata-kata anda untuk bersama-sama Liverpool. Begitu jugalah besarnya harapan kami semua untuk melihat Mascherano juga kekal di Anfield.


YNWA

Wednesday, June 10, 2009

Alonso : Perez Angkat Bendera Putih

Berita terbaru dari Sepanyol telah mengatakan bahawa, presiden baru Real Madrid, Florentino Perez telah mengaku kalah di dalam usaha beliau untuk membawa pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso ke Bernabeu pada musim panas ini. Perez yang bercakap kepada media selepas berjaya mendapatkan Kaka dengan harga rekod perpindahan 59 juta pound dan kontrak selama 6 tahun turut mengakui segala usaha untuk membawa Alonso sebagai “galacticos” adalah sia-sia kerana jelas pengurus Liverpool, Rafael Benitez tidak berminat untuk melakukan urusniaga. Perez juga berpendapat Real perlu membeli 6 pemain baru dan nampaknya salah seorang dari mereka bukanlah Alonso. Menurut Perez, Alonso adalah pemain hebat dan beliau kini berada bersama-sama pasukan yang cukup hebat dan tidak terdapat sebarang tanda yang menyatakan Liverpool berminat untuk menjual aset penting mereka ini. Presiden baru Real yang berusia 62 tahun ini juga berpendapat, Rafael Benitez tidak akan melepaskan sebarang pemain terbaik beliau dan ianya adalah normal kerana sukar untuk mencari pengganti sebaik Alonso. Setelah mengambilalih tugas di Real, Perez dikatakan akan melepaskan 9 pemain daripada skuad Real sekarang. Dan beliau kini sedang berusaha untuk mencari pemain gantian untuk skuad Real bagi musim depan. Desas desus turut mengatakan sasaran Perez berikutnya adalah Ronaldo.

Walaupun saya kurang yakin dan percaya sepenuhnya terhadap kesahihan berita ini namun saya perlu menghebahkannya kepada rakan-rakan peminat sekalian sebagai imbangan terhadap desas-desus berkaitan Alonso sebelum ini. Ini kerana terlalu banyak berita negatif yang telah disebarkan di media serta internet di setiap pelusuk dunia mengenai Xabi Alonso. Saya kurang yakin dan percaya kerana permainan di dalam urusan perpindahan pemain adalah amat sukar diduga. Kita pula sedang berdepan dengan Real Madrid yang pasti akan berusaha dengan pelbagai helah untuk mendapat pemain sasaran mereka. Buktinya, anda semua lihatlah taktik mereka untuk mendapatkan Kaka walaupun berkali-kali berita perpindahan tersebut dinafikan Kaka, akhirnya ia menjadi kenyataan dan yang mengejutkan, Kaka berkata perjanjian ini telah lama dibuat! Walaupun berulang-kali dinafikan berita tentang penjualan Alonso ini, namun ianya seolah-olah tidak berhenti dari dijadikan bahan spekulasi pihak media. Saya masih percaya Alonso akan kekal sebagai pemain Liverpool untuk musim depan. Seperti yang saya tegaskan di dalam tulisan sebelum ini, hanya 2 perkara yang akan menyebabkan Alonso keluar dari Liverpool, pertama Alonso sendiri yang hendak berpindah dan kedua, Rafael Benitez yang mahu menjual beliau ke kelab lain. Setakat ini belum ada berita mengenai kedua-dua perkara tersebut kerana saya yakin, kedua-dua pihak (Alonso dan Rafa) pasti tidak mahu menjadi sasaran kemarahan peminat. Setiap keputusan yang dibuat oleh mereka perlu dihalusi dan berhati-hati kerana mereka tahu, majoriti peminat Liverpool tidak mahu kehilangan Alonso. Jika diberi pilihan, saya memang mahukan berita ini adalah yang sebenar-benarnya. Namun sebagai peminat Liverpool, kita perlu berhati-hati dengan tingkah laku Perez. Mungkin apa yang dituturkan beliau hanya sekadar sandiwara sebelum beliau berjaya mengebas pemain bertaraf bintang seperti Alonso.


YNWA

Sunday, May 17, 2009

Alonso : Liverpool Selamanya

Saya tidak pasti samada akan-rakan peminat semua sudah bosan dengan permainan teka-teki serta spekulasi mengenai kedudukan salah seorang jeneral padang Liverpool, Xabi Alonso pada musim depan. Terlalu banyak desas-desus mengenai beliau samada di media serta internet semenjak kebelakangan ini. Malah saya serta rakan-rakan blogger yang lain telah banyak mengulas mengenai perkara ini. Yang pasti, kita semua mahu Alonso kekal di Liverpool. Berita terbaru, Alonso telah mengeluarkan kenyataan di media mengenai kedudukan beliau di Anfield. Alonso masih komited dengan Liverpool dan masih mahu menabur bakti di Anfield di musim depan iaitu musim keenam beliau bersama-sama Liverpool. Malah beliau tidak mahu lagi dijadikan umpan oleh Rafa untuk mendapatkan pemain baru sepertimana yang berlaku pada musim lepas. Berikut adalah kenyataan dari Alonso yang dipetik dari soccernet.com :

"Time flies. I have already been here for five years, and it has gone so fast.
"There have been ups and downs, but I have tried to enjoy and learn from every situation. I have developed into a much better player and person.
"A lot of things have changed for me during my time here and now I am looking forward to my sixth season as a Liverpool player.''
The Spain international said: "I have seen this kind of situation so many times in my career. It is just rumours and you can't be talking about them because there is nothing more than this so far.
"It is more important at this time to think of how we can be even better and this means keeping the good basis that we have settled on this season and by trying to go a little bit further.
"And we need to start taking three points from games when we are not at our best, this will make a big difference at the end of a season.''
Alonso has been heralded as one of the Reds' best players this season by fans and pundits alike.
He added: "It has been a complete season for me.
"I have felt good and feel I have been playing well, too. I have been very happy and want to carry that through our final few games of the campaign.
"I finished last season well and was able to continue that with Spain at Euro 2008. That continued into this season and I feel I have been at a very good level for about 12 or so months now.
"Now I have to try to carry that on into next season. It's not about what you have done, but what you have to do.''

Saya percaya yang Alonso akan tetap kekal di Liverpool walaupun kedudukan beliau yang dikatakan akan terjejas dengan kehadiran Gareth Barry di bahagian tengah Liverpool. Barry merupakan pelengkap kepada bahagian tengah Liverpool dan beliau akan memberikan lebih pilihan kepada Rafa untuk merencanakan sebarang taktikal yang melibatkan bahagian tengah Liverpool dikala berhadapan dengan masalah kecederaan, penggantungan serta jadual antarabangsa pemain. Kita mahu melangkah ke hadapan dan persoalannya kenapa perlu dikorbankan sesuatu yang telah lengkap kepada corak permainan Liverpool? Tepuk dada, tanyalah selera.


YNWA

Friday, May 1, 2009

Alonso : Ada Lagi Yang Menyemak!

Memang mantap permainannya dan prestasi beliau juga berada pada tahap terbaik sekarang ini. Pemain mana yang saya  maksudkan? Tak lain tak bukan ialah pemain tengah Liverpool dan juga merupakan pakar umpanan jauh kita, Xabi Alonso. Memang tidak dinafikan sedikit pun betapa pentingnya beliau kepada Liverpool. Amat jarang musim ini beliau mengecewakan kita semua setiap kali diturunkan di dalam kesebelasan utama Liverpool. Terbaru gol jaringan pembukaan beliau melalui sepakan percuma sewaktu menentang Hull di KC Stadium tempohari. Jadi kenapa tiba-tiba nama beliau tersiar di media dan internet? Jom kita sama-sama menyiasat perkhabaran terbaru Alonso.

Kisah yang tak kunjung sudah mengenai Alonso. Sekali lagi beliau dikhabarkan berada di dalam senarai sasaran perpindahan utama Juventus untuk musim depan. Masih cuba buat kacau nampaknya kelab dari Itali ini. Dulu pun Alonso dikatakan “terlalu perlahan” untuk kelab Itali ini dan ianya datang dari mulut jurulatihnya sendiri iaitu Renieri. Atas kapasiti tersebut, kelab Itali ini tidak mendapatkan khidmat Alonso. Takkan begitu mudah untuk berubah fikiran? Takkan kerana Alonso mempamerkan prestasi terbaik musim ini maka mulalah membuat spekulasi di media untuk menganggu fokus Alonso kepada Liverpool? Anda ingat begitu mudah sekali Liverpool hendak melepaskan pemain terbaik mereka ini? Maaflah Juventus, kalaulah kelab yang anda cuba ganggu itu selain dari Liverpool, anda mungkin akan berjaya. Dengan Liverpool? Anda tidak berpeluang langsung kerana selain telah berada di kelab yang cukup berjaya, Alonso juga merupakan idola peminat-peminat Liverpool. Peminat berdiri di belakang beliau sepenuhnya pada masa desas-desus penjualan beliau akan berlaku musim lepas.

Memang jika mengikut media dan internet, Alonso pernah berkata, beliau tidak boleh memandang sepi jika ada minat dari Juventus untuk mendapatkan beliau. Tetapi adakah media-media ini memberitahu, bilakah Alonso mengeluarkan kenyataan itu? Dahulu atau sekarang? Jawapannya mudah, kenyataan beliau itu adalah kenyataan dari beliau pada musim lepas. Ianya berlaku ketika keadaan masa depan Alonso tidak menentu di Liverpool. Ada juga media yang membuat spekulasi yang mengatakan Alonso akan dijual untuk mendapatkan pemain baru Liverpool bagi musim depan. Kalau hendak menaikkan rating pembaca pun, janganlah sehingga membuat spekulasi yang mengarut dan tidak masuk akal. Benar Liverpool perlu menjual sebelum dapat membeli pemain baru, tetapi takkanlah Rafa akan mengorbankan salah seorang pemain terbaik beliau untuk mendapatkan pemain baru yang belum pasti boleh bermain dan sesuai dengan sistem Liverpool? Takkanlah tiada lagi pemain Liverpool yang boleh dijual selain Alonso? Kepada para peminat anda semua jangan termakan dengan mainan media ini. Saya faham anda semua pasti marah dan tidak bersetuju jika kelab masih ingin menjual Alonso. Tindakan yang saya pasti akan mendatangkan kesan secara langsung kepada bahagian tengah Liverpool. Kepada Juventus, anda tidak dialu-alukan di Anfield jika cuba menangguk di air keruh.


YNWA

Saturday, April 18, 2009

Xabi Alonso : Jangan Pergi

Baru sahaja terdetik untuk menulis artikel mengenai pemain tengah dinamik Liverpool, Xabi Alonso. Sudah agak lama saya bercadang untuk menulis tentang beliau yang merupakan salah seorang daripada pemain tengah terbaik di England dan untuk Liverpool itu sendiri pada masa sekarang. Tiba-tiba pada hari ini, di beberapa laman web utama terpapar berita mengenai pengurus Liverpool, Rafael Benitez mahu mempertahankan Alonso daripada disambar oleh mana-mana pemangsa yang berada di luar sana. Apa yang menyebabkan Rafa tiba-tba bertukar nada ke atas kedudukan Alonso di Liverpool? 

Seperti mana yang anda semua masih ingat ketika musim panas yang lepas sebelum bermulanya musim 08/09, Alonso hendak dijual sebagai cara untuk mendapatkan dana bagi membeli Gareth Barry oleh Rafa. Ini kerana pengurusan Liverpool enggan memberi dana bagi membeli Barry tetapi mereka dengan selambanya mengeluarkan dana untuk membeli Robbie Keane. Bukannya Robbie Keane pemain yang tidak baik, tetapi mungkin gaya permainan beliau tidak sesuai dengan Liverpool. Akibat dari timbulnya spekulasi ini, ramai peminat yang tidak bersetuju ke atas penjualan Alonso. Mereka semua tahu yang Alonso tidak patut dijual kerana beliau merupakan tonggak utama bahagian tengah Liverpool bersama-sama Kapitan Gerrard dan juga Mascherano. Penjualan beliau pasti akan menggangu bahagian tengah Liverpool. Bagi peminat mereka sanggup melihat Alonso bermain di Liverpool biarpun Barry terlepas dari genggaman. Barry boleh menggantikan Alonso tapi bolehkah beliau bermain lebih baik dari Alonso? Lebih baik gunakan dana dari jualan Robbie Keane untuk mendapatkan Barry pada musim panas ini. Jadikan Barry sebagai tambahan kepada kekuatan Liverpool di bahagian tengah. Gandingan Gerard-Alonso-Masch-Barry pasti akan mengegarkan Liga Perdana Inggeris pada musim depan. 

Saya masih ingat pada ketika spekulasi itu timbul, Alonso memang sangat sedih dengan cara dia diperlakukan oleh kelab. Memang apa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi emosi beliau sehingga beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya ketika ditanya mengenai spekulasi ini. Hanya harapan untuk terus kekal di Liverpool sahaja jawapan dari beliau. Perlu diingatkan, Alonso TIDAK PERNAH meminta untuk berpindah dari Liverpool. Beliau seperti juga dengan Torres dan Reina amat sayangkan Liverpool dan merasa sangat bertuah dapat menabur bakti dengan kelab ini. Jika Alonso bukan pemain tengah yang baik, kenapa kelab-kelab ternama seperti Juventus, Arsenal dan Real Madrid serta Barcelona mahukan khidmat beliau? 

Berbalik kepada Rafa, beliau akan mempertahankan habis-habisan Alonso daripada disambar kepada pemangsa yang mula berkeliaran di sekeliling Liverpool. Secara professional, kemampuan Alonso untuk bangkit dari keadaan semasa beliau dihimpit spekulasi perpindahan tersebut dan memberikan persembahan terbaik buat Liverpool pada musim ini yang menyebabkan Rafa telah bertukar fikiran. Tanpa banyak bicara, beliau menegaskan Alonso adalah sebahagian daripada kunci kepada peningkatan Liverpool pada musim ini. Spekulasi terbaru mengatakan Real Madrid dan Barcelona akan cuba membuat bidaan ke atas Alonso. Goyahkah Alonso jika kelab-kelab ini datang untuk mendapatkan beliau? Adakah beliau masih ingat apa yang berlaku pada musim panas yang lepas? Masa yang akan menentukannya nanti.

Kepada Rafa, sila tebus kesilapan anda yang lalu, pertahankan Alonso dari dijual dan tawarkan kontrak baru kepada pemain tengah yang dinamik ini secepat mungkin. Jika masih berlengah-lengah, padah yang akan diterima Liverpool. Tetapi jika anda gunakan kenyataan anda itu dengan tujuan menaikkan harga Alonso di pasaran pemain maka saya pasti anda akan membuat kesilapan yang paling besar sebagai pengurus Liverpool. Buat Alonso, anda adalah Liverpool dan Liverpool adalah anda. Ayuh bersama-sama Liverpool untuk mencapai cita-cita anda. Semua peminat mahukan anda kekal di Anfield dan menjadi sebahagian daripada lagenda kelab yang penuh dengan sejarah ini. Kepada pengurusan Liverpool, anda semua jangan bermimpi untuk menjual Alonso atas alasan untuk mengumpul dana bagi pembelian pemain baru dan juga atas sebab keuntungan kerana anda pasti akan menerima amarahnya nanti.


YNWA