Showing posts with label Daniel Agger. Show all posts
Showing posts with label Daniel Agger. Show all posts

Sunday, March 21, 2010

Agger : Komited Pada The Reds

Pemain pertahanan tengah Denmark dan Liverpool Daniel Agger menyatakan bahawa pemain-pemain The Reds harus bertanggungjawab jika mereka gagal merebut tempat keempat di liga perdana inggeris. Persembahan yang tidak konsisten pada musim ini merupakan punca utama kepada kemerosotan prestasi Liverpool. Walaupun agak kecewa dengan keadaan tersebut, Agger masih komited untuk bersama-sama Liverpool dan tidak berhajat untuk berpindah ke mana-mana pasukan buat masa sekarang. Bagi Agger, beliau menyertai Liverpool kerana mahu memenangi trofi dan itulah yang akan beliau cuba capai bersama-sama rakan sepasukannya. Agger kini bersedia untuk menerima apa-apa keputusan yang berlaku pada Liverpool musim ini dan beliau kini telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi musim hadapan. Sasaran beliau adalah untuk meletakkan Liverpool kembali ke tempat yang sepatutnya. Agger berkata beliau hampir memenangi trofi bersama-sama Liverpool pada musim lepas namun berakhir dengan kekecewaan. Ini membuatkan Agger akan terus berkerja keras di atas padang demi untuk mengejar impiannya bersama Liverpool. Sungguh bertuah untuk Liverpool kerana memiliki pemain yang cukup komited seperti Agger. Diharapkan beliau akan terus menabur bakti di Anfield untuk jangka waktu yang lebih lama.


YNWA

Saturday, February 27, 2010

Agger : SERATUS Bersama Liverpool

Pemain pertahanan Liverpool dari Denmark telah mencapai perlawanan ke 100 beliau bersama-sama Liverpool semasa beraksi menentang Unirea di Liga Europa yang lalu. Namun bagi Agger, beliau mungkin akan mencapai 100 perlawanan dengan The Reds lebih awal jika tidak kerana kecederaan yang menghantui beliau di beberapa tahun kebelakangan ini. Agger mencapai jumlah ini di dalam masa 4 musim bersama-sama Liverpool dengan purata 25 perlawanan semusim. Dan bagi Agger, ianya satu pencapaian yang cukup besar buat karier bolasepak beliau. Sasaran beliau berikutnya adalah untuk mencapai 200 perlawanan bersama-sama Liverpool secepat mungkin tetapi Agger menjelaskan ianya turut bergantung kepada tahap kecergasan beliau di sepanjang karier bolasepaknya di Anfield. Agger tidak perlu terlalu memikirkan tentang berapa banyak perlawanan yang beliau turun bermain untuk Liverpool kerana usia beliau masih muda. Agger baru mencecah 25 tahun dan saya berpendapat beliau mampu bermain di antara 7 hingga 8 musim lagi bersama-sama Liverpool. Masa depan pemain muda ini cerah memandangkan beliau telah diberi kepercayaan oleh pengurus Rafa Benitez untuk mengemudi benteng Liverpool. Diharapkan Agger tidak lagi dibelenggu oleh kecederaan yang jelas merugikan beliau dan Liverpool. Kepada Agger, teruskan permainan cemerlang anda bersama-sama The Reds!


YNWA

Saturday, January 30, 2010

Agger : Kami Takkan Mengalah

Pemain pertahanan tengah Liverpool dari Denmark, Daniel Agger melaungkan amaran kepada pencabar-pencabar ke liga juara-juara eropah musim hadapan yang Liverpool tidak akan menyerah kalah dengan mudah di dalam persaingan itu. Agger kini percaya bahawa prestasi Liverpool kini bertambah baik di dalam lima perlawanan terakhir mereka. Hanya bolos satu gol dan tidak tewas di dalam lima perlawanan terakhir, petunjuk ini bakal memberikan gambaran positif buat Liverpool pada baki perlawanan musim ini. Kuncinya menurut Agger adalah untuk mengambil pendekatan satu demi satu perlawanan pada satu masa dan tiada guna untuk melihat perlawanan-perlawanan ke hadapan melainkan lebih fokus pada satu perlawanan pada satu masa. Agger mengakui prestasi Liverpool pada musim ini tidak konsisten dan antara punca kemerosotan ini adalah kegagalan mereka untuk menghalang bola daripada membolosi gawang. Tambah Agger, walaupun pada musim musim lepas Liverpool mempunyai rekod bolos yang lebih baik, namun ianya bukan hanya tugas pemain pertahanan semata-mata tetapi ianya adalah tugas satu pasukan untuk mempertahankan gawang daripada dibolosi. Senarai kecederaan yang berpanjangan juga tidak banyak membantu Liverpool pada musim ini. Namun menurut Agger, Liverpool mempunyai senarai pemain yang baik dan dengan kerjasama semua pihak, tidak mustahil matlamat untuk meletakkan Liverpool kembali ke landasan sebenar akan tercapai. Sehingga artikel ini ditulis, Agger masih mengalami kecederaan dan beliau terlepas untuk beraksi di tiga perlawanan terakhir Liverpool menentang Stoke, spurr dan juga Wolves.


YNWA

Thursday, December 24, 2009

Agger : Perlu Lebih Yakin

Pemain pertahanan tengah Liverpool dari Denmark, Daniel Agger mengakui beliau dan rakan-rakan sepasukannya perlu lebih fokus untuk memenangi perlawanan dengan Wolves di Anfield nanti. Agger juga memberitahu yang kesemua pemain Liverpool amat kecewa dengan prestasi mereka pada musim ini namun Agger yakin mereka semua masih mampu untuk kembali ke prestasi terbaik. Bagi Agger, prestasi yang mengecewakan ini tidak sepatutnya menghantui kelab gergasi seperti Liverpool. Dengan keyakinan untuk kembali mempamerkan prestasi lebih konsisten, Agger dan rakan-rakan sepasukannya kini akan memastikan ianya tidak akan berterusan pada musim ini. Apa yang berlaku di Liverpool turut menimbulkan tanda tanya kepada Agger, namun menurut beliau, Liverpool perlu mencuba untuk mendapatkan kembali keyakinan yang semakin pudar semenjak kebelakangan ini.

Hanya kemenangan akan mengembalikan keyakinan kepada skuad Liverpool dan jelas sekali Liverpool tidak mendapat kemenangan secara konsisten sekarang, tambah Agger lagi. Dengan fokus serta semangat juang yang tinggi untuk memburu kemenangan dan mendapatkan tiga mata, tidak mustahil untuk Liverpool kembali menyerlah pada saingan musim ini. Benar seperti kata Agger, pemain-pemain Liverpool kini menghadapi masalah untuk fokus di setiap perlawanan dan kurang keyakinan ketika beraksi di atas padang. Terlalu banyak spekulasi yang timbul di sebalik tabir pasukan dari Merseyside ini. Walau apapun yang berlaku di Liverpool, saya berharap ianya dapat diselesaikan dengan baik demi kebaikan kelab. Sebarang pertelagahan (jika ada) tidak akan membawa sebarang manfaat kepada kelab. Kepada rakan-rakan peminat, kita harus bersama-sama kelab di dalam keadaan yang cukup sukar sekarang ini. Menang atau kalah, kita akan tetap bersama-sama LIVERPOOL FC!!!


YNWA

Thursday, October 8, 2009

Agger : Hampir Bersara Kerana Kecederaan

Pemain pertahanan tengah Liverpool dan juga skuad antarabangsa Denmark, Daniel Agger, minggu ini telah mengakui bahawa beliau hampir bersara daripada bolasepak disebabkan oleh kesakitan yang berpunca daripada kecederaan belakang yang dialami beliau pada pra musim yang lepas. Pemain pertahanan tengah Liverpool yang dibeli dari Brondby pada 2006 dengan yuran perpindahan sebanyak 6 juta pound telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan tersebut dan beliau kini telah mula mengisi bangku simpanan Liverpool. Agger turut memberitahu yang kesakitan tersebut terlalu teruk sehingga menyebabkan telah berfikir secara serius untuk bersara terus daripada bolasepak. Berkali-kali Agger bertanya kepada diri sendiri adakah berbaloi untuk meneruskan karier di dalam bolasepak sedangkan hendak melakukan kerja-kerja mudah pun menjadi sukar disebabkan oleh kecederaan belakang tersebut. Semasa ketiadaan Agger, Rafa memilih Carragher dan Skrtel sebagai gandingan untuk menerajui pertahanan tengah Liverpool.

Namun perkhabaran terbaru yang diterima daripada kem Denmark yang sedang di dalam persiapan untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Sweden, Agger kini diketepikan daripada latihan. Menurut pasukan perubatan Denmark, ianya sebagai satu lengkah berjaga-jaga bagi mengelakkan Agger daripada menghadapi kecederaan yang lebih serius. Samada beliau akan turun menentang Sweden masih menjadi tanda tanya kerana belum ada kata putus daripada kem pasukan Denmark. Berita yang pastinya kurang enak buat pengurus Liverpool, Rafa Benitez yang baru sahaja memperolehi khidmat Agger setelah beliau pulih daripada kecederaan. Rafa pasti tidak mahu kehilangan pemain-pemain seniornya kerana Liverpool akan menghadapi perlawanan-perlawanan yang cukup sengit di bulan Oktober ini. Masih tiada kesudahan masalah kecederaan Agger ini nampaknya, satu demi satu kecederaan yang dialami oleh beliau walaupun baru berusia 24 tahun. Khidmat Agger diperlukan oleh barisan pertahanan Liverpool sekarang kerana bahagian ini perlu diperkemaskan oleh Rafa secepat mungkin. Namun seperti yang kita sedia maklum, nasib Agger Seperti Jatuh Ditimpa Tangga. Kita berharap agar Agger bersabar dan tidak membuat keputusan terburu-buru yang akan merugikan diri beliau sendiri serta Liverpool.


YNWA

Saturday, October 3, 2009

Agger : Menghampiri Kesebelasan Utama

Berita baik untuk semua peminat Liverpool. Pemain pertahanan tengah Liverpool dari Denmark, Daniel Agger telah pulih daripada kecederaan belakang yang dialami beliau pada pra musim yang lalu. Agger yang masih tidak beraksi pada musim ini setelah menjalani pembedahan untuk kecederaan belakang, telah bermain selama 68 minit dengan skuad simpanan Liverpool ketika mereka menang 2-0 ke atas City. Berita ini merupakan satu perkembangan positif buat Rafa dan Agger pasti semakin hampir untuk beraksi di kesebelasan utama. Agger amat gembira dengan perkembangan ini dan beliau kini telah mula beraksi di atas padang setelah kecewa dengan kecederaan yang menghalang beliau daripada membantu Liverpool. Menurut Agger, beliau mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan bahagian belakang beliau pada pra musim yang lepas dan sesuatu harus dilakukan dengan keadaan tersebut. Agger juga memberitahu beliau pulih pada masa tepat dengan anggaran doktor yang merawatnya. Kini Agger telah bersedia untuk berusaha melakukan apa sahaja untuk menempatkan diri di dalam kesebelasan utama Liverpool. Saya amat gembira dengan kehadiran semula Agger kerana beliau amat diperlukan pada ketika ini bagi membantu barisan pertahanan kita kini amat goyah. Diharapkan kehadiran semula Agger pada kali ini akan memantapkan lagi barisan pertahanan Liverpool dan menghalang pintu gol Liverpool daripada dibolosi dengan begitu mudah.


YNWA

Sunday, August 23, 2009

Agger : Rehat Dua Bulan

Setelah menandatangani kontrak baru pada musim panas ini, pemain pertahanan tengah Liverpool dari Denmark, Daniel Agger masih belum beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Ini berikutan daripada kecederaan belakang yang dialami beliau belum pulih sepenuhnya. Berita terbaru mengatakan bahawa Agger akan berehat selama dua bulan lagi kerana beliau dijangkakan akan menjalani pembedahan untuk memulihkan kecederaan tersebut di Perancis dalam masa yang terdekat ini. Agger dijangkakan akan pulih sepenuhnya pada pertengahan Oktober nanti dimana Denmark akan beraksi di dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Sweden dan juga Hungary. Kecederaan Agger ini jelas memeningkan kepala Pengurus Liverpool, Rafael Benitez. Rafa kini kekurangan pemain untuk beraksi di bahagian pertahanan tengah Liverpool. Beliau dilaporkan telah terlepas untuk membuat bidaan 17 juta pound terhadap pemain pertahanan tengah West Ham, Matthew Upson yang dikatakan menjadi antara sasaran utama beliau pada musim ini. Namun begitu Rafa telah berjaya dengan bidaan hampir 2 juta pound ke atas pemain pertahanan tengah AEK Athens, Sotirios Kyrgiakos yang dijangka akan menyertai Liverpool pada hujung minggu ini.

Nampaknya kita semua pasti tidak akan dapat melihat kelibat Agger buat sementara waktu disebabkan kecederaan ini. Diharapkan agar beliau tidak mengambil masa yang lama untuk pulih seperti yang dialaminya dengan kecederaan kaki sebelum ini. Jika beliau pulih pada Oktober nanti, ada kemungkin rakan pertahanan beliau Fabio Aurelio turut cergas untuk beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Dan tidak lupa juga kepada Aquilani yang diberitakan akan cergas sepenuhnya pada waktu tersebut. Berita-berita kecederaan ini sedikit sebanyak menganggu persediaan Liverpool pada kali ini. Dan diharap Rafa dapat menggunakan sepenuhnya pemain yang beliau ada untuk mengatasi masalah ini. Walaupun kita tidak dapat beraksi pada tahap kekuatan sebenar pada awal musim ini, janganlah ianya dijadikan alasan untuk kita mengalah sebelum berjuang di atas padang. Ini masanya pemain-pemain simpanan menunjukkan kemampuan mereka jika diberi peluang oleh Rafa untuk beraksi di kesebelasan utama.


YNWA.

Friday, June 5, 2009

Agger : Awas Skrtel Dan Carragher!

Setelah melalui musim lepas yang tidak menentu dan penuh dengan spekulasi, pertahanan tengah Liverpool, Daniel Agger hari ini mahu melupakan apa yang telah berlaku dan mahu bergerak ke depan dengan lebih positif di dalam menghadapi saingan liga di musim hadapan. Kedudukan Agger yang mempunyai baki kontrak selama setahun pada ketika itu, turut mencemaskan para peminat Liverpool dengan kelab-kelab utama dunia seperti AC Milan, Juventus dan Barcelona yang cuba mengambil kesempatan untuk menyambar beliau dari Liverpool pada harga yang lebih rendah. Namun begitu, pengurusan Liverpool telah bertindak untuk menawarkan kontrak baru kepada Agger hingga tahun 2014 dan seterusnya menutup terus sebarang spekulasi mengenai kedudukan beliau di Anfield. Agger dianggap sebagai pemain yang akan membentuk barisan pertahanan masa depan Liverpool kerana beliau mampu untuk memikul tugas yang telah ditinggalkan Hyypia. Mari kita lihat apakah azam pertahanan muda Liverpool ini untuk musim hadapan.

Agger pada dasarnya percaya yang beliau berupaya untuk memecahkan gandingan pertahanan tengah pilihan Rafael Benitez iaitu gandingan Skrtel-Carragher pada musim hadapan dan seterusnya mengukuhkan kedudukan beliau sebagai pemain kesebelasan utama Liverpool. Pemain pertahanan Denmark ini adalah antara pemain kesebelasan utama Liverpool selepas beliau berpindah dari kelab Denmark, Brondby pada tahun 2006 sehinggalah kecederaan kaki yang telah membelenggu kemajuan beliau pada musim lepas. Disebabkan kecederaan beliau ini, Rafael Benitez telah bertindak untuk membawa masuk Skrtel yang kemudiannya telah menjadi pemain kesebelasan utama Liverpool dalam masa yang singkat. Manakala Agger pula terpaksa bergelut dengan kecederaan tersebut dan akibatnya beliau telah banyak memanaskan bangku simpanan. Namun pada kali ini, setelah pulih sepenuhnya dari kecederaan kaki tersebut, Agger telah bersedia untuk memberikan cabaran kepada Skrtel dan Carragher untuk 2 posisi pertahanan tengah Liverpool pada musim depan.

Agger yang berbekalkan kontrak baru dengan Liverpool, dilaporkan bernilai 55 ribu pound seminggu kini berada pada tahap terbaik dari segi mental dan fizikal untuk bersaing di kesebelasan utama Liverpool dan seterusnya membantu kelab di dalam saingan pada musim depan. Agger percaya beliau cukup baik untuk bermain di kesebelasan utama untuk Liverpool dan beliau yakin peluang untuk bermain dari awal musim terbuka luas. Tambah beliau jika tiada keyakinan tersebut, tiada sebab untuk beliau menyambung lagi kontrak jangka panjang dengan Liverpool. Satu azam yang cukup tinggi dari Agger dan saya pasti kita semua mahukan beliau terus memberikan cabaran kepada Skrtel dan Carragher pada musim depan. Kelebihan Agger adalah corak serangan yang mampu dijana oleh beliau dari bahagian pertahanan Liverpool. Buktinya, antara gol terbaik yang pernah dijaringkan oleh beliau adalah melalui rembatan jarak jauh ketika menentang Blackburn di Anfield pada bulan April yang lalu. Saya berharap agar pertahanan muda Liverpool ini diberi lebih banyak ruang pada musim hadapan oleh Rafa untuk membuktikan beliau adalah antara pertahanan tengah terbaik yang pernah dimiliki Liverpool.


YNWA

Saturday, May 2, 2009

Agger : Semakin Hampir Dengan Liverpool

 
Pertahanan tengah Denmark ini telah terlibat dalam perbincangan kontrak beliau dengan Liverpool sejak sekian lama dan pada satu ketika beliau dikhuatiri akan membeli baki setahun kontrak beliau dengan Liverpool. Agger dikatakan menarik minat AC Milan, Juventus serta Barcelona ketika perbincangan kontrak beliau dikatakan tersekat pada permintaannya untuk mendapatkan kenaikan gaji sehingga mencecah 70,000 pound seminggu. Namun Agger menafikannya dan bukan soal kewangan yang menjadi halangan tetapi betapa beliau perlu bermain di kesebelasan utama Liverpool bagi memantapkan lagi permainannya untuk Denmark serta Liverpool itu sendiri. Tambah beliau lagi, hatinya tetap milik Liverpool dan mahu diberikan lebih peluang untuk berbakti kepada kelab ini.

Nampaknya kelab telah mendengar rintihan (bukan ugutan) pemain pertahanan tengah berbakat ini dan kita semua berharap Agger akan terus bersama-sama Liverpool pada musim-musim akan datang. Kita mahu melihat pada satu hari nanti, gandingan Agger-Skrtel akan menerajui bahagian pertahanan tengah Liverpool. Berapa saja kontrak yang ditawarkan kepada beliau, saya pasti ianya akan berbaloi untuk setiap sen yang dibelanjakan. Jangan dilepaskan permata yang telah kita temui ini, gilapnya untuk lebih bersinar dan pastikan Agger terus berbakti untuk Liverpool.


YNWA

Sunday, April 12, 2009

Agger : Masa Depan Belum Pasti

Masih belum pasti lagi nampaknya masa depan pertahanan tengah Liverpool, Daniel Agger. Setelah memberikan persembahan yang baik pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Blackburn di Anfield malam tadi dan menjaringkan salah satu daripada 4 jaringan Liverpool, nampaknya masih ada yang tidak kena dengan perjalanan perbincangan kontrak baru beliau.

Agger mengakui "hatinya" masih milik Liverpool dan masih mahu menyumbangkan tenaga kepada kelab ini. Menurut beliau, senang hati bila mendengar pengurus Liverpool, Rafael Benitez menyatakan khidmatnya masih diperlukan. Tetapi itu adalah cakap-cakap di akhbar. Bagi Agger yang penting adalah yang berlaku di sebalik tabir menerusi perbincangannya dengan pihak pengurusan Liverpool. Ianya sulit dan Agger tidak mahu membincangkannya secara terbuka.

Agger turut menyatakan sekarang adalah masanya untuk beliau bermain sepenuh masa dan ianya penting untuk masa depannya. Perbincangan kontrak masih belum berakhir dan Agger masih menunggu jawapan yang belum pasti. Beliau berharap musim depan beliau masih bersama-sama Liverpool setelah mengharungi musim ini dengan kecederaan yang menyebabkan beliau hilang tempat di kesebelasan utama Liverpool.

Yang saya pasti gandingan Agger-Skrtel merupakan masa depan Liverpool, dua pemain muda yang berbakat dan ramai peminat yang mahu kedua-duanya terus kekal di Liverpool. Diharap pengurusan Liverpool dapat melakukan sesuatu untuk mengelakkan kita daripada terlepas permata yang berharga ini.


YNWA