Monday, July 6, 2009

Alonso & Mascherano : 50 Juta Euro Setiap Satu!

Sudah agak lama saya tidak mengulas mengenai kedudukan dua bintang tengah Liverpool, Xabi Alonso dan Javier Mascherano. Walaupun terlalu banyak desas-desus yang bermain di media dan juga internet, saya hanya menganggapnya sebagai permainan propaganda yang hanya ditaburkan media untuk mengugat keharmonian skuad Liverpool. Bukan tidak mahu menulis mengenai kedua-dua bintang Liverpool ini tetapi saya tidak mahu memeningkan fikiran kita semua sebagai peminat The Kops. Namun pada hari ini saya terbaca berita menarik di internet dan mungkin sudah tiba masanya untuk mengulas mengenai kedudukan kedua-dua bintang Liverpool ini. Bukan niat saya untuk buruk sangka terhadap Alonso dan Mascherano, tapi kita harus memahami kedudukan Rafa dan juga Liverpool itu sendiri jika keadaan seperti ini berterusan. Sepertimana yang kita telah ketahui, Rafa mungkin terpaksa untuk menjual salah seorang pemain tersebut kerana dikatakan terdapat desakan daripada pemain-pemain terbabit untuk keluar dari Anfield. Saya seperti Rafa, mahukan kedua-dua mereka kekal di Anfield dan membantu Liverpool mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim depan. Namun seperti yang pernah saya tegaskan, jika seseorang pemain telah tidak berminat untuk mewakili Liverpool, adalah lebih baik diberi kebenaran kepada mereka untuk keluar dari Anfield. Tidak kiralah sebesar mana bintangnya pemain terbabit. Bagi saya, Liverpool adalah jauh lebih penting daripada kemahuan seorang pemain. Liverpool dibina daripada semangat berpasukan dan bukannya semata-mata kerana seorang individu. Walaupun saya agak kecewa jika salah seorang dari mereka keluar dari Liverpool, namun perjuangan harus diteruskan. Kita semua masih ingat ketika Owen cabut meninggalkan Liverpool ketika keadaan kita terkapai-kapai pada masa tersebut. Namun semangat sepasukan telah membawa Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan kita terus menunjukkan peningkatan sehingga ke hari ini.

Berita terbaru yang diterima dari Anfield menyatakan Liverpool tidak akan berganjak sedikit pun dari yuran perpindahan untuk Alonso dan Mascherano sebanyak 50 juta Euro untuk setiap seorang. Real dikatakan akan menamatkan minat mereka untuk mendapatkan Alonso dan Barca pula masih belum membuat keputusan mengenai Mascherano. Saya amat menyokong 100% pendirian Rafa dan Liverpool di dalam hal ini. Kepada Real dan Barca yang telah lama cuba membuat kacau di Liverpool, jangan bermimpi di siang hari jika anda tidak mempunyai wang sebanyak itu atau tidak mahu membayar harga tersebut kepada Liverpool. Rafa dikatakan turut tidak berminat untuk membuat perjanjian yang membabitkan pertukaran pemain dari kedua-dua kelab. Rafa nampaknya berkeras untuk mendapatkan jumlah yang sepatutnya dibayar untuk pemain yang telah dibimbing oleh beliau di Anfield. Tidak salah rasanya tindakan beliau kerana kita semua tahu Rafa harus mendapatkan jumlah yang cukup untuk mendapatkan pemain bertaraf dunia seperti David Silva atau David Villa bagi menggantikan mana-mana pemain yang meninggalkan Liverpool. Dengan kedua-dua pemain tidak berani untuk menyatakan mereka mahu meninggalkan Liverpool secara umum, mereka kelihatan hanya bermain kata-kata di media. Mungkin kerana risaukan reaksi peminat kerana jika tersalah kata di media, buruk padahnya. Kepada Real, anda mempunyai wang dan jangan harap Liverpool akan tunduk kepada permintaan anda untuk mengurangkan harga perpindahan kepada Alonso. Kepada Barca, jika tidak sanggup membayar harga Mascherano, lebih baik tutup mulut dan tumpukan perhatian kepada skuad anda sendiri. Kepada Alonso dan Mascherano, kami semua peminat Liverpool masih mahukan anda berdua kekal di Anfield dan membantu Liverpool mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim-musim yang akan datang. Namun jika itu kehendak anda untuk keluar dari Anfield, dipersilakan dengan segala hormatnya tapi seperti yang Rafa katakan, ada harga yang harus dibayar oleh kelab-kelab yang berminat untuk mendapatkan anda berdua. Jika tidak lebih baik anda kekal di Liverpool dan teruskan sikap profesional anda terhadap Liverpool dengan menghormati baki 3 tahun lagi kontrak anda masing-masing. Bak kata pepatah Melayu, ALANG-ALANG MENYELUK PERKASAM, BIAR SAMPAI KE PANGKAL LENGAN.


YNWA

6 comments:

HeLL69 said...

betul tu bro.... hope LIVERPOOL membuat keputusan dengan baik...

Anonymous said...

BERAMBUS LA REAL N BARCA!!!!!


afiq_trulyREDZ


YNWA

beemer said...

berat nak tgk 2 org ni kuar dari anfield ... kalu bleh jgn jual ...

Firol said...

Tengah paling best dalam EPL

CrAyOn said...

dua² jgn p mana²....aku sepak kang..aaaa

beemer said...

sepak jgn tak sepak crayon .. hahaha!