Friday, July 24, 2009

Ayala : Potensi Masa Hadapan


Setelah memerhatikan gaya permainan beliau ketika menentang perlawanan persahabatan pra musim Liverpool menentang St Gallen dan juga Rapid Vienna, saya berpendapat pemain pertahanan muda Liverpool dari Sepanyol, Daniel Sanchez Ayala mempunyai masa depan yang cerah di Anfield. Buktinya, disebabkan persembahan beliau yang semakin mantap, Liverpool telah diberitakan akan menawarkan kontrak baru kepada pemain muda berbakat ini. Ayala menyertai Liverpool pada musim 07/08 apabila beliau berhijrah ke Merseyside daripada kelab La Liga, Sevilla. Ayala yang baru berusia 18 tahun adalah antara pemain muda yang mempunyai prospek cerah untuk menempatkan diri di kesebelasan utama Liverpool dan beliau adalah antara pemain yang banyak membuat penampilan untuk skuad simpanan Liverpool. Sehingga berita ini ditulis, Ayala masih belum membuat penampilan di kesebelasan utama Liverpool namun beliau telah menunjukkan persembahan yang menarik ketika beraksi di dua perlawanan pra musim Liverpool. Rafa mahukan Ayala terus beraksi bersama-sama Liverpool dan beliau akan memastikan Ayala ditawarkan kontrak jangka panjang dengan Liverpool.

Mungkin ramai di antara kita yang tidak mengenali Ayala kerana beliau belum lagi beraksi di kesebelasan utama Liverpool. Namun beliau merupakan antara pemain muda yang menjadi harapan Rafa untuk menjadi pelapis kepada pemain kesebelasan utama Liverpool sekarang. Baru berusia 18 tahun, Ayala mempunyai banyak masa untuk memperbaiki serta memperkemaskan permainan beliau di Liverpool. Kita semua perlu ingat, di antara 4 hingga ke 5 tahun akan datang akan ada di antara pemain kesebelasan utama Liverpool yang akan bersara dari bolasepak. Dan pendedahan awal kepada pemain-pemain muda Liverpool oleh Rafa adalah penting untuk memastikan kesinambungan kesebelasan utama Liverpool di masa hadapan. Diharapkan Rafa dapat menemui lebih ramai pemain muda yang berbakat untuk diketengahkan di Liverpool. Dengan cara ini Liverpool juga dapat mengawal kewangan mereka serta mampu untuk melahirkan pemain yang setia dengan kelab dan bermain bolasepak kerana kelab, bukannya semata-mata kerana tamakkan duit. Generasi pemain baru amat penting di Anfield, bak kata pepatah Melayu, Patah Tumbuh, Hilang Berganti.


YNWA

2 comments:

CrAyOn said...

ayala... hmm.. nama pon da mcm star. harap leh pakai la dia ni..

beemer said...

darah muda ... tak rugi mencuba ...