Tuesday, March 16, 2010

BPL : Mampu Lebih Baik

Ya Liverpool kembali menang! Kepada rakan-rakan yang menonton perlawanan tersebut di pagi hari Selasa yang lalu, pasti akan terasa seperti Liverpool menjelaskan hutang yang tertunggak pada minggu-minggu sebelum ini. Cabaran berikutnya adalah untuk berjaga pada awal pagi Jumaat nanti untuk menyaksikan perlawanan menentang Lille di Anfield. Diharapkan Liverpool mampu meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan ini dan seterusnya layak ke suku akhir Liga Europa nanti. Saya gembira dengan kemenangan 4-1 ke atas Pompey. Gembira kerana Liverpool mampu untuk menjaringkan gol setelah disekat pada dua perlawanan sebelumnya. Namun seperti kata pengulas, perlawanan dengan Pompey tidak boleh dianggap benchmark kepada prestasi sebenar Liverpool. Kenapa? Ini kerana Pompey adalah jelas bukanlah pencabar yang mampu mengugat Liverpool disebabkan oleh pelbagai masalah yang timbul di kelab tersebut. Jika diikutkan prestasi sebenar Liverpool, Pompey mungkin akan diratah dengan tujuh atau lapan jaringan oleh Liverpool. Terlalu banyak peluang yang dipersia-siakan oleh pemain Liverpool pada perlawanan ini. Dan ini menunjukkan banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh pemain-pemain Liverpool menjelang pertemuan dengan Lille dan juga skuad syaitan pada hujung minggu nanti. Pompey pada perlawanan ini kelihatan agak kebal pada separuh masa pertama sehinggalah penjaga gol mereka membuat kesilapan dan menghadiahkan bola kepada Kapitan Gerrard dan bola disambar Maxi sebelum membuat lorongan kepada Torres untuk gol pertama Liverpool. Selepas gol pertama inilah, Liverpool baru kelihatan lebih berselara untuk melakukan serangan dan benteng Pompey semakin lemah dengan tekanan demi tekanan daripada Liverpool. Hasilnya Babel dan Aquilani berjaya menambahkan jaringan buat Liverpool dengan separuh masa pertama berkahir pada kedudukan 3-0. Aquilani a.k.a Aquaman membuktikan bahawa beliau layak untuk bermain di kesebelasan utama Liverpool dengan larian serta umpanan cantik kepada barisan depan Liverpool. Walaupun kita gembira dengan jaringan sulung Aquilani untuk Liverpool di Kop End, kita harus ingat bahawa perlawanan ini tidak memberikan banyak tekanan kepada Liverpool. Kita tidak mahu Aquilani hanya mampu beraksi dengan baik ketika bertemu lawan yang lemah dan terkapai-kapai jika beraksi menentang lawan yang lebih kuat. Untuk mengelakkan perkara tersebut, Aquilani perlu diturunkan dengan sekerap mungkin (secara bergilir-gilir) untuk menajamkan kembali sentuhan pemusnah beliau. Banyak umpanan cantik dan berbahaya daripada pemain tengah Itali ini dan beliau juga tidak malas untuk membantu barisan pertahanan. Kapitan Gerrard dan juga Torres (2 gol kali ini) kembali kepada prestasi terbaik mereka pada perlawanan ini. Diharapkan dengan semangat yang kembali berkobar-kobar ini, Liverpool akan terus mempamerkan aksi yang lebih bertenaga pada musim yang berbaki selama dua bulan sahaja lagi.


YNWA

No comments: