Sunday, April 11, 2010

LFC : Mana Satu Kebenarannya?

Pening kepala. Itu yang dapat disimpulkan apabila membaca berita tentang kedudukan pemilikan kelab Liverpool sekarang. Bermacam-macam cerita timbul di kala musim semakin menghampiri penghujungnya. Bermula daripada tekanan yang diterima oleh pemilik kedekut Liverpool daripada Royal Bank of Scotland (RBS) supaya mereka dengan segera menyelesaikan hutang pinjaman yang dibuat oleh mereka sehinggalah campurtangan daripada Barclays Bank untuk mencari jalan penyelesaian kepada kemulut tersebut. Kedua-dua pemilik Liverpool tersebut dikatakan sedang menghadapi tekanan untuk melepaskan pegangan mereka ke atas Liverpool. RBS mahukan mereka menyelesaikan pinjaman (yang beberapa kali ditangguh pembayarannya) yang dibuat oleh mereka ketika membeli Liverpool dahulu atau berdepan dengan tindakan Liverpool bakal dijual kepada pemilik baru tanpa perlu merujuk kepada pemilik berdasarkan perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Satu kerugian buat Liverpool daripada segi kewangan jika pinjaman ini terus menerus ditangguh pembayarannya kerana jumlah bunga yang dikenakan oleh RBS bukan sedikit (mencecah berpuluh juta pound). Kedua-dua pemilik Liverpool pula berdegil untuk menunggu pelaburan baru ke atas kelab dan akibatnya Liverpool tersepit di tengah-tengah antara kepentingan peribadi pemilik dan juga sukan bolasepak. Persoalannya, jika benar mahukan pelabur baru, kenapa menolak pelaburan daripada Rhone Group yang berjumlah 110 juta pound sebelum ini? Mungkin masih ada risiko dan agenda yang tidak kita semua ketahui? Kini akibat tekanan demi tekanan yang diterima oleh pemilik yang kedekut tersebut, mereka telah melantik Barclays Bank sebagai perunding untuk mendapatkan pembeli yang sesuai. Jika benar perkara ini bakal berlaku, maka para peminat Liverpool boleh kembali menguntum senyum dengan pelaburan baru yang bakal diterima nanti. Namun harus diingatkan, Liverpool harus berhati-hati kali ini agar Pisang Tidak Berbuah Dua Kali. Jika tersalah pilih, maka pemilik yang lebih teruk daripada yang ada sekarang akan menjadi mimpi ngeri buat Liverpool. Ada juga cadangan agar Liverpool melihat senarai pelabur baru daripada Timur Tengah seperti DIC jika mahu kelab lebih berjaya di masa hadapan. Sesuatu yang cukup merugikan dengan pemilik yang ada sekarang, mereka tidak mampu memberi sokongan kepada kelab untuk terus berjaya di pentas bolasepak sebaliknya sibuk mahu membuat keuntungan tanpa mahu membuat pelaburan yang lebih besar ke atas kelab. Dengan jumlah peminat yang cukup besar di seluruh dunia, mempunyai pemilik yang benar-benar serius mahu membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi adalah cukup penting untuk menjadi antara kelab bolasepak yang cukup berpengaruh di seluruh dunia. Perlu diingatkan kelab perlu berjaya di pentas bolasepak (dengan pelaburan yang lebih besar) barulah sesuatu kelab itu lebih dikenali oleh para peminat bolasepak di seluruh dunia.


YNWA

No comments: