Friday, July 3, 2009

Voronin : Ke Mana Hala Tuju?

Sehingga artikel ini ditulis, salah seorang pemain serangan Liverpool yang hampir dilupakan oleh para peminat, Andriy Voronin masih gagal menemui kelab yang mahukan khidmat beliau. Pemain antarabangsa Ukraine ini telah menamatkan perjanjian pinjaman beliau dengan kelab Bundesliga Jerman, Hertha Berlin. Voronin telah mengesahkan sebaik sahaja musim Bundesliga Jerman tamat, beliau tidak akan memperbaharui perjanjian pinjaman tersebut dengan Hertha. Beliau menyertai Hertha di sepanjang musim 08/09 Bundesliga yang lalu. Setelah gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan Liga Perdana Inggeris pada musim pertama bersama-sama Liverpool, Voronin terus menemui sentuhan penyudah apabila beliau kembali ke Bundesliga. Beliau telah menjaringkan 11 gol untuk Hertha di dalam usaha kelab tersebut untuk bersaing bagi menempatkan diri mereka di Liga Juara-Juara Eropah pada musim depan. Namun usaha mereka ternyata tidak berjaya dan Hertha hanya menamatkan musim di tempat keempat Bundesliga. Selepas itu, Voronin telah mengumumkan beliau tidak akan kekal di Hertha dan perlawanan penutup Bundesliga menentang Karlsruhe merupakan perlawanan terakhir beliau dengan kelab Jerman tersebut. Voronin mengucapkan terima kasih dan selamat berjaya kepada kelab dan juga para peminat mereka. Terdapat laporan awal yang mengatakan Voronin amat berminat untuk terus kekal di Hertha tetapi kelab tersebut tidak mampu untuk memenuhi yuran perpindahan yang diminta oleh Liverpool. Kesudahannya, Voronin kembali ke Anfield untuk meneruskan baki kontrak beliau dengan Liverpool.

Samada kita masih dapat melihat kelibat Voronin musim depan di Anfield tidak dapat dipastikan sehingga sekarang. Masih belum terdapat kelab yang berminat untuk mendapatkan beliau walaupun Rafa dikatakan mahu mendapatkan dana daripada penjualan pemain. Dengan berita Babel, Dossena serta Voronin yang mahu kekal di Anfield dan terus berjuang untuk menempatkan diri mereka di kesebelasan utama, berita ini pasti akan menjejaskan sedikit usaha Rafa untuk mengambil rekrut-rekrut baru di Anfield. Saya tahu, kebanyakan rakan-rakan peminat tidak menyukai Voronin kekal di Anfield. Namun dengan situasi sekarang tidak banyak pilihan yang boleh dibuat oleh Rafa. Jika terdapat kelab yang mahu membeli atau meminjam Voronin pada musim depan, maka Rafa pastinya mahu membincangkan perkara tersebut. Pada pendapat saya, Voronin bukanlah pemain yang teruk tetapi besar kemungkinan corak permainan beliau tidak sesuai dengan Liga Perdana Inggeris. 11 gol di Bundesliga membuktikan beliau masih mampu menjaringkan gol. Atau mungkinkah Voronin akan mengubah corak permainan beliau ke satu tahap yang tidak dapat kita bayangkan dan menjadi antara pemain terbaik Liverpool pada musim depan? Sama-samalah kita lihat perkembangan Voronin di Anfield pada musim depan.


YNWA

2 comments:

Firol said...

Mamat ni bleh tahan jugak skill dan permainannya.... macam Lu cakap tu..mungkin tak sesuai kat Liga Inggeris....

Dia dgn Ngog ,mana ada potensi?

beemer said...

voronin lebih baik utk back up Torres ...
Ngog bleh belajar slow2 .. lagipun Ngog muda dan ada potensi ...