Sunday, January 16, 2011

Kenny Dalglish : Menjelang Merseyside Derby

Ramai penyokong yang kecewa dengan kekalahan demi kekalahan yang diterima Liverpool walaupun kini Liverpool kembali menerima sentuhan lagenda kelab iaitu King Kenny Dalglish. Namun harus diingatkan, seperti yang King Kenny pernah suarakan sebelum ini, para peminat Liverpool perlu lebih realistik dengan keadaan skuad Liverpool sekarang. Tidak dinafikan memang banyak perkara yang perlu dilakukan oleh King Kenny untuk memulihkan kembali skuad kini bermain di bawah tahap kemampuan sebenar mereka. Tiga perlawanan di dalam masa seminggu adalah tugas yang amat berat buat King Kenny kerana beliau baru sahaja mengambilalih tugas sebagai pengurus Liverpool pada hari Sabtu yang lepas (8/1/2011) dan terus menghadapi perlawanan pertama Liverpool pada keesokkan harinya (Piala FA) di tempat lawan. Kemudian pertembungan dengan Blackpool di perlawanan pertengahan minggu Liga Perdana Inggeris juga di tempat lawan cukup jelas menghadirkan cabaran getir buat mana-mana pengurus pasukan pun. Perlawanan dengan Blackpool ini perlu diadakan pada pertengahan minggu kerana ianya merupakan perlawanan yang ditunda pada penghujung Disember 2010 disebabkan masalah salji tebal di Bloomfield Road (gelanggang Blackpool). Untuk mendapatkan kejayaan dengan segera adalah perkara sukar kerana Liverpool bukan kelab yang akan menabur semua pengurusnya dengan kewangan yang mewah. Lebih-lebih lagi belum tentu duit akan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Liverpool sekarang. Menurut King Kenny, skuad Liverpool yang sekarang tidak mempunyai banyak masalah jika dilihat daripada sudut kemahiran individu namun kurangnya keyakinan serta tidak mahu bermain dengan semangat berpasukan dengan lebih tinggi menjadi punca utama skuad Liverpool kini kelihatan seperti pincang. Inilah antara perkara utama yang menjadi tumpuan King Kenny. Kesannya kita dapat lihat pada perlawanan menentang Blackpool dimana penyerang utama Liverpool Fernando Torres kelihatan lebih yakin serta berani membuat percubaan ke arah pintu gol lawan. Cuma nasib tidak menyebelahi Liverpool apabila sedikit kealpaan barisan tengah dan barisan pertahanan menafikan usaha Liverpool untuk membawa pulang mata pertama King Kenny ke Anfield.

Berbalik kepada pertembungan Merseyside derby, nampaknya jiran biru Liverpool kelihatan semakin angkuh walaupun nasib mereka sekarang juga tiada baiknya berbanding Liverpool. Mungkin mereka masih terbawa-bawa kejayaan menewaskan Liverpool di kandang mereka sebelum ini. Komen-komen yang dibuat oleh pemain serta pengurus mereka juga banyak membicarakan tentang kelemahan Liverpool. Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya, sementara itu Liverpool perlu fokus sepenuhnya kepada pertemuan ini untuk kembali ke landasan kemenangan. Itu adalah agenda utama King Kenny walaupun jelas kehadiran beliau kembali buat kali pertama sebagai pengurus Liverpool di Anfield pasti akan menimbulkan nostalgia kepada semua peminat-peminat Liverpool. Namun bagi King Kenny, misi utama beliau jelas dimana walaupun tidak menafikan nostalgia yang akan timbul, beliau tetap fokus sepenuhnya untuk mencapai kemenangan. King Kenny juga mahukan para pemain Liverpool lebih menggunakan kebijaksanaan di atas padang jika mahukan kemenangan. Walaupun usaha para pemain ini semakin jelas tetapi itu masih belum mencukupi untuk menjamin kemenangan. Liverpool tanpa pemain utama seperti Steven Gerrard dan Jamie Carragher pasti mahu membuktikan bahawa kemenangan pasti boleh dicapai di Anfield. Manakala jiran biru Liverpool pasti akan berusaha untuk menghalang usaha Liverpool ini. Mereka juga kehilangan beberapa pemain utama sepertimana Liverpool. Walaupun apapun yang berlaku, marilah kita semua bersama-sama menyokong pemain-pemain Liverpool dan juga King Kenny di dalam usaha mereka untuk mengembalikan Liverpool ke landasan kemenangan. Jalan berliku itu yang pasti tetapi jika bukan kita semua peminat Liverpool yang menyokong kelab, siapa lagi bukan? Seperkara lagi, John W Henry berada di Anfield untuk perlawanan ini, harapnya beliau memberikan berita baik buat kita semua dengan King Kenny diberikan dana yang mencukupi untuk membeli beberapa pemain baru untuk Liverpool.


YNWA

2 comments:

Tengku Firmino said...

crucial one..one of the important in every EPL season.Liverpool need a win.nothing less..no matter what..Liverpool desperately need a win..common guys..dont disappoint me..in 3D match tu mlm ni

beemer said...

seri namun its better drp dpt habuk aja ..
really need to improve defend ..
lauk sgt bila agger keluar ..