Sunday, January 31, 2010

BPL : Perlu Lebih Baik


Walaupun menang 2-0 ke atas Bolton di Anfield dan membawa Liverpool ke perlawanan keenam berturut-turut tanpa kalah (empat menang dan dua seri), ingin saya lemparkan sedikit pandangan mengenai The Reds. Kemenangan dengan Bolton ini pasti akan menyemarakkan lagi semangat pemain-pemain Liverpool untuk meneruskan perjuangan pada baki perlawanan musim ini. Kemenangan ini juga merupakan kejayaan double Liverpool ke atas Bolton pada musim ini setelah menang di The Reebok Stadium sebelum ini. Beberapa perubahan positif yang dapat dilihat pada perlawanan ini adalah seperti kemasukan Aquilani yang jelas mampu membantu bahagian tengah dan hadapan Liverpool. Begitu juga dengan kemantapan pemain pertahanan Greek Sotorios Kyrgiakos yang semakin menonjol persembahannya di bahagian pertahanan Liverpool. Jika tidak kerana usaha keras beliau untuk menghalang bola percubaan daripada pemain Bolton daripada Korea iaitu Lee Chung-Yong, keadaan pasti berubah untuk Liverpool. Kapitan Gerrard kelihatan agak berkarat pada separuh masa pertama dan kelibat beliau hanya kelihatan pada separuh masa kedua dengan percubaan demi percubaan berbahaya daripada Kapten Liverpool ini. Mahu juga saya melihat Gerrard menjaringkan satu gol pada perlawanan ini sebagai hasil daripada usaha keras beliau namun bukan rezeki Gerrard pada kali ini dengan penjaga gol Bolton, Jussi Jaaskelainen utuh untuk menepis percubaan Gerrard.

Gol kemenangan Liverpool pada perlawanan ini diperolehi oleh Kuyt dan juga Insua. Kuyt memang terkenal dengan kerajinan beliau di atas padang, namun jika penyudah beliau lebih tajam, banyak gol yang boleh dihasilkan beliau, bukan sahaja di dalam perlawanan ini tetapi di dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini. Namun kita tidak boleh mengharapkan penyudah Kuyt adalah setajam Torres walaupun beliau sebenarnya adalah seorang penyerang kerana sudah beberapa musim beliau bermain di posisi sayap kanan. Mungkin dengan ketiadaan El Nino buat sementara waktu ini, Kuyt diharapkan dapat mengambil peluang sepenuhnya untuk mempertajamkan kembali sentuhan jaringan beliau sepertimana ketika beliau beraksi di liga Holland sebelum ini. Walaupun Liverpool berjaya memenangi perlawanan ini tanpa bolos, harus saya ingatkan barisan pertahanan agak sedikit goyah dan alpa semasa bertahan untuk menangkis serangan Bolton. Walaupun terdapat perubahan yang ketara, namun jika Liverpool bertemu dengan pasukan yang mempunyai barisan serangan yang mantap, jelas masalah pasti akan timbul. Mungkin dengan kehadiran Agger (berada di bangku simpanan pada perlawanan ini) pada perlawanan yang akan datang boleh memperkuatkan lagi barisan pertahanan The Reds.

Sesuatu yang jarang berlaku juga dapat dilihat pada perlawanan ini dimana Lucas dibangkusimpanankan oleh Rafa dan peluang diberi kepada Aquilani untuk mengemudi bahagian tengah Liverpool bersama-sama Gerrard dan Mascherano. Begitu juga dengan bahagian depan yang diterajui oleh Ngog dan beliau jelas mengecewakan. Pintu gol Bolton telah ternganga luas dan hanya perlu tolakan mudah untuk memperkukuhkan kedudukan Liverpool namun beliau gagal menyudahkannya. Jikalau peluang itu sukar, saya tidak mahu mempertikaikannya, tetapi jika semudah itu peluang yang terhidang tetapi masih belum dapat disempurnakan beliau, lebih baik menurunkan pemain muda Sepanyol Daniel Pacheco untuk bermain di bahagian depan. Bukan tidak mahu berlaku adil kepada Ngog, tetapi beliau seperti Lucas yang kini diberi peluang demi peluang oleh Rafa untuk bermain di kesebelasan utama harus mempamerkan persembahan yang lebih baik untuk Liverpool. Kesebelasan utama bukan tempat untuk menjalani latihan, sedangkan pemain utama seperti Aquilani teruk dikritik media apabila dikatakan tidak bermain dengan baik, inikan pula Ngog dan Lucas. Mengenai gol kedua Liverpool, walaupun diletakkan sebagai gol sendiri oleh Davies, saya tetap mahu mengkreditkannya kepada Insua. Beliau berhak untuk mendapat gol tersebut kerana usaha keras pemain muda Argentina ini yang semakin hari semakin baik persembahannya.

Saya seperti rakan-rakan sekalian, amat gembira dengan kemenangan ke atas Bolton ini yang pasti akan mengukuhkan lagi cabaran Liverpool pada musim ini. Namun Liverpool masih perlu bermain dengan lebih baik selepas ini jika benar-benar mahu menguji keupayaan sebenar pasukan. Barisan pertahanan harus lebih fokus dan tidak alpa, sementara itu bahagian depan perlu lebih tajam untuk mengejar jaringan. Jika Rafa masih mahu menggunakan dua pemain defensive midfielder selepas ini, saya pasti Liverpool akan menjadi tidak bermaya untuk menyerang pasukan lawan. Aquilani harus diturunkan, jika beliau hanya diturunkan sebagai pemain gantian pun, sekurang-kurangnya beliau harus berada 30 minit di atas padang untuk memberikan impak dan bukannya masuk ketika perlawanan berbaki 3 minit. Harus diingatkan cabaran Liverpool selepas ini cukup sengit dengan Everton, skuad senapang dan citeh akan menguji anak-anak buah Rafa Benitez. Cabaran di Liga Europa juga akan bemula pada pertengahan Februari ini. Masa untuk makan angin sudah berakhir, kini ujian sebenar bakal menanti Liverpool di pentas domestik dan juga eropah.


YNWA

2 comments:

RABUN said...

nah maka terbukti sudah Liverpool bermain amat baik dengan ketiadaan Lucas Hampeh tu,

dengan ketiadaan Lucas pemain paling lembab kat atas padang, pasing menjadi cantik dan tidak tersekat sekat, kreatif dan menghiburkan
WOI RAFA BUKAK MATA KO LUAS LUAS K.

karigiakos juga bermain baik, lawan everton wajib turun pasal ada pakar tandukan kat everton, agak was was dengan skertel kadang kadang cepat hilang fokus, tapi setakat ni selamat lagi...

bleh bayangkan kalu Tores dan benayon ada pada malam tu...

selama ni Liverpool bukanya tewas ditangan pasukan Arsenal, Chealsea ataupon Fiorentina tapi dikaki Lucas!

Sorry lah aku memang benci ngan LUCAS

beemer said...

wa dah letih nak ckp psl lucas nih bro ..
lucas ni bagi wa hanya layak sekadar skuad player aja ..
maknanya pemain cover kalu pemain utama injured atau suspend ..
nak main first eleven plus nak jadi jeneral liverpool mmg tak dpt lah ..
ada juga statistik (tak ingat kat mana baca) menyatakan lucas punya success passing rate top three dlm EPL ..
tp sekadar passing aja la ..
wa pasti bukan killer passing yg boleh menghasilkan gol ..
statistik tu tak ckp passing tu camana .. termasuk passing ke belakang kot (backpass) ... hehe!