Thursday, January 7, 2010

Berger : Bersara Dari Bolasepak

Bekas pemain sayap Liverpool yang juga bekas pemain antarabangsa Republik Czech, Patrik Berger telah mengumumkan persaraan beliau daripada bolasepak. Berger terpaksa membuat keputusan tersebut disebabkan kecederaan lutut yang berulangkali dialami beliau telah membataskan permainan di atas padang. Walaupun agak berat untuk berbuat sedemikian, Berger tiada pilihan selain daripada bersara sepenuhnya disebabkan kecederaan tersebut. Pemain yang berusia 36 tahun ini memulakan karier bolasepaknya dengan menyertai Slavia Prague dan kemudiannya menyertai Borussia Dortmund di Bundesliga Jerman. Kecemerlangan beliau di Dortmund telah menarik minat Liverpool untuk mendapatkan khidmat beliau pada musim panas 1996.

Semasa berada di Anfield inilah Berger berada di kemuncak kariernya di mana beliau merupakan antara pemain yang memenangi Piala UEFA, Piala FA, Piala Liga dan Piala Super Eropah pada tahun 2001. Kenangan ini cukup indah bagi Berger dan beliau akan senantiasa mengingati setiap saat beliau di Anfield. Berger akhirnya meninggalkan Liverpool pada tahun 2003 dan selepas itu bermain untuk kelab-kelab seperti Aston Villa, Portsmouth serta Stoke City sebelum beliau pulang kembali ke Republik Czech untuk menyertai kelab Sparta Prague pada tahun 2008. Di peringkat antarabangsa, Berger mewakili Republik Czech sebanyak 44 kali dan menjaringkan 18 gol di sepanjang penglibatannya di kejohanan antarabangsa. Berger mewakili Liverpool selama tujuh musim dan membuat penampilan sebanyak 149 kali untuk The Reds. Berger bermain di posisi sayap kiri Liverpool dan Berjaya menjaringkan 28 gol di sepanjang karier beliau di Anfield.


YNWA

No comments: