Saturday, November 14, 2009

LFC : Pilihan Melalui Pinjaman

Dengan musim perpindahan pemain yang akan dibuka kembali pada bulan Januari 2010 nanti, Liverpool tidak terkecuali untuk dikaitkan dengan nama-nama pemain yang dikatakan berminat untuk menyertai pasukan dari Merseyside ini. Berikut adalah beberapa nama pemain yang dikaitkan dengan Liverpool dan mereka dikatakan boleh diperolehi melalui pinjaman :

Rafael Van der Vaart
Pemain antarabangsa Holland ini dikatakan akan berpindah daripada Real Madrid pada musim panas yang lepas. Namun disebabkan Sneijder dan Robben telah dilepaskan oleh Real, Van der Vaart terus dikekalkan di dalam skuad mereka. Van der Vaart dikatakan akan menimbangkan secara serius untuk berpindah pada bulan Januari nanti setelah beliau hanya memanaskan bangku simpanan Real. Rafa Benitez dikatakan amat berminat untuk mendapatkan beliau secara pinjaman dari Real pada bulan Januari nanti. Pilihan terbaik melalui perjanjian pinjaman kepada Liverpool kerana Van der Vaart boleh bermain di bahagian sayap, tengah dan juga sebagai penyerang sokongan kepada Torres. Beliau juga mempunyai kebolehan membuat umpanan yang baik kepada bahagian serangan.

Klaas Jan Huntelaar
Penyerang antarabangsa Holland ini dikatakan semakin hilang taringnya setelah menyertai Real dan kemudiannya menyertai AC Milan. Walaupun menjaringkan beberapa gol ketika mewakili Real, Huntelaar masih gagal menyinar di Milan. Huntelaar kini semakin diketepikan oleh Milan dan beliau jika diberi peluang, pasti mahu bermain kembali dan menjaringkan gol. Pilihan yang agak berisiko buat Liverpool kerana rekod jaringan beliau sekarang tidak cukup baik. Namun jika perjanjian pinjaman boleh dilakukan, Liverpool pasti akan mendapat seorang pemain yang lebih baik daripada penyerang simpanan yang ada sekarang.

Roman Pavlyuchenko
Penyerang Rusia yang kini bermain mewakili Tottenham. Dikatakan sudah hampir berpindah pada musim panas lepas namun berjaya dipujuk oleh Harry Redknapp untuk kekal di White Hart Lane. Namun beliau semakin kecewa kerana tidak dapat beraksi dan hanya memanaskan bangku simpanan. Kekurangan beliau hanyalah kurang pengalaman di Liga Perdana Inggeris kerana peluang untuk beraksi amatlah terhad. Anfield menyediakan platform terbaik buat beliau untuk kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris melalui perjanjian pinjaman.

Emile Heskey
Bekas pemain Liverpool yang kini beraksi untuk Villa. Rafa pada musim panas lalu dikatakan cuba mendapatkan beliau namun Heskey memilih untuk menyertai Villa. Heskey kini cuba mendapatkan perjanjian pinjaman dengan pasukan lain kerana beliau perlu lebih kerap bermain untuk memastikan tempat beliau di dalam skuad antarabangsa England. Heskey kini lebih kerap berada di bangku simpanan kerana pengurus Villa lebih banyak menggunakan Agbonlahor dan juga Carew.


YNWA

1 comment:

♫::: m[e]n!t! s[e]nja :::♫ said...

yang terbaik tidak dapat...
ini semua pilihan kelas ke-2...
kan???