Sunday, November 8, 2009

LFC : Kelab vs Negara

Nampaknya peperangan di antara kelab dengan negara mengenai status pemain di dalam perlawanan antarbangsa akan berterusan. Liverpool yang dihimpit oleh kecederaan pemain secara berterusan dan terpaksa merehatkan ramai pemain di dalam beberapa penting sebelum ini pasti tidak senang jika pemain-pemain ini dipanggil untuk menyertai perlawanan persahabatan antarabangsa yang tidak mempunyai sebarang kepentingan pada minggu hadapan. Pengurus Liverpool Rafa Benitez awal-awal lagi mahu pengurus skuad negara menggunakan “akal yang rasional” di dalam memanggil pemain-pemain untuk perlawanan persahabatan tersebut. Yang menjadi tumpuan pengurus Liverpool ini adalah dua pemain utamanya iaitu Steven Gerrard dan juga Fernando Torres. Liverpool yang kini telah lama merehatkan Gerrard dan menggunakan khidmat Torres secara berhati-hati di dalam setiap perlawanan Liverpool sebelum ini pasti tidak mahu kecederaan mereka berdua ini bertambah buruk jika dipaksa untuk mewakili England dan juga Sepanyol. Perlu diingatkan kecederaan yang dialami Gerrard dan Torres adalah disebabkan “kecerdikan” Capello (pengurus England) dan Del Basque (pengurus Sepanyol) menggunakan kedua-dua pemain di dalam perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia yang tidak mempunyai apa-apa makna kerana kedua-dua negara telah menjadi juara kumpulan. Namun disebabkan kedegilan untuk mengejar rekod tanpa kalah di dalam kumpulan telah menyebabkan musibah berpanjangan kini menimpa Liverpool. Perlawanan pertunjukkan badut England menentang Brazil di Qatar pada minggu hadapan jelas tidak digemari oleh Rafa Benitez. Perlawanan yang jelas hanya untuk tujuan komersial England tidak mendatangkan sebarang faedah kepada Liverpool malah mungkin bertambah parah jika Gerrard dipaksa untuk bermain di perlawanan tersebut dan mengalami kecederaan. Sementara Del Basque juga turut mencongak pemain untuk perlawanan persahabatan Sepanyol menentang Argentina pada minggu hadapan. Walaupun tahu Gerrard mengalami kecederaan, Capello akan menggunakan “kecerdikan” beliau memanggil Gerrard untuk diperiksa oleh pasukan perubatan England. Kejadian yang sama berlaku pada musim lepas ketika perlawanan persahabatan menentang Jerman. Ini berlaku disebabkan ketidakpercayaan Capello terhadap pengurus-pengurus kelab. Jika benar pengurus-pengurus kelab ini menipu, lebih baik tidak melepaskan terus pemain-pemain mereka untuk mewakili skuad antarabangsa negara masing-masing.

Kita semua faham pemain-pemain Liverpool mahu mewakili negara masing-masing dan saya berpendapat ianya penting untuk perkembangan karier bolasepak mereka. Namun apalah salahnya jika sedikit kompromi diberikan oleh pengurus-pengurus skuad antarabangsa agar lebih bertimbang rasa dengan pemain-pemain yang mahu dipilih oleh mereka. Saya tidak menentang pemain-pemain utama Liverpool mewakili negara mereka jika perlawanan tersebut amat penting seperti kelayakan Piala Dunia dan Piala Eropah dengan syarat mereka bebas daripada sebarang kecederaan. Rekod Liverpool apabila pemain-pemain utama kembali daripada perlawanan antarabangsa tidaklah begitu baik kerana sukar untuk Liverpool untuk mencapai kemenangan disebabkan pemain-pemain tersebut tidak cergas sepenuhnya kerana selain daripada bermain mereka terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh seperti Mascherano yang terpaksa terbang ke benua Amerika Selatan setiap kali dipanggil menyertai skuad antarabangsa. Sama-sama kita saksikan sejauh mana perkembangan masalah yang tidak berpenghujung di antara kelab dengan negara ini.


YNWA

1 comment:

♫::: m[e]n!t! s[e]nja :::♫ said...

kedua nya penting...
tapi kene pikir mane lebig utama...
negara dah lepas seksanya...
tumpukan pada kelab...