Saturday, January 29, 2011

Suarez : Yang DiTunggu-Tunggu Telah Tiba!!!


"Chek dah nak naik kapal terbang pi Anfield dah ni, abg Torres nak pi mana pulak tu? Tak payah pi mana-mana la meh kita score gol banyak2 untuk Liverpool. Chek jadi tukang suap bola pun takpa ..." Komen Luis Suarez bila ditanya mengenai spekulasi terbaru rakan serangan beliau di Liverpool, Fernando "El Nino" Torres.

Kepada Luis Alberto Suarez Diaz, Selamat Datang Ke Anfield dan sila score gol dan supply bola banyak-banyak.


YNWA



Wednesday, January 19, 2011

Kelly : Bukti Pemain Muda Liverpool Berbakat

Walaupun hanya sekadar seri ketika menentang jiran biru, kita semua masih boleh merasa lega kerana King Kenny kini mampu untuk mengubah corak permainan Liverpool. Fakta yang harus kita semua terima adalah perubahan yang bakal dilakukan tidak akan terjadi sepantas kilat. Namun begitu kita harus sedikit lega kerana selain daripada mengembalikan corak menyerang di dalam skuad Liverpool, King Kenny juga telah memberikan peluang kepada pemain-pemain muda Liverpool untuk menyerlah di kesebelasan utama. Contoh yang paling ketara adalah pemain pertahanan yang baru mencecah usia 20 tahun iaitu Martin Kelly. Beliau yang kini telah bermain di pertahanan kanan sebanyak tiga kali berturut-turut semenjak King Kenny kembali menjadi pengurus Liverpool. Dengan susuk badan yang besar, tegap serta memiliki ketinggian yang cukup sesuai sebagai seorang pemain pertahanan, Kelly juga boleh menyerang daripada bahagian sayap Liverpool. Saya yakin kita semua terhibur apabila melihat aksi serta kerajinan beliau di atas padang. Kemampuan Kelly ini sebenarnya telah lama dihidu oleh para peminat Liverpool terutama sekali ketika menentang Lyon pada Liga Juara-Juara Eropah musim 2009/2010 di Anfield. Namun kecederaan yang dialami beliau pada perlawanan tersebut telah merencatkan sedikit perkembangan karier bolasepak beliau di Anfield. Setelah menandatangani kontrak baru pada musim ini, Kelly sering diturunkan oleh Hodgson pada perlawanan Liga Europa pada musim ini tetapi kurang diberi pendedahan pada Liga Perdana Inggeris. Kemasukan King Kenny membawa rahmat kepada beliau dimana Kelly kini mampu bermain lebih baik berbanding Glen Johnson di pertahanan kanan Liverpool. Sepertimana Jamie Carragher, Kelly mampu bermain di mana-mana posisi pertahanan namun beliau kini lebih menyerlah di pertahanan kanan.Pernah dicuba di pertahanan kiri oleh Hodgson namun beliau kelihatan agak kurang selesa di posisi tersebut. Mungkin masa dan pengalaman akan menjadikan Kelly lebih matang dan mampu beraksi dengan lebih baik di posisi tersebut. Sesuatu yang agak menarik yang dapat saya perhatikan mengenai Kelly adalah adakah beliau mampu beraksi sebagai bek tengah yang baik jika ditugaskan pada posisi tersebut? Kelly sendiri pernah menyatakan posisi terbaik beliau adalah bek tengah namun sehingga ke hari ini, kita masih belum melihat kelibat beliau di posisi tersebut. Ciri-ciri pertahanan tengah yang baik seperti tinggi, tegap serta mempunyai kepantasan pasti menjadikan Kelly satu aset buat Liverpool. Mungkin perancangan ini telah berada di fikiran King Kenny dan beliau hanya menunggu masa untuk melaksanakannya. Pertahanan Liverpool kini semakin goyah walaupun bahagian serangan semakin baik, mungkin sedikit perubahan di bahagian tersebut akan memantapkan lagi skuad Liverpool. Diharapkan King Kenny akan terus berani untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain muda Liverpool yang dulu agak tenggelam. Mungkin selepas ini kita mahu melihat kelibat Daniel Pacheco di atas padang membantu Torres untuk memburu gol. Jika beliau tidak bagus, mana mungkin Pacheco menjadi sasaran kelab-kelab luar untuk mendapatkan khidmat beliau. Kepada Kelly, diharapkan karier beliau dapat berkembang dengan baik dan pada satu masa nanti mampu menjadi ganti kepada Jamie Carragher di Anfield.


YNWA

Sunday, January 16, 2011

Kenny Dalglish : Menjelang Merseyside Derby

Ramai penyokong yang kecewa dengan kekalahan demi kekalahan yang diterima Liverpool walaupun kini Liverpool kembali menerima sentuhan lagenda kelab iaitu King Kenny Dalglish. Namun harus diingatkan, seperti yang King Kenny pernah suarakan sebelum ini, para peminat Liverpool perlu lebih realistik dengan keadaan skuad Liverpool sekarang. Tidak dinafikan memang banyak perkara yang perlu dilakukan oleh King Kenny untuk memulihkan kembali skuad kini bermain di bawah tahap kemampuan sebenar mereka. Tiga perlawanan di dalam masa seminggu adalah tugas yang amat berat buat King Kenny kerana beliau baru sahaja mengambilalih tugas sebagai pengurus Liverpool pada hari Sabtu yang lepas (8/1/2011) dan terus menghadapi perlawanan pertama Liverpool pada keesokkan harinya (Piala FA) di tempat lawan. Kemudian pertembungan dengan Blackpool di perlawanan pertengahan minggu Liga Perdana Inggeris juga di tempat lawan cukup jelas menghadirkan cabaran getir buat mana-mana pengurus pasukan pun. Perlawanan dengan Blackpool ini perlu diadakan pada pertengahan minggu kerana ianya merupakan perlawanan yang ditunda pada penghujung Disember 2010 disebabkan masalah salji tebal di Bloomfield Road (gelanggang Blackpool). Untuk mendapatkan kejayaan dengan segera adalah perkara sukar kerana Liverpool bukan kelab yang akan menabur semua pengurusnya dengan kewangan yang mewah. Lebih-lebih lagi belum tentu duit akan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Liverpool sekarang. Menurut King Kenny, skuad Liverpool yang sekarang tidak mempunyai banyak masalah jika dilihat daripada sudut kemahiran individu namun kurangnya keyakinan serta tidak mahu bermain dengan semangat berpasukan dengan lebih tinggi menjadi punca utama skuad Liverpool kini kelihatan seperti pincang. Inilah antara perkara utama yang menjadi tumpuan King Kenny. Kesannya kita dapat lihat pada perlawanan menentang Blackpool dimana penyerang utama Liverpool Fernando Torres kelihatan lebih yakin serta berani membuat percubaan ke arah pintu gol lawan. Cuma nasib tidak menyebelahi Liverpool apabila sedikit kealpaan barisan tengah dan barisan pertahanan menafikan usaha Liverpool untuk membawa pulang mata pertama King Kenny ke Anfield.

Berbalik kepada pertembungan Merseyside derby, nampaknya jiran biru Liverpool kelihatan semakin angkuh walaupun nasib mereka sekarang juga tiada baiknya berbanding Liverpool. Mungkin mereka masih terbawa-bawa kejayaan menewaskan Liverpool di kandang mereka sebelum ini. Komen-komen yang dibuat oleh pemain serta pengurus mereka juga banyak membicarakan tentang kelemahan Liverpool. Biarlah mereka terjun dengan labu-labunya, sementara itu Liverpool perlu fokus sepenuhnya kepada pertemuan ini untuk kembali ke landasan kemenangan. Itu adalah agenda utama King Kenny walaupun jelas kehadiran beliau kembali buat kali pertama sebagai pengurus Liverpool di Anfield pasti akan menimbulkan nostalgia kepada semua peminat-peminat Liverpool. Namun bagi King Kenny, misi utama beliau jelas dimana walaupun tidak menafikan nostalgia yang akan timbul, beliau tetap fokus sepenuhnya untuk mencapai kemenangan. King Kenny juga mahukan para pemain Liverpool lebih menggunakan kebijaksanaan di atas padang jika mahukan kemenangan. Walaupun usaha para pemain ini semakin jelas tetapi itu masih belum mencukupi untuk menjamin kemenangan. Liverpool tanpa pemain utama seperti Steven Gerrard dan Jamie Carragher pasti mahu membuktikan bahawa kemenangan pasti boleh dicapai di Anfield. Manakala jiran biru Liverpool pasti akan berusaha untuk menghalang usaha Liverpool ini. Mereka juga kehilangan beberapa pemain utama sepertimana Liverpool. Walaupun apapun yang berlaku, marilah kita semua bersama-sama menyokong pemain-pemain Liverpool dan juga King Kenny di dalam usaha mereka untuk mengembalikan Liverpool ke landasan kemenangan. Jalan berliku itu yang pasti tetapi jika bukan kita semua peminat Liverpool yang menyokong kelab, siapa lagi bukan? Seperkara lagi, John W Henry berada di Anfield untuk perlawanan ini, harapnya beliau memberikan berita baik buat kita semua dengan King Kenny diberikan dana yang mencukupi untuk membeli beberapa pemain baru untuk Liverpool.


YNWA

Sunday, January 9, 2011

Kenny Dalglish : The Return Of The King

Sebelum memulakan bicara, mohon maaf kepada rakan-rakan semua kerana agak lama tidak membuat entri di Liverpool Malaya. Bukan hanya kesibukan kerja tetapi juga disebabkan terlalu banyak berita negatif di media dan juga internet mengenai Liverpool di kebelakangan ini yang turut membuatkan saya mengambil pendekatan untuk memerhatikan perkembangan semasa yang berlaku di Anfield. Terima kasih buat rakan-rakan yang masih sudi singgah di Liverpool Malaya. Sokongan anda sekalian amat saya hargai. Ok kembali kepada berita gembira yang kita semua nanti-nantikan, pada hari ini 8 Januari 2011 menandakan kembalinya semula seorang lagenda Liverpool sebagai pengurus baru The Reds. Lagenda yang kita semua sanjungi ini adalah King Kenny Dalglish. Semua peminat-peminat Liverpool di seluruh dunia cukup gembira dengan berita ini kerana sememangnya kita semua mengharapkan beliau kembali memimpin Liverpool. Hatta selepas pemergian Rafa sebelum ini, Kenny adalah antara calon utama yang dimahukan peminat untuk mengemudi Liverpool. Jelas kegembiraan para peminat Liverpool di mana laman sosial Facebook, Twitter dan juga blog dipenuhi dengan ucapan kegembiraan para peminat Liverpool di seluruh dunia. Itulah bukti bahawa Liverpool tidak pernah kekurangan sokongan di masa kejatuhan mahupun di masa kegemilangannya. Syabas saya ucapkan kepada para peminat Liverpool. Teruskan sokongan anda sekalian kerana ini yang Liverpool perlukan untuk bangkit kembali berjuang di persada liga dan juga eropah. Terdapat juga persoalan yang menjadi tanda tanya para peminat Liverpool iaitu adakah kita semua akan mencemuh King Kenny jika beliau gagal di dalam misinya untuk membangkitkan kembali Liverpool di separuh kedua musim 2010/2011 ini? Jawapannya mudah, sukar untuk saya melihat para peminat Liverpool akan marah jika King Kenny tidak berjaya kerana semua peminat Liverpool amatlah menghormati beliau. Bagi saya, kita semua patut bersyukur dan berasa bertuah kerana King Kenny sanggup mengambilalih Liverpool di pertengahan musim ini dimana keadaan Liverpool amatlah menyedihkan. Biarkan King Kenny melakukan kerja beliau tanpa gangguan daripada kita semua. Sokonganlah beliau sepertimana kita pernah menyokong mana-mana pengurus Liverpool sebelum ini. Diharapkan segala perancangan King Kenny akan lebih baik dan berjalan dengan lancar. Kita semua amat gembira kerana kehadiran beliau kembali sebagai pengurus Liverpool namun janganlah kita terlalu mengharapkan sebarang keajaiban yang mampu dilakukan beliau pada masa yang singkat ini. Keajaiban tidak akan berlaku di dalam masa yang singkat tetapi kita semua mendoakan agar King Kenny mampu mengembalikan semangat Liverpool yang kian menghilang di dalam diri pemain. Kepada King Kenny, Selamat Kembali Ke Liverpool dan Selamat Berjaya di dalam misi anda untuk mengembalikan kegemilangan Liverpool!!!


YNWA