Friday, April 16, 2010

Mascherano : Kontrak Tujuh Musim

Pemain tengah Liverpool daripada Argentina Javier Mascherano mahu terus komited bersama-sama Liverpool untuk tujuh tahun akan datang. Pemain tengah Argentina yang berusia 25 tahun kini berharap dapat menandatangani kontrak rasmi dengan Liverpool bernilai 90 ribu pound seminggu sebelum musim panas yang akan datang. Mascherano akan berasa bangga jika beliau masih berada di Anfield di dalam masa enam hingga tujuh tahun yang akan datang. Menurut Mascherano, tidak banyak kelab di dunia yang mempunyai sejarah dan juga peminat seperti Liverpool. Dengan cerita perpindahan beliau ke Barcelona yang semakin dilupakan, Mascherano kini lebih komited bersama-sama Liverpool. Beliau kini berhak mendapatkan kontrak yang lebih baik bersama-sama Liverpool kerana persembahannya yang konsisten di atas padang setiap kali beraksi bersama-sama Liverpool.


YNWA

Thursday, April 15, 2010

LFC : Mencari Pemilik Baru

Berita yang amat dinanti-nanti oleh semua peminat Liverpool akhirnya menjadi kenyataan dengan kedua-dua pemilik kedekut Liverpool akhirnya tunduk kepada tekanan daripada dalam dan luar kelab. Mereka telah mengesahkan akan menjual pemilikan mereka di dalam kelab setelah tidak lagi mampu menanggung hutang akibat daripada pinjaman yang dilakukan oleh mereka. Tekanan demi tekanan yang diberikan ke atas mereka menyebabkan keputusan untuk menjual kelab terpaksa diambil. Jika benar perkara ini akan berlaku, ianya bakal membuka era baru untuk Liverpool FC. Tetapi harus diingatkan selagi pemilikan kelab belum bertukar tangan, banyak kemungkinan yang bakal timbul. Banyak helah yang akan digunakan oleh kedua-dua pemilik Liverpool ini kerana kita semua sedia maklum mereka lebih mementingkan keuntungan dan bukan masa depan kelab. Walau apa pun yang berlaku sama-sama kita saksikan perkembangan yang bakal mengubah arah tuju Liverpool pada masa depan ini.


YNWA

Wednesday, April 14, 2010

Skrtel : Kembali Berlatih

Pemain pertahanan Liverpool dari Slovakia Martin Skrtel telah kembali menjalani latihan ringan setelah dua bulan berehat akibat kecederaan kaki yang dialaminya sebelum ini. Pemain pertahanan tengah Liverpool ini mengalami kecederaan ketika menentang kelab Romania Unirea Urziceni pada 25 Februari yang lalu di perlawanan Liga Europa. Skrtel memberitahu doktor yang merawat beliau kini berpuashati dengan keadaannya dan telah memberikan kebenaran untuk beliau menyambung latihan. Walaupun hanya latihan ringan, Skrtel yakin beliau akan kembali bermain sebelum musim ini tamat pada bulan Mei nanti. Kehadiran Skrtel pasti akan mengurangkan sedikit tekanan ke atas barisan pertahanan Liverpool yang kini dilanda masalah kecederaan yang agak serius.


YNWA

Tuesday, April 13, 2010

LFC : Dari Mana Sumber Kewangan?

Berlawanan dengan berita Liverpool bakal penerima pemilik baru pada musim panas nanti, berita terbaru yang diterima memberitahu bahawa pengurus Liverpool Rafa Benitez telah dijanjikan dengan dana perpindahan yang lebih banyak bagi membeli pemain baru pada musim panas nanti. Berita tersebut juga melaporkan pemilik-pemilik Liverpool bakal mengadakan sidang akhbar di dalam masa terdekat mengenai pakej pembiayaan semula yang diterima mereka. Di dalam sidang akhbar inilah kedua-dua pemilik Liverpool ini dijangka akan mengumumkan jumlah yang akan diterima Rafa bagi mendapatkan pemain-pemain baru walaupun Liverpool gagal beraksi dengan baik pada musim ini. Persoalannya, yang mana satu berita yang tepat? Adakah pemilik-pemilik ini masih enggan melepaskan Liverpool kepada pemilik baru? Adakah mereka menunggu pihak yang mahu menawarkan 600 juta pound seperti yang dilaporkan di akhbar sebelum ini? Satu perkara yang saya pasti, para peminat Liverpool pasti sudah muak dengan janji seperti di atas oleh pemilik. Saban musim janji seperti ini ditaburkan oleh mereka tetapi bila sahaja tiba masa untuk membeli pemain baru, mahu tidak mahu ada pemain Liverpool yang terpaksa dikorbankan untuk mendapatkan dana bagi mendapatkan pemain-pemain baru. Dalam bahasa yang lebih mudah kita sebagai peminat pasti akan berkata tunjukkan dahulu duit yang dikatakan akan digunakan untuk membeli pemain baru dan bukannya hanya bergebang besar di media (sembang puluh juta) sedangkan habuk pun tiada di dalam poket. Jika benar-benar mahu menjadikan Liverpool sebagai kuasa bolasepak sebenar, pemain-pemain berkualiti seperti David Villa, David Silva, Angel Di Maria (sekadar menyebut beberapa nama) harus menjadi sasaran utama Liverpool dengan dana perpindahan yang tidak kunjung susut. Bak kata pengurus Liverpool Rafa Benitez, seorang pemain berkualiti sekurang-kurangnya bernilai 20 juta pound dan tidak dapat dinafikan akan kebenaran kenyataan beliau ini. Benar ada pemain berkualiti yang bernilai di bawah harga tersebut tetapi untuk mencari pemain-pemain ini adalah cukup sukar, mungkin seorang daripada sepuluh orang yang dibeli. Pemain berkualiti yang dimaksudkan oleh Rafa adalah pemain seperti Fernando Torres yang tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru mereka dan bukannya pemain yang mengambil masa sehingga bermusim-musim untuk menyesuaikan diri.


YNWA

Monday, April 12, 2010

Aurelio : Diintai Olympiacos

Pemain pertahanan kiri Liverpool daripada Brazil, Fabio Aurelio kini dilaporkan telah menarik minat kelab Greece Olympiacos. Kelab Greece ini dikatakan telah membuat tawaran kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmat Aurelio pada musim panas nanti. Kontrak Aurelio bersama Liverpool akan tamat pada musim panas nanti dan kelab Greece ini dilaporkan turut cuba untuk mendapatkan pemain berusia 30 tahun ini secara percuma. Aurelio telah membuat 23 penampilan bersama-sama Liverpool pada musim ini dan kedudukan beliau di Anfield agak kabur samada beliau akan ditawarkan kontrak baru atau tidak oleh Liverpool setelah rundingan di antara kedua-dua pihak dihentikan akibat kecederaan demi kecederaan yang dialami oleh Aurelio. Beliau kini sedang berehat akibat daripada kecederaan yang dialami dan dilaporkan berada di Brazil untuk bercuti. Di sepanjang ketiadaan beliau, pemain muda Argentina Emiliano Insua telah menggantikan Aurelio di posisi pertahanan kiri Liverpool. Pengurus Liverpool mahu menggunakan khidmat Aurelio ebelum musim ini berakhir setelah Insua turut mengalami kecederaan buat masa sekarang. Daniel Agger kini memikul tugas sebagai pemain pertahanan kiri apabila Liverpool tidak dapat menggunakan khidmat Aurelio dan juga Insua. Pemain pertahanan muda Liverpool Martin Kelly turut mengalami kecederaan, manakala Jamie Carragher yang turut boleh beraksi di bahagian pertahanan kiri, kini mengisi posisi pertahanan tengah Liverpool bersama-sama Kyrgiakos kerana seorang lagi pemain pertahanan tengah Liverpool iaitu Martin Skrtel turut mengalami kecederaan.


YNWA

Sunday, April 11, 2010

LFC : Mana Satu Kebenarannya?

Pening kepala. Itu yang dapat disimpulkan apabila membaca berita tentang kedudukan pemilikan kelab Liverpool sekarang. Bermacam-macam cerita timbul di kala musim semakin menghampiri penghujungnya. Bermula daripada tekanan yang diterima oleh pemilik kedekut Liverpool daripada Royal Bank of Scotland (RBS) supaya mereka dengan segera menyelesaikan hutang pinjaman yang dibuat oleh mereka sehinggalah campurtangan daripada Barclays Bank untuk mencari jalan penyelesaian kepada kemulut tersebut. Kedua-dua pemilik Liverpool tersebut dikatakan sedang menghadapi tekanan untuk melepaskan pegangan mereka ke atas Liverpool. RBS mahukan mereka menyelesaikan pinjaman (yang beberapa kali ditangguh pembayarannya) yang dibuat oleh mereka ketika membeli Liverpool dahulu atau berdepan dengan tindakan Liverpool bakal dijual kepada pemilik baru tanpa perlu merujuk kepada pemilik berdasarkan perjanjian pinjaman yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Satu kerugian buat Liverpool daripada segi kewangan jika pinjaman ini terus menerus ditangguh pembayarannya kerana jumlah bunga yang dikenakan oleh RBS bukan sedikit (mencecah berpuluh juta pound). Kedua-dua pemilik Liverpool pula berdegil untuk menunggu pelaburan baru ke atas kelab dan akibatnya Liverpool tersepit di tengah-tengah antara kepentingan peribadi pemilik dan juga sukan bolasepak. Persoalannya, jika benar mahukan pelabur baru, kenapa menolak pelaburan daripada Rhone Group yang berjumlah 110 juta pound sebelum ini? Mungkin masih ada risiko dan agenda yang tidak kita semua ketahui? Kini akibat tekanan demi tekanan yang diterima oleh pemilik yang kedekut tersebut, mereka telah melantik Barclays Bank sebagai perunding untuk mendapatkan pembeli yang sesuai. Jika benar perkara ini bakal berlaku, maka para peminat Liverpool boleh kembali menguntum senyum dengan pelaburan baru yang bakal diterima nanti. Namun harus diingatkan, Liverpool harus berhati-hati kali ini agar Pisang Tidak Berbuah Dua Kali. Jika tersalah pilih, maka pemilik yang lebih teruk daripada yang ada sekarang akan menjadi mimpi ngeri buat Liverpool. Ada juga cadangan agar Liverpool melihat senarai pelabur baru daripada Timur Tengah seperti DIC jika mahu kelab lebih berjaya di masa hadapan. Sesuatu yang cukup merugikan dengan pemilik yang ada sekarang, mereka tidak mampu memberi sokongan kepada kelab untuk terus berjaya di pentas bolasepak sebaliknya sibuk mahu membuat keuntungan tanpa mahu membuat pelaburan yang lebih besar ke atas kelab. Dengan jumlah peminat yang cukup besar di seluruh dunia, mempunyai pemilik yang benar-benar serius mahu membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi adalah cukup penting untuk menjadi antara kelab bolasepak yang cukup berpengaruh di seluruh dunia. Perlu diingatkan kelab perlu berjaya di pentas bolasepak (dengan pelaburan yang lebih besar) barulah sesuatu kelab itu lebih dikenali oleh para peminat bolasepak di seluruh dunia.


YNWA

Saturday, April 10, 2010

Reina : Tandatangan Kontrak Rasmi

Penjaga gol Liverpool Pepe Reina secara rasmi telah menurunkan tandatangan ke atas kontrak baru beliau. Kontrak baru yang dilaporkan bernilai 90 ribu pound seminggu dan Reina akan terus bersama-sama Liverpool selama enam musim lagi (sehingga 2016). Reina adalah pemain terbaik Liverpool pada musim ini dengan persembahan konsisten beliau di gawang Liverpool dan pengurus Liverpool Rafa Benitez amat gembira apabila seorang lagi pemain utama beliau memberikan komitmen jangka panjang kepada Liverpool. Sebelum itu, Kapten Liverpool Steven Gerrard turut memuji Reina dan beliau melihat Reina adalah bakal kapten Liverpool di masa hadapan. Lega rasanya apabila menerima berita ini di mana kelibat Reina turut diintai oleh beberapa kelab penyamun. Dengan kontrak rasmi ini maka masa depan Reina dengan Liverpool lebih terjamin.


YNWA

Friday, April 9, 2010

Europa : Akibat Suka Menipu

Puas. Hanya itu yang dapat saya katakan mengenai perlawanan dengan kelab Bencica ini (meminjam kata-kata bro indra) pada awal pagi tadi. Jelas mereka tidak mampu bermain dengan baik tanpa bantuan pengadil perlawanan (tidak boleh menipu lagi). Walaupun pemain-pemain mereka cuba menjerit-jerit ke arah muka pengadil (seperti di perlawanan pertama) dan juga penjaga garisan, semuanya tidak dilayan. Ini menyebabkan pemain-pemain Bencica agak berhati-hati apabila berhadapan pemain Liverpool. Silap haribulan jika bermain seperti berada di dalam hutan belantara, kad kuning atau merah menjadi habuan. Mungkin sikap pengadil yang mahu perlawanan yang bersih menyebabkan Bencica agak berhati-hati di dalam setiap gerakan mereka. Lembu Luisao? Diboo oleh penyokong di Anfield kerana berperangai sampah pada perlawanan pertama di Portugal dahulu. Seperti yang saya ungkapkan sebelum ini, Lembu Luisao dan Kerbau Luiz akan mengalami mimpi paling ngeri mereka di Anfield dan itulah yang berlaku. Walaupun bermula dengan agak perlahan dan membenarkan Bencica menguasai perlawanan pada minit-minit awal permainan, selepas jaringan pertama oleh Kuyt, Liverpool tidak lagi memandang ke belakang. Dan sesuatu yang sungguh ajaib berlaku di mana Lucas berjaya menjaringkan gol. Ya Lucas bukan Torres yang menjaringkan gol kedua (siap boleh tertukar di antara kedua-dua pemain mungkin disebabkan mengantuk). Mendahului 2-0 di separuh masa pertama, Liverpool meneruskan rentak di separuh masa kedua dengan El Nino menambahkan jaringan ketiga Liverpool. Ketika ini permainan lebih banyak berpihak kepada Liverpool walaupun Bencica cuba menyerang untuk mendapatkan gol. Hasilnya Cardozo berjaya menjaringkan gol tunggal mereka melalui sepakan percuma yang berjaya menewaskan benteng Liverpool (di celah kaki Gerrard yang melompat) dan juga Reina. Perlawanan semakin berdebar buat penyokong-penyokong Liverpool pada ketika ini dengan Bencica semakin berani membuat serangan ke arah pintu gol Liverpool. Namun El Nino sekali lagi tidak menghampakan dengan gol keempat Liverpool dan gol kedua peribadi beliau pada perlawanan ini. Gol El Nino ini membunuh terus semangat melawan pemain-pemain Bencica (yang sebelum perlawanan bergebang cukup besar untuk menang di Anfield). Barisan pertahanan Liverpool bermain dengan baik pada perlawanan ini dengan Carragher dan Kyrgiakos serta Agger dan Johnson banyak mengagalkan serangan Bencica. Pepe Reina turut bermain baik dengan banyak menangkis percubaan demi percubaan daripada Bencica. Permainan serang balas pantas Liverpool cukup berkesan pada perlawanan ini di mana gol-gol Liverpool dihasilkan daripada gerakan sebegini. Liverpool menghukum Bencica apabila mereka naik untuk menyerang dengan ramai tetapi gagal untuk bertahan dengan pantas apabila diasak Liverpool. Lupakan perlawanan dengan Bencica ini kerana lawan kita di separuh akhir adalah kelab kampung El Nino, Atletico Madrid. Lawan yang cukup mencabar buat The Reds di dalam masa dua minggu lagi. Oh ya di mana kelibat Maria, Aimar, Saviola dan Cardozo (muncul sekejap) di perlawanan ini? Luisao dan Luiz, kamu tido ker semasa perlawanan awal pagi tadi?


YNWA