Thursday, November 11, 2010

BPL : Mata Berharga Dari DW Stadium

Setelah bermain dengan baik ketika menang di dalam empat perlawanan sebelum ini, Liverpool akhirnya disekat oleh Wigan a.k.a The Latics pada awal pagi semalam. Walaupun bermula dengan baik dengan mendahului 1-0 melalui Fernando Torres pada separuh masa pertama, Wigan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui Rodallega di awal separuh masa kedua. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 namun kredit harus diberikan kepada pemain-pemain Liverpool yang bertungkus-lumus bertahan pada separuh masa kedua. Wigan lebih berhak untuk menang pada perlawanan ini namun pemain-pemain Liverpool berjaya menafikan mereka daripada mengutip mata penuh. Diserang secara bertubi-tubi daripada segenap arah pada separuh masa kedua telah menunjukkan Wigan lebih menguasai perlawanan ini berbanding Liverpool. Walaupun Gerrard mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun jelas beliau kelihatan amat keletihan. Tindakan Uncle Roy menurunkan barisan yang sama ketika bermain di Anfield pada hari Ahad lalu hampir memakan diri. Ini disebabkan pemain-pemain Liverpool kelihatan terlalu letih terutama sekali di separuh masa kedua. Masa rehat yang terlalu singkat di antara perlawanan BPL (lebih kurang 3 hari) menjadi penyebab utama pemain-pemain Liverpool keletihan dan tidak dapat bermain dengan baik. Jika bermain di Liga Europa pun, perlawanan akan berlangsung pada awal pagi Jumaat berbanding dengan awal pagi Khamis untuk perlawanan BPL. Mungkin dengan beberapa pemain yang lebih mempunyai tahap kecergasan yang lebih baik (cth Babel, Ngog, Jova, Pacheco), Liverpool mampu bermain dengan lebih baik pada perlawanan ini. Uncle Roy mungkin mahu mengekalkan persefahaman pemain-pemain kesebelasan utama beliau lalu membuat pilihan untuk mengekalkan mereka. Namun itu semua hanyalah satu kemungkinan dan kita tidak harus lupa, ada juga kemungkinan walaupun pemain-pemain yang diturunkan itu cergas tetapi itu tidak menjamin mereka juga mampu bermain dengan baik.

Kita semua kecewa dengan satu mata yang dibawa pulang dari DW Stadium namun jangan sesekali kita menafikan usaha yang dilakukan oleh pemain-pemain Liverpool pada perlawanan ini kerana jika tiada usaha sedikit pun, jangankan satu mata tetapi habuk pun tidak akan berjaya dibawa pulang ke Anfield. Dengan satu mata berharga inilah Liverpool masih mengekalkan kedudukan di tangga kesembilan BPL dan masih meneruskan usaha untuk mendaki tangga liga. Satu mata di tempat lawan bukanlah hasil yang kita semua harapkan namun kita harus faham perlawanan di tempat lawan adalah sukar dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Diharapkan Uncle Roy dapat menggunakan strategi yang lebih baik pada perlawanan menentang Stoke di tempat lawan pada hari Sabtu nanti. Stoke adalah sama seperti Wigan, mereka adalah antara pasukan yang cukup sukar dan liat untuk ditundukkan di kandang mereka sendiri. Jadi kita perlu lebih bersedia untuk perlawanan ini dengan taktikal serta strategi yang lebih mampan bagi membendung asakan daripada mereka. Kepada rakan-rakan sekalian, jangan kecewa kerana perjuangan kita masih jauh dan kita semua harus memberikan lebih banyak sokongan kepada Liverpool. Alah Bisa, Tegal Biasa.



YNWA

2 comments:

Tengku Firmino said...

bila nak update baru bro..

beemer said...

Sori bro .. byk keja sket ..
will try to update regularly ..
tq singgah ..