Thursday, November 11, 2010

BPL : Mata Berharga Dari DW Stadium

Setelah bermain dengan baik ketika menang di dalam empat perlawanan sebelum ini, Liverpool akhirnya disekat oleh Wigan a.k.a The Latics pada awal pagi semalam. Walaupun bermula dengan baik dengan mendahului 1-0 melalui Fernando Torres pada separuh masa pertama, Wigan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui Rodallega di awal separuh masa kedua. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 namun kredit harus diberikan kepada pemain-pemain Liverpool yang bertungkus-lumus bertahan pada separuh masa kedua. Wigan lebih berhak untuk menang pada perlawanan ini namun pemain-pemain Liverpool berjaya menafikan mereka daripada mengutip mata penuh. Diserang secara bertubi-tubi daripada segenap arah pada separuh masa kedua telah menunjukkan Wigan lebih menguasai perlawanan ini berbanding Liverpool. Walaupun Gerrard mempunyai dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun jelas beliau kelihatan amat keletihan. Tindakan Uncle Roy menurunkan barisan yang sama ketika bermain di Anfield pada hari Ahad lalu hampir memakan diri. Ini disebabkan pemain-pemain Liverpool kelihatan terlalu letih terutama sekali di separuh masa kedua. Masa rehat yang terlalu singkat di antara perlawanan BPL (lebih kurang 3 hari) menjadi penyebab utama pemain-pemain Liverpool keletihan dan tidak dapat bermain dengan baik. Jika bermain di Liga Europa pun, perlawanan akan berlangsung pada awal pagi Jumaat berbanding dengan awal pagi Khamis untuk perlawanan BPL. Mungkin dengan beberapa pemain yang lebih mempunyai tahap kecergasan yang lebih baik (cth Babel, Ngog, Jova, Pacheco), Liverpool mampu bermain dengan lebih baik pada perlawanan ini. Uncle Roy mungkin mahu mengekalkan persefahaman pemain-pemain kesebelasan utama beliau lalu membuat pilihan untuk mengekalkan mereka. Namun itu semua hanyalah satu kemungkinan dan kita tidak harus lupa, ada juga kemungkinan walaupun pemain-pemain yang diturunkan itu cergas tetapi itu tidak menjamin mereka juga mampu bermain dengan baik.

Kita semua kecewa dengan satu mata yang dibawa pulang dari DW Stadium namun jangan sesekali kita menafikan usaha yang dilakukan oleh pemain-pemain Liverpool pada perlawanan ini kerana jika tiada usaha sedikit pun, jangankan satu mata tetapi habuk pun tidak akan berjaya dibawa pulang ke Anfield. Dengan satu mata berharga inilah Liverpool masih mengekalkan kedudukan di tangga kesembilan BPL dan masih meneruskan usaha untuk mendaki tangga liga. Satu mata di tempat lawan bukanlah hasil yang kita semua harapkan namun kita harus faham perlawanan di tempat lawan adalah sukar dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Diharapkan Uncle Roy dapat menggunakan strategi yang lebih baik pada perlawanan menentang Stoke di tempat lawan pada hari Sabtu nanti. Stoke adalah sama seperti Wigan, mereka adalah antara pasukan yang cukup sukar dan liat untuk ditundukkan di kandang mereka sendiri. Jadi kita perlu lebih bersedia untuk perlawanan ini dengan taktikal serta strategi yang lebih mampan bagi membendung asakan daripada mereka. Kepada rakan-rakan sekalian, jangan kecewa kerana perjuangan kita masih jauh dan kita semua harus memberikan lebih banyak sokongan kepada Liverpool. Alah Bisa, Tegal Biasa.



YNWA

Tuesday, November 2, 2010

Hodgson : Tumpukan Pada Tugas

Apa motifnya bila pengurus Liverpool Roy Hodgson mengeluarkan kenyataan yang kurang menyenangkan terhadap bekas boss Liverpool Rafael Benitez? Hodgson menyatakan Kenny Dalglish tidak dibenarkan menjejakkan kaki di Melwood semasa Rafa menjadi pengurus Liverpool. Bukankah kenyataan sebegini seolah-olah mahu mencari perbalahan dengan Rafa sedangkan bekas pengurus Liverpool tersebut tidak pula membuat sebarang kenyataan negatif mengenai Hodgson yang kini menerajui Liverpool. Hasilnya Rafa mengeluarkan kenyataan media menyatakan Hodgson tidak mengetahui perkara yang sebenarnya berlaku di Anfield pada ketika itu. Rafa juga mengatakan Hodgson sepatutnya menumpukan tugas yang kini menjadi tanggungjawab beliau di Anfield sekarang iaitu mengembalikan kegemilangan Liverpool yang semakin pudar. Secara peribadi saya bersetuju dengan pendapat Rafa, daripada sibuk bermain api dengan kenyataan media yang bukan-bukan, lebih baik memperkuatkan usaha untuk memperbaiki persembahan Liverpool di atas padang. Jika berniat untuk mengalihkan perhatian media daripada fokus kepada prestasi Liverpool, tindakan sebegini bukanlah caranya. Sedangkan King Kenny sendiri amat profesional di dalam penampilan beliau di media (tidak mengeluarkan kenyataan/pendapat yang negatif mengenai Liverpool), Hodgson perlu lebih bersikap melindungi kelab daripada sebarang kontroversi media. Kepada Hodgson, apa yang berlaku di era Rafael Benitez tidak perlu diungkit lagi kerana setiap pengurus Liverpool yang sebelum ini pasti akan melakukan yang terbaik untuk kelab. Apa perasaan anda jika pengurus baru Liverpool selepas ini asyik menghentam anda di media? Elakkan sengketa kerana perbuatan ini jelas tidak menguntungkan Liverpool.


YNWA